Followers

Monday, February 04, 2013

PAS masih terkapai dalam gelombang?

Melihat kepada senario yang masih wujud di kawasan-kawasan Melayu di luar bandar pada masa ini, Pakatan Rakyat terutama PAS masih bermasalah untuk mendapat sokongan dalam PRU ke 13 nanti. 

PAS sebagai parti yang mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu masih mempunyai tugas dan kerja yang begitu banyak untuk mengubah corak pemikiran politik golongan ini yang ditanam kukuh  doktrin lapok bahawa Umno adalah parti politik yang segala-galanya jika bangsa Melayu mahu diselamatkan. 

Doktrin itu walaupun begitu lapok, tetapi begitu kukuh tertanam dalam minda yang tidak kritis dan jumud yang jauh dari sumber maklumat yang pelbagai.

Masalah PAS untuk mengubah minda lapok orang Melayu luar bandar itu terus mencabar dengan kerenah dan kawalan media arus perdana oleh Umno, peraturan kempen dan PRU yang jahat dan berat sebelah dan penggunaan jentera dan premis kerajaan bagaikan hak parti.

Untuk mengatasi masalah ini PAS perlu dengan segera membentuk seramai mungkin sukarelawan kempen dan perayu undi di setiap Dun dan Parlimen yang ditandingi, tanpa mengharap kepada hanya tenaga muslimat yang amat terhad. Jika hal ini tidak diatasi SEGERA usaha mahu memintas peranan media arus perdana yang terlalu kuat mendokong Umno, peraturan jahat PRU dan penyalah-gunaan jentera dan permis kerajaan, tidak dapat dilakukan dengan berkesan.

Sebenarnya orang Melayu di luar bandar masih belum mesra dengan PAS dan masih belum melihat PAS sebagai parti dominan sebagaimana dilihat dominannya Umno dalam politik tanah air kerana PAS masih terlalu jauh dengan mereka. 

Maklumat tentang PAS, dominasi PAS di negeri-negeri yang dikuasai PAS belum cukup menarik hati mereka. Setakat hari ini mereka masih melihat PAS dengan sebelah mata sahaja walaupun macam-macam perkara dan usaha telah PAS lakukan. Bagi mereka para pemimpin PAS di kawasan-kawasan masih berjiwa kecil dan penyegan untuk diharap dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu kerana ketrampilan diri yang meleset dan tidak menyakin. PAS bagi segelintir mereka 'so close yet so far'.

Oleh sebab itu seluruh ahli PAS dan kepimpinan PAS mesti berjiwa besar dan sentiasa ke hadapan dalam menyantuni rakyat. Dan bilangan sukarelawan kempen serta perayu undi perlu dicari segera untuk menemui setiap individu pengundi, jika tidak sokongan  untuk dimiliki PAS, bermasalah!

Hari ini gelombang telah ada, tetapi apakah PAS sedang terkapai-kapai dalam gelombang tersebut?

No comments: