Followers

Thursday, June 11, 2015

Selepas Mesyuarat JKPP pertama, kepimpinan baru PAS dilihat bersikap tidak cakna ...

1. Pada pandangan penulis, lambat bertindak dalam merungkai permasalahan isu usul Dewan Ulama sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang berprinsip pada mata rakyat umum. Pelbagai intrepretasi yang mampu menserabutkan lagi imej PAS yang cantik selama ini pada pandangan umum, pasti akan berlaku.

2. Kelewatan ini juga memberi kesan yang tidak baik kepada imej para Ulama dalam bidang politik. Ia memberi persepsi negatif dalam kalangan rakyat bahawa golongan ulama lembab, lemah dan tidak cakna dan tidak berfakta dalam perkiraan dan percaturan politik sehingga dengan sendirinya bagaikan rela andaian yang bukan-bukan, sangkaan yang buruk dan fitnah terus berleluasa terhadap PAS berlaku di depan mata. Sepatutnya para ulama PAS menghalang perkara ini, bukan hanya sekadar dengan memberi nasihat 'sabar', malah sepatutnya bertindak tegas dan segera.

3. Pada pandangan penulis, PAS tidak perlu mengambil masa yang lama dalam menyelesaikan kehangatan isu usul Dewan Ulama yang mantap dan lengkap itu, oleh kerana ia telah diterima tanpa bahas dalam muktamar dan usul itu pula memang daripada para ulama yang faqeh, untuk MSU dan JKPP untuk mengesahkannya. Apakah sukar benar untuk membuat pengesahan sahaja tanpa perlu lagi MSU membuang masa untuk bersidang?

4. Mengapa MSU perlu membuat pengesahan? Ini adalah kerana bagi penulis jika MSU membuat U-Turn dengan membatalkan usul tersebut, ia pasti akan MEMALUKAN Dewan Ulama PAS yang katanya faqeh belaka itu. Dewan Ulama PAS akan dilihat oleh rakyat, main-main melontar usul di Muktamar penuh kerana sebahagian besar mereka yang berada dalam Dewan Ulama adalah juga merupakan ahli MSU! Apabila dikatakan Dewan Ulama main-main atau usul Dewan Ulama ditolak begitu sahaja oleh sebahagian orang yang sama, ia pasti memalukan! Rakyat umum pasti akan memperlekehkan tindakan itu. Di mana PAS hendak sorok muka?

5. Kelewatan ini juga akan memberi andaian kepimpinan baru yang katanya pro ulama masih sayang akan jawatan-jawatan yang dipegang oleh ahli-ahli PAS dalam kerajaan Pulau Pinang dan Selangor. Ini pasti sekali lagi menjadi pandangan umum yang meliar dan sukar dikawal, yang akhirnya akan memperlihatkan kepimpinan baru PAS begitu kelam-kabut dan tidak tentu arah dalam kerja-kerja politik mereka.

6. Dan sudah pasti kelembapan tindakan politik para ulama ini akan melemahkan kerja-kerja dakwah kepada rakyat Malaysia pelbagai kaum, yang mahu dilakukan oleh parti PAS itu sendiri. Siapa lagi mahu mendengar ulama PAS dan parti PAS sendiri jika kelemahan tindakan seperti ini diperlihat kepada umum begitu mudah.

7. Apa yang perlu diberi perhatian oleh kepimpinan baru PAS sama ada mereka kisah atau tidak kisah, bahawa mereka sedang dan terus dinilai bukan sahaja oleh ahli-ahli PAS malah juga oleh rakyat Malaysia. Malah penilaian ini akan berlangsung berterusan dan dalam jangka masa panjang jika kepimpinan baru PAS terus bersikap 'buat tidak dengar' dengan kegelisahan dan rungutan ahli dan rakyat.

8. Jika perkara ini tidak dapat diselesaikan oleh para ulama dalam kepimpinan baru bagaimanakah nanti PAS mahu memerintah Malaysia yang terdiri rakyat pelbagai kaum? Kepimpinan PAS akan dilihat tidak tegas dan lemah dalam menguruskan sikap politiknya.

9. Percayalah kelewatan mengesahkan usul Dewan Ulama memberi kesan negatif yang sangat mendalam kepada parti PAS dalam lanskap politik negara ini dalam jangka panjang. Bila kita sering bercakap soal prinsip, integriti dan kredibiliti maka itulah juga yang dilihat rakyat terhadap batang tubuh dan tindak tanduk kita, walau siapa pun kita.

10. Setakat selesai mesyuarat pertama JKPP malam kelmarin, kepimpinan baru PAS terus dilihat tidak serius, tidak fokus kepada isu-isu rakyat,  seperti main-main atau bersikap tidak cakna, lemah dan gagal oleh rakyat Malaysia!

2 comments:

C++ said...

Bhai Accudo...

Gua setuju ngan pandanngan lu. Betul banyak mata sedang melihat bagaimana PAS mengendalikan kes ini... jika salah percaturan PAS pastinya akan ditolak oleh rakyat Malaysia pada PRU14...

C++
CipanTapirTenuk.Blogspot

Abdul Said said...

Pada perenggan 6...hujah yang menarik. Siapa yang mahu mendengar ulama PAS lagi. Soalan cepu emas. Ramai akan memperlekehkan ulamak PAS. Persepsinya ialah cakap berbelit, lembab, halatuju tak jelas, ugutan masuk neraka dan perkara-perkara negatif yang melemahkan semangat dan membantutkan sokongan. Yang selalu juga jadi rungutan macam keli dalam bangkar ialah bawa kereta besar tapi tak habis-habis kutip derma!!