Followers

Sunday, August 05, 2012

Tanda Putera membuktikan Umno masih tidak sedar

Dengan menerbitkan filem Tanda Putera arahan Suhaimi Baba apakah sebenarnya yang Umno mahu? Apakah itu menandakan salah satu bentuk aktiviti Umno sebagai konon parti Melayu dalam memperjuangkan maruah dan ketamadun Melayu?

Rasanya Umno sekali lagi melakukan kesilapan. Kesilapan demi kesilapan kian menjadi makanan Umno Baru! Amat dibimbangi filem Tanda Putera itu akan menambahkan lagi kerja siri pembohongan sejarah Tanah Melayu. 

Katakanlah, kalau pun ianya benar berlaku, apakah pengajaran kepada bangsa Melayu dalam keadaan Umno seringkali memperbodoh, mempermain, menggadai harta dan membohongi bangsa sendiri. 55 tahun merdeka dalam keadaan Umno berkuasa untuk meletakkan bangsa ini ke tahap yang cemerlang ianya langsung tidak menjadi kenyataan. 

Apa cemerlangnya Bangsa Melayu di bawah pemerintahan Umno selama 55 tahun? Dalam bidang ilmu pengetahuan, bangsa Melayu masih jauh ketinggalan. Masih memerlukan tongkat di sana-sini! Bangsa mana yang masih paling ramai mendapat ijazah kelas tiga? Bangsa mana yang paling kurang menguasai bidang profesional dalam negara? Dalam bidang ekonomi, bangsa Melayu sangat menyedihkan, hanya kroni yang terus kaya raya. Rakyat bawahan mahu berniaga kecil-kecilan pun begitu sukar dan payah. Dalam aspek sosial dan moral, cuba lihat bangsa mana yang paling ramai penagih dadah dan menjadi penghuni Pusat Serenti? Bangsa mana yang paling ramai anak luar nikah? Bangsa mana yang paling ramai menjadi banduan? Dan terlalu banyak bukti bahawa Umno pada hakikat gagal meletakkan bangsa ini di tahap yang bermaruah dan berintegriti.

Apa yang Umno sering lakukan hanyalah perkara-perkara retorik yang tidak langsung menyumbang kepada kehebatan bangsa itu dalam survival dan penghormatan global.

Adalah lebih baik buat Umno daripada merestui filem seumpama Tanda Putera itu, melakukan segera usaha memartabatkan penghayatan Islam dalam kalangan orang-orang Melayu dengan umpamanya membebaskan Institusi Masjid dari pengaruh jahil Umno agar Institusi Masjid menjadi pemangkin kemajuan ummah.

Adalah lebih baik bagi Umno berusaha gigih bersama PAS memahamkan seluruh rakyat akan hukum syariat Islam yang penuh dengan pendidikan dan kerahmatan. Bukan berdolak-dalih dan membuat fitnah yang tidak mendatangkan faedah kepada kekuatan bangsa Melayu.

Adalah lebih baik bagi Umno berusaha gigih membuktikan rasa cinta kepada Bahasa Melayu dan meletakkan kembali Bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu, ekonomi serta bahasa perpaduan yang dihormati oleh seluruh rakyat.

Adalah lebih baik bagi Umno berusaha kembalikan begitu banyak tanah-tanah rezab Melayu yang mereka gadai dan segera majukan ekonomi bangsa Melayu secara mapan dan tuntas bukan hanya banyak bercakap kosong, retorik dan berkempen secara mengarut dan murahan.

Adalah lebih berfaedah buat bangsa Melayu sekiranya Umno menjadikan bangsa ini lebih maju dan berintegriti dalam bidang pendidikan, ilmu, sukan, ekonomi, agama dengan menyerahkan kepada profesional dan pakar bangsa Melayu untuk memikirkan peningkatan martabat bangsa mereka secara lebih profesional tanpa semuanya mahu digangggu, dicampurtangan dan dipolitikkan oleh Umno demi kepentingan politik murahan dan tamak haloba.

Perjuangan memartabatkan maruah bangsa Melayu bukanlah dengan pembikinan filem seumpama Tanda Putera arahan Suhaimi Baba itu.  Sesungguhnya membiarkan filem seumpama Tanda Putera 'menghasut' rakyat untuk menjadi marah kepada antara mereka tidak membantu langsung pembinaan negara Malaysia yang sudah Umno sendiri bentukkan sejak dari dahulu hingga menjadi seperti hari ini. Rakyat pelbagai kaum akan rugi dan Umno sendiri tidak dapat untung langsung!

Cukup dan sedarlah wahai Umno. Marilah ber-sebangsa, senegara dan sejiwa!


No comments: