Followers

Thursday, June 07, 2012

Rupanya bukan payah nak menjadi tolol!



Apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memutuskan untuk menangguhkan pinjaman kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) kononnya  ‘buat sementara waktu’, sementara waktu yang tidak diketahui tempohnya, tindakan ini sebenarnya cukup melucukan.

Lucunya bukan kerana para pelajar Unisel tidak mendapat PTPTN tetapi tindakan PTPTN itu, sama ada diarah oleh Kementerian Pengajian Tinggi (Khalid Nordin/Umno) atau tindakan sendiri, tetapi kerana ianya memperlihatkan bahawa, tidak payah untuk menjadi tolol rupanya !

Tololnya pemikiran puak-puak yang berada di PTPTN atau yang mengarahkan tindakan itu adalah kerana mereka gagal memahami isu yang sebenarnya yang dibangkitkan. Betapa benaknya pihak PTPTN atau pihak Menteri Pengajian Tinggi yang sepatutnya mempunyai aras fikiran tinggi namun tetap gagal memahami intipati perdebatan postif antara Rafizi dan KJ serta hasrat Pakatan Rakyat.

Nampaknya Malaysia kini malang dalam segenap segi, dalam hal ini malang kerana mempunyai pengurusan PTPTN yang lebih kuah dari sudu sementara Menteri Pengajian Tinggi yang tak standard, cukup beremosi, baran malah adakalanya macam bengong pula.

Apa yang diperdebatkan mengenai PTPTN bukanlah susah mana untuk difahami namun kerana ketololan maka tolollah tindakannya. Teras kepada persoalan isu PTPTN ini adalah paranan dan tindakan serta tanggungjawab apa yang dipanggil Kerajaan Pusat bukan Kerajaan Negeri.

Rafizi memberi hujah berpaksi kepada asas pendidikan tinggi adalah bidang kuasa pusat dan mengikut Perlembagaan dibiayai oleh dana kewangan Kerajaan Pusat, maka sebarang perubahan dalam model pendidikan tinggi negara hanya boleh dilaksanakan secara bersepadu oleh Kerajaan Pusat.

Maka itu, pada pandangan Rafizi dan Pakatan Rakyat berdasarkan kajian yang mereka lakukan,  jika tiada ketirisan, pecah amanah, rasuah, pembaziran dengan perbelanjaan berhemat maka pendidikan percuma untuk rakyat boleh dilaksanakan. Apa yang susah sangat hendak difahami oleh puak-puak di Kementerian Pengajian tinggi dan PTPTN?

Itulah sebabnya penulis katakan tindakan PTPTN dan Kementerian Pelajaran Tinggi kepada para pelajar di Unisel itu sebenarnya lebih kepada tindakan lucu yang menyerlahkan  ketololan  bukan kebijaksanaan.

Seorang ayah membiayai anak-anaknya dengan mensyaratkan setiap anak wajib membayar kepada ayah apabila habis belajar nanti. Apabila ada orang menegur sang ayah, tak elok ayah buat syarat begitu kerana tanggungjawab membiayai anak-anak adalah tangungjawab hakiki seorang ayah. Ayah meradang, lantas menghempas cermin matanya sambil melaung, “dah.... aku tak akan tanggung engkau orang semua, pergi minta duit dengan mak engkau orang!”. Ayah terus duduk dikerusi malas sambil menikmati akhbar Utusan Pembodoh!

Tak tolol ke? 

Berita dipetik:
 
PTPTN Tangguh Pinjaman Unisel Buat Sementara Waktu

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memutuskan untuk menangguhkan pinjaman kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) buat sementara waktu.

PTPTN dalam kenyataan media pada Rabu berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira desakan parti pembangkang supaya pinjaman tersebut dimansuhkan dan pendidikan percuma diperkenalkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.

"PTPTN sentiasa mengikuti perkembangan ini dan memandang berat cadangan serta desakan tersebut, terutamanya ia datang daripada parti pembangkang yang kebetulan adalah kerajaan di negeri Selangor," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, PTPTN beranggapan bahawa IPT yang dikuasai kerajaan negeri seperti Unisel dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) bersedia menyediakan pendidikan percuma kepada para pelajarnya sekali gus menolak pinjaman PTPTN.
"PTPTN percaya terhadap kesungguhan kerajaan negeri untuk melaksanakan pendidikan percuma. Oleh itu, pinjaman PTPTN di kalangan pelajar tidak diperlukan," kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Sementara itu, PTPTN berpendapat, tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa peminjam supaya tidak menjelaskan bayaran balik akan menjejaskan keupayaan pembiayaan pinjaman kepada pelajar yang sedang mengikuti pengajian termasuk di Unisel.

Kata kenyataan itu lagi, PTPTN perlu mengambil masa untuk mengkaji implikasi kewangan yang bakal ditanggung apabila peminjam tidak membuat bayaran balik sehingga menjejaskan kemampuan memberi pinjaman kepada pelajar baru.

"Seterusnya, PTPTN akan membuat keputusan muktamad selepas berpuas hati mengenai pendirian dan jaminan Unisel mengenai perkara ini," demikian menurut kenyataan itu.

Sumber:mstar

No comments: