Followers

Tuesday, July 29, 2014

Parti PAS bakal bersepai sedikit masa lagi!

Nampaknya isu yang membabitkan kedudukan MB Selangor TSKI ini bukan sahaja 'menggigit' PKR dan Pakatan Rakyat malah tak semena-mena ianya juga sudah mula 'menggigit' PAS. Jika PAS tidak mengelak diri dari turut tergigit dengan isu ini PAS berkemungkinan besar bakal kecundang dalam PRU ke 14 nanti. Okaylah PAS tidak bimbang kalah PRU 14, apalah sangat menang PRU tu, tapi para pemimpin PAS perlu ingat isu ini mungkin mampu menjadikan PAS  tidak akan diyakini lagi sebagai gerakan dakwah yang berwibawa dalam tanah air!

Apa yang jelas semakin hari semakin banyak kenyataan-kenyatan yang dikeluarkan oleh para pemimpin atasan PAS yang menggambarkan bahawa betapa PAS bagaikan membiarkan dirinya  dalam keadaan kusut sesama sendiri kerana terus menjadi mangsa gigitan isu ini.

Aku tidak risau kapal Pakatan Rakyat  jika takdirnya berkecai, yang aku risau silap-silap hari bulan kapal PAS sendiri yang bakal bersepai. Mungkin ada di antara para pemimpin yang akan berkata biasalah berkecai dan bersepai kerana itu adalah 'sunnah' dalam perjuangan. Namun aku pelik kalau takdirnya ia  berkecai begitu kerana mengapa harus berkecai dengan cara yang tidak bijak! Mengapa kerana masalah PKR, PAS patut bersepai dan terajang menerajang sesama sendiri? 

Aku tidak faham mengapa para pemimpin atasan yang sepatutnya bijak berpolitik sering mengeluarkan kenyataan yang tidak perlu, malah bercanggah sesama sendiri, di mana-mana, dalam dunia yang penuh dengan fitnah dan mehnah ini. Kalau dah tidak sabar sangat hendak keluarkan kenyataan tidak bolehkah panggil mesyuarat tergempar untuk memberi pandangan PAS yang rasmi, kalaupun tidak boleh tunggu tarikh 10 Ogos nanti!

Aku bukan risau kenyataan mengenai keluar dari PR atau apa sahaja kenyataan sekali pun, tapi aku nampak tidak cerdik langsung para pemimpin atasan dan golongan think-tank PAS saling keluarkan kenyataan yang mendedahkan kelemahan PAS dan ada yang bagai saling memburu dan mengetuk sesama sendiri. Inikah akhlak Islam yang diajar kepada kami? Astaghfirullah!

Atau sebenarnya para pemimpin PAS di atas sana memang sedang bercakaran  dan bersiku sesama sendiri dalam keadaan meminta ahli bawahan bersatu padu?