Followers

Saturday, December 01, 2012

Tak payahlah sampai nak berperang Jib!

Mengapalah Datuk Najib begitu tertekan sehingga pilihanraya yang berlaku dalam tempoh lima tahun sekali, bagi sistem demokrasi negara ini dianggap sebagai peperangan yang perlu dilakukan secara habis-habisan. 

Tidak mungkinkah pengisytiharan perang Najib, terhadap parti lawan kepada Umno/Bn, dalam sebuah sistem pilihanraya yang sepatutnya dilaksanakan secara biasa sahaja akan mengakibatkan berlakunya pelbagai tindakan serangan yang sebenar-benarnya dan membahayakan?

Kita sangat bimbang pengisytiharan perang Najib ini telah pun selama ini diisyaratkan melalui pelbagai kejadian provokasi awal yang telah dan sedang berlaku seperti kes bas jelajah rakyat disimbah cat merah, kes serangan dan halangan bas konvoi jelajah PKR, kes lontar kasut dalam masjid, kes simbah cat rumah Pengerusi ANAK, pelbagai ganguan terhadap ceramah Pakatan Rakyat dan seumpamanya. Jika itulah maksud pengisytiharan perang oleh Najib, maka ia amat merbahaya kepada ketenteraman dan keselamatan negara!

Pada waktu ini setiap himpunan rakyat yang dianjurkan oleh Pakatan rakyat akan dihadiri oleh puluhan ribu malah ratusan rakyat, maka apakah itu juga bermakna Najib mengisytihar perangnya terhadap rakyat sendiri yang sedang bergelombang bersama Pakatan Rakyat di mana-mana sahaja di seluruh negara?
Jika benar begitu maka sekali lagi amat malang bagi rakyat Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri yang gagal berlapang dada dalam proses pilihanraya yang biasa bagi sebuah sistem demokrasi.

Dan paling utama ialah amat malang kepada Umno kerana pengisytiharan perang Najib itu juga akan memberi petanda bahawa Umno akan mati untuk terus tak akan hidup-hidup lagi buat selama-lamanya!




Najib isytihar perang habis-habisan terhadap Pakatan

Ahmad Fadli KC  Dis 1 2012

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap Pakatan Rakyat dengan laungan slogan anti-Pakatan dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno hari ini.

"Satu undi untuk PKR satu undi untuk kerosakan akidah dan sosial!," laung Najib di hadapan perwakilan perhimpunan yang berdiri sebagai tanda penghormatan kepada.

Laungan anti-Pakatan itu diteruskan lagi dengan menyamakan tindakan mengundi PAS dengan kemerosotan Islam, dan undi DAP dengan penindasan bangsa Melayu.

"Satu undi untuk PAS bermakna satu undi untuk kehancuran Islam!

"Satu undi untuk DAP maksudnya satu undi untuk penindasan bangsa tercinta!," laung Najib lagi disambut sorakan dari para perwakilan.

Sebelum itu, Najib turut merakamkan penghargaannya kepada pejuang siber Umno yang bertungkus-lumus melawan perkara yang disifatkannya sebagai fitnah di laman sosial.

"Segala fitnah ini dalam laman sosial, jadi kita kena menguasai laman sosial," katanya.

Dalam ucapannya, Najib turut menegaskan bahawa beliau sentiasa bersedia mendengar suara orang muda yang membentuk 20 peratus daripada pengundi baru.

"Orang muda turun ke jalan, saya pun turun duduk di jalan... tengok bola," katanya.

Najib turut bersetuju dengan cadangan sayap Pemuda dan Puteri agar Umno menubuhkan akademi kepimpinan.

Bagaimanapun, akademi itu perlu memberikan lebih tumpuan kepada pengisian berbanding kemudahan latihan untuk melatih pemimpin masa akan datang, tegasnya.

"Kita boleh gunakan pusat latihan yang sedia ada yang pentingnya pengisian yang ada.

"Dengan ini kita akan sediakan barisan lebih ampuh untuk hadapi cabaran akan datang," katanya.

Sumber: malaysiakini

No comments: