Followers

Saturday, September 05, 2015

Menghadapi saat merudum: Dolah Salleh telah menunjuk cara...


Nampaknya banyak sungguh yang merudum dalam negara sejak akhir-akhir ini. Ini menjadi zaman pemerintahan Najib, sukar disangkal, merupakan zaman ke-merudum-an negara.

Ia bermula dengan integrity negara. Merudumnya integrity negara apabila indeks rasuah negara merupakan antara yang terburuk dalam sejarah. Isu-isu besar yang kelihatan cukup mengelirukan dan penuh tanda tanya, sentiasa berlegar dalam kalangan rakyat termasuk di pelbagai media tempatan mahupun antarabangsa.

Banyak isu-isu integrity yang besar ini terlepas daripada cengkaman dan akhirnya dilenyapkan begitu sahaja, sedangkan kes-kes ikan bilis yang tidak munasabah dek akal sering diserkup. Konon untuk menggambarkan ketegasan memerangi rasuah. Namun demikian ia tidak mengubah apa-apa terhadap kehormatan negara yang kian tercalar.

Keadaan intergriti negara semakin teruk apabila terbongkar isu-isu yang berlonggok bagai ‘taik’ dalam 1MDB dan isu derma RM2.67 bilion ke akaun peribadi seseorang. 

Kalau dahulu negara telah bersusun, silih berganti menanggung skandal integrity seperti skandal Bank Bumiputra, PERWAJA, PKFZ, kehilangan berbilion equiti saham bumiputra dan sebagainya, nampaknya kini skandal integrity ini tidak kunjung padam malah ianya berlaku secara lebih dahsyat dan lebih menyenakkan lagi.

Nilai Ringgit Malaysia terus jatuh dan mungkin sedikit masa lagi akan terus merudum. Keadaan ini cukup membimbangkan pelbagai pihak, namun pihak pemerintah dengan selamba mengatakan ianya perkara biasa dan terkawal. Apakah ini perkara biasa dalam banyak pihak meramalkan jika nilai RM terus jatuh negara boleh jatuh bangkrap.

Untuk menahan kejatuhan berterusan, sekurang-kurangnya kembalikan pemerintahan yang berintegriti. Masalahnya bolehkah orang utama yang integritinya telah tercalar teruk, yang berada dalam kerajaan kini, mengembalikan keyakinan pelbagai pihak? Sukar, amat sukar!

Dan paling terkini mutu pasukan bolasepak kebangsaan negara juga merudum dengan kekalahan 10-0 di tangan UAE baru-baru ini. Walaupun ianya mungkin tiada kaitan dengan segala-gala ke-merudum-an dalam pentadbiran dan ekonomi negara, namun ia menggambarkan apa yang berlaku nun di atas sana bagaikan menjangkiti ke pelbagai sector dan bidang.

Apapun, kita menghormati rasa kebertangungjawaban Ketua Jurulatih pasukan bolasepak negara Saudara Dolah Salleh yang berjaya menunjukkan integrity yang tinggi dengan meletakkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih pasukan bolasepak kebangsaan. 

Nampaknya Dolah Salleh telah mengajar dan menunjuk-cara, sekurang-kurangnya itulah yang wajar dilakukan apabila apa yang dipertanggungjawabkan kepada kita merudum dan hilang integrity.

Bagaimana pula dengan Ketua  Pasukan pemerintahan negara kita? Belajarlah daripada saudara Dolah Salleh.

Thursday, September 03, 2015

Isu Bai'ah: Malang.... PAS kian dicomot.



Pada waktu terkini, isu bai’ah talak tiga adalah merupakan antara isu hangat yang menjadi perbincangan dan perbualan antara penyokong parti PAS dan juga penyokong parti AMANAH malah juga mungkin oleh orang awam yang peka.

Selama ini kita merasakan bai’ah talak tiga ini mungkin sekadar khabar angin yang tiada kesahihannya kerana ada dalam kalangan pemimpin tertinggi PAS sendiri yang menafikan kewujudan bai’ah seumpama itu.

Namun perkembangan terakhir ini telah mengesahkan bahawa bai’ah talak tiga dalam kalangan wakil rakyat PAS yang bertanding dalam PRU 13 yang lalu seperti satu perkara yang sahih. Hal ini diperkukuhkan dengan pengakuan Timbalan Mursyidul Am PAS YAB Dato Ahmad Yaakob Menteri Besar Kelantan sendiri yang mengatakan bai’ah talak tiga itu adalah wujud dan benar terutamanya di Kelantan dan Trengganu.

Sebaik pengumuman kewujudan Parti Pekerja Malaysia pimpinan Mat Sabu pada 31 Ogos yang lalu, yang bakal dijenamakan semula itu, heboh dari Kelantan mengatakan YB Dr Hatta Ramli Ahli Parlimen Kuala Krai sebagai ‘mangsa’ pertama bai’ah talak tiga ini kerana beliau terbabit sebagai salah seorang AJK proteem Parti Pekerja Malaysia itu.

Maka kedengaranlah suara daripada TMB Kelantan Dato Nik Amar, Ketua Hakim Syariah Kelantan dan juga Timbalan Mursyidul Am PAS bahawa penikahan Dr Hatta dengan isterinya telah terbatal kerana bai’ah talak tiga itu sah dan tidak boleh dirujuk kembali kecuali isteri itu berkahwin lain dan bercerai dengan suami baru!

Masya Allah, hodoh dan jelik sekali kelihatan agama yang sempurna dan mulia ini hanya kerana kepentingan politik kepartian yang dimainkan oleh mereka yang katanya ‘faqih’ agama. Keluarga yang bahagia yang tiada apa-apa alasan antara suami isteri tersebut untuk bercerai, telah diiystihar terpisah dan dipisahkan oleh satu kepentingan politik! 

Sudahlah segera lagi gopoh diiystiharkan kepada umum, cara dan gaya pengisytiharan tersebut macam ada yang tidak kenanya....cuai, lalai dan penuh emosi malah mungkin tidak salah kalau diandaikan sebagai penuh dengan rasa kegeraman! Jelas ini merupakan gambaran yang tidak baik diberikan kepada Islam pada mata umum dalam masyarakat majmuk negara ini.

Persoalan yang berbangkit apakah bai’ah talak tiga seumpama ini merupakan satu tindakan yang menepati roh Islam itu sendiri? Bukankah perkara penceraian ini adalah merupakan perkara yang dibenci oleh Allah, dibai’ah bercerai talak tiga pula tanpa alasan yang kukuh antara kedua suami isteri yang saling cinta mencintai dan bahagia? 

Tidakkah rasa bersalah dan zalim, orang-orang yang tidak sepatutnya terlibat dalam urusan rumah tangga mereka, begitu ghairah memisahkan mereka kerana hanya kepentingan politik? Apakah sudah tidak ada keluasan dan keringanan dalam hukum syarak dalam hal ini untuk kita menyelamatkan mana-mana keluarga bahagia yang menjadi mangsa bai’ah yang terlalu besar fitnahnya ini? 

Wahai sang faqih, maaf, janganlah terlalu beremosi!

Islam adalah agama yang syumul yang membawa rahmat kepada seluruhnya. Dengan sebab itu marilah kita lebih menjadi du’at (pendakwah) daripada menjadi qudho’ (penghukum). Setiap perkara yang mampu menempekkan fitnah besar kepada Islam pada pandangan umum wajar kita hentikan dan jauhi. Wallahu aklam.

Wednesday, September 02, 2015

PAS kelihatan seperti tertekan dalam keadaan Presiden gembira?





Apa yang jelas kelihatan parti PAS semakin hilang ketenangan diambang kemunculan secara rasmi Parti Amanah Negara. Hilang ketenangan parti ini dapat dilihat daripada setiap reaksi terhadap HB yang bakal menjadi parti politik Islam baru yang bakal diberi nama Parti Amanah Negara itu.

Kerisauan PAS ini amat sukar dinafikan sedang beberapa bulan yang lalu selepas tamat Muktamar di Kuala Selangor, Presiden PAS sendiri menegaskan tidak risau dan bimbang sedikit pun dengan kewujudan HB ke arah penubuhan parti Islam AMANAH malah selaku Presiden beliau merasakan begitu gembira, hingga di ulangnya beberapa kali, “gembira....gembira...gembira!”

Kegembiraan Presiden PAS dengan kewujudan parti Islam baru ini, yang bakal ditubuhkan oleh mantan para pemimpin popular PAS, yang dikatakan telah digugurkan setandan dapat dijangka melalui kata-kata beliau bahawa apa yang berlaku adalah proses penapisan dan pembersihan PAS dari fikrah-fikrah yang bertentangan dengan golongan agamawan dalam parti PAS yang sedang menguasai PAS secara total kini.

Dengan hujah dan alasan yang menggembirakan Presiden parti sepatutnya ia mampu memberi ketenangan kepada PAS dalam menghadapi penghijrahan beramai-ramai ahli mereka yang dikira berlainan fikrah itu ke wadah baru. Sepatutnya atas dasar wala’ ahli-ahli PAS yang bersetuju dengan Presiden turut gembira dengan proses tersebut.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kini kebanyakan pemimpin PAS di perbagai peringkat menjadi tidak tenang dan begitu menggelabah sekali. Keadaan ini dapat dilihat dan didengari dalam program-program dalaman PAS dan juga di media maya di mana pelbagai rungutan, kecaman, ‘fatwa’ dan seumpamanya yang dihamburkan kepada HB.

Kecaman kepada HB dan pemimpin dipelbagai peringkat sebagai perosak jemaah, pemecah-belah jemaah, pengkhianat jemaah, dhirar, berhamburan hadith halal darah, hadith boleh diperangi, munafik haraki, golongan kecewa, gerakan haru biru, alat DAP, pencuri ahli, tertalaq tiga, makan gaji haram, sampah, puak yang ditapis, kurang Islam, ditimpa bala Allah dan macam-macam. Ini semua sebenarnya gambaran kegelisahan!

Apabila Presiden gembira dengan penapisan ini tidak kiralah banyak mana yang tertapis maka seluruh ahli perlu wala’ dan redha dalam menghadapi penghijrahan ahli ke wadah baru. Bukankah wadah baru ini telah diramal oleh Presiden hanya akan bertahan selama 2 tahun? Jadi apa yang perlu dibimbang dan diserabutkan sehinga bermacam maki hamun yang dihamburkan?

Sehingga hari ini dan saat ini PAS  masih belum focus kepada kerja-kerha sebenar mereka dalam menekuni masalah rakyat sebaliknya hanya sibuk mengecam dan memprovokasi HB dipelbagai peringkat.

Terkini PAS sibuk dengan gambar-gambar Mat sabu dengan beberapa orang perempuan Cina yang berlaku dalam keadaan sesak yang tidak dijangka sewaktu Bersih 4.0, seperti mana yang berlaku kepada seorang pemimpin pemuda PAS satu waktu dahulu ketika diserbu untuk disolek sewaktu program wawacara berehat. Macam kecaman dilontar kepada Mat sabu konon kenapa tidak menjauhkan diri dan kenapa tidak jaga diri? Kepada pemimpin PAS itu dahulu kenapa tidak menepis tangan juru solek sewaktu di solek? Atau bangun dan lari jauh untuk mengelak disolek? Sebenarnya rasionallah apabila keadaan tidak dijangka oleh sesiapapun maka tindak balas adalah sukar dan payah. Tetapi perkara itu tidak menjadi masalah kepada para provokator PAS asalkan mereka dapat keronyok Mat sabu untuk melepaskan geram dan dendam!

Begitu juga dengan isu pijak gambar super impose Najib dan TGHH! Kecoh satu dunia orang-orang dominan PAS. Mereka lupa bahawa kalau kamu pernah pijak gambar orang, maka ada waktunya gambar kamu atau kamu akan dipijak orang. Siapa peduli kamu siapa dalam politik yang berada di gelanggang dan dunia sekular ini?

Tiada siapa yang waras bersetuju kelaku tidak senonoh memijak gambar seumpama itu tetapi selagi PAS berada dalam gelanggang politik secular dan demokrasi barat seperti yang diamalkan dikebanyakan negara dunia termasuk Malaysia, PAS mesti menerima hakikat apa sahaja boleh berlaku sebagai manifestasi rasa benci orang-orang ramai. Dulu pernah berlaku gambar banner TGHH dan TGNA dikencing ‘terus ke muka”. Waktu itu penyokong UMNO/Bn yang buat tetapi nampaknya tidak sekecoh sekarang! 

Sesungguhnya, jika PAS tidak mahu itu berlaku maka jangan masuk bermain dalam gelanggang politik secular dan demokrasi barat! Dalam gelanggang tersebut siapa peduli prinsip kamu!? Lebih baik jadi seperti Jemaah Tabligh yang tiada siapa yang nak kacau dan makin hamun pun!

Apa yang jelas jika PAS tidak berhenti daripada mengecam dan membelasah HB yang bakal secara rasmi nanti menjadi Parti Amanah Negara maka ia akan merugikan PAS kerana HB kian popular disebabkan promosi percuma yang diberikan oleh PAS di pelbagai peringkat. Daripada sedikit orang yang ambil tahu mengakibat semakin ramai orang yang mahu mengambil tahu dan tidak keterlaluan kalau mereka mungkin terus berminat dengan wadah baru yang Progresif, Amanah dan Peduli itu.

Wahai PAS mohon fokuslah kepada kerja kamu yang katanya mahu melawan UMNO/BN hingga akhir nanti daripada menyibukkan diri membelasahkan HB/AMANAH yang baru lahir itu.