Followers

Sunday, December 16, 2012

Pendirian PAS tidak jelas?

Dalam hubungan dengan DAP, prinsip PAS sangat jelas. Hal ini telah berkali-kali dinyatakan oleh Presiden dan kepimpinan PAS. PAS tidak pernah berselindung dalam menyatakan prinsip yang dipegang dan diperjuangkan secara tegas tanpa tolak ansur. SEMUA pihak sangat tahu dan sangat faham hal ini.

Tuan Guru Presiden PAS menyatakan, "Pluralisme itu merupakan kehidupan manusia yang kita tidak boleh paksa dan kita tegas dengan agama kita sendiri kerana ALLAH TAALA membawa dua pendekatan. Pertama, tiada agama yang ALLAH terima melainkan Islam.

"Yang kedua, tiada paksaan dalam agama dan sebab itu dalam negara Islam diizinkan bukan Islam jadi rakyat."

Tuan Guru Presiden menegaskan lagi, kerjasama PAS dan DAP berlaku atas titik persamaan dengan membiarkan hak masing-masing dalam perkara berbeza termasuklah soal hudud.

"Kita bersama-sama DAP dalam menentang kezaliman, menentang ISA, OSA, penyelewengan ekonomi, rasuah, itu sama. Hudud dan kisas itu tidak sama."

Demikian pendirian PAS yang jelas, mudah difahami dan cukup tegas.

Maknanya dalam soal memartabatkan keadilan Islam dan aqidah, PAS tidak pernah dan tidak akan bertolak ansur sama ada pihak lain suka atau pun tidak suka, sama ada pihak lain merasakan PAS rugi atau pun untung.  

Kesimpulan yang jelas, jika takdirnya berlaku kerjasama atau mungkin perpisahan, dengan DAP atau mana-mana parti politik dengan PAS selama ini atau selepas ini, ianya adalah atas dasar dan prinsip tersebut yang berpandukan kepada nas al Quran dan Hadis sebagai sumber panduan utama PAS.

Hanya Umno dan pencacainya sahaja yang begitu benak untuk memahami prinsip PAS ini sebagaimana kabur dan kelirunya serta kluk-kleknya prinsip Umno dalam Barisan Nasional selama ini.

Berita diulas:

PAS tak kisah gambaran DAP

KUALA TERENGGANU –Pas tidak kisah gambaran DAP berhubung kerjasama antara kedua-dua parti itu, termasuk menyifatkan hubungan mereka berdasarkan atas prinsip pluralisme atau kepelbagaian agama.

Perkara itu dijelaskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan pluralisme merupakan satu bentuk fahaman yang tidak boleh dipaksa.

Bagaimanapun, beliau meminta orang Islam supaya berpendirian tegas
terhadap agama sendiri.

“Pluralisme itu merupakan kehidupan manusia yang kita tidak boleh paksa dan kita tegas dengan agama kita sendiri kerana ALLAH TAALA membawa dua pendekatan. Pertama, tiada agama yang ALLAH terima melainkan Islam.

“Yang kedua, tiada paksaan dalam agama dan sebab itu dalam negara Islam diizinkan bukan Islam jadi rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Himpunan Kebangkitan Rakyat Pas Ganti Umno 6.0 di Paka, semalam.

Majlis dirasmikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan dihadiri pimpinan Pas.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menjelaskan, kerjasama Pas dan DAP berlaku atas titik persamaan dengan membiarkan hak masing-masing dalam perkara berbeza termasuklah soal hudud.

“Kita bersama-sama DAP dalam menentang kezaliman, menentang ISA, OSA, penyelewengan, ekonomi, rasuah. Itu sama, hudud dan kisas itu tidak sama.

“Bahkan kita kemukakan Undang-Undang Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu di mana kita buat kelonggaran yang diizinkan Islam, dengan orang bukan Islam boleh pilih mana undang-undang yang dia mahu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments: