Followers

Wednesday, June 27, 2012

Semoga perbicaraan pantas PDRM tidak memangsakan rakyat!



Pantas dan cepat memang bagus, tetapi jangan sampai mengenepikan keadilan iaitu tuntutan sebenar sesuatu perbicaraan mahkamah kepada mangsa yang kebanyakannya dalam kes-kes seumpama itu adalah rakyat marhaen.

Demi mahukan pantas semata-mata, terutama dalam kes-kes yang ada kaitan politik lawan, apakah tidak mungkin perjalanan perbicaraan pantas itu akan dimanipulasi oleh mereka yang mempunyai niat serong terhadap lawan politik mereka?

Perkara yang perlu menjadi teras dalam mengendalikan perbicaraan pantas dalam niat menyelesaikan isu longgokan kes-kes kecil di mahkamah ialah proses perbicaraan perlu dilaksanakan dengan hati yang baik dan mulia, bukan dengan hati yang sentiasa diperkakas oleh tuan politik rakus lagi zalim!

Setakat hari ini, dalam pemerintahan  Umno/Bn ini, keadilan perbicaraan sama ada yang pantas atau yang memakan masa, sering dipertikai oleh umum kerana kehilangan integriti dan pertanggungjawaban terutama di pihak eksekutif 1Malaysia yang serba-serbi mahu campur tangan.

Contoh yang nyata, imam lontar kasut yang marhaen, yang mencari keadilan dalam proses mahkamah, didenda dengan berat manakala bekas Menteri Besar yang ‘makan’ jutaan ringgit wang rakyat didenda cukup ringan dan bersahaja! Itupun bekas Menteri Besar itu masih bebas dengan 'awangnya', ke sana ke mari manakala imam lontar kasut telah sekian lama terperosok dalam bilik jeriji berpisah jauh dengan anak isteri!

Contoh kedua, dalam kes penyiasatan polis pula, Ir Nizar yang membuat teguran ikhlas yang menepati ajaran Islam berkaitan tuan punya WWW1, dengan segera didatangi penyiasat polis hingga rumah dan pejabat beliau digeledah serta merta, manakala uncleseekers seorang blogger yang mendedahkan perangai kerabat Johor secara agak mengejutkan, masih lagi tidak dipedulikan oleh mana-mana NGOs dan Jabatan Kerajaan terutama PDRM Johor!

Isunya dalam pelaksanaan sama ada penyiasatan segera dan perbicaraan segera apakah keadilan kepada rakyat akan wujud atau dilihat wujud atau semuanya itu hanya wayang gambar transformasi taik minyak dan mengarut sahaja?

Berita dari akhbar:

PDRM Sedia Jayakan Konsep Perbicaraan Pantas 

KANGAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini bersedia untuk menjayakan konsep "perbicaraan pantas" sejajar dengan pindaan Kanun Tatacara Jenayah yang berkuatkuasa mulai bulan ini, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaannya, Datuk Razali Basri.

Menurutnya, para pegawai penyiasat dan penyelia penyiasatan kini mula mengikuti seminar mengenai siasatan dan pendakwaan bagi meningkatkan pengetahuan mereka dalam menjayakan konsep perbicaraan pantas itu.

Bercakap kepada para pemberita selepas merasmikan seminar dua hari membabitkan 80 penyiasat dan penyelia penyiasatan peringkat wilayah utara di Mes Pegawai Kanan PDRM di sini, pada Rabu, beliau berkata konsep perbicaraan pantas itu akan menjimatkan masa mahkamah.

Pada Mei lalu, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (pindaan) 2012 yang antara lain bertujuan melengkapi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang diwujudkan bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Razali berkata, konsep itu akan turut dilaksanakan secara bersama oleh Jabatan Peguam Negara, mahkamah dan para pegawai yang menjalankan siasatan di samping memberi ruang rundingan pra bicara bagi pengakuan bersalah orang yang di tuduh.

Menurutnya, pihak mahkamah akan melaksanakan perbicaraan kes dengan sekurang-kurangnya memanggil saksi pertama selewat-lewatnya 90 hari daripada tarikh dituduh manakala sebelum ini ini tiada tempoh masa ditetapkan.

Bagi orang yang dituduh yang membuat pengakuan bersalah, mereka boleh membuat pilihan untuk tuduhan pindaan yang lebih ringan atau mengekalkan tuduhan asal tetapi dengan hukuman yang lebih ringan.

Bagaimanapun, perbicaraan pantas itu hanya membabitkan kes-kes kecil yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun.

Bagi menjaga kepentingan mangsa bagi kes-kes lebih berat termasuk jenayah seksual, Razali berkata, perbicaraan kes adalah seperti biasa dan tidak disenaraikan sebagai kes yang boleh dijalankan secara perbicaraan pantas.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Ketua Polis Perlis, ACP Md Zukir Md Isa dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Nashir Ya. BERNAMA

Sumber:mstar

No comments: