Followers

Sunday, April 28, 2013

Apakah Jamaluddin Jarjis semakin 'sakit' di Rompin?

Dalam perjalanan ke Mersing, sekali lagi aku sempat singgah sekejap ke Parlimen Rompin untuk meninjau 'pertempuran' antara Jamaluddin Jarjis orang kuat Najib Razak dengan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Puan Nuridah Salleh. Dari tinjauan umum aku dalam kalangan pengundi-pengundi tempatan terdapat ramai yang tertarik dan agak teruja kepada bekas orang kuat muslimat PAS Pusat itu.

Namun apa yang lebih menarik, yang sering diperkatakan oleh orang Rompin di kedai-kedai kopi dan di port-port  sembang mereka, bukan sangat pertembungan Jamaluddin - Nuridah tetapi mereka lebih gemar memerhati apa yang mereka katakan 'pertempuran senyap' antara Jamaluddin Jarjis dengan calon BN Dun Tioman iaitu Kapten (B) Johari Hussin! Pertempuran sebenar antara tokoh pemimpin Umno Bahagian yang berasal dari luar Rompin dengan tokoh muda Umno dari kalangan anak tempatan Rompin.

Ada dalam kalangan mereka, terutama sahabat-sahabat dari dalam kalangan Umno tempatan sendiri, telah membuat kesimpulan awal bahawa setakat seminggu sebelum PRU 13 ini, Kapten (B) Johari Hussin sedang 'mendahului' Jamaluddin Jarjis dalam wibawa menarik pengundi kepada mereka. Ini bermakna peluang Johari untuk menguasai Dun Tioman lebih cerah berbanding  Jamaluddin Jarjis yang terpaksa berentap dengan Puan Nuridah Salleh yang kian popular dalam kalangan pengundi Rompin khususnya pengundi wanita.

Dari sumber dalaman Umno tempatan sendiri, yang sempat aku tinjau dan sembang,  terdengar cakap-cakap bahawa sudah sampai masanya untuk meletakkan anak tempatan Rompin dalam hiraki tertinggi kepimpinan Umno Bahagian  dan orang yang dilihat layak untuk berdepan dan mengambil alih  kepimpinan Umno bahagian yang ada adalah Johari Hussin dan Hassan Ariffin, menurut sumber tersebut.

Menurut mereka Johari Hussin dikira layak kerana telah berjaya membuktikan wibawanya apabila muncul dengan bergaya sebagai calon BN Dun Tioman walaupun terpaksa meredah berbagai onak dan duri sebelum beliau dicalonkan!

Lebih parah kepada Jamaluddin Jarjis adalah apabila terdengar cakap-cakap dalam kalangan pengundi tempatan yang dibisik-bisik oleh beberapa orang Tok Empat (Ketua Kampung) bahawa agar undi Dun kepada Johari manakala undi Parlimen kepada Nuridah? Sama ada perancangan dalaman ini betul atau salah ianya tetap memberi kesan yang tidak sedikit kepada jentera kempen Jamaluddin Jarjis jika mengambil mudah hal ini, kata sumber berkenaan.

Sumber tersebut berkata, apa yang lebih menarik dalam 'pertempuran senyap' ini adalah selepas keputusan PRU 13 diumumkan. Antara mereka berdua, Johari dan Jamaluddin siapakah yang menang dan siapakah yang akan kalah dalam perlawanan antara mereka itu? 

Kata sumber tersebut walaupun mereka bukan lawan PRU antara satu sama lain tetapi orang yang menang di tempat masing-masing akan mengaut keuntungan politik masa depan yang lebih mantap,  manakala yang kalah mungkin akan terpaksa mengucap selamat tinggal Umno Rompin! 

Manakala, kalau kedua-duanya menang dalam PRU ini bermakna 'pertempuran' antara dua pemimpin Umno Rompin ini dijangka lebih menarik dan berlanjutan dalam pemilihan mesyuarat Agung Umno Bahagian nanti, menurut pendapat sumber Umno tempatan itu.

"Setakat hari ini bagi saya, Johari lebih ke hadapan setapak berbanding JJ", kata sumber itu.


No comments: