Followers

Saturday, October 22, 2011

Masih ada yang 'beriktikad' ada lagi manusia yang bagaikan maksum?

Negara ini semakin malang kerana masih ada yang berkepercayaan, masih ada manusia di muka bumi Allah ini (selain para Rasul) yang sempurna sehingga tidak boleh tegur atau dikritik dengan kritikan yang begitu ikhlas dan akdemik. Yang berkepercayaan begitu pula bukanlah orang yang kurang ilmu tetapi manusia yang konon hebat dengan ilmunya yang berada di Menara Gading pula. Menara Gading yang katanya penuh dengan ilmu-ilmu Islam! Puak-puak pimpinan institusi yang menjadi harapan ilmu Islam ini semakin menjadi busuk bagaikan taik kucing akibat berkiblatkan kuasa rakus tuan mereka di Putrajaya.


Siapa yang ajar mereka raja tidak boleh ditegur secara ilmiah, sopan dan professional? Atau memang puak-puak ini suka raja-raja tidak ditegur walaupun raja-raja bukan maksum? Atau puak-puak ini beriktikad bahawa raja-raja memang maksum? Atau raja-raja sendiri memang tak mahu ditegur kerana yakin sentiasa benar dan betul di sisi Allah? Na’uzubillah!!


Ingatlah akhir kesudahan manusia tidak kira dia rakyat atau raja ialah syurga atau neraka! Maka itu teguran agar apa jenis manusia pun raja atau rakyat, sentiasa mengikut ajaran Islam adalah teguran yang mahu menyelamatkan manusia itu dari tercampak kelembah kehinaan di mana neraka adalah sehina-hina tempat. Bimbanglah wahai manusia yang merasakan dia ‘perfect’ dan sempurna sehingga tak boleh ditegur! Bimbanglah wahai manusia pengampu yang bagaikan sokong membawa rebah kepada raja-raja! Bimbanglah...!


PAS bimbang tindakan UIA hasut rakyat benci raja

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR, 22 Okt: Kegelojohan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung Prof Dr Abdul Aziz Bari dibimbangi boleh mendorong dan menghasut rakyat membenci Raja-Raja Melayu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.


"Penggantungan kontroversi ke atas Dr Abdul Aziz yang dilakukan oleh UIA itu semakin terbukti amat menyakitkan hati rakyat.


"Tindakan UIA itu akhirnya dikhuatiri mendorong dan secara tidak langsung menghasut rakyat membenci Raja-Raja Melayu," kata beliau.


Malah, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, tindakan UIA itu benar-benar menjatuhkan maruah Raja-Raja Melayu.


"Tindakan UIA itu menggambarkan seolah-seolah Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran dan pandangan professional.


"Memberi gambaran bahawa Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran dan pandangan professional adalah perbuatan buruk yang benar-benar menjatuhkan maruah Raja-Raja Melayu," tegas Mahfuz.


Malah, katanya, memberikan gambaran bahawa-bahawa Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran hakikatnya memberi gambaran bahawa Raja-Raja Melayu tidak mahu mengamalkan ajaran Islam yang sangat asasi yang menekankan amar ma'ruf nahi mungkar.


Dr Abdul Aziz sebelum itu memberikan pendapatnya sebagai pakar perlembagaan terhadap tindakan Sultan Selangor.


Beliau berpendapat, tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukanlah suatu tindakan yang lazim.


Dr Abdul Aziz dilaporkan berkata, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Sultan Selangor berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.


Akibatnya, beliau disoalsiasat oleh polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), diberi surat tunjuk sebab oleh UIA dan akhirnya digantung tugas oleh universiti itu semata-mata kerana memberikan pendapatnya dari segi undang-undang.


Mahfuz melihat tindakan UIA membalas pandangan professional Dr Abdul Aziz dengan penggantungan penuh kontroversial itu sebagai perbuatan "institusi ilmu menghina ilmu".


"Kalaupun benar terpaksa bertindak selaras dengan kehendak dan kepentingan Umno, janganlah sampai institusi ilmu menghina ilmu dan melakukan tindakan yang akhirnya akan membunuh kebebasan akademik.


"Amat buruk kalau institusi ilmu sendiri yang membunuh ilmu dan kebebasan akademik," kata beliau.


Mahfuz juga menyifatkan amat lucu penjelasan Rektor UIA Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin kononnya tindakan menggantung tugas Dr Abdul Aziz bukanlah hukuman, sebaliknya bagi memastikan siasatan terperinci dapat dijalankan berikutan kenyataan beliau mengenai tindakan Sultan Selangor.


"Ini kali pertama kita dengar seorang ilmuan yang memberikan pendapat professionalnya perlu digantung tugas untuk membolehkan beliau memberikan penjelasan mengenai pendapat professionalnya itu.


"Ini sudah tentu boleh mencipta rekod dunia sebagai salah satu perkara paling kelakar sepanjang sejarah," katanya.


Sumber:harakahdaily

Hahahah...Umno dapat 'sijahil murakkab'! Siapa? Zul Nording!

Zulkifli Nordin ‘jahil murakkab’ tentang hudud.

Mohamed Hanipa Maidin

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru (Bebas), Zulkifli Noordin menuduh hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS membenarkan suami meliwat isteri. Tuduhan tersebut dibuat dengan kononnya dirujuk kepada draf dan Enakmen Hudud dan Qisas Terenggganu 2002 yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ketika PAS memerintah negeri itu dulu.


Menurut beliau berdasarkan Seksyen 14 enakmen tersebut yang menerangkan tentang liwat yang dimaksudkan dengan seseorang lelaki memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang lelaki atau perempuan, kecuali isteri. Katanya, perkataan kecuali dengan isteri itu jelas membawa maksud seseorang suami boleh memasukkan zakarnya ke dalam dubur isterinya kerana ia tidak dimaksudkan meliwat.


"Inilah hudud PAS. Ini bercanggah dengan Islam. Dalam Islam, jika seseorang lelaki itu memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang tidak kira dengan sesiapapun termasuk dengan isteri sendiri, ia tetap liwat.”


Adalah suatu yang malang bagi profesion guaman di negara ini mempunyai seorang peguam seperti Zulkifli Noordin yang nampaknya tidak memahami perkara asas dalam penafsiran undang-undang.


Daripada kenyataan beliau di atas adalah jelas bahawa Ahli Parlimen yang "bebal" syariah ini nampaknya terlibat dengan politik murahan yang hanya sekadar untuk menimbulkan keraguan terhadap perkara yang jelas dan tiada keraguan. Mereka yang tidak, seperti dikatakan oleh Abul A'la Maududi, mengetahui ABC mengenai undang-undang syariah mungkin dapat diragukan oleh orang yang ragu seperti Zukifli Noordin.


Hujah beliau yang mengatakan bahawa seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu bercanggah dengan Islam kerana tidak menganggap perbuatan meliwat isteri sebagai satu kesalahan boleh dengan mudah dipatahkan dengan alasan- alasan berikut.


Pertamanya seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu secara jelas memperuntukkan “Liwat ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur.


Jika dilihat kepada seksyen 14 tersebut terdapat dua kesalahan yang boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan liwat iaitu hubungan seks melalui dubur (anus) antara lelaki dan lelaki dan hubungan seks melalui dubur (anus) antara lelaki dan wanita selain daripada isteri lelaki tersebut.


Seksyen 15 Enakmen yang sama memperuntukkan “ Sesiapa melakukan kesalahan liwat hendaklah dihukum dengan hukuman yang sama seperti yang ditetapkan bagi zina.


Hukuman zina adalah 100 rotan bagi pesalah zina yang ghayru muhsan ( lihat seksyen 13 (2) Enakmen yang sama dan rejam sehingga mati bagi yang Muhsan (lihat seksyen 12 ( 2 ) Enakmen yang sama.


Adalah jelas di dalam memperuntukkan hukuman bagi kesalahan liwat sama dengan hukuman hadd ke atas penzina pihak penggubal undang-undang syariah Terengganu telah mengambil pendapat Imam Malik, Syafie dan Imam Ahmad yang berpandangan bahawa liwat wajib dikenakan hukuman hadd seperti hadd ke atas pesalah zina disebabkan “li wujudin ma’na al-zina fihi” ( kerana kewujudan makna zina padanya) .


Zulkifli menyatakan bahawa berdasarkan seksyen 14 Enakmen tersebut seorang yang meliwat isteri tidak melakukan kesalahan. Beliau berhujah bersandarkan frasa “selain daripada isterinya” suami yang meliwat isteri terlepas dari hukuman hadd.


Kebodohan hujah tersebut timbul kerana beliau tidak memahami perbezaan asas antara hudud dan takzir. Seksyen 14 bercakap tentang hudud. Seorang suami yang meliwat isterinya bukan tidak bersalah. Ia tetap salah. Cumanya kesalahan itu tidak boleh dikenakan hukuman hudud.


Mungkin Zulkilfli bertanya kenapa tidak boleh kena hukum hudud?


Jawapannya sepertimana yang dikatakan oleh Abdul Kadir Audah di dalam bukunya yang terkenal “Tasyri’ Janaie” terdapat keraguan sama ada isteri yang dinikahi secara sah oleh lelaki boleh dikenakan hukuman hadd hanya kerana ia “menggunapakai hartanya ” mengikut kehendaknya. Dan prinsip yang terpakai dalam hukum hudud adalah keraguan membatalkan hukuman hadd (idraul hudud bisyubhah).


Zulkifli mungkin bertanya adakah ini bermakna seorang suami yang meliwat isterinya akan terlepas hukuman? Jawapan kepada soalan tersebut adalah tidak. Suami yang meliwat isteri masih boleh dihukum tetapi bukan dengan hukuman hudud sebaliknya beliau hanya boleh dihukum oleh hukuman takzir.


Jika Zulkifli cermat dan tidak tergopoh gapah membaca keseluruhan Enakmen tersebut dia akan pasti dapat melihat seksyen 3 Enakmen yang sama (apa yang dipanggil proviso ) yang menyatakan secara jelas.


“Dengan syarat bahawa apabila sesuatu kesalahan hudud atau qisas tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud atau hukuman qisas kerana tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki bagi hukuman-hukuman itu, maka kesalahan itu adalah menjadi suatu kesalahan takzir dan hendaklah ia dihukumkan demikian.”


Seksyen 3 Enakmen tersebut sekaligus menjawab segala kekeliruan yang Zulkifli Noordin cuba timbulkan. Seksyen 3 menunjukkan bahawa liwat ke atas isteri tetap salah menurut enakmen yang PAS gubal tetapi ia bukan kesalahan hudud sebaliknya ianya hanya satu kesalahan takzir. Dan Zulkifli juga kena faham hukum takzir tidak semestinya lebih ringan dari hukuman hudud.


Jika Zulkilfli jujur dalam hujahnya beliau sepatutnya mengkritik “hudud Umno”. Dalam undang-undang yang Umno gubal di Wilayah Persekutuan liwat hanya salah jika lelaki meliwat lelaki yang lain.


Berdasarkan tafsiran liwat di Seksyen 2 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan adalah jelas bahawa seorang yang sama ada meliwat seorang perempuan yang lain atau meliwat isterinya TIDAK dikira melakukan apa-apa kesalahan di Wilayah Persekutuan jauh sekali akan dihukum


Renungan kepada Zulkifli Noordin: Undang-Undang mana yang lebih melindungi wanita? Ingatlah saudara Zulkifli hanya kerana anda berkopiah bukan bermakna anda layak bercakap tentang undang-undang hudud. Berhentilah jadi jahil murakkab (orang jahil yang tidak tahu dia jahil).

Friday, October 21, 2011

Zul Nordin pertikai hudud: Berlagak jadi ulamak besar, Pandir jadinya!

Kalau kita pakat-pakat kata Zulkifli Nordin jahil, memang padan lagi patut sebenarnya. Sebab, kalau dia diam kepada perkara yang dia tidak tahu dan tidak faham, itu adalah lebih baik buat dia, kerana orang tak tumpu dan perhatikan dia. Kenal dia pun mungkin tidak! Tapi rupanya semenjak duamenjak dia hampir dengan Rosmah Najib ni, Zul Nordin menjadi tak keruan lantas bercakap dengan penuh gaya, bagaikan lagak ulamak besar memfitnah hudud Allah sebagai hudud PAS. Akibatnya Zul Kulim barulah dikenali orang, rupa-rupanya bodoh bengong orangnya!


Semenjak berbaik dengan Najib, maka cubalah dia agaknya menjadi sang panglima, mudah-mudahan berrezeki untuk bertanding lagi di Kulim Bandar Baru! Tapi malang, gelaran pahlawan yang dimahukan, pandir yang kelihatannya dia! Kahkahkahkahkah…..Zul..zul!! Sudahlah Zul memperjahilkan diri kamu sendiri, buat malu ah!


Zulkifli jahil, liwat isteri termasuk perkara syubhah

Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 21 Okt: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib menyifatkan dakwaan ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berhubung suami meliwat isteri melambangkan kejahilannya dalam hukum hakam yang berkaitan dengan hukum syarak.


Menurutnya, hukum syarak tidak boleh dibaca sepintas lalu tetapi memerlukan disiplin ilmu yang tinggi.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan ahli parlimen tersebut di Dewan Rakyat semalam bahawa hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS membenarkan suami meliwat isteri.


Selain itu, Zulkifli juga dilaporkan mendakwa bahawa umur 18 tahun yang ditetapkan dalam enakmen hudud bercanggah dengan Islam yang menetapkan had baligh ialah 15 tahun.


Ustaz Harun menjelaskan, liwat di antara suami isteri tidak termasuk di dalam hukum hudud tetapi bukan bererti perbuatan itu tidak salah.


Jelasnya lagi, perbuatan itu tetap salah, cuma tidak termasuk dalam hukum hudud dan dari sudut hukuman ia akan dikenakan hukum takzir.


“ Mengapa ianya dikenakan hukuman takzir dan bukannya hudud? Jawapannya ialah kerana berlaku syubhah di situ.


“Untuk makluman beliau, dalam perlaksanaan hudud, seperkara yang mesti diambil kira dalam perlaksanaan ialah perlaksanaan hukuman hudud mesti meraikan satu kaedah yang penting iaitu tudra’ul hudud bi syubhat iaitu hudud itu tidak boleh dilaksanakan sekiranya ada syubhah.


“Persoalannya di mana syubhah itu dalam kes ini? Syubhahnya ialah hubungan suami isteri itu sendiri atau dalam istilah feqahnya ialah syubhatul milk iaitu syubhah kerana isteri itu adalah milik suami tidak sepertimana dalam kes kesalahan hudud yang beliau nyatakan yang mana pasangan yang bersalah tersebut tidak mempunyai hubungan yang sah dari sudut syarak, ianya adalah berbeza dengan kesalahan liwat suami isteri,” tambah beliau lagi.


Beliau berkata, Zulkifli sebagai ahli parlimen tidak sepatutnya membaca sepintas lalu tanpa merujuk kepada para ulama kerana pengetahuan hukum syarak ada disiplinnya yang tersendiri, bukannya mengikut akal fikiran manusia yang lemah.


Beliau turut mengulas tentang dakwaan ahli parlimen itu bahawa had umur 18 tahun bercanggah dengan hukum syarak.


“Masalah berkenaan had baligh seseorang muslim itu, sebenarnya ianya adalah perkara khilafiah, ianya bukan suatu yang qat’ie.


“Ada ulamak dalam mazhab Syafie kata 15 tahun, barulah seseorang itu dianggap baligh, kalau dalam mazhab Hanafi, mereka kata 18 tahun barulah dikira sebagai mukallaf. Jadi dalam isu yang beliau bangkitkan ini, maka kita mengambil had umur yang paling tinggi supaya tidak berlaku masalah khilafiah. Sebagai contoh, jelasnya kalau diambil umur 15 tahun, nanti apabila perbicaraan diadakan, mungkin pihak peguam tertuduh akan mendakwa bahawa anak guaman bermazhab Hanafi, semata-mata untuk lari daripada hukuman.


“Jadi kita ambil pandangan 18 tahun supaya tidak berlaku at-tahayul atau helah dalam perbicaraan, itu hanya satu sebab mengapa kita pilih 18 tahun dan di sana masih ada sebab-sebab lain yang boleh kita rujuk kepada buku-buku feqah,” ujar beliau lagi.

Thursday, October 20, 2011

Sokong Aziz Bari! Teruskan perjuanganmu tuan!


Penggantungan Prof Aziz Bari oleh UIA memang tidak bertamaddun. Sungguh memalukan dan sangat primitif. Satu tindakan keterlaluan yang merosakkan nama dan kemuliaan ilmu Islam.

UIA seharusnya menukar namanya, jangan menggunakan perkataan Islam. Gunalah nama lain yang mungkin Universiti Gantungintelek Antarabangsa atau mungkin Universiti Pengampu Antarabangsa! Apakah puak-puak kangkung di UIA sedang berusaha merosakkan imej dan keintektualan ilmu Islam di sana?

Tetapi dalam negara 1 Malaysia , pemerintahnya iaitu UMNo/Bn dan agen-agen mereka mana kenal dan tahu erti malu. Yang mereka tahu hanyalah 'melacur' segala kebenaran dan keadilan yang hakiki. Nampaknya Malaysia terus dibawa ke zaman gelap oleh UMNO/Bn untuk menjadi negara kolot dan jumud selagi 'penunggu' itu masih ada di Putrajaya.

Sokong Aziz Bari. Teruskan perjuangan berintegriti Tuan!

Wednesday, October 19, 2011

Bagi banyak alasan ke arah PRU bersih: SPR bengong dan semoga tidak terus bengong!

SPR tiada alasan lengah guna dakwat kekal

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) agar segera melaksanakan tuntutan rakyat iaitu penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya umum ke-13.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor menganggap proses menunggu ‘lampu hijau’ dari Majlis Fatwa Kebangsaan telah selesai kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah lama mengeluarkan kenyataan mengenai hukum tersebut.

Justeru, jelasnya DPPM memetik kenyataan daripada Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Cetakan Kedua 2010, terbitan JAKIM, m/s 144 yang menyebut bahawa: “Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 telah membincangkan Hukum Penggunaan Inedible Ink Dalam Pilihanraya Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa berdasarkan penjelasan dan hasil ujikaji yang telah diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang kimia serta hujah-hujah dan pandangan ahli-ahli Jawatankuasa, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Inedible Ink tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan syarak, tidak mendatangkan mudharat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan. Oleh itu penggunaan Inedible Ink adalah dibenarkan oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada umat Islam. Walau bagaimanapun, keputusan Jawatankuasa terhadap kandungan dan tahap ketelapan Inedible Ink ini hanya tertakluk kepada bahan yang sama dengan yang telah diuji oleh pakar-pakar berkenaan sahaja.”

“Bagi DPPM, Fatwa ini terang dan jelas bahawa tiada masalah dakwat kekal dilaksanakan dalam PRU ke-13 nanti,” katanya.

Justeru, tegasnya SPR tidak perlu berlengah dan tidak perlu bimbang kerana hukum dari pihak yang berautoriti dalam bidang agama telah dikeluarkan lebih awal.

Beliau menambah, rakyat khususnya umat Islam akan selamat dengan kaedah ini kerana ia tidak akan mengganggu amal ibadat serta mengandungi perkara yang syubhat mahupun haram.

Menurutnya, DPPM mengingatkan bahawa SPR sedang menjadi bahan cemuhan dan mendapat krisis ketidakyakinan bukan setakat rakyat di Malaysia, bahkan masyarakat dunia.

Bagi mengelakkan prasangka yang lebih buruk, katanya SPR perlu melaksanakan sistem celup jari secepat mungkin.

Setidak-tidaknya, ujar beliau rakyat akan memberi sedikit harapan dan kepercayaan bahawa SPR sedang berusaha menjadikan sistem pilihan raya di Malaysia bebas, bersih dan adil.

Justeru, tambahnya DPPM meningatkan agar SPR tidak mencari dalih lain bagi melengahkan pelaksanaannya dalam PRU ke-13 nanti.

Jika tidak, katanya SPR akan dianggap gagal dan rakyat tidak akan memaafkan kesalahan besar ini buat selama-lamanya.

“Jangan hampakan harapan rakyat Malaysia yang inginkan satu sistem pilihan raya yang bersih, adil, telus dan diyakini.

“Usahalah agar sistem pilihan raya di Malaysia menjadi antara yang terbaik di dunia,” ujarnya.

Sumber:harakahdaily