Followers

Friday, March 16, 2012

Suruhanjaya Pengkhianat Rakyat?

SPR jangan khianati amanah negara

Harakahdaily

KUALA TERENGGANU, 16 Mac: Dewan Ulama PAS Pusat mengingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak menjadi pengkhianat terhadap ketelusan dan keadilan proses pilihan raya di negara ini.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, tindakan menukar alamat pengundi secara senyap-senyap tanpa kebenaran pengundi adalah sesuatu tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh badan yang diamanahkan mengurus pilihan raya.

"Tidak wajar menjadi pengkhianat kepada amanah negara dengan memindahkan tempat mengundi pengundi tanpa permohonan daripada pengundi dan tidak mengikut undang-undang yang diperuntukkan, iaitu Akta Pilihan Raya 1958," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau merujuk kepada kes yang berlaku kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan juga sejumlah 31,294 pengundi yang didakwa dipindahkan tanpa kebenaran.

Dalam semakan di laman web SPR, tempat mengundi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa telah ditukar tanpa pengetahuannya.

Khalid kini merupakan pengundi di kawasan pilihan raya Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan bukan lagi di Parlimen Petaling Jaya Selatan, Selangor seperti pada PRU 2008 lalu.

Lokaliti mengundi beliau disenaraikan sebagai Rumah Kakitangan Universiti Malaya di bawah daerah mengundi Universiti.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, urusan pilihan raya merupakan amanah terpenting negara kerana ia menentukan parti mana yang akan memerintah.

Sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk menguruskan pilihanraya sewajarnya SPR tidak melakukan pecah amanah, kata beliau lagi.

Menurutnya, Dewan Ulama PAS Pusat mahu memperingatkan semua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya yang terlibat dengan firman Allah dalam surah al-Nisa' ayat 58 bermaksud: "Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menunaikan amanah kepada yang berhak".

Begitu juga peringatan Nabi saw kepada pengkhianat amanah seperti hadis baginda yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan Hakim:

"Ketahuilah sesungguhnya setiap pengkhianat itu pasti memiliiki bendera di hari Qiamat berdasarkan kadar pengkhianatannya. Ketahuilah sebesar-besar pengkhianatan ialah pengkhianatan pemerintah kepada urusan awam".

No comments: