1. Pelaksanaan Hukum Hudud di Kelantan yang mahu di
bawa sebagai usul ke Parlimen oleh PAS kini semakin menjadi isu hangat yang
mengundang pelbagai ulasan dan pandangan. Ada yang pro dan ada yang kontra. Ada
yang rasional dan ada yang sinis. Malah ada yang berpada-pada dan ada juga yang
melampau.
2. Walau apapun, semua polimik dalam pelbagai media
dan jalur itu memberi kesan yang baik dalam aspek memahami Hukum Hudud yang
sebenarnya.
3. Saya sebagai rakyat Malaysia setelah mengikuti
dari ceruk sini, juga kini terpanggil untuk memberi sedikit pandangan
berdasarkan pendirian peribadi saya sendiri.
4. Berasaskan hak demokrasi yang dikatakan dijamin
dalam sistem pemerintahan Malaysia maka saya secara peribadi amat menyokong
langkah PAS untuk mengemukakan usul pelaksanaan Hudud di Kelantan di parlimen
Malaysia nanti.
5. Bercakap atas hak-hak demokrasi, maka tiada
salahnya PAS mengemukakan usul itu. Malah ianya dikira satu langkah dakwah yang
cukup berani yang wajar dipuji. Dalam hal ini PAS hanya bersikap berunding,
memberi penerangan dan tidak nampak ada unsur-unsur paksaan kepada mana-mana
pihak pun.
6. Perundingan yang cuba dilakukan oleh PAS hanya
dalam dua aspek iaitu memberi penerangan kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat dan
berunding untuk mendapat kebenaran dan sokongan Kerajaan Pusat apabila usul itu
mahu dibentang di Parlimen nanti.
7. Apakah apa yang dilakukan oleh PAS dalam
penerangan dan perundingan tentang hukum Hudud itu salah besar?
8. Saya tidak pandai meneka sekiranya ada
langkah-langkah politik tektikal tertentu oleh tokoh-tokoh politik PAS tertentu
kononnya isu Hudud ini adalah satu usaha pembentukan UG seperti yang pernah mengkecuhkan keadaan dalam PAS
dahulu. Kalau ada, saya memang antara yang tidak pernah bersetuju dengan
apa-apa pembentukan UG yang membabitkan Umno dan PAS.
9. Namun bagi saya sebagai muslim, seperti ramai muslim yang lain, pelaksanaan Hukum Hudud di Kelantan adalah antara tanggungjawab
agama yang begitu penting bagi menunaikan perintah Allah dan untuk menunjukkan
dan membuktikan system Islam yang menjamin keadilan dan kesejahteraan hidup manusia.
10.Yang menghairankan saya, dalam kita cuba
meraikan hak-hak demokrasi rakyat termasuk hak–hak majoriti rakyat sebuah negeri iaitu Kelantan,
kita masih beritikam lidah, halau menghalau, kutuk mengutuk antara kita
terhadap apa yang PAS perjuangkan.
11.Saya adalah antara penyolong tegar PR, namun
baru-baru ini sangat tersentuh dan kecewa dengan sikap peribadi seorang pemimpin
kanan DAP yang mengeluarkan kenyataan ‘menghalau’ PAS dari Pakatan rakyat jika
terus mahu membawa usul pelaksanaan Hukum Hudud di Kelantan.
12.Kenyataan seperti ini sepatutnya tidak
dihamburkan oleh pemimpin DAP tersebut. Berbicaralah elok-olok kerana dalam
perjuangan hal hudud itu bukan PAS mempejuangkan benda yang main-main, mengarut
dan melalut pada tuntutan Islam tetapi ianya adalah satu perjuangan agama yang
PAS yakini mulia dan amat dituntut. Itu
pendirian PAS sejak dari dahulu lagi!
13.Saya tidak hairan jika kata-kata begitu datang
pemimpin MCA dan MIC serta Gerakan, apatahlagi saya tidak hairan dengan putar
belit dan kelentong Umno dalam soal penerimaan hukum Hudud ini. Tapi saya
hairan, pemimpin DAP yang tahu itu adalah perjuangan PAS sejak dari sebelum
pemimpin itu lahir lagi, seolah-olah tidak menghormati dan mencemuh PAS dengan
perjuangan yang sangat PAS yakini.
14.Kalau semua pihak kononnya menjunjung system demokrasi
yang ada, kenapa harus sakit dengan perjuangan PAS dalam pelaksanaan Hukum Hudud
di Kelantan itu? PAS tidak menggunakan apa-apa senjata merbahaya, senjata api,
pisau, pedang dan parang pun dalam perjuangan menegakkan hUkum Hudud yang
diyakininya. Pas hanya memperjuangkan Hudud dalam system demokrasi yang ada.
15.Malah
Presiden PAS pernah berkata PAS sanggup menerima keputusan demokrasi setelah
usul itu dibentang di Parlimen nanti. Kalau begitu hasrat dan gentlemennya kepimpinan PAS,
di mana sakitnya orang lain dengan perjuangan PAS?
16.Bila usul dibentang nanti apakah payah untuk
pelbagai wakil rakyat dalam Parlimen untuk memikirkan usul yang PAS bawa
kemudian untuk membuat undian menerima
atau menentang? Bukankah negara ini negara demokrasi? Wakil rakyat yang
bersetuju, undi bersetuju dan yang tidak bersetuju, undi tidak bersetuju. Mudah!
Selepas itu kira mana undi yang menang, mana yang kalah dan sudah pasti seperti
yang disebut oleh Presiden PAS, PAS menerima keputusan demokrasi yang datang dari
suara rakyat melalui Parlimen Malaysia itu!
17.Kenapa PAS kini sibuk memberi penerangan? Tak
kan salah kot untuk PAS memberi penerangan dan kemudian melobi pelbagai pihak
menyokongnya dalam parlimen nanti seperti mana negara-negara di dunia melobi pelbagai negara anggota untuk
menduduki kerusi Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu? Kemudian terpulang
kepada pihak yang dilobi itu untuk menentu keputusan masing-masing.
18.Kecil hati juga apabila PAS menuntut hak
demokrasi buat perjuangan yang diyakininya tiba-tiba ‘dihalau’ agar
meninggalkan Pakatan Rakyat. Dalam hal ini tidakkah serupa sikap dan suara
pemimpin DAP yang ‘menghalau’ PAS keluar Pakatan dengan pemimpin Umno yang mahu
PAS keluar dari Pakatan Rakyat?
19.Bagi saya, PAS yang sudah bersedia melaksanakan
Hudud di Kelantan...untuk rakyat Islam dalam negeri Kelantan, PAS harus
teruskan usaha membawa usul ini ke Parlimen bagi menguji sikap sistem demokrasi
Malaysia yang kononnya dijamin Perlembagaan Malaysia yang sangat disanjungi oleh DAP sebagai prinsip teras partinya.
20.Pada pemerhatian saya, semua pihak sama ada
Umno/BN, DAP, PKR dan semua NGO telah memahami hudud yang mahu dibawa oleh PAS
ke Parlimen nanti. Dengan sebab itu tak payah semua pihak bersikap hipokrit
untuk enggan membenarkan PAS membawa usul itu ke Parlimen, Biarkan PAS membawa
usul itu dan kemudian buatlah perbahasan dan penentuan sama ada usul itu diterima atau ditolak. Habis cerita.
21.DAP jangan bimbang, saya selaku ahli PAS tidak
akan terkejut dan marah DAP, kalau waktu
mengundi dalam parlimen nanti wakil-wakil DAP menolak usul hudud PAS kerana
saya tahu apa pendirian DAP sejak dari dulu lagi walaupun DAP mungkin telah
memahami Hudud yang PAS perjuangkan. DAP, saya tidak anggap anda 'bersalah' kerana dalam Pakatan Rakyat bukankah DAP dan PAS telah bersetuju untuk bersetuju untuk tidak bersetuju dalam dalam hal prinsip perjuangan parti masing-masing! Dah tu apa kecohnya?
22.Tetapi saya lebih bimbang wakil-wakil rakyat
Umno yang selama ini kelihatan bagai musuh tegar kepada DAP akan turut mengikut
langkah DAP untuk menolak usul PAS walaupun dengan berselindung dengan pelbagai
alasan mereka sendiri! Malah DAP patut gembira kalau saya katakan mungkin dalam hal
ini nanti wakil-wakil Umno akan turut ‘membantu’ menjaya pendirian DAP itu, percayalah!
23.Dengan sebab itu DAP tak perlulah ‘menghalau’
PAS sebegitu rupa sekiranya PAS mahu menggunakan hak-hak demokrasi yang
sepatutnya dijamin untuknya, sebagaimana para pemimpin PAS tidak melatah
sedikit pun dengan sikap DAP yang tidak bersetuju pelaksanaan hudud di Kelantan
kerana demi menunaikan hak-hak demokrasi DAP.
24. Janganlah hendaknya DAP menjadi sebuah parti yang hanya ramai peguam tetapi hingga ke hari ini belum pandai untuk meraikan hak-hak demokrasi pihak lain termasuk dalam bentuk apa juga usul yang mahu dibentangkaan dalam parlimen nanti!