Followers

Friday, August 09, 2013

Antara bukti kegagalan Pendidikan Islam dalam sistem Pendidikan Kebangsaan!

Inilah padahnya yang berlaku kepada umat Islam di negara ini akibat daripada sistem pendidikan  kebangsaan yang cuba terlalu banyak memberi fokus kepada kepentingan kemajuan kebendaan daripada membentuk manusia yang mengamal ajaran Islam yang menyeluruh. 

Semakin dikerah negara untuk mencapai apa yang dianggap kemajuan, komponen-komponen mata pelajaran  Pendidikan Islam hanya sekadar tempelan sedikit di sana dan sedikit di sini. Padahnya ramai umat Islam sendiri semakin hilang kemanusiaan!

dari mstar online:



Jumaat Ogos 9, 2013

Tiga Kes Perceraian Pasangan Muslim Dalam Setiap Jam 

KUALA LUMPUR: Terdapat purata tiga kes penceraian bagi setiap jam dalam kalangan pasangan Muslim di negara ini.

Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal berkata maklumat itu diperoleh daripada kajiannya terhadap statistik penceraian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi tahun 2011.

Ini berikutan terdapat purata 70 kes penceraian dilaporkan sehari, 2,000 kes dilaporkan sebulan dan 25,000 kes setahun di seluruh negara bagi tahun 2011.

"Statistik perceraian daripada Jakim dari tahun 1990 hingga 2010 sentiasa menunjukkkan peningkatan kes penceraian setiap tahun," katanya kepada Bernama.

Noor Aziah berkata situasi itu berlaku kerana kebanyakan individu yang mendirikan rumah tangga didapati tidak memahami mahupun mengetahui akan falsafah sebenar sesebuah perkahwinan itu.

Justeru, beliau meminta masyarakat supaya melengkapkan diri dengan ilmu agama dan rumah tangga sebelum melangsungkan perkahwinan bagi mengurangkan kes perceraian sekali gus membentuk sebuah keluarga bahagia.

"Sebenarnya institusi keluarga itu adalah asas pembangunan sesebuah negara dan kalau institusi keluarga itu berjalan dengan baik maka negara pun akan jadi lebih baik," katanya.

Menyentuh mengenai belia pula, beliau meminta kerajaan memperbanyakkan penganjuran program keilmuan dan keagamaan kepada golongan belia di negara ini dalam usaha melahirkan belia berakhlak mulia, pada masa hadapan.

Noor Aziah berkata berdasarkan dapatan hasil kajiannya, mendapati gejala sosial seperti seks bebas, penyalahgunaan dadah dan minum arak dalam kalangan belia Islam kini, berada pada tahap membimbangkan.

"Antara beberapa kaji selidik yang saya lakukan adalah Kajian Belia Bermasalah di Malaysia 2009, Kajian Belia, Dadah dan HIV:Punca dan Hak pada tahun 2010, dan Kajian Pembinaan Modul Ta'dib di Sekolah Henry Gurney, Melaka 2011.

"Hasil kajian ini membuatkan saya risau akan akhlak golongan belia pada masa ini yang mana bagi pandangan saya berpunca daripada tidak menghayati ilmu agama sepenuhnya walaupun ada pendidikan agama tetapi tidak mengamalkan ilmu agama yang ada itu. Kebanyakan responden menjawab tidak tahu sembahyang atau sudah lupa macam mana hendak sembahyang sewaktu ditemu bual," katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga pensyarah undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata penularan gejala tidak sihat itu bakal memberi impak negatif kepada pembangunan modal insan negara ini sekiranya tidak ditangani segera.

"Dari kajian yang saya buat, saya dapati kanak-kanak pun mula mencuba seks semuda 12 tahun dan saya juga mendapati semasa saya membuat kajian 'Hak Anak Tak Sah Taraf di Malaysia' pada 2007, mendapati ibu paling muda mengandung yang saya temu bual ialah 13 tahun.

"Macam mana negara ini hendak melahirkan seorang pemimpin yang berkaliber dan mempunyai personaliti terhormat pada masa depan sekiranya belia kini tidak mempunyai akhlak sepatutnya dikehendaki dalam Islam," katanya.

Apabila ditanya pendekatan kreatif yang boleh dilaksanakan bagi menarik minat belia terhadap program itu, Noor Aziah berkata ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara antaranya mencari 'role model' dari kalangan belia yang berjaya dalam bidang tertentu seperti johan Tilawah al-Quran, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia, jaguh sukan dan artis.

Noor Aziah juga berkata kira-kira 80 peratus golongan belia bermasalah datang daripada keluarga ibu tidak bekerja atau suri rumah sepenuh masa.

Beliau yang juga anggota Majlis Penyelaras bagi Perlindungan Kanak-kanak Malaysia itu berkata angka itu didapati menerusi Kajian Belia Bermasalah di Malaysia 2009 yang melibatkan responden berumur 15 tahun hingga 40 tahun.

Sehubungan itu, beliau berkata peranan institusi kekeluargaan juga penting untuk memartabatkan pembangunan sahsiah diri golongan belia negara.

"Di sini peranan ibu bapa penting memberi pendidikan agama sepenuhnya kepada anak-anak. Pada pemerhatian saya kebanyakan anak-anak hanya dapat ilmu agama daripada guru agama dan apabila bersama ibu bapa mereka tidak belajar.

"Oleh demikian, saya menyarankan supaya kita semua kembali kepada perkara asas iaitu didikan agama dan memperbaiki mutu keluarga yang sedia ada dan yang akan dibina," katanya. - BERNAMA

Tuesday, August 06, 2013

Tak ada orang nak dakwa Dato Tuan, Islam liberal ke?

Aku bukan orang mereka tapi kalaulah....kalau yang menulis begini ialah Khalid Samad atau Mujahid atau Dr Zul atau Salehuddin Ayub atau Husam Musa, agaknya dah ada ada orang berbuih mulut atau tak cukup dakwat, akan cop mereka sebagai Islam liberal!  

Mujur yang menulis itu Dato Tuan seorang agamawan!

Dari Harakahdaily:



Didik Chetz, bukan hukum di media



06 Ogos 2013



Pelatih anjing Maznah "Chetz" Yusof perlu dididik bukannya dihukum. Islam tidak terhina kerana video Chetz, kerana ia tidak bertujuan begitu.



Chetz mungkin seorang yang tidak tinggi ilmu agamanya. Video memuatkan video tersebut juga bukan untuk menghina sesiapa, tapi kerana ketaksuban beliau dalam menyayangi anjing sehingga seolah-olah beliau inginkan anjingnya dimuliakan sama dengan kita memuliakan manusia.



Ini cuma satu kelakuan yang jahil, yang boleh diperbetulkan tanpa mengenakan sebarang hukuman.



Wajarkah Chetz dicemuh sebegitu rupa di media sehingga menimbulkan kemarahan melampau pada beliau seolah-olah beliau sebagai seorang manusia yang tidak pernah melakukan apa-apa kebaikan?



Sebagai pelatih anjing, diyakini sekurang-kurangnya Chetz pernah menyelamatkan sebilangan anjing-anjing yang sedang kebuluran dan pernah berkata-kata baik dan melakukan benda baik dalam hidupnya, dan ada orang yang pernah mendapat kebaikan daripada sifat baiknya itu. Atas nilai ini sahaja wajar dipuji kerana majoriti manusia di dunia ini tidak lagi boleh bersifat sedemikian.



Jika binatang yang dipilih Chetz ialah kucing, dan bukannya anjing, sudah tentu Chetz tidak dicemuh sebegitu rupa. Salahkah Chetz lebih menyayangi anjing?



Tak salah orang Islam memiliki anjing, tapi mesti kena pada caranya dan mengenali cara untuk menghindari diri daripada perkara yang haram dan belajar membersihkannya menurut kaedah syarak. Harus diingat memegang anjing bukan suatu dosa walaupun ia adalah najis mughalazah. Perkara ini boleh dididik apabila mendapati ada umat yang jahil mengenainya, tapi jangan sesekali disamakan kelakuan jahil itu dengan niat menghina Islam.



Tidak dinafikan ada umat Islam yang tersinggung dengan perbuatan Chetz, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.



Sempena Hari Raya yang bakal menjelang, saya mengesyorkan agar umat Islam di Malaysia yang tersinggung dengan perbuatan Chetz untuk memaafkan beliau.



Mungkin ada pihak yang baik hati boleh memuatkan pula satu video untuk mengajar umat Islam mengenai anjing, dan cara membersihkan najisnya untuk tujuan mendidik daripada terus mencemuh Chetz.



Barangkali juga kalau ada yang sanggup mengambil risiko untuk memuatkan video seseorang Muslim menerima duit rasuah lalu diambilnya duit itu untuk memberikan sedekah kepada mereka yang susah dan alim, dan melihat apakah ia akan menimbulkan reaksi yang sama seperti video Chetz?



Jika ya, bagus, kerana ini menunjukkan perubahan pada umat Islam untuk melihat perkara yang haram pada nada yang sama. Jika tidak, tepuk dada tanya iman, apakah sikap dwi-standard umat Islam pada perkara yang haram ini telah menghina Islam itu sendiri kerana melanggar syariat Islam yang utama ialah  berlaku adil dalam semua perkara?



Sudah tentu rakyat masih ingat bagaimana tiada reaksi pelbagai institusi agama yang kini mengecam Chetz terhadap segelintir pemimpin BN, seperti Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek yang pernah menghina Islam.



Apakah bilamana pemimpin negara yang melakukannya maka ianya dibolehkan tetapi apabila rakyat marhaen yang melakukannya seluruh media dan institusi agama mengecamnya? Mari kita didik rakyat agar lebih memahami tuntutan agama dari kita mencemuh mereka.



Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.



Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

6 Ogos 2013


Sunday, August 04, 2013

Minggu-minggu yang mendebar dan mencemaskan!

Seminggu dua ini aku memang agak sibuk....sibuk ke hulu ke hilir mengurus pelbagai perkara. Keadaan sibuk ini makin bertambah apabila semakin dekat dengan hari raya. Begitulah aku dan juga agaknya semua rakyat Malaysia yang lain selagi masih ada nyawa dikandung badan.

Namun dalam kesibukan mengurus hidup itu aku tidak terlepas daripada rasa berdebar dan gementar. Berdebar dan gementar saban  waktu! 

Pergi mencari buluh lemang dalam hutan pun aku berdebar dan gementar. Berdebar dan gementar bukan kerana banyaknya babi hutan di sekitar. Babi hutan pun tak kisah kan orang. Tapi aku lebih gementar dan bimbang apakah bila-bila masa akan ada C4 akan yang meletup di sekitar hutan tersebut yang boleh menghancurkan jasad dan melayangkan nyawa?
 
Balik dari kerja, semakin hampir dengan pintu pagar rumah, aku pun gementar dan bimbang. Tertoleh-toleh ke arah cermin belakang dan sisi kereta, kot..kot ada penunggang motorsikal yang tidak dikenali menghampiri! Ternampak kelibat penunggang motosikal di belakang, hati dah mula tak keruan....bimbang! Berlalu pergi  sahaja motosikal itu, tanganku serta-merta mengurut dada...fuh lega!

Setiap kali aku ternampak lampu isyarat, ternampak lampu kuning, aku dah mula suspen.."Allah...kuning pulak dah!!". Rasa gelisah dan tak menentu menunggu lampu merah pergi. Makin lama lampu merah di situ, makin gelisah dan resah. Hai...janganlah tak pasal-pasal ada yang acu pistol...POM! Na'uzubillah. Kerana amannya negara ku, menjadi trauma aku dengan persimpangan lampu isyarat!

Terbaru, duduk rehat-rehat dalam rumah, di ruang tamu pun, bimbang dan suspen jugak! Takut tiba-tiba hamba Allah mana pulak yang akan menerjah masuk mengacu pistol! Mati tak pasal-pasal!

Aku semakin tak faham, rupanya begini wajah negara yang diuar-uar aman dan indeks jenayah rendah...dua tiga minggu ini sahaja 7 tembakan meragut nyawa!? Nampaknya negara ini dah menjadi negara Darul Pistol yang tidak mengenali siapa sama ada jelitawan tempatan mahupun asing, Ketua Pengarah, cikgu, pemantau jenayah, bekas banduan dan selepas ini kategori mana pula yang akan menjadi mangsa? Entah! 

Di mana-mana pun dah tak senang duduk sekarang, terdengar bunyi merecun pun..tersentak sakan....apocot kau! Tapi bila pistol meragut nyawa...tak sempat nak berapocot dah....baliklah jawabnya!

Nampaknya makin gelap masa depan, bimbang dan merisaukan, selagi rakyat tidak buat perubahan di PRU 14!