Followers

Thursday, February 09, 2012

Alahai, oghang tuo ni, ghumah kata pi, kuboq kata mai, gamak lagi tuduh oghang!

Tun Dr Mahathir ini nyanyokkah atau pendendamkah? Sebagai seorang yang sudah berusia seperti dia tak payahlah buat andai-andaian begitu. Kalaulah betul, pun berdosa, kalau tak betul lagilah besar bala dan dosanya! Jadi fitnah!

Masalah Tun dakwa Anwar Ibrahim nak ubah undang-undang tak pelik Tun. Itu biasalah, Tun dulu pun banyak juga ubah undang-undang, antaranya menghapuskan imuniti raja-raja Melayu dan mengadakan AUKU. Biasalah pemimpin ubah atau tambah undang-undang! Soal rakyat terima atau tolak itu hal lain.

Masalah besarnya, Tun dakwa seperti yang di bawah tu. Berat ini. Iakah? Tak kan dengan percakapan Anwar begitu Tun kata dengan maksud Anwar hendak halalkan kebebasan seksual. Kalau tak betul maksud Anwar begitu macam mana? Anwar mungkinlah boleh maafkan Tun kalau dia nak banyakkan pahala, tapi bagaimana dengan anak-anak dan keturunan Anwar terhadap Tun? Berdosa besar Tun, Tun dah tua!!

"Katanya (Tun Dr Mahathir), dakwaan Anwar bahawa undang-undang Malaysia adalah jumud tentulah berkenaan larangan terhadap hubungan seks di luar nikah dan terdapat beberapa undang-undang yang tidak lapok berkenaan seks yang terdapat di Barat sekarang.

"Antaranya ialah keagungan konsep bebas dan persamaan serta kebebasan seks. Jika lelaki sebelum atau selepas kahwin boleh adakan seks dengan mana-mana perempuan kenapa perempuan tidak boleh dengan mana-mana lelaki."

Tun carilah isu lain kalau hendak bercakap juga. Bercakap soal Palestin ke, soal royalti minyak ke, soal ekonomi orang Melayu ke, isu Kelantan ke, Kedah ke, Isu orang melayu Pulau Pinang ke, adalah juga ertinya! Ini tak...bila bercakap membuat andai yang bukan-bukan pasal Anwar. Tun dapat dosa, Anwar senang-senang dapat pahala kalau Anwar tak jawab dan sabar!

Tak kanlah diusia yang macam itu masih gigih Tun mengata orang! Kalau dendam dan marahkan Anwar Ibrahim pun, gunalah cara lain Tun! Dulu Tun beriya-iya kata Anwar liwat Azizan, bila dipanggil Tun masuk mahkamah untuk bawa bukti dan jadi saksi, Tun berhelah dan lari lintang pukang!


Sudahlah Tun, dengarlah nasihat orang sekali-sekala wahai Tun. Sebenarnya Tun terlalu lemah kefahaman Islam mengenai dosa pahala dan syurga neraka. Elok pergi belajar Pengetahuan Agama Islam biar pandai sikit atau kalau tak nak belajar juga, dok diam Tun! Astaghfar banyak-banyak!

Dr M dakwa Anwar mahu cuba ubah undang-undang M'sia

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menukar undang-undang di Malaysia dengan undang-undang Barat kononnya untuk memperjuangkan kebebasan semulajadi manusia.

Katanya, Anwar baru-baru ini telah menyatakan dalam wawancara dengan BBC di Mumbai, India, baru-baru ini bahawa undang-undang Malaysia lapok, ketinggalan zaman.

"Tentulah Anwar tahu bahawa lapok dan ketinggalan zaman, bagi orang Barat bermakna tidak seperti apa yang terdapat di Barat sekarang.

"Sejak revolusi Perancis, slogan 'Liberte', 'Egalite', 'Fraternite', iaitu Kebebasan, Persamaan dan Persaudaraan menghantui fikiran Barat sehingga apa sahaja yang tidak menepati slogan ini mesti ditukar atau dihapus," katanya dalam entri terkini blog beliau www.chedet.cc semalam, yang bertajuk 'Lapok'.

Katanya, dakwaan Anwar bahawa undang-undang Malaysia adalah jumud tentulah berkenaan larangan terhadap hubungan seks di luar nikah dan terdapat beberapa undang-undang yang tidak lapok berkenaan seks yang terdapat di Barat sekarang.

"Antaranya ialah keagungan konsep bebas dan persamaan serta kebebasan seks. Jika lelaki sebelum atau selepas kahwin boleh adakan seks dengan mana-mana perempuan kenapa perempuan tidak boleh dengan mana-mana lelaki.

"Atas nama kebebasan dan persamaan maka masyarakat pun memberi hak ini kepada mereka. Maka siapa sahaja, lelaki atau perempuan boleh tidur dengan siapa sahaja bila-bila sahaja. Dengan ini institusi perkahwinan antara lelaki dengan perempuan dianggap tidak penting lagi," kata Dr Mahathir.

Lain-lain konsep kebebasan semulajadi manusia, katanya, termasuklah menukar konsep institusi perkahwinan dan kekeluargaan dengan mentakrifkan pasangan yang bersekedudukan sebagai berkeluarga, boleh menukar pasangan tanpa penceraian dan siapa yang menjadi bapa kepada anak tidak penting.

Malah, tambah Dr Mahathir, di Barat kini boleh adakan perkahwinan antara lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan, pendek kata apa sahaja yang dilarang oleh agama, adat atau undang-undang yang menyekat nafsu, hendaklah dihapuskan.

Menurut Dr Mahathir seperti biasa apa yang dicipta oleh Barat dianggap sebagai baik bagi semua manusia maka itu mereka (Barat) melancarkan usaha untuk mengembangkan konsep kebebasan dan persamaan mereka berkenaan seks.

"Kita dapati Barat dengan kerjasama orang Islam tertentu sudah berjaya untuk cubaan tersebut (mengubah undang-undang di Malaysia) kerana di Malaysia sudah ada orang Islam yang anggap segala sekatan terhadap aneka jenis seks sebagai menidakkan kebebasan semulajadi manusia, sebagai zalim, terutama kepada pembesar politik," katanya.

Walaupun Barat menerima zina dan liwat sebagai perkara biasa, tetapi mereka tidak dapat terima paksaan ke atas mangsa zina atau liwat, sebab itu, apabila seorang wanita melaporkan yang Pengarah Urusan Tabung Kewangan Dunia (IMF) Dominque Strauss-Kahn telah merogolnya pihak berkuasa terus tangkap Dominque dan jawatannya dilucutkan, katanya.

"Di Malaysia juga apabila laporan diterima daripada mangsa yang dianya telah diliwat, tentulah wajar tertuduh dikenakan tindakan undang-undang. Ini sudah tentu tidak lapok kerana Barat juga mengamalkannya," katanya.

Beliau berkata bahawa 'teknikal' bukan bermakna tidak, jenayah berlaku, bukan tidak berlaku dan hakim tidak dapat hilangkan keraguannya terhadap bukti yang tertuduh melakukannya.

"Mungkin orang lain yang melakukan jenayah itu!! Kenapa mangsa tidak menuduh orang lain?, Wallahuwalaam," kata Dr Mahathir.

- Bernama

Sumber:malaysiakini.com

No comments: