Followers

Thursday, February 13, 2014

Kerajaan Umno/Bn jangan malu, batalkan sahaja PBS!

PBS bukan sahaja menambahkan beban para guru yang sudah banyak terbeban, malah tidak berfaedah langsung sebagai mekanisma penilaian pencapaian dan penguasaan kemahiran pembelajaran para pelajar. 

Kembalilah kepada sistem penilaian yang lebih mudah, standard, jelas, berkualiti dan mempunyai kesahan yang tinggi yang tidak 'membeban gila' guru-guru dan kos Kementerian Pelajaran itu sendiri. Keluarlah segera dari keserabutan dan kecelaruan PBS. Dengarlah rintihan para guru kerana mereka adalah pakar dalam pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah di Malaysia.

Para pemimpin kerajaan Umno/Bn terutama Menteri Pelajaran berhentilah menjadi pemimpin yang syok sendiri dengan dasar pelajaran  yang pelaksananya sendiri rasakan amat pelik dan tidak yakin akan keberkesanannya.

Disedut dari Sinarharian:
PBS: Kenyataan Muhyiddin kelirukan rakyat


RAZIATUL HANUM A. RAJAK


13 Februari 2014



SHAH ALAM – Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM) menyifatkan kenyataan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kajian semula terhadap pelaksanaan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara menyeluruh itu sekadar cuba meredakan desakan guru.
Menurut Ketua Gerak Kerjanya, Mohd Nor Izzat Mohd Johari, sistem itu memang sedang dalam proses dibaiki sehingga April.

“Merujuk kepada kenyataan Tan Sri Muhyiddin, beliau menjangkakan PBS dikaji sehingga April sedangkan memang PBS dalam proses dibaiki sehingga April. Jadi apakah mekanisme yang mahu dikaji lagi?

“Saya rasa beliau hanya mahu meredakan desakan guru dan mahu mengalihkan perhatian masyarakat seolah-olah kementerian mengambil serius masalah PBS ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kajian secara menyeluruh akan dilakukan ekoran terdapat pelbagai masalah yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan sistem tersebut.

Katanya, antara masalah itu ialah berhubung sambungan sistem capaian dan penggunaan alat merekodkan prestasi pencapaian yang tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

"Sama ada PBS akan ditangguhkan atau diteruskan, akan diputuskan dalam satu mesyuarat yang bakal diadakan dalam masa terdekat," katanya.

Nor Izzat juga berpendapat, Muhyiddin cuba mengelirukan masyarakat dengan ayat dikaji semula.

“Apa guna dikaji lagi jika PBS itu sendiri dibaiki setelah dilaksanakan tiga tahun? Saya rasakan TPM cuba mengelirukan masyarakat dengan ayat 'dikaji semula'.

“Adakah mahu membuat makmal PBS? Jika itu yang mahu dibuat, di mana 'pilot project' PBS? Sekali gus membuktikan sekolah perintis tidak berfungsi. Malah menjadi persoalan besar, adakah ada hasil kajian sekolah perintis bagi PBS?,” katanya.

Tambahnya, “saya tegaskan bahawa Himpunan 222 Mansuh PBS tetap diteruskan sehingga PBS mansuh dan juga menjadi satu sejarah pendidikan negara kebangkitan suara guru bersama masyarakat.”