Followers

Sunday, April 29, 2012

Polis rosakkan perhimpunan aman rakyat!


Sebaik penulis sampai di LRT Masjid Jamek lebih kurang pukul 12.30 petang, keadaan cukup meriah dan aman. Semua yang berada di situ melaungkan "Bersih...Bersih...Bersih....Bersih!!". 

Cukup menarik dan bersemangat sekali. Kami terpaksa 'Duduk dan Bantah' di atas jalan Tengku Abdul Rahman. Nak bergerak ke Dataran Merdeka tak boleh kerana pihak kerajaan Umno/BN melalui DBKL dan PDRM terlalu berkeras tidak mahu membenarkan rakyat berhimpun di situ.

Maka terpaksalah kami Duduk dan Bantah di atas jalan raya yang sesak dengan rakyat pelbagai kaum yang duduk sambil bersembang dan melaungkan kata-kata semangat. Setiap selesai laungan kami akan bertepuk tangan. Begitulah seterusnya.

Lebih kurang pukul 3.00 petang waktu yang mana belum tamat lagi kebenaran berhimpun iaitu 2 hingga 4 petang, kami di bahagian tengah himpunan duduk itu terdengar bunyi letupan berserta dengan asap yang berkepul. 

Ramai rakyat yang komplen,  "apa ni, baru pukul berapa dah bagi gas?". 'kalau nak suruh orang bersurai pun slow-slow-lah, ramai ini!" Itu beberapa rungutan rakyat, yang penulis dengar di persekitaran penulis.

Serentak dengan itu, penulis lihat rakyat dipersekitaran penulis seolah-olah tak mahu lari sebaliknya mahu terus menuju ke arah kepulan asap. Tetapi penulis memberi tahu beberapa orang kawan-kawan elok kita berundur! Penulis menjerit, "kita berundur...berundur!'.
Waktu itu telah mula terasa pedih mata kerana tiupan angin yang kuat. Ada yang basuh muka dan yang tutup mulut dan hidung sambil berlari-lari anak ke arah belakang! Kami tak tahu apa yang berlaku di hadapan sana. Yang kami tahu kami telah mula berundur ke arah SOGO.

Pada waktu perasaan cemas dan bersemangat bercampur-baur apabila melihat orang berlari dari asap yang berkepul dan melihat masya Allah ramainya manusia di serata jalan, simpang dan lorong dalam bandaraya dipersekiratan perhimpunan. Pelbagai bangsa saling tolong menolong, sapa menyapa, dan saling bertukar-tukar cerita dan maklumat!

Di hadapan SOGO kami mula mendengar cerita yang tidak seronok, iaitu polis belasah pendemo dan katanya ada kereta polis melanggar rakyat. Macam-macam cerita yang belum sahih yang penulis dengar. Yang heboh katanya ada yang mati!?

Dalam perjalanan mahu kembali ke stesen LRT Masjid Jamek, penulis sempat berjumpa dengan seorang anak muda yang termuntah-muntah dan terkulai di tepi jalan sambil dibantu Unit Amal. Menurut kata anggota Unit Amal, anak muda dari Pahang itu baru sahaja dipukul oleh polis tapi berjaya diselamatkan. Penulis sempat memberi air dan membasuhkan muka anak muda yang terkulai itu.

Penulis terpaksa meneruskan perjalanan ke Masjid Jamek, tapi malangnya dalam perjalanan mahu pulang, penulis diberitahu bahawa, stesen LRT ditutup kerana polis menunggu di situ untuk menangkap demontran yang mahu pulang. Terfikir juga kepada penulis dan rakan-rakan, kalau dah mahu kami bersurai kenapa ditutup stresen-stesen LRT dan PUtra dan sebagainya. Kami seolah-olah dikepung tanpa mengetahui apa tujuan pengepongan terhadap rakyat yang sedang bergerak untuk pulang?

Dari seberang sungai penulis dan rakan-rakan dapat melihat beberapa orang demontran disepak dan ditangkap di stesen LRT Masjid Jamek. Kerana senario itu, penulis dan rakan-rakan akhirnya tersangkut di Masjid India bersama ramai yang lain. Bayangkan lebih kurang pukul enam baru kami dapat mengambil LRT untuk pulang.

Kenyataan Hishamuddin yang mungkin sedang berada dibilik berhawa dingin pada waktu itu, yang mengatakan pihak polis menguruskan himpunan Bersih 3.0 dengan profesional adalah dakwaan biasa seorang menteri Umno yang taik minyak! Profesional tak kucing apa kalau dari awal hari itu muka setiap anggota polis langsung tak menunjukkan kemesraan malah semuanya berwajah serius dan macam nak telan orang! Dari wajah polis yang penulis lihat pada hari itu, penulis telah mula menjangkakan 'sesuatu yang buruk' mungkin akan berlaku! (gambar: demonstran mula berundur untuk pulang tapi disekat)

Kesimpulan penulis, apa pun yang negatif yang dikatakan atau yang diulas terhadap Himpunan Aman Bersih 3.0 sehari dua ini oleh pihak UBN dan pencacai mereka adalah tidak benar dan bohong! Keadaan tidak akan menjadi sekecoh itu jika pihak polis bersikap profesional yang sebenar-benarnya bukan profesional mengikut rekaan Hishamuddin Husin!


Gambar-gambar yang disiarkan adalah yang sempat dirakam oleh penulis (accudo-garamlada)





No comments: