Followers

Tuesday, March 17, 2015

DAP jangan terlalu 'keras' membantah pembentangan Enakmen itu.

1. Perkara dasar yang wajar diterima oleh seluruh rakyat Malaysia sama ada secara individu mahu parti politik ialah pekara yang membabitkan akhlak, akidah dan syariat Islam yang lain, hanya orang Islam sahaja yang faham bagaimana cara yang paling tuntas untuk mengatasinya. Lain daripada orang Islam sudah pasti tidak mampu memahami kaedah penyelesaian Islam menurut kehendak Allah Tuhan Yang Esa.

2. Oleh yang demikian, dalam hal Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2 yang hanya membabitkan orang Islam rasanya tidak manis, dan pasti nampak gelojoh jika orang bukan Islam terutama parti DAP mendesak untuk tidak dibentangkan dalam DUN Kelantan.

3. Pertama, apa yang dilakukan oleh Kerajaan Kelantan adalah melalui proses demokrasi yang menjadi amalan biasa dalam negara ini sejak merdeka. Pembentangan Enakmen itu tidak menjadi perkara yang luar biasa mengikut amalan demokrasi Malaysia.

4. Keduanya, persoalan undang-undang syariah Islam itu adalah menjadi kehendak kebanyakan atau majoriti penganut Islam dalam melaksanakan tangung-jawab mereka kepada perintah Allah SWT. Ianya termasuk dalam amalan ibadah kepada Allah SWT. Tidak manis menghalang umat Islam melaksanakan pengabdiannya kepada Allah.

5. Ketiganya, sudah banyak kaedah yang dilakukan untuk mengukuhkan disiplin, akhlak, dan tingkah-laku tidak bermoral dan jenayah dalam kalangan umat Islam di Malaysia, namun semua kaedah-kaedah dan cara yang dilakukan selama ini tidak pernah mengatasi masalah-masalah yang berlaku dalam kalangan umat Islam itu. Boleh dikatakan semua undang dan peraturan hampir GAGAL. Kes rogol, zina, mencuri, rasuah dan sebagainya bersepah dan semakin meningkat kadarnya dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Oleh yang demikian tidak salah, malah ia menjadi tuntutan untuk pihak umat Islam yang menguasai kerajaan, yang menjaga rakyat mencuba/menggunakan pula kaedah yang telah diperintahkan oleh Allah sejak dulu lagi.

6. Apabila dijamin bahawa Enakmen tersebut tidak membabitkan orang bukan Islam, kenapa pula DAP yang beria-ia bising dan protes? Apa yang DAP bimbangkan? Soal tepat atau kena masa atau tidak, itu terpulang kepada Kerajaan Kelantan memikirkannya. Sepatutnya DAP harus bersikap adil kepada umat Islam yang mahukan undang-undang Islam itu dilaksanakan dalam kalangan mereka.

7. DAP sekali-kali tidak wajar atau tidak memadai menggunakan alasan kajian Merdeka Center sebagai alasan untuk mendesak pembentangan enakmen itu ditangguhkan di DUN Kelantan malah di Parlimen, kerana kajian itu bukan satu bentuk pungutan suara yang menyeluruh sehingga ianya wajar diterima sebagai begitu sahih. 

8. Di sini nampak dengan jelas bahawa DAP yang begitu ramai para pengamal undang bagaikan tidak memahami hak asasi rakyat beragama Islam yang baik, untuk mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya. Sikap mereka yang seolah-olah menghalang umat Islam yang baik, untuk mengamal ajaran agama yang sahih adalah agak keterlaluan dan tidak adil.

9. Sepatutnya dalam hal ini, selagi Kerajaan Kelantan membawa  proses ini melalui sistem demokrasi yang sedang diamalkan dalam negara ini, DAP hanya wajar memberi pandangan dan memohon jaminan agar ianya tidak dilaksanakan kepada bukan Islam bukan membantah keras hasrat itu.

10. Akhirnya pelaksanaan Enakmen tersebut adalah agenda lama dan berterusan PAS, dan jika Pakatan Rakyat (DAP dan PKR) menganggap ianya bukan dasar Pakatan Rakyat, maka biarkanlah PAS menentukan nasibnya dalam menguruskan hal Enakmen itu bersendirian. Kalau PAS berjaya,berjayalah. Kalau gagal, gagallah! Jadi apa yang menyebabkan DAP begitu sakit?

11. Adalah amat diharapkan agar DAP bersikap lebih rasional dan bertimbang rasa dalam hal ini. Ingatlah, komuniti Islam yang baik, berakhlaq dan berkualiti (tiada jenayah) hasil daripada akur kepada ajaran Islam PASTI menyumbang kebaikan yang banyak kepada negara dan rakyat pelbagai kaum dalam negara ini. Takkan itu DAP tidak mahu!?  Semoga Pakatan Rakyat terus fokus untuk rakyat.


No comments: