Followers

Saturday, December 31, 2016

Teh tarik yang enak sampai ke tulang betis!

Dulu-dulu sewaktu kami dalam parti sejarah, kalau nak minum teh tarik hanya mencari warung-warung kecil tepi jalan besar. Di situlah kami berkumpul sesama sendiri pelbagai peringkat usia, dengan pelbagai isu-isu hangat politik tanah air. Selesai minum kami seluk bagi gombang masing-masing keluarkan duit untuk bayar apa yang diminum dan dimakan! Ada yang bayar dengan duit kertas seringgit, ada yang guna duit syiling! Duit selebihnya simpan untuk derma di ceramah-ceramah demi kemajuan parti!

Sudah pasti isu utama kami dalam perbincangan dan perdebatan sesama sendiri itu ialah mengenai kegelojohan dan kejahatan Umno/Bn dalam menguruskan pilihanraya dan mentadbir negara. Kadang-kadang di situ juga, sambil menghirup teh tarik kami merancang aktiviti parti dan mengeluarkan idea mencari dana. Itu dulu, sebelum politik matang dan sejahtera! Ada kalanya pemimpin-pemimpin dahulu yang datang ke tempat kami sama ada mereka minta minum di warung atau memang hanya kami mampu bawak ke warung-warung sahaja!

Hari ini semenjak kami bersama parti baru, sudah tidak nampak kawan-kawan parti sejarah minum-minum di warung-warung seperti dahulu.

Kalau pun ada seorang dua kawan-kawan lama yang nak kena teh tarik dengan kami, kini tak mampu untuk lakukan semudah dahulu, kerana takut diperhati dan dichop sebagai pengkhianat parti. Seorang ustaz veteran parti sejarah yang baik dengan aku apabila diajak kena teh tarik, hanya bersetuju untuk ke warung yang agak tersorok. Bila di tanya kenapa tak mahu kena teh tarik di bandar? 

Dia jawab, "takut orang-orang ana nampak minum dengan enta...mampus ana kena pulau". Begitu teruk sekali? Apa pun aku layanlah walau di manapun asal dapat kena teh tarik!

Hari ini minum teh tarik dengan orang Amanah amat besar bahayanya bagi ahli parti sejarah kerana akan dichop pengkhianat. Namun demikian tidak bahaya dan tidak mencolok mata langsung kalau kena teh tarik dengan orang-orang Umno Najib! 

"Fatwa" untuk ini telah kelihatan lebih jelas di London baru-baru ini apabila seorang ulama muda parti sejarah berteh-tarik di London, bro! Dengan menteri zakat lagi!  Fuh hebat!

Dengan petunjuk di London itu, sedikit masa lagi mungkin sudah tiada yang kena teh tarik di warung-warung, kerana dengan politik matang dan sejahtera tentunya mesti berteh-tarik di restauran dan kopitiam dengan kawan-kawan baru!

Fuh...teh tarik London kaw dan enak sampai ke tulang betis!

Friday, December 30, 2016

Teruklah DAP ni !

Teruk betul DAP, menghina! Adakah munasabah baru saja memerintah Pulau Pinang sudah nak buat Hospital Islam? UMNO yang telah lama memerintah, 60 tahun, dipimpin oleh pejuang-pejuang Islam maha tulin lagi, pun tak buat Hospital Islam! Melampau betul DAP ni...ish!!

Bukankah pemimpin Umno pelbagai peringkat kata Umno banyak membela Islam? Bukankah pemimpin Umno pelbagai peringkat kata, kalau tidak ada Umno, orang Melayu yang beragama islam akan ghuyup? Bukankah pemimpin Umno pelbagai peringkat kata DAP yang bertanding 55 kerusi parlimen (yang belum tentu menang semua kerusi) daripada 222 kerusi parlimen itu akan perintah Malaysia maka habislah Islam?

Kerana itu semua habis orang Melayu terutama yang tinggal dikampung-kampung kecut telur dengan DAP! Ini pula DAP nak buat pula Hospital Islam...ish lagi bahaya! Sudahlah selama ini ada yang konon bertaraf 'ulama' penasihat geng Umno kata di masjid-masjid di Pulau Pinang tidak boleh azan!

Teruk sungguh DAP kawan PAN ni...adakah nak buat Hospital Islam?

Sudah-sudahlah dengan kerja memandirkan masyarakat Melayu luar bandar!

Laporan Sinar Harian:
 
Hospital islam Pulau Pinang dijangka beroperasi 2020

GEORGE TOWN: Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dengan kerjasama Majlis Agama Islam negeri akan membangunkan projek Hospital Islam Pulau Pinang (HIPP) bernilai RM280 juta di kawasan Bayan Baru.

Pengerusi YIPP, Datuk Mansor Othman berkata kerja-kerja pembinaan projek di tanah seluas hampir satu hektar itu akan bermula selepas majlis pecah tanah pada Ahad ini.

Beliau berkata, hospital yang akan dilengkapkan dengan kemudahan 200 katil itu merupakan hospital pertama di wilayah utara yang berkonsepkan patuh syariah dan dijangka mula beroperasi awal 2020.

"Hospital Pakar An-Nur di Selangor, telah dipilih sebagai pengendali HIPP manakala pemajunya merupakan sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang akan diumumkan Ahad ini," katanya kepada Bernama dalam satu temubual di sini, Khamis.

Mansor berkata, hospital ini telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan diperakui oleh Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) selepas menerima pengiktirafan pensijilan MS 1900:2014 dengan sistem berasaskan syariah Islam.

"HIPP akan menerapkan amalan perubatan berasaskan Islam di mana wad lelaki dan perempuan akan diasingkan, doktor wanita untuk wad bersalin dan kakitangan bertugas yang menutup aurat bagi mematuhi syarat sebagai hospital patuh syariah," katanya.

Bagaimanapun katanya, model perniagaan hospital ini bukan hanya tertumpu kepada orang Islam sahaja tetapi juga bagi orang bukan Islam yang ingin mendapatkan rawatan kesihatan dengan harga berpatutan.

Beliau berkata pembinaan HIPP ini adalah selaras dengan permintaan rawatan perubatan penduduk negeri dan juga warga asing untuk ke Pulau Pinang yang  terkenal dengan destinasi pelancongan perubatan.

"Mengikut Malaysia Healthcare Travel Council, jumlah keseluruhan pendapatan daripada pelancongan kesihatan adalah sebanyak RM390 juta tahun lepas dan 60 peratus daripada pelancong memilih Pulau Pinang sebagai destinasi mereka untuk mendapat rawatan kesihatan," katanya.

"HIPP yang terdiri daripada bangunan 14 tingkat ini akan mempunyai 600 tempat meletak kereta setinggi tujuh tingkat dan dilengkapi dengan pakar bidang  perubatan seperti pakar Pediatrik, Ginekologi, Endoskopi dan Kardiologi," katanya.

Mansor berkata hospital ini akan turut menawarkan 20 buah katil wakaf untuk membantu masyarakat kurang berkemampuan yang memerlukan rawatan perubatan.

"Pembiayaan kos rawatan bagi 20 buah katil wakaf ini akan ditanggung oleh pihak HIPP sebagai salah satu komitmen bahawa hospital yang akan didirikan ini  tidak mengenepikan golongan miskin," katanya.

Selain itu, beliau berkata pembinaan hospital ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan tambahan kepada penduduk setempat khususnya dalam bidang pengurusan pembuatan dan kesihatan.

"Hampir 1,000 kekosongan jawatan pelbagai bidang, bakal ditawarkan kepada orang ramai, selepas projek ini siap dalam tempoh tiga tahun lagi," katanya.


Tuesday, December 27, 2016

Apa yang boleh ditunggang...tunggang! Kali ini FELDA pula!

Wajar atau tidak bukan menjadi persoalan kerana kuasa di tangan mereka! Apa sahaja yang boleh ditunggang akan terus ditunggang demi kepentingan persahabatan insan tersayang dan kroni. Para peneroka yang masih lena teruskan kelenaan anda dalam PRU 14 ini sebelum menang sorak kampung tergadai! Buat para penasihat teruskan sengih anda!



Laporan Malaysiakini:

Wajarkah pembelian Eagle High, soal Nazir kepada Felda

Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak berkata, Felda yang ditubuhkan oleh bapanya, arwah Tun Abdul Razak Hussein semasa menjadi perdana menteri perlu mewajarkan rancangan pembelian 37 peratus pegangan dalam PT Eagle High Plantations Tbk.

Felda mengumumkan pembelian terancang dalam unit perladangan konglomerat Indonesia Rajawali Group selepas kegagalan Felda Global Ventures (FGV) untuk membeli pegangan saham yang sama.

FGV, syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dikritik oleh para pemegang sahamnya apabila bercadang untuk membeli 37 peratus kepentingan dalam PT Eagle High Plantations Tbk pada harga AS$680 juta.

Antara pengkritik tersebut adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah melupuskan semua sahamnya dalam FGV.

Felda, tidak seperti FGV, bukan syarikat tersenarai awam dan dimiliki oleh kerajaan. Felda memiliki pegangan sebanyak 21 peratus dalam FGV.

Nazir dalam satu catatan di Instagram berkata, Felda masih membayar premium walaupun tawaran AS$505 juta untuk mendapatkan pegangan 37 peratus (580 rupiah sesaham) AS$175 juta kurang daripada tawaran FGV.

"Harga purata Eagle High pada bulan November adalah 212 rupiah sesaham, maka ia adalah premium 173 peratus bagi kepentingan bukan kawalan.

"Saya berharap lembaga pengarah akan mewajarkan sepenuhnya pengambil alihan dan penilaian walaupun perjanjian itu bukan lagi dibuat oleh FGV," katanya.

Nazir turut berkongsi gambar arwah bapanya ketika menyampaikan ucapan kepada peneroka Felda di Kuala Terengganu pada 28 Mac 1966.