Amat molek kiranya pandangan Dr Mazlee Malik di
bawah sana diambil kira tanpa sebarang prasangka, buat menghadapi PRU -13 ini.
Ini adalah kerana PRU – 13 adalah PELUANG PALING BAIK yang dimiliki buat
menghumban kerajaan yang telah hilang wibawa, boros, rasuah dan zalim. Adalah
menjadi tanggungjawab wajib bagi seluruh pemimpin yang tulin dan berwawasan serta rakyat yang
cintakan integriti untuk mendahulukan usaha menghumban kerajaan yang terlalu
banyak tidak kena ini, yang sedang berada di hadapan mata kita hari ini.
Betul, perjuangan kita dalam menegakkan hudud Allah
tiada siapa boleh sangkal sejak dari awal penubuhan kita dan kita akan terus
memperjuangkannya walau bagaimana getir tribulasi yang terpaksa dihadapi. Namun meneruskan polimik hudud dalam keadaan kita lemah dan
kalah lagi lepas PRU ke 13 adalah langkah yang meletakkan kita terus dalam keadaan lemah untuk menegakkan hudud itu.
Oleh yang demikian eloklah pula kita cuba
membincangkan hudud dalam keadaan kita telah menguasai Putrajaya iaitu dalam keadaan kita menang pula. Hakikatnya
pada hari ini kita belum kuasai Putrajaya iaitu kita belum menang untuk kuasai dan mempengaruhi parlimen dan kali ini peluang untuk
menguasai dan mempengaruhi itu terbuka luas!
Oleh yang demikian, jika kita jangkakan mengikut hukum akal dari suasana politik hari ini atau mungkin dari segi tektikalnya, isu hudud ini mampu menggagalkan peluang kita untuk kuasai Putrajaya akibat daripada tentangan
kuat mereka yang mahu menentang dan golongan yang cuba memberi pandangan yang salah
dan keliru tentangnya, elok sangat kita nokhtahkan seketika isu ini, biar kita
usahakan kemenangan PRU terlebih dahulu secara lebih fokus dan bersungguh-sungguh.
Jangan lepaskan PELUANG TERBAIK YANG KITA MILIKI
HARI INI kerana kita bimbang peluang seumpama ini tidak akan datang lagi buat
PAS yang bukan sekadar jemaah Islami malah juga merupakan sebuah PARTI POLITIK yang mana PARTI POLITIK AMAT memerlukan
UNDI...UNDI daripada sebarang jenis dan latar belakang manusia yang boleh mengundi di
Malaysia ini.
Ingat, jangan cepat berprasangka, kerana dalam
sebuah peperangan kita bukan hanya cukup sekadar memerlukan keberanian tegar dan
‘kerah keng’ semata-mata tetapi kita juga memerlukan tektikal yang sesuai buat
memperolehi kemenangan. Itu pun jika kita merasakan kemenangan dalam PRU ke 13
penting untuk kita, buat mendidik dan membela rakyat jelata seterusnya dan untuk memperjuangkan hudud dengan lebih berkesan berbanding dengan apa yang kita miliki hari ini!
Namun demikian, jika
kita merasakan kemenangan PRU ke 13 ini belum atau tidak penting lagi buat kita
sebagai PARTI POLITIK....sebagai PARTI POLITIK yang bertanding dalam Pilihanraya, yang memerlukan undi pengundi, teruskanlah polimik hudud
yang tidak berkesudahan dalam keadaan kita masih lemah kuasa politik ini,
mudah-mudahan dengan mengharap nasib baik, kita harap kita menang!
Namun bagi saya pandangan Dr Mazlee ini cantik sangat untuk dijadikan panduan dan ingatan. WaLlahu aklam!
Berita dipetik:
Hudud
bukan isu sebenar menjelang PRU – 13
Mazlee
Malik 28 Ogs 2012
1. Semua
parti politik di Malaysia perlu menghentikan polemik mengenai hudud. Samada
PAS, UMNO, MCA mahupun DAP perlu berhenti menjadikan isu hudud sebagai
‘punching bag’ mereka menjelang PRU 13.
2. Ditakuti, perbincangan yang tiada kesudahan oleh pihak-pihak yang masih
tidak jelas tentang hakikat sebenar hudud ini hanya akan membawa kepada
‘Islamophobia’ di kalangan masyarakat non-Muslim seperti yang disuarakan oleh
pihak Angakatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
3. Hakikatnya, isu perlaksanaan hudud memerlukan perbincangan yang lebih
panjang dan bukannya sekadar isu politik semata-mata.
Peranan Majlis Raja-Raja yang menjadi ketua agama di negeri masing-masing perlu
diambil kira. Begitu juga dengan mekanisme yang berpotensi menjadi pelaksana
undang-undang hudud seperti Mahkamah Syariah, Majlis agama di negeri-negeri,
peguam-peguam Syariah dan pihak keselamatan juga perlu diambil kira.
Apakah mereka sendiri telah bersedia? Atau apakah mereka juga sudah mempunyai
kemampuan untuk menjadi pelaksana kepada undang-undang hudud jika ia
dilaksanakan nanti?
4. Hakikatnya juga samada BN atau PR yang menang PRU13, tiada siapa yang akan
mampu melaksanakan hudud serta merta, apatah lagi ahli politik veteran yang
tidak lagi mempunyai kuasa seperti Tun Dr Mahathir.
5. Apa yang pasti ialah PAS bersendirian sahaja tidak akan dapat memaksakan
perlaksanaan hudud tanpa sokongan dua pertiga ahli parlimen untuk pindaan
perlembagaan.
Begitu juga pihak UMNO, yang hanya segelintir sahaja ahlinya bersetuju dengan
hudud juga tidak akan mampu membuat pindaan perlembagaan.
Hatta jika digabungkan suara PAS dan segelintir ahli UMNO yang pro-hudud
sekalipun, mereka tidak akan dapat membentuk majoriti dua pertiga yang
diperlukan untuk meminda perlembagaan untuk perlaksanaan hudud.
6. Realiti yang tidak boleh dinafikan ialah PAS telah sinonim dengan hudud dan
telah berusaha sedaya upaya untuk mengotakan janji mereka.
Kedua-dua enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu adalah bukti komitmen
mereka. Halangan mereka ialah pihak kerajaan persekutuan yang enggan meluluskan
di bawah pemerintahan Tun M, dan juga halangan perlembagaan.
Di dalam isu ini, PAS tidak pernah mengkhianati janji mereka dan tidak
sekali-kali menggadaikan prinsip mereka berhubung isu hudud. Hal ini patut
diterima akur oleh semua pihak, termasuk PAS sendiri.
7. Maka, jika PAS mengambil sikap berulang-ulang melaungkan isu hudud secara
defensif tanpa bergerak menawarkan sesuatu yang lebih luas melalui konsep
kefahaman ‘Politik Islam’ yang lebih syumul atau komprehensif, ianya bukanlah
satu langkah politik yang produktif.
Lebih molek jika PAS berusaha menerangkan konsep ‘Negara Berkebajikan’ mereka
kepada rakyat Malaysia yang lebih diterima semua pihak.
Malah konsep tersebut merupakan ijtihad politik Islam kontemporari yang amat
bernilai hatta di peringkat antarabangsa sekalipun.
8. Menjelang PRU13 eloknya parti-parti politik dari kedua-dua BN dan PR
menumpukan pada isu tatakelola kerajaan, isu polisi, isu dasar, isu rasuah, isu
ketirisan, isu dana awam, isu hala tuju negara, isu dasar luar negara yang
tidak bermaya, isu ekonomi negara, isu harga barang, isu pendidikan, isu PTPTN,
isu alam sekitar, isu royalti minyak di Kelantan, Sabah dan Sarawak, dan juga
isu-isu yang lebih melibatkan kehidupan seharian dan yang melibatkan semua
rakyat Malaysia tanpa kira bangsa, agama dan latar belakang.
Semua parti-parti politik perlu mengelakkan isu bersifat ‘red herring’ yang
hanya akan melarikan rakyat dari isu sebenar yang melibatkan kepentingan
bersama semua pihak.
9. Media juga diharapkan agar dapat menjadi medium untuk mendidik rakyat agar
bersikap matang, berpolitik secara bertamadun, serta menjadi wahana politik
baru yang berdasarkan hujah, fakta dan rasional.
Memanjang isu yang lebih bersikap polemik tanpa membuahkan hasil yang konkrit
tidak akan membawa rakyat ke mana-mana.
-----------------------------------------------------------------------
* Dr Maszlee Malik adalah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM)