Walau apa
pun alasan yang diberikan oleh Nazri Aziz, sesungguhnya penarikan balik RUU
(Pindaan) Akta Kesalahan Pilihanraya yang telah dibahas pada 19 April lalu selama
hanya 7 jam, telah membuktikan bahawa semua pandangan Ahli-ahli Perlimen
Pakatan Rakyat yang menolak RUU itu, sewaktu perbahasan dulu adalah betul dan
tepat. Ia juga membuktikan bahawa pandangan dan perbahasan Ahli-ahli Parlimen
UBN adalah salah, gopoh, songsang, keterlaluan dan sia-sia.
Penarikan
balik RUU itu juga membuktikan betapa Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat bersungguh-sungguh
dan serius dalam segala kerja buat mereka ke arah mewujudkan Malaysia yang adil
dalam parlimen, tetapi sebaliknya di pihak Ahli-ahli Parlimen UBN hanya bersikap
main-main dan mempermainkan kesungguhan mewujudkan Malaysia yang adil dan
saksama.
Akibat
dari sikap bodoh sombong Kerajaan UBN dalam kegelojohan menggubal dan mahu
melaksanakan undang-undang yang umum sedar dengan jelas tidak bermaruah lagi
tidak adil, akhirnya UBN sendiri mendapat malu besar. Degil tidak mau mendengar
nasihat walaupun ikhlas adalah antara sikap kerajaan UBN paling buruk. Sewaktu
perbahasan dahulu UBN merasakan dirinya bagaikan ‘malaikat’ yang cukup sempurna.
Dan bukan
satu yang memeranjatkan bahawa penarikan
balik RUU oleh kerajaan UBN itu adalah
hasil kejayaan Himpunan Aman Rakyat Bersih 3.0. Bersih 3.0 akan terus ajak
rakyat berhimpun aman dimasa akan datang demi Malaysia dan pilihanraya yang
adil sedangkan Umno mengadakan himpunan di Stadium Bukit Jalil hanya untuk membuktikan
bahawa United Malay National Organisation masih hidup dan masih ada orang yang
sudi menyokong!
Sekarang ini
setelah RUU telah ditarikbalik, kita menunggu pula bila lagi Pengerusi Umno SPR
dan Timbalan Pengerusi Umno SPR hendak meletak jawatan kerana mereka memang perlu
meletak jawatan kerana mereka sah Umno!
Syabas
Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Syabas Bersih 3.0!
Rang
Undang-Undang Kesalahan Pilihan Raya Ditarikbalik Kerana Rumit - Nazri Aziz
KUALA KANGSAR: Penarikan balik Rang Undang-undang (Pindaan) Akta
Kesalahan Pilihan Raya yang dipersetujui secara bersama antara Suruhanjaya
Pilihan Raya, kerajaan dan pihak pembangkang dibuat apabila kesemua pihak
mendapati proses pindaan itu merumitkan, kata Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Beliau
berkata proses pindaan itu merumitkan, tambahan pula apabila Dewan Negara turut
meminta dua lagi pindaan baru, yang perlu dikemukakan semula kepada Dewan
Rakyat untuk dibentang serta dibahaskan bagi tempoh tiga bulan, jika tidak ia
akan luput.
"Apabila
kita bawa ke Dewan Rakyat ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju.
Pihak kerajaan, SPR dan pembangkang membuat tiga pindaan di peringkat
jawatankuasa.
"Apabila
dibawa ke Dewan Negara untuk dibentang dan dibahaskan pihak senator tidak
setuju dan meminta dua lagi pindaan," katanya kepada pemberita selepas
selepas berucap pada program Profesional Guru-guru Daerah Kuala Kangsar Zon
Padang Rengas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak di Padang Rengas di
sini, Sabtu.
Katanya
perbincangan mendapati proses lima pindaan itu dilihat merumitkan dan jemaah
Kabinet memutuskan rang undang-undang itu tidak diteruskan dan ditarik balik.
"Bila
keputusan kerajaan begitu, saya memanggil (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim)selaku
ketua pembangkang untuk berjumpa dan bersama dengan SPR. Anwar kebetulan ke
Bahrain dan sedia hantar Lim Kit Siang (untuk berbincang).
"Saya
kata ada lima pindaan, kalau boleh anda setuju (untuk) kita tarik balik, sebab
ia terlalu 'messy' (kelam kabut), nak kena bawa balik, kena bahas balik. Tapi
walaupun kerajaan dan pembangkang bersetuju, SPR badan bebas, kita perlu
dapatkan persetujuan SPR dan kita maklumkan kedua-dua persetujuan,"
katanya.
Mohamed
Nazri berkata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof turut memaklumkan
jika lima pindaan perlu dilakukan, rang undang-undang berkenaan sudah tidak
bermakna dan SPR kemudiannya turut bersetuju ia ditarik balik.
"Apapun
keputusan yang telah dicapai telah dibuat secara bersama, kita tidak boleh kata
apabila Kabinet buat keputusan (ia muktamad). Kita mesti bincang dengan
pembangkang dulu dan dengan persetujuan SPR baru boleh (tarik balik). SPR badan
bebas, kalau dia kata teruskan, kita tiada pilihan, kita perlu teruskan,"
katanya.
Rang
Undang-undang itu dibentangkan pada 9 April lepas di mana pindaan berkenaan
bertujuan menambah baik proses pengundian termasuk menjauhkan lagi tempat bagi
orang ramai menunggu atau berada dekat pusat mengundi pada hari mengundi dari
50 meter kepada 100 meter kecuali bagi mereka yang masuk untuk mengundi.
Dewan
Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang tersebut pada 19 April setelah
dibahaskan oleh Anggota Parlimen selama tujuh jam. -BERNAMA
Sumber:mstar.com.my