Iyaa...kalau tidak buat benda-benda bengong ni bukan Umno dan puak-puak Umno namanya, sebab Umno dan puak-puaknya, hobi mereka suka buat benda-benda bengong macam ni!
Orang yang menuduh terlepas dari beban pembuktian sebaliknya orang yang kena tuduh pulak dipertanggungjawabkan dengan beban tersebut. Tak ke bengong?
Suami Sharizat anak beranak yang tidak amanah urus NFC belum apa-apa lagi, Rafizi yang dedah penyelewangan NFC dan tentang rasuah, segera di dakwa! Tak ke bengong?
DAP tentang hudud kerana bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia, jadi kapir harbi. MCA yang tentang hudud kerana hudud undang-undang Islam tidak pulak menjadi kapir harbi. Tak ke bengong?
PAS yang istiqamah memperjuangkan hudud, dituduh Umno terpesong daripada perjuangan Islam, Umno yang tidak mahu hudud dianggap memperjuangkan Islam! Tak ke bengong?
Memang Umno dan puak-puaknya suka benda-benda bengong ni! Memang bengonglah! Kalau tidak bengong bukan Umno lah!
Berita dipetik:
Seksyen 114A: Undang-undang kandang lembu
Izmil Amri. Roketkini.com 13 Ogs 2012
Kalau
kita ini tuan kedai, dan kita tangkap seorang anak muda mencuri coklat,
kemudian mahu didakwa anak muda itu di mahkamah; adalah menjadi tanggungjawab
tuan kedai untuk membuktikan bahawa coklat yang yang dicuri itu miliknya, dan
hak milik itu dirampas tanpa izinnya. Mudah begitu.
Kalau
kita ini tuan kedai, dan ada anak muda lalu di depan kedai kita dengan memegang
sekeping coklat yang kebetulan dijual di kedai kita, adalah tidak masuk akal
untuk kita mengheretnya ke mahkamah dan menyuruh si anak muda itu untuk
membuktikan bahawa coklat yang dipegangnya itu tidak dicuri dari kedai kita.
Ini
undang-undang mudah. Arwah Tan Sri Harun Hashim, apabila disoal tentang apa itu
undang-undang dalam fahamnya, beliau menjawab bahawa undang-undang itu ‘common
sense‘. Bukan setakat ‘common sense‘ dalam erti kata sesuatu yang
‘masuk akal’, bahkan mencakupi apa yang dipanggil ‘kesepakatan umum’.
Undang-undang
mesti masuk akal dan disepakati umum
Undang-undang
dibentuk atas sesuatu yang disepakati umum. Kalau umum tidak sepakat, ia tidak
jadi norma dan lantas tidak cukup haul untuk diangkat sebagai umum. Kenyataan
ini masuk akal. Kalau pekerjaan mencuri itu disepakati umum sebagai satu
kesalahan, maka salahlah mencuri itu.
Kalau
pekerjaan pakai kasut di kepala itu disepakati sebagai salah, maka bolehlah
dikanunkan dan dijadikan undang-undang. Itu konsep kesepakatan umum dalam
memahami makna fungsi undang-undang.
Jadi
dalam kesepakatan umum selama ini, seorang yang dituduh dengan sesuatu
kesalahan adalah tidak bersalah sehingga benar-benar terbukti bahawa dia
bersalah; bukan sebaliknya.
Konsep
ini difahami pepatah undang-undang, Ei incumbit probatio qui dicit, non qui
negat; cum per rerum naturam factum negantis probatio nulla sit – yang
mafhumnya ialah beban bukti letaknya pada yang mendakwa, bukan pada yang
dituduh atau menafi, kerana memang fitrahnya, yang menafikan dakwaan selalunya
payah untuk membawakan bukti.
Jika
sebaliknya, maka memang terbaliklah sistem manusia ini. Bayangkan, siapa sahaja
boleh ditangkap polis, untuk apa sahaja kesalahan sehingga dia boleh buktikan
yang dia tidak bersalah.
Sistem
yang begitu pastilah tidak adil, bukan?
Namun
malang bagi kita yang mendiam di negara Malaysia yang diterajui United Malays
National Organisation ini, pihak pemerintah sedang cuba berfikir dan bertindak
secara tidak adil. Ini sebenarnya amat mudah bagi mereka, kerana memang sudah
menjadi kelaziman bagi pemerintah untuk berlaku zalim.
Lihat
sahaja undang-undang jahat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dahulu
yang membenarkan sesiapa sahaja ditangkap dan dipenjara tanpa perlu
dibicarakan.
Jadi
pemerintah yang nakal ini beberapa bulan lalu telah membuat sebuah pindaan
kepada Akta Keterangan 1950 yang membuatkan dunia kita semua bakal terbalik.
Pindaan tersebut dikenali sebagai Seksyen 114A.
Apa itu
Seksyen 114A?
Seksyen
114A adalah satu daripada dua pindaan terhadap Akta Keterangan yang
dibentangkan di parlimen April lalu dan telah digazetkan pada 31 Julai 2012.
Tujuan seksyen ini dipinda katanya adalah khas untuk bertindak terhadap
bahan-bahan ‘berbahaya’ di internet. Pindaan tersebut memudahkan pihak berkuasa
mendakwa mana-mana pihak yang menyiarkan sesuatu yang memfitnah atau menghasut
di internet.
Pindaan
terbaru ini meletakkan kebertanggungjawaban kepada pemilik atau penyelaras
blog, forum yang membolehkan orang lain menyiarkan komen; pembekal internet dan
pembekal webhosting serta mereka yang memiliki komputer atau alat untuk
menyiarkan bahan secara online.
Sebagai
contoh sekiranya ada apa-apa kenyataan fitnah yang boleh dijejak kembali kepada
kata laluan anda, atau alat elektronik anda, bahkan rangkaian internet rumah
anda; Seksyen 114A memberi tanggapan bahawa anda bersalah sehingga anda dapat
membuktikan sebaliknya. Ini bersalahan dengan tanggapan tidak bersalah sehingga
terbukti bersalah seperti yang menjadi amalan kehakiman selama ini di seluruh
dunia.
Justeru
pindaan gila ini secara tidak adil memindahkan beban bukti kepada pengguna
internet yang mungkin didakwa secara salah, untuk sebarang kenyataan fitnah
atau menghasut yang terbit daripada rangkaian internetnya. Malah pentadbir
forum-forum juga boleh dikenakan tindakan untuk kenyataan-kenyataan yang
diterbitkan di laman forum mereka.
Apa yang
lebih buruk ialah seandainya rangkaian internet seseorang digodam dan digunakan
untuk menyiarkan bahan-bahan tersebut.
Inilah
yang bakal berlaku…
Bayangkan
seorang nenek yang sendirian di rumah, hanya guna internet untuk buka YouTube
buat belajar memasak atau mengait; tiba-tiba sahaja pintu rumahnya diketuk
polis. Mengapa? Kerana ada kenyataan yang menghasut diterbitkan dari rangkaian
WiFi rumahnya yang digodam orang.
Jadi
pindaan sebegini ini adalah gila dan tidak masuk akal. Undang-undang begini
adalah undang-undang bobrok dan zalim yang mengekang kebebasan bersuara rakyat
jelata.
Pemerintah
yang mengekang kebebasan rakyat bersuara dan mengkritik ini adalah pemerintah
yang selayaknya dihumbankan ke jurang paling dalam apabila selesai sahaja
Pilihanraya Umum akan datang.
Kesannya
nanti, orang akan takut untuk bersuara dan tidak lagi berani mengkritik. Malah
blog-blog juga akan terpaksa menapis komen-komen dengan lebih tegas. Apa dia
garis pemisah antara fitnah, hasut dengan ayat-ayat kritikan dan penegasan
untuk mencabar pemerintah yang menzalimi rakyatnya? Ini semua hanya berhak
ditafsirkan oleh pemerintah sendiri.
Maka akan
takutlah sekalian hamba rakyat untuk mempersoal tindakan pemerintah. Akan
tutuplah WiFi percuma di tempat-tempat lepak awam, risau rangkaian internetnya
nanti digunakan untuk menulis ayat-ayat bahaya yang menggugat pemerintah. Di
mana lagi kami semua nak lepak minum the tarik nanti kalau sudah tak ada WiFi
percuma?
Bukan
sahaja media massa dikawalnya, internet juga mahu dikawalnya. Ini pemerintah
jenis apa ini?
Tetapi
apabila pecacainya sendiri menyiarkan fitnah dan tohmah, kebal pula mereka itu
daripada tindakan undang-undang. Lihat sahaja bagaimana mereka menggerakkan
tentera siber dan media sosialnya untuk memfitnah dan menyebar berita palsu
secara berleluasa, dan tidak pula memberi ruang untuk diskusi dan jawapan
balas.
Ini halal
pula? Tidak pula dihukum kafir harbi? Undang-undang tidak menyalahkan mereka?
Ini undang-undang apa? Undang-undang kandang lembu? Mungkin lembu lebih mulia
daripada segelintir manusia kemaruk kuasa yang berhati busuk serta zalim kerana
sanggup mengongkong rakyat sendiri.