Followers

Thursday, August 16, 2012

Nasharuddin Mat Isa perlu dipecat dari parti!


Apa yang dilakukan oleh Nasharuddin Mat Isa wajar diambil pengajaran dan pedoman  oleh setiap saf kepimpinan tertinggi PAS. Seorang bekas Timbalan Presiden PAS kerana kalah bertanding telah menjadi seperti budak-budak kecil yang tidak cukup akal untuk berfikir matang sebagai ahli kepada sebuah gerakan dan parti politik Islam.

Orang yang pernah berjawatan tinggi dalam parti, tahu serba-serbi tentang sejarah perjuangan parti, faham benar dasar perjuangan parti dan sangat mengerti susah senangnya apa yang dipanggil ahli bawahan dan parti PAS, masih lagi gagal memahami konsep jemaah atau amal jamaei dalam PAS! Malang sungguh PAS mempunyai ahli parti seperti ini. Kalau ahli parti menjadi kecewa seperti itu, datang dari cawangan yang entah dari ceruk mana, tidak berlatar belakang akademik ynag tinggi, mungkin boleh difahami! Ini Nasharuddin Mat Isa bukan calang-calang orang!

Maknanya saf kepimpinan di atas sana walaupun siapa tuan-tuan, perlu berhati-hati, jangan berlagak hebat, jangan lupa diri, jangan menjadi gila pangkat dan jangan...jangan...jangan...!!! Jadilah ahli jemaah Islam yang sedar diri biar pun tuan-tuan pemimpin parti dan jemaah yang hebat! Biarlah Nasharuddin Mat Isa seorang menjadi lemah,  kecewa, futur dan hilang punca seperti budak kecil yang tidak matang, yang lain minta disimpang tidak akan terkena penyakit tersebut!

Nasha ikutlah Najib ke manapun selagi tidak mendatangkan fitnah dan kesan kepada parti sendiri yang akan berlawan, ‘berperang’ demi menegakkan kebenaran dalam Pilihanraya menentang orang yang diikuti Nasha itu dan partinya. Masalahnya apakah perbuatan Nasha itu tidak mendatangkan kesan imej yang tidak baik kepada parti?

Lagilah melampaunya apabila sebagai seorang bekas Timbalan Presiden yang pernah terlibat dalam Majlis Syura Ulamak yang sama-sama membuat keputusan mengenai Tahaluf Siyasi boleh menjadi tolol dihadapan media Umno, sehingga berani mengeluarkan kenyataan ‘menyanggah’ keputusan yang dibuat secara bersama. Bodohkah jemaah berbanding dengan kepala hotak dia seorang?

Apa ni? Apa maknanya ini? Sudah nyanyokkah? Sudah biulkah? Sudah gilakah? Atau kemarukkan apa ini? Masa bermesyuarat membincangkan kerjasama dengan DAP tempoh hari, Nasharuddin buat apa? Tidak bercakapkah bahawa kerja sama dengan DAP itu tidak boleh? Atau Nasha baru sedar dari tidur konon DAP dan Karpal Singh hanya menentang pelaksanaan hudud baru sehari dua ini sahaja?

Inilah sebenarnya perangai mengada-ngada Ustaz Nasharuddin yang wajar diberi perhatian serius oleh pihak parti. Terbaru, beliau mengatakan beliau tidak akan keluar PAS dan tidak akan masuk Umno! Okay, fine! Habis, buat apa menjadi pembangkang kepada satu keputusan yang telah disepakati oleh jemaah yang kamu sendiri pernah bersama membuat keputusan itu?

Pada pendapat penulis, Nasharuddin Mat Isa memang tidak akan keluar PAS tetapi dia sedar Pas boleh memecatnya bila-bila masa! Jika takdirnya itu yang ada dalam mindanya, bermakna, dia memang mengharapkan dia dipecat untuk seterusnya mampu terus berkonfrantasi dengan PAS nanti seperti Hassan Ali! 

Kalau itu yang dia harapkan, rasanya amat wajar dan bijak untuk parti memecat dengan kadar segera ahli parti yang tidak bertanggungjawab dan mengada-ngada seperti Nasharuddin Mat Isa! Sesungguhnya parti tidak memerlukan suara-suara Umno dalam parti di  saat-saat begini! Dengan apa alasan pun Nasharuddin Mat Isa tidak boleh diharap lagi untuk membantu PAS kerana dia telah tiba-tiba menjadi  antara ahli jemaah yang paling jahil tentang konsep amal jamaei! Tidak dinafikan mungkin ada ahli parti yang tidak bersetuju dengan keputusan parti tetapi apa dan cara yang 'diajar' oleh Nasharuddin Mat Isa adalah tidak betul dan 'salah' kepada jemaah.

Penulis sebagai salah seorang ahli cawangan yang saban masa dan ketika melihat dengan mata kepala, melihat dari dekat perjuangan getir dan susah payah ahli-ahli parti yang tua, muda, miskin dan lemah, yang tidak pernah mengharap apa-apa ganjaran dunia di bawah ini,  sentiasa gigih dalam usaha menegakkan perjuangan parti, merasakan kelakuan Nasharuddin Mat Isa terlalu melampau terhadap perjuangan parti ini! Oleh itu, Nasharuddin Mat Isa perlu dipecat dari PAS! 

Kalau dia kononnya mahu menjadi pejuang Islam yang hebat, biarkanlah dia menjadi pejuang Islam yang hebat diluar PAS sana!

Berita dipetik:
Nasharuddin digesa jumpa pimpinan Majlis Syura

Harakahdaily

TEMERLOH: Isu kenyataan Ustaz Nasaruddin Mat Isa yang mendesak PAS keluar dari Pakatan Rakyat kerana DAP menolak hudud  sebagaimana yang dilaporkan oleh TV3 memerlukan penjelasan langsung daripada beliau.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ahli parlimen Bachok itu perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi Majlis Syura dalam waktu tersebut untuk memberikan penjelasan pada kadar segera memandangkan beliau masih ahli Majlis Syura.


“Secara asasnya, kenyataan beliau ini bertentangan dengan apa yang beliau sendiri ucapkan dalam muktamar bahawa keputusan Tahaluf Silasi bersama dengan DAP dan PKR telah melalui satu perbincangan mendalam dengan para ulamak muktabar. Ia bukannya keputusan di kedai kopi atau di tepi jalan,” kata Tuan Ibrahim Tuan Man.


Oleh sebab itu, kata Tuan Ibrahim, Nasharuddin perlu menjelaskan kedudukan beliau.


"Dan sekiranya kenyataan ini diselewengkan, maka kita harap beliau dapat membuat penjelasan bagi mengelak kekeliruan berpanjangan,” tegas beliau.


Sekiranya Nasharuddin tidak mengambil inisiatif tersebut untuk menjelaskan kedudukannya, Tuan Ibrahim berkata PAS Pusat bersama Majlis Syura akan berbincang untuk tindakan seterusnya dalam mesyuarat akan datang.


Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas timbalan presiden PAS itu yang disiar di Buletin Utama TV3 baru-baru ini yang mencadangkan agar PAS keluar dari Pakatan Rakyat jika DAP menentang hudud.


Kenyataannya malam tadi itu menghangatkan semula perbahasan berhubung kedudukan Nasharudin dalam parti ekoran beliau dilihat secara terbuka menolak keputusan parti.


“Namun, Al-Quran menggesa kita seandainya datang orang fasik membawa berita kita perlu menyelidiki terlebih dahulu berita tersebut. Pengesahan kesahihan berita mesti dilakukan terlebih dahulu daripada terus menghukum,” tegas beliau.

Sumber:harakahdaily

No comments: