Followers

Saturday, November 16, 2013

Habis handal, akhirnya makhluk ini minta 'nyawa'!



Umno salah guna RM40 juta selamatkan Utusan


Harakahdaily 16 Nov 2013.



KUALA LUMPUR: Tindakan Umno menyuntik dana tambahan RM40 juta kepada Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) adalah bukti nyata betapa terdesaknya parti itu untuk menyelamatkan syarikat seliaan mereka hingga sanggup menyalahgunakan wang kerajaan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, tindakan itu harus ditentang oleh menteri berfikiran waras dalam Kabinet kerana ia jelas membabitkan wang pembayar cukai atau wang rakyat.

“Ini adalah konflik kepentingan apabila kita tahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga merupakan Menteri Kewangan dan Presiden Umno,” ujarnya dipetik Roketkini.

Beliau berkata, berdasarkan peraturan, jika kepentingan Umno meningkat melebihi 2 peratus ia mesti membuat tawaran pembelian kepada pemegang saham lain.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam kenyataan, semalam berkata memandangkan usaha mereka untuk mendapatkan tawaran terbitan hak, parti itu perlu meningkatkan kepentingan sekurang-kurangnya 53.1 peratus dan ia sekaligus mewujudkan tawaran am mandatori.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas rancangan Umno menyuntik RM40 juta kepada Utusan melalui cadangan ‘two call rights issue’.

Pada 12 November lalu, Utusan mengumumkan kepada Bursa Malaysia akan meningkatkan terbitan hak kepada pemegang saham kira-kira RM40 juta.

Pua turut menyokong saranan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang menggesa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertindak bebas tanpa campur tangan Kementerian Kewangan untuk mengecualikan Umno daripada menjalankan tawaran am mandatori agar dapat memberi saham minoriti Utusan.

“Apa yang paling penting, SC perlu melindungi integriti pasaran kewangan negara. Bukan sahaja bertindak dengan adil, tetapi perlu dilihat bertindak adil serta telus kepada semua pelabur dan rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut makluman daripada Bursa Malaysia, tindakan itu akan melonjakkan pegangan saham Umno dalam Utusan daripada 49.8 peratus kepada 53.1 peratus.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/23500-umno-salah-guna-rm40-juta-selamatkan-utusan

Wednesday, November 13, 2013

Pi layan orang tua ni buat apa? Kerja dia nak bagi susah dan bodoh orang ja!




PPSMI: Mahathir ulang hujah yang sudah jadi sejarah

Hazayani Zakaria 13 Nov 2013.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih terperangkap dalam pemikiran kolonial apabila mahu subjek sains dan matematik kembali diajar dalam Bahasa Inggeris, kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau berkata, pandangan Dr Mahathir harus diketepikan kerana kerajaan sendiri akur dengan kehendak rakyat yang menolak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Dr Mahathir ulang dan ungkit isu yang sudah selesai dan keputusan sudah dibuat oleh kerajaan supaya dasar ini dimansuhkan.

"Pandangan Dr Mahathir yang mahu PSSMI ini dikembalikan adalah ke belakang dan Dr Mahathir terperangkap dengan pemikiran kolonial," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Dr Mahathir ketika berucap di Persidangan Antarabangsa Pendidikan Guru dalam Dunia Islam di Petaling Jaya semalam merayu agar subjek sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris kerana berpandangan Bahasa Melayu belum menjadi bahasa sains dan matematik.

Beliau juga dilaporkan berkata, tanpa penguasaan bahasa Inggeris peluang pekerjaan seseorang itu akan menjadi sempit walaupun cemerlang dalam akademik.

Mengulas lanjut, Azmi yang lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi berkata, peluang pelajar untuk mempelajari Bahasa Inggeris terbuka luas namun subjek sains dan matematik harus diajar dalam bahsa Melayu kerana sesuatu ilmu itu lebih senang difahami apabila diajar dalam bahasa ibunda.

"Dr Mahathir harus sedar bahawa kita tidak menyekat pelajar-pelajar mempelajari Bahasa Inggeris malah peluang untuk belajar terbuka luas dan ada di mana-mana.

"Namun dalam konteks pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik, kita mahu Bahasa Melayu digunakan kerana bahasa Melayu ialah bahasa ilmu dan tunggak kepada pembangunan bangsa dan budaya," tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Prof Shahrir Md Zin pula berkata, segala hujah yang digunakan dr Mahathir merupakan hujah lapuk dan sudah disanggah oleh banyak pihak.

"Dr Mahathir ulang hujah yang sama, hujah yang sudah jadi sejarah tapi surat khabar suka keluarkan pandangan beliau.

"Saya dan beberapa rakan yang lain sudah lama menjawab hujah-hujah beliau contohnya sains dan matematik tidak sesuai diajar dalam bahasa Melayu.

"Tapi hujah dan pandangan kita tidak dikeluarkan surat khabar, maka pandangan Dr Mahathir tetap menjadi perhatian orang," katanya yang juga dihubungi Harakahdaily.

Tambah beliau juga, tiada alasan untuk kerajaan meneruskan PPSMI sedangkan Kementerian Pendidikan sendiri membuktikan terdapat kemerosotan keputusan akademik pelajar melalui pelaksanaan dasar yang bermula pada 2003 itu.

"Tidak perlu peduli dengan pandangan Dr Mahathir kerana beliau dari dulu lagi mahu PPSMI dilaksanakan dan tak peduli dengan pandangan orang kebanyakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berpegang teguh kepada pendirian kerajaan untuk menarik balik pelaksanaan PPSMI kerana statistik Kementerian Pendidikan membuktikan terdapat kemerosotan keputusan akademik pelajar melalui pelaksanaan dasar itu.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan dilaporkan berkata, PPSMI tidak mempunyai hala tuju selain Kementerian Pendidikan membuktikan keputusan pelajar merudum dalam subjek sains dan matematik dan Bahasa Inggeris.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/23432-ppsmi-mahathir-ulang-hujah-yang-sudah-jadi-sejarah

Tuesday, November 12, 2013

2016 rakyat marhaen terpaksa terus ikat perut?




Ekonomi negara dijangka meleset akibat GST

Norhayati Umor / Selangorkini 12 Nov. 2013.

SHAH ALAM: Malaysia berkemungkinan mengalami kemelesetan ekonomi selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 2016.

Penganalisa ekonomi, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, berkata kemelesatan itu dijangka berlaku berdasarkan Teori Kitaran Niaga sejak akhir-akhir ini.

Katanya, pelaksanaan GST bakal memberikan kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seterusnya menyebabkan berlakunya ‘double whammy’ berdasarkan perbelanjaan isi rumah.

Teori kitaran niaga menjadi pendek kerana dulu ia berlangsung selama 10 tahun tetapi sejak akhir-akhir ini menjadi tujuh tahun.

“Kali terakhir berlaku kepada Malaysia pada tahun 2009, jadi kemungkinan kemelesetan berlaku pada 2016. Proses ini hanya mengambil masa setahun selepas GST dilaksanakan bermula 1 April 2015,” katanya ketika ditemui portal Selangor Kini selepas seminar umum yang bertajuk pengurusan kewangan berhemah di Karangkraf, di sini, semalam.

Azrul berkata, trend teori kitaran niaga terbabit menjadi lebih singkat berdasarkan perubahan faktor dalam sistem ekonomi, kewangan negara dan kemajuan teknologi.

“Kita tidak dapat memastikan bila perkara ini akan pulih kerana bergantung kepada penerimaan orang ramai terhadap GST. Namun  GST boleh dikawal jika gaji dinaikkan setara dengan perlaksanaannya bagi mengelak kadar hutang isi rumah terus meningkat,” katanya.

Beliau yang juga Pengurus Tugas Khas, Analisa Ekonomi dan Kewangan Pejabat Menteri Besar Selangor, berkata kerajaan disaran melaksanakan Capital Gains Tax (CGT) bagi mengelakkan bebanan cukai yang tinggi terhadap rakyat.

“Cukai ini kita ambil atas keuntungan bukan modal. Dalam kiraan saya, kerajaan boleh meraih pendapatan RM8 bilion hingga 10 billion setahun,” katanya.

Dalam sidang akhbar di lobi parlimen 31 Oktober lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendapatan rakyat perlu diberi perhatian dan dipertingkatkan sebelum pelaksaaan GST yang dilihat bakal membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Saya tidak mengatakan bantahan pada prinsip GST dalam ucapan belanjawan saya. Saya tegaskan daripada sudut sistem pelaksanaan GST itu lebih telus dan efisyen.

“Soalnya, dua syarat yang kita tekankan iaitu pertama hapuskan ketirisan dan kebocoran dengan menjimatkan wang itu untuk berbelanja,” jelas beliau.