Followers

Tuesday, August 21, 2012

Pelan Tindakan Pendidikan Kebangsaan bakal menjadi lubuk berkubang para kroni?



Perdana Menteri Najib akan lancarkan pelan tindakan pendidikan kebangsaan pada 11 September 2012.

Diharap pelan ini tidak menjadikan pendidikan negara sebagai satu bidang yang eksklusif yang tidak memberi banyak kebaikan kepada pendidikan penduduk luar bandar dan miskin. Tidak ada gunakannya pelan tindakan pendidikan yang akhirnya akan terus melahirkan perbezaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, yang kaya terus kaya dan yang miskin terus miskin.

Apa ertinya pelan tindakan pendidikan kebangsaan jika sekiranya minda rakyat terus diasak dengan mitos bahawa Umno dan Bn adalah segala-galanya dalam proses kemerdekaan negara ini sehinggakan tema hari kebangsaan pun (55 tahun janji ditepati!) memunahkan mood dan amat mengganggu fokus rakyat untuk menyambut sama hari kemerdekaan negara.

Isu pendidikan yang sebenarnya adalah:

# Pendidikan negara tidak realistik dan tidak mampu melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran,

# Pendidikan negara begitu longgar dari aspek pembinaan akhlak, moral serta jati diri generasi akan datang,

# Pendidikan negara semakin menjadi bahan perniagaan yang menyusahkan rakyat, 

# Pendidikan negara tidak pernah mengambil kira hasrat, kehendak hati nurani dan budaya rakyat terbanyak terutama bangsa Melayu dan bumiputra sebagai bangsa utama dalam negara ini.

# dan yang paling dahsyat ialah dasar pendidikan negara diganggu-comot oleh kerja-kerja politik yang tidak bertanggung-jawab demi kepentingan politik rakus parti pemerintah yang sentiasa menjadikan setiap perancangan pendidikan bagaikan tikus membaiki labu!

Apakah pelan Tindakan Pendidikan Kebangsaan ini juga penuh dengan tangan ghaib politik murahan yang bakal mencomotkannya terus-terusan? Kita lihatlah nanti!

Berita dipetik:

Selasa Ogos 21, 2012

PM Akan Lancar Pelan Tindakan Pendidikan Kebangsaan September Ini 

Oleh HAMDAN RAJA ABDULLAH

MUAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan pelan tindakan pendidikan kebangsaan pada 11 September ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dokumen tersebut yang terdiri daripada pandangan, cadangan dan maklum balas untuk mempertingkatkan sistem pendidikan negara.

“Selepas pelancaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pelan tindakan ini akan dipaparkan untuk dilihat orang ramai.

“Beberapa kandungan turut akan dimuktamadkan sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet menjelang akhir tahun,” katanya pada rumah terbuka Hari Raya beliau di Pagoh, Isnin.

Beliau berkata, bekas ketua pengarah pelajaran, Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin yang mengetuai panel memudahkan siri dialog di seluruh negara, telah menerima beribu-ribu cadangan.

“Sesi berkenaan dikendalikan oleh pihak berkepentingan di seluruh negara sepanjang tempoh tiga bulan,” kata Muhyiddin.

Salah satu cadangannya adalah daripada Najib sendiri dan ia melibatkan pengenalan Kesusasteraan Inggeris bagi meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.

Muhyiddin berkata, perubahan itu akan mengalakkan para pelajar untuk membaca dalam bahasa Inggeris dan membantu mereka menguasai bahasa itu dengan lebih cepat.

Pelaksanaan pelan tindakan itu melibatkan tiga peringkat sepanjang tempoh 13 tahun dengan kursus pertama akan dijalankan untuk tiga tahun, kedua dan ketiga bagi tempoh lebih lima tahun.

“Semasa tempoh tiga tahun pertama, keutamaan diberikan kepada semua aspek pendidikan yang boleh memudahkan pelaksanaan dan di mana ia akan memberi kesan tanpa mengubah struktur keseluruhan atau menanggung implikasi kewangan yang besar,” tambahnya.

Kerajaan telah memperkenalkan sebuah panel pada tahun lalu, melibatkan pakar pendidikan dan pemimpin korporat bagi mengkaji semula sistem pendidikan dalam sembilan bidang keutamaan.

Sembilan bidang keutamaan itu adalah, guru-guru, pemimpin sekolah, kualiti sekolah, kokurikulum dan penilaian, kemahiran pelbagai bahasa, peluang pengajian tinggi, peranan ibu bapa dan masyarakat, keberkesanan sumber dan perkongsian maklumat dan struktur pentadbiran Kementerian Pelajaran.

Panel tersebut diketuai oleh Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan para panel lain termasuk ahli korporat seperti Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes dan Pengasas Yayasan Jeffrey Cheah dan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah.

Sumber:mstar

No comments: