Followers

Thursday, November 07, 2013

Mat Sabu lagi...

Aku adalah ahli cabuk PAS sahaja. Dalam erti kata yang mudah difahami hanya sekadar ahli bawahan yang tak banyak jasa pun kepada parti. Kerja aku kalau di musim pilihanraya hanya bertaraf pasang bendera, tampal poster, cabut bendera, cabut poster, buat cula, jaga pondok panas, merayu undi depan di pusat mengundi, urusan penyediaan makanan kepada petugas-petugas PRU, edar risalah dan kempen dari rumah ke rumah dan angkut pengundi. Kalau berceramah pun setakat mampu ceramah kelompok! Itulah aku sebagai ahli parti bersama rakan-rakan ahli bawahan di bawah ini.

Kalau menghadiri aktiviti lain hanya takat menghadiri usrah-usrah dan kuliah haraki, tamrin, kursus-kursus PRU peringkat cawangan dan MTD dan yang lain-lain mengikut arahan ketua dari masa ke semasa seperti siri himpunan BERSIH dan demonstrasi-demonstrasi lain. Aku yakin, itu semua adalah sumbangan kecil yang mampu aku buat demi turut bersama menegakkan agama Allah di tanah air ini melalui parti yang aku sayangi.

Lebih dari itu, malu aku nak cakap aku sebagai ahli PAS sebab, alahai apalah sangat sumbangan aku di bawah ini kalau nak bandingkan dengan para pemimpin dan ustaz-ustaz parti yang hebat-hebat dan bijak pandai belaka di atas sana! Pandai serba-serbi terutama soal perjuangan Islam. Kalau mereka bercakap pasal Islam dan perjuangannya...mak tuan..hebat...kecik benar rasa diri aku ini!

Hari ini tiba-tiba dengan tidak semena-mena ada seorang kawan bertanya pendirian aku mengenai pertandingan jawatan Timbalan Presiden Parti. Terkedu juga seketika memikirkan macam mana aku nak jawab. Aku rasa agak takut nak bagi pandangan walaupun parti aku parti Islam dan aku telah menjadi ahli dah lebih dua puluh tahun! Bukan takut apa...takut kena label! 

Hari ini banyak sangat kerja label melabel dalam parti aku, mengalahkan parti  Umno Baru! Ada label pro ulamaklah dan kalau lebih-lebih sikit bercakap kena label anti ulama pulak! Islam liberal, ardogan, Anwarinas dan UG usah dikiralah....dah tak tahan nak dengar dah! 

Lebih dahsyat....dah tak kenal siapa dah yang main label-melabel ni, kerana yang berkopiah dan bersemutar pun turut sama begitu - macam budak-budak bila terasa nak kalah main lamprit..macam-macam gelar-mengelar keluar!! 

Sebagai ahli bawahan, yang tak ada pun nilai besar dalam parti, aku rasa sedih sebab aku pun terkena bedilan label hanya kerana terlebih bagi pandangan..."JIM!" Entah apa kebenda JIM pun aku tak tahu dan tak pernah ambik kisah pun pasal benda alah JIM tu!

Sebab itu, bila sikawan aku bertanya pandangan mengenai perebutan jawatan Timbalan Presiden aku terkelu sekejap nak bagi pandangan! Kena hati-hati woi!

Lepas aku bagi pandangan ini kemungkinan besar aku akan dapat label baru atau terus kekal "JIM". Tak kiralah, jangan jadi JIN sudah!

Sejak hebuh katanya akan ada pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden, aku tertanya-tanya sendirian kenapa pula perlu ada pertandingan jawatan Timbalan Presiden ha? 

Dari awal aku merasakan pertandingan untuk jawatan itu tidak munasabah langsung! Kerana aku sering tertanya-tanya apa salah dengan pemegang jawatan yang ada sekarang? Adakah kesalahan jenayah, aqidah, atau salah laku moral yang dia telah buat? Gagalkah dia sebagai Timbalan Presiden selama dia memegang jawatan itu? Aku tercari-cari di mana kegagalan beliau? Entah!

Kalau ada alasan bahawa dia harus ditumbangkan kerana orang Melayu kampung dan Felda tidak undi PAS dalam PRU 13 yang lalu, boleh diterimakah alasan itu? 

Kalau alasan itu boleh diterima pakai maka pada aku, rasanya bukan dia seorang yang patut ditumbangkan...semua pemegang jawatan tertinggi parti yang ada hari ini wajib ditumbangkan termasuk jawatan Presiden! Tak kan dia seorang yang bertanggungjawab kot!?

Kalau kata pula dia seorang Syiah, ini lagilah aku rasa sedih kerana kenapalah Jawatankuasa disiplin parti tidak menyiasat hal ini dan kalau dia benar-benar Syiah pecatkan dari parti segera! 

Soalnya kalau Lembaga disiplin parti tidak bertindak kerana tiada aduan rasmi, bolehkah dakwa seseorang begitu sahaja tanpa saksi dan bukti sahih? Bolehkah dengan cara serkap jarang dakwa orang itu begitu-begini, lepas itu pakat-pakat terajang seorang yang begitu tegar dan banyak jasa kepada parti PAS sekian lama? Tidak berakhlak sangat caranya kalau buat begitu.

Apa yang aku nampak, pemegang jawatan sekarang seorang yang sangat berjaya dan berkesan dalam menggerak massa untuk menentang sesuatu isu peringkat kebangsaan. Dia bukan sahaja seorang pemimpin yang rajin malah pekerja parti yang sangat lasak. 

Walaupun  ada orang kata dia tak faqih agama tapi aku yakin dia seorang ahli politik yang sangat faham agama. Kalau dia seorang yang tak faham agama, dah pasti banyak kes-kes seperti rasuah, pecah amanah, moral, jenayah yang akan disangkutkan oleh Umno kepadanya dalam mahkamah. Nampaknya banyak kes-kes mahkamah yang beliau hadapi adalah kerana menentang ketidak-adilan dan kezaliman kerajaan Umno/Bn dan kerana demonstrasi rakyat yang dia turut sertai bukan kerana kes jenayah, rasuah, aqidah dan moral. 

Sehingga ke hari ini Umno masih tak mampu dan menggelupur untuk membunuh karektornya! Tuan Haji Muhammad Sabu masih tegak dalam membawa perjuangan partinya.

Atas beberapa alasan yang tidak ilmiah dan kekampungan ini kerana aku hanya ahli parti yang nun di bawah, maka aku berpendapat tak perlu ada pertandingan untuk jawatan ini. Tuan Haji Muhammad Sabu masih diperlu untuk berada di situ! Aku yakin Tuan Haji Muhammad Sabu akan tahu sendiri bila untuk memberi laluan kepada orang lain mengambil tugas itu tapi bukan sekarang. Berilah peluang untuk tokoh yang banyak rebah bangun dengan PAS ini untuk melaksanakan terus misi perjuangannya buat parti kita, PAS. 

Kerana ini, jangan label aku "JIM"..please atau apa-apa!


No comments: