Followers

Tuesday, December 22, 2015

Padan begitulah ahli-ahli bawahan PAS...

1. Dua tiga hari ini masih heboh isu PAS dikatakan akan bergabung dengan Umno jua akhirnya. Dan kata ceritanya usaha ke arah itu sedang giat dijalankan sama ada secara langsung mahu pun tidak, oleh proksi masing-masing yang bersetuju dengan 'misi' itu.

2. Desas desus penggabungan itu katanya dikuatkan lagi dengan peristiwa majlis pakaian sedondong beberapa hari yang lalu. Kedua-dua pihak kelihatan zahirnya, semakin lunak bicaranya dan senyuman kepada masing-masing antara mereka semakin melebar, kerap dan ceria.

3. Setiausaha Agung Pas pula dilaporkan oleh pelbagai media bagaikan PAS sudah boleh memaafkan kesalahan Umno terhadap PAS yang berlaku pada masa lalu walaupun kemudian dinafikan oleh SUA Pas itu sendiri.

4. Semua itu kelihatan memang menceriakan pelbagai lapisan pemimpin PAS yang seronok ke arah itu kecuali kenyataan yang sedikit berlainan daripada TITM dan Ustaz Idris Ahmad kerana bunyi agak 'cenger' kepada Umno khususnya Najib Razak dan kepada para pemimpin PAS itu sendiri yang agaknya cirit birit mulut ( pinjam istilah popular TGHH).

5. Bagi penulis, penulis tidak yakin PAS akan bergabung secara rasmi dengan UMNO atau masuk BN. PAS tidak akan membiarkan harumanis yang bersepah di setiap celah daun dan dahan, gugur disambut orang. Walaupun mahu tindakan begitu gila namanya.

6. Ia, walaupun PAS terlalu ingin berbaik dan berpakat dengan Umno namun 'bergabung' atau 'masuk' tidak akan digunakan sebagai istilah yang akan digunakan. PAS, demi menjaga harumanis dan yang bakal menjadi harumanis, akan terus menggunakan 'pil' walak sambil mencipta istilah baru untuk "bergabung" atau "jadi geng" dengan Umno. Dan rasanya istilah itu sedang dicipta.

7. Kita tunggu hasil kerja 'jawatankuasa perpaduan' antara mereka mencadangkannya nanti.

8. Bagi penulis, pergabungan Pas dan Umno sekarang hanya berlaku dalam bentuk yang tidak rasmi dan longgar. Ini yang sedang berlaku.

9. Kebanyakan pemimpin atasan PAS telah tidak minat menegur Umno di bawah kepimpinan Najib Rosmah walaupun pelbagai kes dan kecelaruan pengurusan negara berlaku begitu teruk dan memalukan negara. Kezaliman pemerintahan UMNO/Bn yang banyak menyusah dan menindas rakyat tidak lagi zalim bagi PAS. Pengurusan ekonomi yang berpalit dengan skandal rasuah dan pecah amanah yang menjahanamkan integriti negara telah menjadi bukan isu besar kepada PAS.

10. Apa yang jelas PAS hari ini kian selesa dengan Umno dan tindak-tanduk Umno bukan lagi perkara yang perlu diperbesarkan. Inilah rupa bentuk penggabungan yang berlaku antara PAS dan Umno. Dan kaedah ini akan lebih menyelamatkan PAS daripada dimarahi oleh ahli-ahli mereka yang telah ditanam awal dengan sikap walak yang tidak bertempat.

11. Nampaknya kian hari PAS kian pening. Pening bagaimana mahu menggayakan proses penggabungan agar tidak dilihat bergabung oleh ahli-ahli bawahan mereka. Padan begitulah ahli-ahli PAS....

 

Friday, December 11, 2015

Antara Umno dsn PAS

1. Kebanyakan parti politik utama Malaysia waktu ini sedang dilanda musibah. Dalam menguruskan pelbagai masalah yang melanda masing-masing menonjolkan pelbagai tektikal dan skills permainan politik.

2. Paling smart dan bergaya walau dalam keadaan hampir lemas kerana tidak cukup bekalan oksigen ialah UMNO. Di PAU salam perpaduan dihulurkan kepada PAS!

3. Melalui salam perpaduan yang berbunyi begitu kudus itu dalam diam Umno era Najib Rosmah mengharapkan bekalan oksigen dari PAS.

4. Dengan bantuan oksigen dari PAS mudah-mudahan Umno bernafas lega dalam PRU 14 nanti. Itulah harapan Najib sebenarnya dalam menjamin dominasinya. Najib lebih rela untuk undur satu tapak ke belakang untuk mara bertapak-tapak ke hadapan. Nice game from Najib!

5. Soalnya bagaimana pula permainan politik PAS dalam menghadapi tektikal UMNO ini yang telah diketahui umum akan kelicikannya.

6. Atau PAS tak kisah akan kelicikan UMNO kerana bagi PAS lebih baik ditipu dari menipu!?

7. Sehingga saat ini tektikal PAS masih kelam-kabut. Contoh tolak DAP tapi masih bersama PR. Katanya masih bertahaluf dengan PKR tapi berjanji akan bertanding di semua kerusi. Mendakwa boleh menang jika bersendirian tapi masih kekal bersama PKR. Ada pemimpin kata tidak akan kerjasama dengan UMNO, ada yang kata lebih baik bersama UMNO.

8. Begitulah PAS yang nampaknya terus-terusan memeningkan pengikut-pengikut akar umbinya hingga kini sudah bertimbun "harum manis" di dalamnya.

9. Akhirnya antara Umno dan PAS kita lihat siapa yang kena!

Tuesday, November 24, 2015

Kini yang Mahathir mampu hanya 'beleber'!

1. Apa yang aku nak kata, yang pertama, kesian Mahathir! Yang kedua, padan muka mu Mahathir!

2. Mahathir merungut dan 'beleber', pemimpin Umno kini ada yang cuba nak tutup mulut dia, tak bagi guna dewan, diugut itu ini dan macam-macam tekanan.

3. Mahathir 'beleber' lagi, ramai ahli Umno diberi amaran agar tidak membangkit isu tertentu terutama isu 1mdb dan isu 2.6 bilion dalam mesyuarat dan katanya ramai yang takut tekanan.

4. Kahkahkah...padan muka Mahathir. Apa yang Mahathir mulakan perangai 'jahat' dulu terhadap penentangnya dan parti pembangkang kini mahathir kena balik. 

5. Buat lagi kat orang sekarang awak turut merana. Ajar lagi benda yang tak elok pada 'anak-anak' si tenggang, sekarang awak di sepak je ke sana ke mari.

6. Moralnya Mahathir sebagai orang dewasa sentiasalah ajar kepada anak-anak muda ilmu dan kemahiran yang baik-baik, bukan ajar perkara kejam, menipu, memanipulasi orang yang tiada kuasa dan seumpamanya kerana hidup kita tidak sentiasa menongkat langit!

7. Kini Najib pula menjadi guru yang buruk demi kuasa, tunggulah masanya lahir si tenggang yang baru dalam parti itu!

Saturday, November 14, 2015

PAS dengan plolitik barunya yang hehehe...

1. Malam tadi Dato Husam Musa (DHM) buat kesekian kalinya mendedahkan dirinya di hadapan khalayak ramai menjawab pelbagai persoalan mengenai isu-isu yang membabitkan PAS, Kerajaan Kelantan dan dirinya sendiri. Nampaknya dengan sikap yang penuh gentleman DHM berdepan terus-terang tanpa menyorok diri disebalik nama samaran dan sebagainya.

2. Apabila bertindak demikian, DHM sebenarnya terdedah kepada jawapan balas dan sudah pasti tindakan disiplin parti dan undang-undang daripada kepimpinan partinya sendiri iaitu PAS, jika sekiranya apa yang diperkatakan oleh beliau tidak betul dan berupa fitnah.

3. Nampaknya DHM  berkali-kali mengakui bahawa beliau sedar akan hakikat itu dan redha dengan apa yang bakal diterimanya.

4. Tidak lama sebenarnya selepas DHM membuat pelbagai pendedahan semalam telah mula wujud 'serangan' tegar terhadap DHM. Hari ini awal-awal lagi DHM telah didakwa konon pernah terbabit dalam satu  kejadian yang memalukan. Namun apa yang jelas dakwaan dalam FB dan viral di whatasp itu adalah dari penama yang menggunakan nama samaran yang entah siapa. Orang ini sejak dari dulu lagi menjadi pemfitnah yang boleh dikatakan agak bacul kerana setiap masa berselindung disebalik nama samaran.

5. Kalaulah dakwaan ini benar datangnya daripada agen-agen parti DHM sendiri iaitu PAS, maka ingin penulis katakan bahawa inilah masalahnya dengan PAS hari ini. Permainan fitnah menjadi menjadi permainan politik biasa parti agama itu, dalam menghadapi perbezaan pandangan antara mereka sejak daripada muktamar di Batu Pahat berapa tahun yang lalu. Jika sekiranya  tiada para pemimpin atasan sehari dua ini menasihati puak-puak pemfitnah itu daripada bermaharajalela konon untuk membela PAS dan kepimpinan PAS dengan cara fitnah, ia sudah tentu tidak langsung akan menguntungkan parti agama itu, malah sebaliknya akan diterima oleh PAS.

6. Pemfitnah-pemfitnah seperti El-Haraki ini sebagai contoh, sebenar tidak akan mampu menaikkan imej PAS atau meningkatkan sokongan rakyat kepada PAS dengan menggunakan kaedah fitnah ini kerana rakyat dan orang ramai kini semakin jelak dan muak dengan politik pembunuhan karektor yang berupa fitnah ini.

7. Sebagai parti Islam sepatutnya PAS menunjukkan contoh yang terbaik dari pelbagai sudut apatah lagi kepada ahli partinya sendiri bukan sebaliknya menjadi juara serkap jarang, bercakap melalut dan kasar, memaki-hamun, penghukum dan terbaru melahirkan ramai pakar pembuat fitnah?

8. Sebagai parti agama PAS seharusnya bersikap rasional, berhemah dan bersikap hujah lawan hujah bukan membiarkan 'agen-agen' mereka melalut dan menunjukkan akhlak buruk di sana-sini.

9. Nampaknya walaupun PAS sudah berusia tua tapi masih belum matang bermain politik. Atau mungkin sejak mahu berbaik-baik dengan Umno ini, mereka semakin memahami politik marcheavelli.

10 Dan apakah DHM akan menjadi mangsa seterusnya kepada politik diktator dan marcheavelli PAS yang berwajah baru hari ini? Kita saksikan seterusnya!

Saturday, November 07, 2015

Tawaran menarik dari Trengganu tapi tak berapa ada urm!

1. Sekian lama berusaha untuk menguasai Putrajaya bersama namun hingga ke hari ini belum kesampaian maka agaknya pendekatan baru terpaksa diuasahakan.

2. Menguasai Putrajaya melalui PRU nampaknya lambat sehingga  Anwar Ibrahim sendiri terpaksa keluar masuk penjara. Hari ini Anwar masih lagi merengkok dalam penjara dan masih ada berbaki lebih kurang 4 tahun lagi akan berada di dalam. Kalau dah begitu bila boleh kuasai Putrajayanya?

3. Maka pendekatan baru perlu diusahakan. Pendekatan kuasai Putrajaya melalui PRU nampak kurang berkesan dan lambat. Pendekatan yang kelihatan mampu memberi cerah masa depan ialah pendekatan menjadi "Penasihat" kepada kerajaan Najib Rosmah (Kerajaan Umno/BN").

4. Dengan pendekatan ini silap-silap hari bulan, esok terus dapat pejabat khas sebagai Penasihat di Putrajaya! Huhuhu...kan lagi cepat dari duduk yoyayoya dengan puak-puak "gugur setandan".

5. Memang tepat sungguh langkah dan pendekatan baru kerana ... nah engkau, MB Trengganu kita telah pun tawarkan jawatan Penasihat! Kan dah kata ...cepatlah berbanding Putrajaya melalui Pakatan Rakyat ka atau Pakatan Harapan! Pakatan-pakatan ni buat habis ke beras je!

6. Cuma aloh lah...nya bagi Penasihat Peringkat negeri je...bagilah Penasihat di Putrajaya...sedap sikit duduk sebelah pejabat first lady!

7. Kini hanya tunggu  tawaran Najib sahaja lagi dan tunggu jawapan setuju Tuan Haji sahaja untuk mengesahkan segala. Sekian selamat menjadi Penasihat!

8. Cuma terbayang sedikit bagaimanakan anak buat penasihat di bawah ini nak bekerja dalam PRU 14 nanti sebagai anak buah penasihat kepada yang hendak dinasihat itu?

Monday, November 02, 2015

PAS sang Penasihat

1. Nampaknya PAS benar-benar membawa politik baru. Tak mengejar kuasa dan tak mahu berebut kuasa dengan Umno cuma mahu menjadi Penasihat kepada parti pemerintah itu. Wau!

2. PAS juga mahu menjadi parti beradab. Membawa politik beradab, pembangkang beradab dan penasihat beradab. Berjurusnyalah Pas.

3. Oleh kerana Pas berazam membawa politik barunya diharapkan harapan untuk menjadi penasihat kerajaan Umno/Bn tidak dihampakan!

4. Umno, terimalah Pas sebagai penasihat. Kalau penasihat Apco kena bayar, Pas tak payah bayar...free je!

5. Masalahnya siapa dalam PAS tu yang boleh nasihat Najib batalkan Gst, selesai isu 1mdb dan naikkan kembali nilai RM? Tantawi? Abduh? Si Din? ??? Nak nasihat kerajaan Kelantan pun salah haboh!

6. Pas akan jadi terer kalau boleh nasihat najib isu 1mdb sebab nasihat Majlis Raja-raja pun najib buat pekak sahaja!

7. Semoga PAS yang telah ditapis dan dibersihkan tidak bermimpi siang hari atau tidak menjadi bas ekpress tanpa destinasi.

Friday, October 30, 2015

Din nak 'belasah' Husam, Pahrol tunggu undangan!

Kerancakan politik kini bukan sahaja antara pari politik malah juga antara sesama ahli parti. Cabaran berdebat kian menggila cuma hanya tunggu berani tidak berani sahaja menyahut cabaran. 

Terbaru nampaknya seorang yang merupakan menantu kepada Presiden PAS berasal dari Trengganu, mencabar seorang mantan exco PAS Kelantan yang terkenal, yang kini telah tiada apa-apa jawatan dalam PAS kecuali YDP Kawasan, untuk berdebat mengenai isu-isu yang menyebabkan kejatuhan pemerintahan PAS di Trengganu dan di Kelantan. Menarik!

Apa yang menarik ialah biasanya adegan 'acah-acah' berdebat ini berlaku antara parti-parti bermusuh, tapi kali ini lain. Aku kata acah-acah sebab program debat antara Datuk Seri Nizar dengan Ketua PAS Perak belum berlaku hingga kini. Ada sahaja alasan untuk tidak menjadi kenyataan. Tak best betul.

Tapi kali ini cabaran berdebat daripada yang bernama Zaharuddin Muhammad menantu kesayangan TGHH terhadap Datuk Husam Musa hangat diperkata dan dihebohkan orang. Janganlahhh tak jadi! Kedua mereka adalah ahli PAS tetapi sudah pasti pertandingan debat ini adalah antara PAS UG (?) ke, dengan PAS Harum Manis (?) kot!

Tambah menarik lagi apabila si Din sebut nama Datuk Pahrol razi dari Parti Amanah antara penyebab utama keruntuhan pemerintahan PAS di Kedah, Datuk Pahrol pun tertarik untuk join debat sama jika sekiranya dijemput. Tambah menarik. Harap Si Din  yang jantan itu yang telah bersumpah dengan nama Allah untuk mempertahankan kerajaan Kelantan dari jauh (macam bomoh teropong buluh je..hehehe..) , jemputlah juga Datuk Pahrol tu supaya debat itu mejadi semakin rancak. Itulah harapan kita dalam menjayakan politik baru ini. 

Semoga debat antara PAS (baru) Vs Harum Manis tambah Amanah menjadi kenyataan! Belasah din belasah!

Friday, October 16, 2015

Pemimpin Pakatan Harapan jangan bentat, bergerak SEPAKAT, SEGERA!

1. Kes 1MDB masih belum selesai. Ekonomi negara semakin membimbangkan dan pelabur semakin menjauhi. Najib-Rosmah masih di situ!

2. Rakyat yang mengetahui dan memahami keadaan negara kini tidak boleh dibohongi, semakin merasa cemas. Perbelanjaan hidup makin melonjak dalam segala bidang dan pelbagai. Pengangguran semakin menebal dalam kalangan anak-anak muda baik yang baru lepas sekolah apatah lagi yang keluar universiti. Ramai anak muda kecewa kerana pekerjaan semakin tiada sedang kehidupan perlu diteruskan.

3. Parti-parti politik pemerintah terutama Umno dan segelintir pemimpin tertinggi mereka semakin hilang arah dalam meneraju negara. Kelihatan semuanya seperti tidak kena kerana keyakinan awam terhadap tindakan dan langkah-langkah kerajaan Umno/Bn semakin tidak diyakini. Semua telah hilang kepercayaan dan keyakinan dengan apa sahaja tindakan kecuali juak-juak pembodek dan penjilat.

4. Untuk menafikan perasaan, tidak yakin dan tidak percaya, begitu menebal dalam kalangan rakyat memang sukar, kerana kelihatan pemerintahan Najib-Zahid bagaikan sedang dicekau dan dicengkam oleh tangan ghaib. Mungkin tangan ghaib ini saiznya boleh tahan besar dan tembam, kalau tidak, mana mungkin mampu mencekau Putrajaya begitu kejap dan degil sekali!. Namun tangan ghaib ini tetap tangan ghaib hinggalah ke hari ini.

5. Selagi tangan ghaib ini tidak 'dikerat', selagi itulah Najib-Zahid akan terus tercengkam dengan cekauan itu. 

6. Habis? Pada siapa nak diharap 'mengerat' tangan ghaib tersebut agar Putrajaya dapat diselamatkan? Nak harapkan Mahathir? Mahathir dah tua! Nak harapkah Kuli? Kuli pun lebih kurang Mahathir je. Dan Kuli dah awal-awal kata 'undi tidak percaya' tidak boleh dilakukan kerana pandikar yang ada dalam parlimen tu memang sebenarnya bukan pendikar sejati bila berdepan dengan hal-hal ghaib?

6. Nak harapkan Haji Hadi? Entahlah, lain macam benar sejak akhir-akhir ini. Tok Him yang dah tak masuk 'book' banyak pihak, Haji Hadi pakai lagi! Ek eleh! Dah tu nak harapkan Harun Din? Hehe...

7. Untuk menenangkan dan memotivasikan perjuangan serta meyakinkan rakyat terbanyak maka Pakatan Harapan (PKR, DAP, AMANAH) perlu bersegera memulihkan keyakinan rakyat. Sudah-sudahlah menjaja teori-teori politik dan politiking yang bentat dan membosankan. Realistiklah dengan kehendak rakyat. Segeralah bergerak sederap dan melangkah serentak, bukan  begitu-begini dan berbagai yang menserabutkan perjuangan yang satu dan sepakat, untuk mengambil alih Putrajaya daripada sepasang tangan ghaib yang haramjadah itu.

8. Wahai pemimpin Pakatan Harapan begerak dan gerakkanlah perubahan ini! SEGERA!!!

Saturday, September 05, 2015

Menghadapi saat merudum: Dolah Salleh telah menunjuk cara...


Nampaknya banyak sungguh yang merudum dalam negara sejak akhir-akhir ini. Ini menjadi zaman pemerintahan Najib, sukar disangkal, merupakan zaman ke-merudum-an negara.

Ia bermula dengan integrity negara. Merudumnya integrity negara apabila indeks rasuah negara merupakan antara yang terburuk dalam sejarah. Isu-isu besar yang kelihatan cukup mengelirukan dan penuh tanda tanya, sentiasa berlegar dalam kalangan rakyat termasuk di pelbagai media tempatan mahupun antarabangsa.

Banyak isu-isu integrity yang besar ini terlepas daripada cengkaman dan akhirnya dilenyapkan begitu sahaja, sedangkan kes-kes ikan bilis yang tidak munasabah dek akal sering diserkup. Konon untuk menggambarkan ketegasan memerangi rasuah. Namun demikian ia tidak mengubah apa-apa terhadap kehormatan negara yang kian tercalar.

Keadaan intergriti negara semakin teruk apabila terbongkar isu-isu yang berlonggok bagai ‘taik’ dalam 1MDB dan isu derma RM2.67 bilion ke akaun peribadi seseorang. 

Kalau dahulu negara telah bersusun, silih berganti menanggung skandal integrity seperti skandal Bank Bumiputra, PERWAJA, PKFZ, kehilangan berbilion equiti saham bumiputra dan sebagainya, nampaknya kini skandal integrity ini tidak kunjung padam malah ianya berlaku secara lebih dahsyat dan lebih menyenakkan lagi.

Nilai Ringgit Malaysia terus jatuh dan mungkin sedikit masa lagi akan terus merudum. Keadaan ini cukup membimbangkan pelbagai pihak, namun pihak pemerintah dengan selamba mengatakan ianya perkara biasa dan terkawal. Apakah ini perkara biasa dalam banyak pihak meramalkan jika nilai RM terus jatuh negara boleh jatuh bangkrap.

Untuk menahan kejatuhan berterusan, sekurang-kurangnya kembalikan pemerintahan yang berintegriti. Masalahnya bolehkah orang utama yang integritinya telah tercalar teruk, yang berada dalam kerajaan kini, mengembalikan keyakinan pelbagai pihak? Sukar, amat sukar!

Dan paling terkini mutu pasukan bolasepak kebangsaan negara juga merudum dengan kekalahan 10-0 di tangan UAE baru-baru ini. Walaupun ianya mungkin tiada kaitan dengan segala-gala ke-merudum-an dalam pentadbiran dan ekonomi negara, namun ia menggambarkan apa yang berlaku nun di atas sana bagaikan menjangkiti ke pelbagai sector dan bidang.

Apapun, kita menghormati rasa kebertangungjawaban Ketua Jurulatih pasukan bolasepak negara Saudara Dolah Salleh yang berjaya menunjukkan integrity yang tinggi dengan meletakkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih pasukan bolasepak kebangsaan. 

Nampaknya Dolah Salleh telah mengajar dan menunjuk-cara, sekurang-kurangnya itulah yang wajar dilakukan apabila apa yang dipertanggungjawabkan kepada kita merudum dan hilang integrity.

Bagaimana pula dengan Ketua  Pasukan pemerintahan negara kita? Belajarlah daripada saudara Dolah Salleh.

Thursday, September 03, 2015

Isu Bai'ah: Malang.... PAS kian dicomot.



Pada waktu terkini, isu bai’ah talak tiga adalah merupakan antara isu hangat yang menjadi perbincangan dan perbualan antara penyokong parti PAS dan juga penyokong parti AMANAH malah juga mungkin oleh orang awam yang peka.

Selama ini kita merasakan bai’ah talak tiga ini mungkin sekadar khabar angin yang tiada kesahihannya kerana ada dalam kalangan pemimpin tertinggi PAS sendiri yang menafikan kewujudan bai’ah seumpama itu.

Namun perkembangan terakhir ini telah mengesahkan bahawa bai’ah talak tiga dalam kalangan wakil rakyat PAS yang bertanding dalam PRU 13 yang lalu seperti satu perkara yang sahih. Hal ini diperkukuhkan dengan pengakuan Timbalan Mursyidul Am PAS YAB Dato Ahmad Yaakob Menteri Besar Kelantan sendiri yang mengatakan bai’ah talak tiga itu adalah wujud dan benar terutamanya di Kelantan dan Trengganu.

Sebaik pengumuman kewujudan Parti Pekerja Malaysia pimpinan Mat Sabu pada 31 Ogos yang lalu, yang bakal dijenamakan semula itu, heboh dari Kelantan mengatakan YB Dr Hatta Ramli Ahli Parlimen Kuala Krai sebagai ‘mangsa’ pertama bai’ah talak tiga ini kerana beliau terbabit sebagai salah seorang AJK proteem Parti Pekerja Malaysia itu.

Maka kedengaranlah suara daripada TMB Kelantan Dato Nik Amar, Ketua Hakim Syariah Kelantan dan juga Timbalan Mursyidul Am PAS bahawa penikahan Dr Hatta dengan isterinya telah terbatal kerana bai’ah talak tiga itu sah dan tidak boleh dirujuk kembali kecuali isteri itu berkahwin lain dan bercerai dengan suami baru!

Masya Allah, hodoh dan jelik sekali kelihatan agama yang sempurna dan mulia ini hanya kerana kepentingan politik kepartian yang dimainkan oleh mereka yang katanya ‘faqih’ agama. Keluarga yang bahagia yang tiada apa-apa alasan antara suami isteri tersebut untuk bercerai, telah diiystihar terpisah dan dipisahkan oleh satu kepentingan politik! 

Sudahlah segera lagi gopoh diiystiharkan kepada umum, cara dan gaya pengisytiharan tersebut macam ada yang tidak kenanya....cuai, lalai dan penuh emosi malah mungkin tidak salah kalau diandaikan sebagai penuh dengan rasa kegeraman! Jelas ini merupakan gambaran yang tidak baik diberikan kepada Islam pada mata umum dalam masyarakat majmuk negara ini.

Persoalan yang berbangkit apakah bai’ah talak tiga seumpama ini merupakan satu tindakan yang menepati roh Islam itu sendiri? Bukankah perkara penceraian ini adalah merupakan perkara yang dibenci oleh Allah, dibai’ah bercerai talak tiga pula tanpa alasan yang kukuh antara kedua suami isteri yang saling cinta mencintai dan bahagia? 

Tidakkah rasa bersalah dan zalim, orang-orang yang tidak sepatutnya terlibat dalam urusan rumah tangga mereka, begitu ghairah memisahkan mereka kerana hanya kepentingan politik? Apakah sudah tidak ada keluasan dan keringanan dalam hukum syarak dalam hal ini untuk kita menyelamatkan mana-mana keluarga bahagia yang menjadi mangsa bai’ah yang terlalu besar fitnahnya ini? 

Wahai sang faqih, maaf, janganlah terlalu beremosi!

Islam adalah agama yang syumul yang membawa rahmat kepada seluruhnya. Dengan sebab itu marilah kita lebih menjadi du’at (pendakwah) daripada menjadi qudho’ (penghukum). Setiap perkara yang mampu menempekkan fitnah besar kepada Islam pada pandangan umum wajar kita hentikan dan jauhi. Wallahu aklam.

Wednesday, September 02, 2015

PAS kelihatan seperti tertekan dalam keadaan Presiden gembira?





Apa yang jelas kelihatan parti PAS semakin hilang ketenangan diambang kemunculan secara rasmi Parti Amanah Negara. Hilang ketenangan parti ini dapat dilihat daripada setiap reaksi terhadap HB yang bakal menjadi parti politik Islam baru yang bakal diberi nama Parti Amanah Negara itu.

Kerisauan PAS ini amat sukar dinafikan sedang beberapa bulan yang lalu selepas tamat Muktamar di Kuala Selangor, Presiden PAS sendiri menegaskan tidak risau dan bimbang sedikit pun dengan kewujudan HB ke arah penubuhan parti Islam AMANAH malah selaku Presiden beliau merasakan begitu gembira, hingga di ulangnya beberapa kali, “gembira....gembira...gembira!”

Kegembiraan Presiden PAS dengan kewujudan parti Islam baru ini, yang bakal ditubuhkan oleh mantan para pemimpin popular PAS, yang dikatakan telah digugurkan setandan dapat dijangka melalui kata-kata beliau bahawa apa yang berlaku adalah proses penapisan dan pembersihan PAS dari fikrah-fikrah yang bertentangan dengan golongan agamawan dalam parti PAS yang sedang menguasai PAS secara total kini.

Dengan hujah dan alasan yang menggembirakan Presiden parti sepatutnya ia mampu memberi ketenangan kepada PAS dalam menghadapi penghijrahan beramai-ramai ahli mereka yang dikira berlainan fikrah itu ke wadah baru. Sepatutnya atas dasar wala’ ahli-ahli PAS yang bersetuju dengan Presiden turut gembira dengan proses tersebut.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kini kebanyakan pemimpin PAS di perbagai peringkat menjadi tidak tenang dan begitu menggelabah sekali. Keadaan ini dapat dilihat dan didengari dalam program-program dalaman PAS dan juga di media maya di mana pelbagai rungutan, kecaman, ‘fatwa’ dan seumpamanya yang dihamburkan kepada HB.

Kecaman kepada HB dan pemimpin dipelbagai peringkat sebagai perosak jemaah, pemecah-belah jemaah, pengkhianat jemaah, dhirar, berhamburan hadith halal darah, hadith boleh diperangi, munafik haraki, golongan kecewa, gerakan haru biru, alat DAP, pencuri ahli, tertalaq tiga, makan gaji haram, sampah, puak yang ditapis, kurang Islam, ditimpa bala Allah dan macam-macam. Ini semua sebenarnya gambaran kegelisahan!

Apabila Presiden gembira dengan penapisan ini tidak kiralah banyak mana yang tertapis maka seluruh ahli perlu wala’ dan redha dalam menghadapi penghijrahan ahli ke wadah baru. Bukankah wadah baru ini telah diramal oleh Presiden hanya akan bertahan selama 2 tahun? Jadi apa yang perlu dibimbang dan diserabutkan sehinga bermacam maki hamun yang dihamburkan?

Sehingga hari ini dan saat ini PAS  masih belum focus kepada kerja-kerha sebenar mereka dalam menekuni masalah rakyat sebaliknya hanya sibuk mengecam dan memprovokasi HB dipelbagai peringkat.

Terkini PAS sibuk dengan gambar-gambar Mat sabu dengan beberapa orang perempuan Cina yang berlaku dalam keadaan sesak yang tidak dijangka sewaktu Bersih 4.0, seperti mana yang berlaku kepada seorang pemimpin pemuda PAS satu waktu dahulu ketika diserbu untuk disolek sewaktu program wawacara berehat. Macam kecaman dilontar kepada Mat sabu konon kenapa tidak menjauhkan diri dan kenapa tidak jaga diri? Kepada pemimpin PAS itu dahulu kenapa tidak menepis tangan juru solek sewaktu di solek? Atau bangun dan lari jauh untuk mengelak disolek? Sebenarnya rasionallah apabila keadaan tidak dijangka oleh sesiapapun maka tindak balas adalah sukar dan payah. Tetapi perkara itu tidak menjadi masalah kepada para provokator PAS asalkan mereka dapat keronyok Mat sabu untuk melepaskan geram dan dendam!

Begitu juga dengan isu pijak gambar super impose Najib dan TGHH! Kecoh satu dunia orang-orang dominan PAS. Mereka lupa bahawa kalau kamu pernah pijak gambar orang, maka ada waktunya gambar kamu atau kamu akan dipijak orang. Siapa peduli kamu siapa dalam politik yang berada di gelanggang dan dunia sekular ini?

Tiada siapa yang waras bersetuju kelaku tidak senonoh memijak gambar seumpama itu tetapi selagi PAS berada dalam gelanggang politik secular dan demokrasi barat seperti yang diamalkan dikebanyakan negara dunia termasuk Malaysia, PAS mesti menerima hakikat apa sahaja boleh berlaku sebagai manifestasi rasa benci orang-orang ramai. Dulu pernah berlaku gambar banner TGHH dan TGNA dikencing ‘terus ke muka”. Waktu itu penyokong UMNO/Bn yang buat tetapi nampaknya tidak sekecoh sekarang! 

Sesungguhnya, jika PAS tidak mahu itu berlaku maka jangan masuk bermain dalam gelanggang politik secular dan demokrasi barat! Dalam gelanggang tersebut siapa peduli prinsip kamu!? Lebih baik jadi seperti Jemaah Tabligh yang tiada siapa yang nak kacau dan makin hamun pun!

Apa yang jelas jika PAS tidak berhenti daripada mengecam dan membelasah HB yang bakal secara rasmi nanti menjadi Parti Amanah Negara maka ia akan merugikan PAS kerana HB kian popular disebabkan promosi percuma yang diberikan oleh PAS di pelbagai peringkat. Daripada sedikit orang yang ambil tahu mengakibat semakin ramai orang yang mahu mengambil tahu dan tidak keterlaluan kalau mereka mungkin terus berminat dengan wadah baru yang Progresif, Amanah dan Peduli itu.

Wahai PAS mohon fokuslah kepada kerja kamu yang katanya mahu melawan UMNO/BN hingga akhir nanti daripada menyibukkan diri membelasahkan HB/AMANAH yang baru lahir itu.