Followers

Sunday, June 16, 2013

Untuk saja buat kempen bolehlah!

Untuk buat kempen bolehlah, tapi selagi kerajaan yang tidak prihatin dengan nasib rakyat ini yang memerintah, gerakan yang dibuat oleh Pemuda PAS ini rasanya tidak akan ke mana! Apa yang boleh dibuat hanyalah menggesa rakyat agar memulau. 

Rakyat hanya mampu memulau apabila tidak memerlukannya, apabila perlu, rakyat terpaksa beli juga. 

Hendak diharapkan kerajaan Umno/Bn buat sesuatu yang berkesan bagi menurunkan harga barang? Setakat ini tiada pun yang berjaya yang dilakukan. Harga barangan di Kedai 1Malaysia pun lebih kurang harga dengan barangan kedai-kedai lain. Kalau murah pula, mutunya hampas!

Buatlah apa pun, kerajaan ini  tak akan ambil kisah. Idea mereka tiada langsung yang menarik dalam membantu rakyat jelata. Idea usang adalah! Pulau barangan yang naik harga....hanya itulah  nanti ideanya, agaknya!

Yang penting dilakukan ialah kerajaan ini tidak wajar lagi memerintah untuk mengurus kehidupan rakyat. Perjuangan memastikan SPR wajib berlaku adil dalam PRU 14 nanti adalah terlalu mustahak, mendesak dan wajar digerakkan oleh semua parti PR mulai sekarang. 

Untuk PRU 14 nanti, (demi mendapat sebuah kerajaan berkebajikan yang mampu memastikan harga barang yang mampu untuk rakyat) kita tak mahu lagi mendengar isu dakwat tipu, senarai pemilih kotor macam haramjadah, rasuah pilihanraya, kawalan media oleh Umno/Bn, persempadanan semula yang jahat dan penuh konspirasi, pengundi hantu oleh warganegara hantu dan seumpamanya itu.

Perjuangan memastikan PRU 14 benar-benar bersih perlu dilakukan mulai sekarang.  Jika tidak, seperti kata Mat sabu, post mortem PRU 14 sudah boleh disiapkan mulai sekarang. Selepas PRU 14 nanti hanya bentangkan sahaja untuk didendangkan lagi kepada rakyat. Kerajaan yang hampas itu juga akan terus menjadi kerajaan yang tidak perihatin akan nasib rakyat. Harga barang akan terus naik...gerakan anti kenaikan harga barang akan dilancarkan sekali lagi!

Sesungguhnya kerajaan ini kian kering idea dan lemah untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang, lagi pun isu ini hanya menjadi perkara kecil kepada mereka, asalkan kroni mampu dibela, okay!

Lihatlah kajian yang dibuat, majikan lebih gembira daripada pekerja! Gaji minima pun masih ada yang belum laksana. Ada kerajaan ini kisah? Tak lama lagi tambang bas pula akan naik. Ada kerajaan ini kisah?

Jadi gerakan anti kenaikan harga barang Pemuda PAS ini, rasanya akan hanya menjadi kempen yang biasa sahaja yang tidak menghasilkan impak besar rakyat secara nasional! Tak percaya tengok....namun untuk buat kempen bolehlah!




Gerakan kenaikan harga barang 7 Julai

Anis Nazri 15 Jun 2013.

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan melancarkan satu gerakan anti kenaikan harga barang di pasar pagi Greenwood, 7 Julai akan datang.

Ketuanya, Ustaz Nasrudin Hassan berkata pada pelancaran tersebut jawatankuasa yang ditubuhkan DPPM itu akan bertemu para pelanggan yang membeli di pasar tersebut dan mengedarkan risalah-risalah berkaitan kenaikan harga barang yang dikesan.

Pelancaran itu juga bersesuaian dengan kedatangan bulan Ramadan, yang biasanya berlaku kenaikan harga barangan yang akan membebankan pelanggan, seterusnya akan berterusan hingga ke hari perayaan.

"Risalah itu akan diedarkan yang antara lainnya mengandungi perbandingan harga barangan dari Ramadan sebelum ini. Kita juga akan berkempen berkenaan kesedaran pelanggan tentang hak-hak mereka dalam usaha menangani kenaikan harga barangan," tegas beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Jawatankuasa Anti Kenaikan Harga Barang itu dipengerusikan Exco Pemuda, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah yang ditubuhkan sejurus pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu apabila terdapat beberapa barangan yang dikesan telah berlaku kenaikan harga secara mendadak.

Dalam pada itu, jawatankuasa itu juga akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) pada 1 Julai ini bagi mengadakan perbincangan berkaitan isu kenaikan harga barangan ini, selain bertukar-tukar pandangan.

Bagaimanapun, DPPM masih belum menghantar surat rasmi untuk tujuan tersebut dan akan melakukannya dalam tempoh terdekat.

No comments: