Followers

Thursday, June 11, 2015

Selepas Mesyuarat JKPP pertama, kepimpinan baru PAS dilihat bersikap tidak cakna ...

1. Pada pandangan penulis, lambat bertindak dalam merungkai permasalahan isu usul Dewan Ulama sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang berprinsip pada mata rakyat umum. Pelbagai intrepretasi yang mampu menserabutkan lagi imej PAS yang cantik selama ini pada pandangan umum, pasti akan berlaku.

2. Kelewatan ini juga memberi kesan yang tidak baik kepada imej para Ulama dalam bidang politik. Ia memberi persepsi negatif dalam kalangan rakyat bahawa golongan ulama lembab, lemah dan tidak cakna dan tidak berfakta dalam perkiraan dan percaturan politik sehingga dengan sendirinya bagaikan rela andaian yang bukan-bukan, sangkaan yang buruk dan fitnah terus berleluasa terhadap PAS berlaku di depan mata. Sepatutnya para ulama PAS menghalang perkara ini, bukan hanya sekadar dengan memberi nasihat 'sabar', malah sepatutnya bertindak tegas dan segera.

3. Pada pandangan penulis, PAS tidak perlu mengambil masa yang lama dalam menyelesaikan kehangatan isu usul Dewan Ulama yang mantap dan lengkap itu, oleh kerana ia telah diterima tanpa bahas dalam muktamar dan usul itu pula memang daripada para ulama yang faqeh, untuk MSU dan JKPP untuk mengesahkannya. Apakah sukar benar untuk membuat pengesahan sahaja tanpa perlu lagi MSU membuang masa untuk bersidang?

4. Mengapa MSU perlu membuat pengesahan? Ini adalah kerana bagi penulis jika MSU membuat U-Turn dengan membatalkan usul tersebut, ia pasti akan MEMALUKAN Dewan Ulama PAS yang katanya faqeh belaka itu. Dewan Ulama PAS akan dilihat oleh rakyat, main-main melontar usul di Muktamar penuh kerana sebahagian besar mereka yang berada dalam Dewan Ulama adalah juga merupakan ahli MSU! Apabila dikatakan Dewan Ulama main-main atau usul Dewan Ulama ditolak begitu sahaja oleh sebahagian orang yang sama, ia pasti memalukan! Rakyat umum pasti akan memperlekehkan tindakan itu. Di mana PAS hendak sorok muka?

5. Kelewatan ini juga akan memberi andaian kepimpinan baru yang katanya pro ulama masih sayang akan jawatan-jawatan yang dipegang oleh ahli-ahli PAS dalam kerajaan Pulau Pinang dan Selangor. Ini pasti sekali lagi menjadi pandangan umum yang meliar dan sukar dikawal, yang akhirnya akan memperlihatkan kepimpinan baru PAS begitu kelam-kabut dan tidak tentu arah dalam kerja-kerja politik mereka.

6. Dan sudah pasti kelembapan tindakan politik para ulama ini akan melemahkan kerja-kerja dakwah kepada rakyat Malaysia pelbagai kaum, yang mahu dilakukan oleh parti PAS itu sendiri. Siapa lagi mahu mendengar ulama PAS dan parti PAS sendiri jika kelemahan tindakan seperti ini diperlihat kepada umum begitu mudah.

7. Apa yang perlu diberi perhatian oleh kepimpinan baru PAS sama ada mereka kisah atau tidak kisah, bahawa mereka sedang dan terus dinilai bukan sahaja oleh ahli-ahli PAS malah juga oleh rakyat Malaysia. Malah penilaian ini akan berlangsung berterusan dan dalam jangka masa panjang jika kepimpinan baru PAS terus bersikap 'buat tidak dengar' dengan kegelisahan dan rungutan ahli dan rakyat.

8. Jika perkara ini tidak dapat diselesaikan oleh para ulama dalam kepimpinan baru bagaimanakah nanti PAS mahu memerintah Malaysia yang terdiri rakyat pelbagai kaum? Kepimpinan PAS akan dilihat tidak tegas dan lemah dalam menguruskan sikap politiknya.

9. Percayalah kelewatan mengesahkan usul Dewan Ulama memberi kesan negatif yang sangat mendalam kepada parti PAS dalam lanskap politik negara ini dalam jangka panjang. Bila kita sering bercakap soal prinsip, integriti dan kredibiliti maka itulah juga yang dilihat rakyat terhadap batang tubuh dan tindak tanduk kita, walau siapa pun kita.

10. Setakat selesai mesyuarat pertama JKPP malam kelmarin, kepimpinan baru PAS terus dilihat tidak serius, tidak fokus kepada isu-isu rakyat,  seperti main-main atau bersikap tidak cakna, lemah dan gagal oleh rakyat Malaysia!

Tuesday, June 09, 2015

Kepimpinan baru PAS: Permulaan yang kelam-kabut, lambat - tidak menarik!


Aku kembali menulis dalam blog ini setelah memerhati pelbagai keletah dan perangai dalam PAS beberapa ketika dalam tempoh sebelum Muktamar ke 61 di Kuala Selangor bermula. 

Kini muktamar telah pun selesai namun nampaknya isu dan pertelingkahan akibat muktamar tidak menampakkan penyelesaian yang baik terhadap kerjasama dalam PR dan sebaliknya mengundang pelbagai tafsiran dan persepsi yang berkecamuk terhadap PAS. 

Maknanya sebaik selesai muktamar, kepimpinan baru PAS dilihat telah gagal mendapat markah yang tinggi dalam kaca mata sebahagian besar ahli PAS sendiri dan apatah lagi rakyat Malaysia amnya (?). 

Sepatutnya dengan kepimpinan baru, PAS serta-merta muncul dengan lebih segar dan bergaya dalam persada politik tanah air dengan tindakan-tindakan dan tektikal pengurusan politik terkini yang sangat "convincing" tetapi kelihatannya, seperti tidak begitu! 

Isu pemilihan melalui arahan ‘cai’ yang berlaku secara terang-terangan tanpa ada rasa malu, yang rasanya tidak pernah berlaku dalam mana-mana parti politik di Malaysia, yang pastinya telah banyak merobek integriti dan mengakibatkan persepsi yang sangat negative  terhadap PAS sebagai sebuah parti Islam, timbul pula tindakan kelam-kabut dari usul ‘drastik’ Dewan Ulama.

Semua ini, sehari dua ini memberi gambaran bahawa PAS sebuah parti politik yang lebih kurang sama sahaja dengan parti-parti politik lain, malah dalam hal-hal tertentu boleh ditanggapi umum sebagai tidak faham dan tidak bijak, mengurus politik di bawah kepimpinan baru ini.

Isu Dewan Ulama yang “sedap” bunyinya, berjaya dibentang oleh seorang “ulama yang garang”, telah benar-benar menguji kepimpinan baru PAS untuk benar-benar menggunakan tektikal dan strategi "siku dan lutut" dalam medan politik Malaysia yang sukar diduga. 

Setakat hari ini dalam menangani usul Dewan Ulama ini kelihatan kepimpinan baru bagaikan agak terkaget dan tergagap-gagap. Berbagai pandangan dan idea yang tidak konsisten terbit dari mulut kepimpinan baru. Kenyataan-kenyataan tersebut tidak meredakan keadaan malah sebaliknya menimbul beberapa persoalan-persoalan baru yang mampu memberi tanggapan negatif umum terhadap PAS sendiri.

Usul Dewan Ulama dari Dewan Ulama yang dominan kini dibawa dalam Muktamar penuh lantas DITERIMA TANPA BAHAS.  Dengan usul tersebut Mat Sabu terus membuat pengumuman melepas semua jawatan lantikan kerajaan PR di Pulau Pinang dengan segera sebagai tanda akur dengan desakan DUP. LGE pula serta-merta memberi respon balas agar “semua wakil PAS dalam kerajaan PP letak jawatan segera dan akan diterima dengan segera tanpa soal”.

Dengan tidakan balas segera LGE itu, sebelum sempat selesai muktamar semua terpana dan terkebil-kebil lantas keluar pandangan usul Dewan Ulama belum muktamad kerana belum diputuskan oleh MSU!

Kenyataan ini terus mengelirukan dalam keadaan ahli-ahli memahami dan perlembagaan PAS menggariskan bahawa muktamar kuasa tertinggi PAS, justru itu apa perlu lagi dirujuk untuk dimuktamadkan oleh MSU? Lagi pun perlu diingat, ramai yang berada dalam Dewan Ulama adalah juga anggota MSU dan apakah semasa Dewan Ulama merangka dan membincangkan usul tersebut tidak merujuk hukum-hakam  terlebih dahulu?

Kelihatan macam gabra telah berlaku dalam kepimpinan baru! 

Timbul persoalan, mengapakah takut sangat kepimpinan baru untuk SAH-kan putus hubungan dengan DAP atau keluar terus dari PR? Apa yang perlu difikir dan dikaji lagi kerana yang membawa usul itu ialah ULAMA PAS!

Terkini terdapat pula pandangan konon Muktamar Khas diperlukan untuk membuat keputusan bagi membolehkan PAS (jika mahu) meneruskan hubungan dengan DAP....pulak dahh!! Mengapa membuang masa untuk rakyat menerima perjuangan PAS bagi membela nasib mereka yang sedang dibelit dengan pelbagai isu dalam kehidupan mereka kini lantaran kegagalan Umno/Bn menguruskan negara?

Nampaknya permulaan kepimpinan baru PAS hanya cantik pada wajah namun agak "comot" sedikit dari segi tindakan politik buat permulaan ini. Permulaan yang tidak menarik!