Followers

Saturday, March 19, 2011

Akauntabiliti, Integriti dan Disiplin Jepun yang belum ada di Malaysia!

Yang ada di Malaysia masih ditahap pelukis kartun ultraman Jepun dikejar Tsunami dan pengulas perasan, "Ini pada diri saya adalah satu pengajaran kepada negara-negara lain untuk apa-apa mereka buat atau sebarang pembangunan yang mereka nak lakukan seharusnya berkait dengan perubahan iklim dan teknologi hijau".

Bayangkan kalau bencana seumpama itu berlaku di Malaysia, dalam keadaan rakyat hura-hara dan lintang pukang, apa pulak diulasnya!!?

Jika hendak diteruskan projek loji nuklear di Malaysia ini, wujudkan dulu para pemimpin yang dirasai rakyat sangat-sangat, sebagai berjiwa rakyat yang tulen, berintegriti, punyai akauntabiliti dan disiplin serta akhlaq yang mantap. Jika tidak, tak payahlah loji-loji nuklear ni!!



Ketua Loji Nuklear Menangis Umum Tahap Radiasi Sebenar

Ketua syarikat disebalik reaktor nuklear yang musnah di Jepun hari ini akhirnya menangis - apabila akhirnya mengakui negaranya sudah diselubungi radiasi yang dibebaskan dari kesan pemanasan-reaktor dan rod bahan bakar yang cukup untuk membunuh beberapa warga Jepun. Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri Jepun mengakui bahawa bencana itu berada pada tahap 5, yang diklasifikasikan boleh menyebabkan krisis 'beberapa kematian radiasi' oleh Tenaga Atom Antarabangsa PBB.


Pengumuman rasmi itu dibuat setelah mereka menyedari semua radiasi sudah keluar sepenuhnya daripada loji. Mereka juga mengatakan bahawa 3 peratus daripada bahan bakar tiga reaktor di kilang Fukushima telah rosak teruk, menunjukkan teras reaktor sudah cair.

Seorang menteri senior Jepun juga mengakui bahawa negara itu sekarang diselubungi dengan skala tsunami dan krisis nuklear.

Beliau berkata para pegawai sepatutnya perlu mengakui lebih awal bagaimana seriusnya kebocoran radiasi. Setiausaha Kabinet Yukio Edano berkata: "Belum pernah terjadi sebelum ini gempa bumi dan tsunami yang besar melanda Jepun, terus terang, banyak perkara-perkara ini tidak termasuk dalam perancangan pengendalian bencana kecemasan kami.

Dalam pengalaman lalu, kita kena bergerak lebih cepat sedikit dalam menilai situasi dan menyelaras semua maklumat yang diberikan dengan lebih cepat. "

Pakar nuklear telah berkata selama beberapa hari Jepun akan menempuhi keparahan krisis.

Keadaan sekarang adalah serupa seperti kemalangan Three Mile Island di Pennsylvania pada tahun 1979. Hanya letupan di Chernobyl pada tahun 1986 menduduki skala teratas.

Timbalan pengarah jeneral NISA, Hideohiko Nishiyama, juga mengakui bahawa mereka tidak tahu apakah keadaan reaktor ini akan dapat dikawal.

Dia berkata: "Dengan operasi semburan air, kita memerangi yang api tidak dapat melihat. Api itu tidak merebak, tapi kita tidak boleh mengatakan ia kini berada di bawah kawalan."

Bagaimanapun Perdana Menteri Naoto Kan tetap berkeras bahawa negaranya akan dapat mengatasi bencana

"Kami akan membina semula Jepun dari awal," katanya dalam ucapannya yang disiarkan televisyen: "Dalam sejarah kita, bangsa di pulau kecil ini telah membuat pertumbuhan ekonomi yang menakjubkan dengan usaha dari semua warga negara Jepun. Itulah cara Jepun dibina."

Ia berlaku selepas gambar yang menunjukkan rod bahan bakar yang menjadi terlalu panas terkeluar melalui lubang besar di dinding sebuah bangunan reaktor di kilang nuklear Fukushima hancur.

Radiasi terbebas ke atmosfera dari rod uranium yang digunakan pada reaktor nombor empat, selepas kolam simpanan sedalam 45kaki yang direka untuk menstabilkan loji kering di dalam kebakaran.

Dan beberapa bahan radioaktif boleh sampai hingga ke England dalam masa dua minggu, menurut pakar.

Bagaimanapun mereka mengatakan hal itu tidak begitu berbahaya jika radiasi tiba ke pantai mereka kerana radiasi peringkat rendah telah pun tiba di Utara California.

Seorang pegawai PBB berkata radiasi yang sampai hingga ke Amerika adalah 'sekitar satu bilion kali' di bawah tahap kesihatan yang mengancam.

Radiasi juga dijangka akan sampai ke Eropah, dan sekali lagi para pegawai menekankan bahawa mencapai tahap radiasi yang sampai ke England tidak akan cukup tinggi untuk menimbulkan apa-apa risiko pada kesihatan manusia.


Lars-Erik De Geer dari Institut Kajian Pertahanan Sweden berkata zarah radiasi ini akhirnya akan dikesan di seluruh Eropah.

"Ia bukan sesuatu yang biasa," katanya. "Tetapi ia tidak melebihi dari titik bahaya. Tahapnya sangat rendah dan orang ramai tidak perlu bimbang."

Ramalan bahawa zarah radiasi boleh sampai sehingga ke England dalam masa dua minggu ini berdasarkan pada data sebelum ini, yang dikumpulkan oleh para saintis yang memantau ujikaji nuklear di China.

Sementara itu, pekerja di loji elektrik yang musnah ini terus bertahan berusaha untuk mengelakkan krisis yang paling mereka takuti terjadi- seburuk Chernobyl.

Kredit : AP, Reuters, DailyMail

Dipetik gambar dan rencana dari blog :pulakdah.blogspot.com

Tak payahlah teruskan projek logi nuklear di Malaysia!

Melalui kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kenyataan-kenyataan daripada Datuk Peter Chin dan Datuk Seri Maximus Ongkili dua orang anggota cabinet kerajaan UMNO/BN, niat mahu menjayakan projek nuclear negara nampaknya akan diteruskan.

Peter Chin pada Disember tahun lalu telah mengumumkan bahawa Malaysia akan membina dua loji nuclear yang mampu menjana 1000 megawatt kuasa, katanya untuk mengurangkan penggantungan kepada minyak untuk menjana kuasa elektrik.


Isunya adalah apakah dua loji nuclear itu perlu?


Pada pandangan aku melihat kepada akibat yang berlaku di Hiroshima Nagasaki, Cheynobel dan Jepun kini, dua loji nuklear yang dimaksudkan itu adalah tidak perlu diteruskan walaupun niatnya mungkin hanya untuk menjana kuasa elektrik.


Pertama, apakah Malaysia sudah terdesak untuk mendapat sumber kuasa seumpama itu untuk bekalan elektrik pada masa sekarang atau akan datang? Sudah tidak ada sumber lainkah yang boleh dilakukan untuk tujuan itu?


Pada aku masih banyak sumber semulajadi yang berpotensi besar yang boleh dijayakan untuk tujuan yang dimaksudkan jika dirancangkan dengan teliti dan berintegriti. Begitu banyak negara-negara dunia yang tidak mempunyai jana kuasa nuclear yang mampu memacu ekonomi mereka untuk menjadi negara maju. Oleh yang demikian hakikat sebenarnya, Malaysia yang seluas ‘jantung pisang’ ini tidak memerlukan jana kuasa nuclear walau untuk apa tujuan sekali pun kerana ia terlalu berisiko dan sangat merbahaya kepada penduduk.


Kedua, dalam keadaan negara di bawah pemerintahan UMNO/BN yang tidak berintegriti, penuh dengan rasuah dalam pelbagai peringkat, tidak ada kepatuhan dan integriti dalam penafsiran undang, tiada semangat perlembagaan, campur tangan politik yang keterlaluan dalam hal-hal profesionalisme, kewujudan kes seumpama yang bertaraf liwat 2 yang penuh konspirasi dengan gaya dakwaan dan perbicaraan yang penuh memalukan dan tidak bermoral, maka mempunyai jana kuasa nuclear sangatlah memberi risiko yang besar kepada keselamatan rakyat dan negara keseluruhannya.


Adalah sangat dibimbangi kos pembinaan projek itu akan berserabut dengan komisyen yang patut dibayar atau diterima oleh sesiapa. Ingat, ini bukan seperti membina makmal komputer di sekolah-sekolah yang banyak runtuh dahulu. Ini membina loji nuclear, mana boleh macam beli kapal selam yang katanya tak boleh menyelam, mana boleh konkrit kurang simen banyak pasir, mana boleh guna paip PVC, mana boleh gua kayu capcai, mana boleh dinding retak, mana boleh bumbung runtuh, mana boleh syiling tercabut (?), ….. tapi pembinaan di Malaysia sejak dalam UMNO Baru ini macam-macam boleh berlaku!!!! Bahaya woii! Loji nuclear tau!!?


Oleh itu, hanya negara yang ada integriti dengan para pemimpin yang mempunyai sikap pertanggungjawaban yang tinggi sahaja yang boleh bercita-cita untuk menjayakan projek loji nuclear seumpama itu. Apabila ada perasaan bertanggung-jawab kerana sesuatu isu atau kesalahan, sanggup tanpa banyak bicara meletak jawatan. Apakah kepimpinan UMNO/BN yang ada ini sudah sampai ke tahap itu? Heh…jangan harap, mahu memerintah sehinga menongkat langit, mungkin !


Jelaslah bagi aku cita-cita mahu membina loji nuclear di Malaysia oleh kerajaan UMNO/BN bukanlah satu cadangan yang sesuai dan masuk akal sekurang-kurangnya selagi UMNO/BN memerintah! Ianya satu projek yang sangat merbahaya ! Belajarlah dari apa yang telah berlaku.



Friday, March 18, 2011

Cukuplah 53 tahun, UMNO/BN sudah tidak layak menjadi pemerintah

Hakikatnya begitu banyak isu-isu terkini yang sepatutnya telah tidak melayakkan UMNO/BN untuk terus mengurus dan mentadbir negara ini. Dengan isu-isu terkini seperti ini layakkah lagi UMNO/BN memerintah Malaysia?:

  1. ‘Menganugerahkan’ Mykad kepada warga asing demi kepentingan kuasa politik yang tersasar.

  1. RM888 bilion duit Malaysia dilarikan masih belum terjawab oleh Perdana Menteri Najib yang juga Presiden UMNO.

  1. Menteri UMNO yang jaga undang-undang cuba manipulasi pemahaman undang-undang dalam kes First Lady.

  1. Mengamalkan politik wang dalam setiap kempen pilihanraya sama ada PRK mahupun PRU.

  1. ‘Merancang dan mengskripkan’ perbicaraan hal lubang dubur shaifool secara rendah moral dan akhlak hanya semata-mata mahu membunuh karekter Anwar Ibrahim yang sentiasa didakwa para pemimpin UMNO telah kehilangan pengaruh dalam kalangan rakyat. Dah dakwa tiada pengaruh pun tekan juga lagi! Kes ini logiknya, sudah sepatutnya tidak diteruskan!

  1. Melakukan fitnah terhadap Anwar Ibrahim.

  1. Para pemimpin UMNO yang memfitnah Anwar Ibrahim meliwat, tanpa 4 orang saksi yang beriman, telah tidak layak menjadi saksi seumur hidup mereka.

  1. Berusaha menggodam Kg Baru untuk akhirnya menghilangkan hak-hak dan wajah Melayu di kampung itu

  1. Memupuskan terlalu banyak tanah-tanah orang Melayu di ibukota Kuala Lumpur yang dahulunya pernah dilakukan di Pulau Pinang.

  1. Membelanjakan Rosmah Mansur, seorang yang hanya sebagai isteri Perdana Menteri sebanyak RM134 ribu untuk melawat ke luar negara. Datang dari sumber mana peruntukan ini?

  1. Presiden UMNO Najib Razak bersuara sama seperti suara Yahudi Israel apabila merujuk Ikhwanul Muslimin dan Dr Yusof Qardhawi sebagai pengganas.

  1. 14 buku teks sekolah rendah yang banyak kesalahan di bawah Kementerian yang diuruskan oleh seorang Timbalan Presiden UMNO. Banyak mana pembaziran dan kerugian wang rakyat dari apa yang berlaku itu.

  1. UMNO menghina Raja-raja Melayu dengan ‘mengiktiraf’ orang yang tidak layak langsung sebagai Wanita Pertama Malaysia.

  1. Melantik penasihat komunikasi kepada PM, sebuah agensi luar yang disyaki kuat punya kaitan dengan Yahudi Israel.

  1. Melaksanakan konsep 1Malaysia yang serupa bunyi dan kaedahnya, dengan 1Israel.

  1. Menaikkan harga minyak dan barang keperluan rakyat secara tidak terkawal dan mungkin harga minyak dan barang keperluan tersebut akan terus naik lagi.

  1. Perdana Menteri-Perdana Menteri dari UMNO mampak macam cerdik rupanya tidak, kerana pernah ditipu oleh menteri-menterinya sendiri dalam skandal PKFZ. Apakah layak mereka yang tidak cerdik dan mudah ditipu terus-terusan dilantik menjadi Perdana Menteri?

  1. Mengenakan saman ekor hingga rakyat menjadi kelam kabut dan susah. Tok Aki tua yang menunggang C70 buruk berulang alik dari rumah ke masjid pun kena saman laju!!

  1. Melantik Isa Samad yang didapati bersalah oleh UMNO sendiri dalam isu politik wang sebagai Pengerusi FELDA.

  1. Kos jejantas mewah yang menghubungkan KLCC dengan Hotel Impiana RM70,422 satu meter!

  1. Kerajaan di bawah pemerintahan UMNO/BN telah mencipta hutang isi rumah rakyat Malaysia mencecah RM557 bilion. Hal ini didedahkan oleh Azmin Ali Timbalan Presiden PKR.

  1. Di bawah kerajaan UMNO/BN telah menyebabkan rezab tunai FELDA merosot teruk selepas diambil-alih oleh Najib Razak yang waktu itu masih TPM.

  1. Pembelian kapal laut yang dilaporkan komisyennya 870%. Gila!!

  1. Dalam keadaan rakyat Jepun dilanda radiasi nuclear, Timbalan Presiden UMNO terus buat kenyataan bahawa perancangan pembinaan loji jana kuasa nuclear Malaysia akan diteruskan! Jepun yang canggih perkhidmatan elektriknya pun lintang pukang mahu mengawal loji nuclearnya, apalah pulak akan terjadi kepada rakyat Malaysia jika lojinya menghadapi padah seperti di Jepun dalam keadaan kuasa elektrik di Malaysia ‘kerap’ terputus bekalan di sana sini.

  1. ‘Menyerah’ tanah KTM di Tanjung Pagar Singapura secara memalukan maruah bangsa Melayu setelah Pulau Batu Putih terlepas begitu mudah!

Semoga seluruh rakyat wajar mula mengkaji dan memikirkan hal ini. Banyak kerugian yang akan menimpa rakyat jika UMNO/BN terus menang dalam PRU ke 13 nanti. Kerugian yang paling besar jika UMNO/BN terus memerintah ialah kehidupan rakyat akan terus terpalit dengan noda rasuah, pilih kasih, tekanan hidup, kezaliman dan ketidak-adilan dan mungkin banyak lagi tanah air akan tergadai!


Thursday, March 17, 2011

Pilihanraya kendalian SPR berwibawa?

Nazri Aziz dalam jawapannya di Parlimen berkata antaranya, kejayaan SPR telah menjadikan system pilihan raya yang diguna pakai sekarang berwibawa. Nazri kata sistem pilihanraya berwibawa!

Sistem pilihanraya di atas kertas memang berwibawa. Tetapi apabila sistem itu dilaksanakan atau dioperasikan, tahun demi tahun ianya kelihatan telah mampu merosakkan wibawa SPR itu sendiri.


Kita tidak mahu bercakap soal sistem yang digarap di atas kertas tetapi kita mempersoalkan bagaimana sistem pilihanraya itu dioperasikan SPR? Telah terlalu banyak kes-kes perjalanan sistem pilihanraya di Malaysia yang kelihatan berat sebelah dan pincang buat parti-parti pembangkang kepada parti pemerintah UMNO/BN.


Berwibawakah sistem ini atau berwibawakah SPR kalau begini:

  1. Tempoh berkempen dalam pilihanraya cuba dipendekkan atas alasan yang cukup mengarut. Alasan yang cuba menghalang raykat berfikir dan memikirkan hujah-hujah semua parti yang bertanding. Pilihanraya bukan macam kanak-kanak bermain pondok-pondok tetapi ia adalah proses pemilihan pemerintahan negara. Rakyat perlu diberi masa yang cukup untuk memikir dan memilih kerajaan yang akan menguruskan nasib dan masa depan mereka. Parti-parti yang bertanding wajar diberi peluang sama rata...sama rata untuk menyatakan janji berbakti, dasar dan manifesto mereka. UMNO/BN ada segala untuk berkempen dalam tempoh yang singkat dan selamanya sentiasa berkempen, UMNO/BN ada menteri, ada kementerian, ada jabatan kerajaan, ada media, ada ketua komuniti, guna secara tidak sah peruntukan kerajaan dan segalanya. Parti-parti pembangkang kepada UMNO/BN, apa yang SPR berikan? Kerajaan Kelantan yang dikuasai oleh PAS memberi zakat kepada saudara baru kaum Asli dalam tempoh kempen PRK, riuh dituduh memberi rasuah! Kerajaan UMNO/BN menggunakan peruntukan mi segera, duit kerajaan, duit rakyat untuk rasuahkan pengundi terang-terangan dan menggunakan wang kempen melebihi daripada yang dibenarkan undang-undang, SPR pekakkan telinga dan butakan mata! Piraah...wibawa taik kucing!
  2. Apakah SPR terlalu bodoh untuk memahami mengapa wujudnya kes-kes penganugerahan mykad kepada warga asing, pendaftaran pengundi beramai-ramai dalam sebuah rumah, di rumah yang alamatnya tiada di kawasan tersebut dan macam-macam?.
  3. Atas muslihat apa SPR membenar mendaftarkan isteri-isteri tentera sebagai pengundi POS? Apakah tahap keselamatan di Malaysia bertaraf Zimbabwe?
  4. Apakah SPR tidak tahu bahawa ada anggota pakaian seragam juga boleh mengundi sebagai pengundi biasa dengan memiliki Ked Penganalan awam dan nama mereka timbul dalam daftar pemilih?
  5. Payah benarkah bagi SPR yang ’berwibawa’ itu untuk membuang nama-nama mereka yang telah meninggal dunia dari daftar pemilih?
  6. Dalam PRU ke 13 nanti, kita mahu melihat apa teguran SPR dalam menguruskan pilihanraya yang berwibawa, terhadap UMNO/BN yang tidak tahu membezakan kerajaan yang memerintah dengan care-taker goverment selepas parlimen dibubarkan nanti. Kita mahu melihat SPR menegur kerajaan UMNO nanti agar kerajaan selepas pembubaran parlimen tidak boleh membuat apa sahaja ikut suka hati mereka dengan melanggar perlembagaan negara sebagai cara-taker goverment. Tunjukkan wibawa kamu nanti dalam hal ini!
  7. SPR pernah berkelakuan memalukan dengan menyediakan daftar pemilihan yang yang tidak sama antara di bangsal barong dengan daftar pemilih dalam bilik mengundi. Ini pernah berlaku! Apakah ini menggambarkan kewibawaan sebuah pilihanraya. Sudah pasti apabila kes-kes seumpama ini dibangkitkan, menteri dan SPR akan senada menjawab, itu kes-kes terasing!
  8. Jika benar-benar pilihanraya di negara ini berwibawa mengapa SPR takut untuk menggunakan sistem dakwat celup jari dalam pilihanraya sebagai menambahkan lagi kewibawan SPR? Tidakkah mengarut dan auta namanya untuk menambahkan lagi kewibawaan pilihanraya dan SPR, cadangan guna dakwat tidak dilayan? Bukah itu ke arah yang lebih baik? Sebenarnya penolakan cadangan itu pasti ada udang disebalik batu!

Banyak lagi yang dapat dibuktikan betapa tempangnya pilihanraya yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. Di mana wibawanya? Hantu raya mungkin!

Wednesday, March 16, 2011

Agaknya negara yang menjemputnya berucap dulu tepuk dahi menyesal jemput dia berucap....


Aku agak betapa menyesalnya mereka tu hari ini. Negara-negara Arab yang pernah menjemput perempuan ini berucap dahulu, konon untuk menyumbang idea ‘besar’ meningkatkan tahap pendidikan kanak-kanak pra-sekolah, pasti tepuk dahi dan berkerut muka menyesal menjemput berucap apabila mendengar ulasan perempuan ini tentang gempa bumi dan tsunami di Jepun!

Ialah… apa boleh buat, mereka ingatkan cerdik, rupanya tidak!


Kata perempuan yang sentiasa perasan itu ialah, “Ini pada diri saya adalah satu pengajaran kepada negara-negara lain untuk apa-apa pun mereka buat atau sebarang pembangunan yang mereka nak lakukan seharusnya berkait dengan perubahan iklim dan teknologi hijau,”


Sekali dengar bunyi macam berjurus tapi rupanya, sudahlah tidak prihatin, bodohnya macam mak andeh !


Orang lain sibuk melahirkan simpati dan datang ke Jepun membantu, dia pulak buat lawak tiga suku. Sama je perangainya macam ‘hantu raya’ belaan Berita Hairan!


Sebelum hendak komplen Jepun mengenai perubahan iklim dan teknologi hijau, komplen dulu banyak sungai-sungai di Malaysia ni yang macam teh tarik. Komplen dulu banyaknya bukit-bukit di negara dibawah pimpinan UMNO/BN ini yang gondol. Komplen dulu betapa banyaknya hutan-hutan balak yang ditebang hinggakan yang peruntukan 3, 4 tahun akan datangpun dah tak nampak batangnya lagi, komplen dulu projek jana kuasa nuklear laki kamu!


Macam tu nak jadi First Lady? Sudahlah tak layak dari segi perlembagaan, dari segala segi apa pun memang terlalu tak layak!! Layak ke macam tu ?

Tuesday, March 15, 2011

UMNO/BN 'perancang' penganugerahan keistimewaan mykad kepada warga asing?

Satu lagi pengkhianat terbesar kerajaan UMNO kepada rakyat Malaysia khususnya kepada orang Melayu dan bumiputra tempatan ialah pemberian mykad kepada warga asing. Kegiatan itu kini berleluasa di beberapa tempat terutamanya di negeri Selangor dan Kelantan.

Di Kelantan, dikhuatiri 20,000 warga asing akan mendapat mykad yang bakal melayakkan mereka mengundi dalam pilihanraya. Di kawasan Parlimen Pekan, beribu ‘orang luar’ telah menjadi pengundi kepada Najib. Tanpa ‘mykad’ orang luar ini sudah tentu tidak boleh menjadi pengundi! Manakala di Dun Paya Jaras Selangor, warga asing yang mengedar Mykad kepada lebih 100 orang rakan mereka telah ditahan oleh petugas Pusat Khidmat Dun Paya Jaras.


Kerajaan UMNO/BN ini seolah-olah mahu menggadai negara kepada rakyat asing dengan seolah-olah mahu mengenepikan hak dan peranan rakyat tempatan dalam menentukan masa depan dan maruah negara. Apakah makna kedaulatan dan maruah jika kekuasaan negara bakal ditentukan oleh warga asing yang semudah itu mendapat mykad ?


Nampaknya UMNO yang dulunya pernah memberi kerakyatan secara jus soli kini sekali lagi bagaikan ‘mengamal’ cara jus soli dalam era moden ini demi mengekalkan kuasa politik rakus mereka.


Adalah menghairankan bagaimanakah sebahagian orang-orang Melayu yang tak henti-henti menyokong UMNO boleh bersetuju dengan kegiatan memberikan mykad kepada warga asing ini? Warga asing yang mendapat mykad ini bukan sahaja mendapat mykad malah mungkin akan dibuka tanah-tanah baru sebagai perkampungan mereka untuk hidup senang lenang sebagai anak emas, manakala rakyat tempat yang tidak bertanah terus berputih mata di negara sendiri.


Nampaknya perjuangan UMNO yang didakwa demi agama, bangsa dan negara telah menjadi perjuangan periuk nasi dan perjuangan asalkan tembolok kenyang!

Adalah mustahil kegiatan menganugerahkan mykad kepada warga asing ini tidak disedari oleh pihak Kementerian Dalam Negeri yang menjaga keselamatan negara. Jika mereka tahu hal ini kenapa mereka tidak mengambil tindakan tegas dan segera kerana kegiatan ini terlalu memberi risiko kepada keselamatan negara.

Jelas kegiatan ini sengaja dirancang demi mempertahankan kuasa rakus UMNO dalam PRU ke 13 nanti. Seluruh rakyat Malaysia terutama orang-orang melayu harus melihat hal ini bagaimana dahsyatnya UMNO memperjudikan maruah dan keselamatan negara kepada warga asing dengan menganugerahkan mereka mykad.


UMNO sudah tidak layak menjadi dominasi pemerintahan kerajaan Malaysia bagi menjamin hak-hak rakyat tempatan. Subahat UMNO dalam penganugerahan mykad kepada warga asing begitu ketara sekali. Maka itu seluruh rakyat terutama orang-orang Melayu wajar menilai hal ini dan menolak UMNO dalam PRU ke 13 nanti demi survival bangsa Malaysia seluruhnya.

Menteri pembodek nombor satu

Beginilah cara menteri UMNO/BN berkerja. Mereka tidak mengindahkan integriti ucapan dan keputusan mereka asalkan dapat dan mampu membodek bos dan bini bos yang paling berkuasa. Tidak kisah menghina Raja Permaisuri Agong asalkan mampu menjadi pembodek nombor satu kepada orang yang diyakini mampu menentukan nasib dan rezeki.


Terang-terang dalam perlembagaan negara menjelas dan memberi faham, siapa Wanita Pertama Negara, namun menteri ini masih mahu memutar-belit untuk memperbodohkan ramai orang.


Katanya gelaran Wanita Pertama diberikan kepada isteri Perdana Menteri adalah amalan biasa sebelum ini. Bilanya ia menjadi amalan biasa? Isteri-isteri Perdana Meneri sebelum ini tidak pernah menggunakan gelaran ini kecuali sikatik yang perasan itu.


Malang dan sedihnya menteri yang seumpama inilah bersama geng-gengnya yang sangat ‘disayangi’ oleh segelintir orang-orang Melayu di kawasan luar Bandar dan FELDA terutama ibu-ibu tunggal dan makcik-makcik. Akibatnya orang-orang Melayu di kawasan-kawasan tersebut terus-terusan dijajah baik minda mahupun tingkahlaku politik mereka oleh UMNO sendiri, parti yang mereka agung-agungkan!


Bilalah bangsaku di luar bandar sana mampu menjadi cerdik politik demi maruah bangsa yang terlalu banyak dinodai oleh para pemimpin UMNO?


Wanita Pertama: Nazri putar belit fakta Perlembagaan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Mac: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebenarnya dangkal dan cuba menghina Perlembagaan negara berhubung Wanita Pertama Malaysia.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana jelas diperuntukkan dalam Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan dalam Bab 1 berkaitan jelas menyatakan hak gelaran Wanita Pertama Malaysia adalah kepunyaan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Beliau yang juga Ketua Wanita PKR menyatakan demikian sebagai respons kepada jawapan Mohamed Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini berkenaan soalan ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkaitan takrifan wanita pertama dan penyediaan peruntukan berkaitan boleh disifatkan sebagai sekadar play-safe statement, penuh niat putar belit dan berunsur manipulasi terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, jawapan Nazri yang mendakwa bahawa penggunaan gelaran Wanita Pertama hanyalah sebagai kod amalan menunjukkan bahawa beliau sebenarnya dangkal dan cuba menghina Perlembagaan negara.

Menurutnya, Perkara 32 (2) berbunyi, "Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong".

“Jika benar penggunaan gelaran Wanita Pertama hanyalah sebuah kod amalan seperti yang didakwa, maka saya pasti bahawa isteri Perdana Menteri juga tertakluk dibawah Kod Protokol yang ditetapkan Jabatan Perdana Menteri, dengan mengambil kira beliau hanya sebagai seorang pegawai kakitangan buat Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Namun, jika demikian, soalnya bagaimanakah sejumlah peruntukan sebanyak RM4.5 juta boleh diluluskan buat seorang ‘'kakitangan' untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Wanita Pertama.

Beliau juga mempersoalkan bagaimanakah seorang ‘'kakitangan' biasa boleh diberikan peruntukan untuk melancong ke seluruh dunia.

“Apakah seorang ‘kakitangan’ juga dibenarkan berkempen dan membuat pelbagai janji secara melampau dengan menggunakan wang kerajaan sewaktu pilihan raya, yang sehingga kini satu pun tidak tertunai?

“Adakah wujud pula Kod Protokol istimewa dan khas, yang hanya terpakai untuk Isteri Perdana Menteri?” soalnya.

Maka, beliau menggesa agar Mohamed Nazri agar berani untuk segera menjawab dengan jujur, berpaksikan fakta dan realiti yang tepat bagi membuktikan bahawa beliau benar-benar bebas daripada tekanan mana-mana pihak dalam menjalankan tugasnya.

Monday, March 14, 2011

Antara kejayaannya ialah melahirkan ramai perogol

Di bawah pemerintahan UMNO/BN sering didakwa banyak kejayaan yang dicapai. Apa yang selalu diwar-warkan apabila sesuatu kejayaan di capai ialah dasar-dasar yang bekesan yang digubal oleh pemerintahan 53 tahun UMNO/BN. Maka dengan terwar-warnya kejayaan pemerintahan UMNO/BN ini, ramai rakyat di kawasan-kawasan FELDA dan lura bandar lainnya yang rasa bangga lantas tidak berfikir panjang untuk terus mengundi dan memangkah parti UMNO/BN. Antara kejayaan parti UMNO/BN memerintah negara ini ialah berjaya melahirkan ramai perogol dalam tempoh 5 tahun! Tahniah pengundi UMNO/BN. Banggaa!!!

9,575 rogol bawah umur dalam 5 tahun

Sebanyak 9,575 kes rogol di bawah umur direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh lima tahun sejak 2005, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.


Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata statistik yang direkodkan PDRM itu menunjukkan jumlah kes yang melibatkan mangsa bawah umur adalah lebih tinggi bagi tempoh 2000 hingga 2010 berbanding kes yang melibatkan mangsa bukan bawah umur.

"Bagaimanapun, polis tidak mempunyai rekod mengenai jumlah kes rogol di bawah umur bagi tempoh 2000 hingga 2004," katanya menjawab soalan Tan Sri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Fong ingin tahu jumlah kes rogol di bawah umur yang berlaku sejak tahun 2000 dan tindakan yang diambil kementerian bagi menangani gejala itu.

Abu Seman Yusop berkata kementerian sentiasa memandang serius dan komited dalam membendung jenayah rogol lebih-lebih lagi bagi kes yang melibatkan golongan di bawah umur.

Katanya, antara langkah yang diambil PDRM ialah memberi perkhidmatan kaunseling kepada mangsa dan akan merujuk mangsa kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat jika memerlukan perlindungan.

"Selain itu, polis akan meneruskan siasatan untuk mendapatkan bukti terhadap suspek dan bagi kes yang dituduh di mahkamah dan jika suspek disabitkan kesalahan, pihak peguam negara akan memohon kepada mahkamah supaya hukuman lebih berat dikenakan," katanya.

--Bernama

Sumber: malaysiakini

Haiyoo ramainya 50,000...!


Kira-kira hanya 50 orang pendemo cari makan UMNO (kalau utusan dan berita yang melaporkan mesti 50,000) telah berkumpul di depan ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini untuk membantah keengganan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi DNA kepada polis. Kalau sebelum ini makcik-makcik ‘monopous’ di Perak menjerit-jerit meminta DNA Anwar Ibrahim untuk diberi kepada polis (PDRM?).

Mereka menggesa Anwar Ibrahim memberi DNA kepada Polis, Polis Malaysia yang pernah menelanjang dan melutu mata Anwar Ibrahim! Hanya orang ‘gila’ atau orang bangang sahaja yang akan berbuat demikian.


Aku kata puak-puak ni 'gila' kerana apa kena mengenanya perbicaraan Anwar Ibrahim dengan mereka semua?


Katanya mahu memberi keadilan kepada Saifool. Cheh....apakah Saifool tidak mendapat keadilan lagi kerana mana ada mangsa liwat atau rogol yang lain dalam Malaysia ini dapat berjumpa dan mengadu terus kepada Perdana Menteri dan bininya konon dia telah diliwat?


Woii.... mangsa ‘liwat’ dapat perhatian istimewa Perdana Menteri dan bininya mana ada dalam dunia ini, hanya Saifool seorang sahaja. Tidak mendapat keadilan lagi macam tu! Dapat keistimewaan lagi tau! Tuu...'bersepah' mangsa rogol dan liwat dalam negara, mana ada yang dapat mengadu kepada PM? Hanya saifool, tau tak!


Memang dasar pengampu terlampau. Kalau hendak demontrasi sangat, demontrasilah juga kes Norita dahulu, cari DNA lelaki asing yang tak dikenali tu. Masyarakat masih mahu tahu siapa yang terlibat dalam kes tersebut. Demonstrasilah juga kes bekas menteri raba punggung. Demonstrasilah… kami nak tahu menteri atau bekas menteri atau yang bertaraf menteri mana yang pandai meraba tu!


Inilah rupa NGO dan makcik-makcik pengampu terlampau. Daripada berdemonstrasi kes DNA Anwar Ibrahim lebih baik berdemonstrasi kes saman ekor, kes peneroka FELDA kena tipu, kes Isa Samad dilantik Pengerusi FELDA, kes ramai golongan wanita dimanipulasi!


Itu lebih baik daripada menunjukkan kegilaan dan kebodohan terlampau!


Sunday, March 13, 2011

Bagaimana PAS boleh memenangi hati orang Melayu

Di negeri-negeri kubu kuat UMNO seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang, orang-orang Melayu di kawasan luar bandar terutama kaum wanita yang terdiri daripada ibu tunggal dan kaum ibu telah sekian lama ditanam dalam minda mereka agar berhati-hati dengan politik PAS malah jangan cuba mendekati PAS kerana PAS adalah ”parti yang nampak alim tapi, banyak cakap, celupar, kasar, tidak mesra (serius) dan jahat.”


PAS juga sering digambarkan oleh UMNO kepada penyokong totok mereka terutama kaum ibu dan ibu tunggal sebagai parti yang suka mengganggu ketenteraman masyarat setempat dan memecah-belahkan perpaduan orang Melayu. Kejayaan UMNO meracuni pemikiran golongan ini menyebabkan sukar bagi orang-orang PAS mahu bercakap atau mencerita hal-hal politik di tempat awam dan kedai kopi kerana akan dikecam sebagai pemecah-belah masyarakat setempat. ”Tak ada kerja lain, orang PAS ni nak menghasut je kerjanya”.


Itulah antara yang sering ditohmahkan kepada PAS walaupun penggerak PAS bercakap mengenai isu sebenar yang orang-orang Melayu hadapi. Sebenarnya dari segi imej, parti PAS masih lagi buruk dalam pengamatan golongan pengundi Melayu luar bandar yang ramai ini. Pemimpin PAS perlu fikir hal ini jika mahu menang dalam kawasan Melayu luar bandar.


UMNO juga telah berjaya menanam dalam minda orang-orang Melayu terbabit di kawasan luar bandar bahawa pemimpin PAS dengan pemimpin UMNO sama sahaja dari segi sikap tidak berintegriti malah mungkin lebih teruk lagi. Kalau pendakwah PAS menyebut bahawa para pemimpin PAS tidak makan rasuah, hidup sederhana maka golongan Melayu berkenaan yang totok UMNO ini akan berkata, ”boleh cakaplah sebab tidak perintah lagi, kalau perintah esok agaknya lebih teruk dari yang sedia ada”.


Maka sebab itu UMNO telah berjaya dengan hujahnya bahawa lebih baik kekalkan yang sedia ada walau bagaimana keadaan dan kelaku yang sedia ada itu, daripada yang belum tentu keadaan dan kelakunya. Orang Melayu terbabit terutama kaum ibu dan ibu tunggal kalah dengan hujah seumpama ini.


Pemimpin PAS perlu memahami hal ini. Selagi imej PAS ditanamkan begitu dalam minda golongan terbabit, PAS sukar menang dalam kawasan Melayu kecuali semua golongan yang dimaksudkan itu telah tiada !


Orang Melayu asalnya adalah masyarakat yang merendah diri, bersopan dan bersikap sangat menghargai dan membalas budi. Sikap positif orang Melayu terutama yang berada di kawasan luar bandar ini telah dipergunakan oleh UMNO untuk kepentingan politik tidak amanah mereka. UMNO menggunakan segala umpan kebendaan dari segala punca sah tak sah, seperti RM walaupun dalam jumlah yang tidak banyak mana malah kadang-kala dalam jumlah yang cukup memalukan (bayangkanlah ada pemimpin UMNO bagi ibu tunggal sekampit beras 5 kilo sahaja (rm16) setiap seorang selepas majlis pertemuan mereka- maka berduyun-duyunlah ibu tunggal memikul beras selepas selesai majlis), kerana mereka tahu orang-orang Melayu terutama kaum ibu dan ibu tunggal akan tetap menghargai dan berterima kasih dengan banyak manapun pemberian yang hulurkan. Kaum ibu dan ibu tunggal di luar bandar adalah golongan yang sangat memuji dan cukup berterima kasih, jika ada yang diberi kepada mereka. Maka akan berkatalah mereka ” baik UMNO, bagus YB kita!”. Walaupun pemberian ’sedekah’ itu mungkin dalam kadar nilai RM.300 sekali pilihanraya iaitu lebih kurang 80 sen sehari kalau untuk makan setahun!! Inilah yang pemimpin UMNO sering beritahu kepada orang-orang Melayu terbabit, mana parti PAS mampu menolong seperti yang UMNO lakukan ini. Angguklah semua golongan itu.


Pemimpin PAS perlu fikirkan hal ini jika mahu menang dalam kawasan Melayu di kawasan luar bandar! Mampu tak mampu kena fikirkan, kerana kalau mahu memenangi hati golongan Melayu yang begitu, itulah yang UMNO lakukan!


Semua orang Melayu terutama kaum ibu dan ibu tunggal bukan orang politik secara semula jadi. Mereka tidak suka dan sangat benci kepada kritikan politik. Mereka hanya suka kepada politik kebajikan bukan politik yang mereka capkan sebagai ”politik mengata orang”. Mereka tak mahu dengar isu Althantuya, isu tanah rezab Melayu yang semakin susut, isu Anwar Ibrahim, isu Rosmah – FLOM, isu Pulau Batu Putih, isu Berembang, isu kampung Baru KL, isu royalti minyak, isu saman ekor, isu PTPTN, isu naik minyak kerana minyak naik terutama RON 97 dan sebagainya kerana ada di antara isu tersebut mereka tak faham apa kaitan dengan kehidupan mereka dan yang lebih menyedihkan mereka difahamkan oleh UMNO tiada kaitan dengan kehidupan harian mereka pun. Mereka ini juga jauh dari membaca media baru dalam internet untuk memahami segala isu yang melingkari hidup dan nasib anak bangsa mereka.


Para pemimpin PAS perlu menyedari bahawa golongan ini hanya perlukan politik kebajikan. Berikan mereka sesuatu untuk mereka hidup, maka mereka akan suka orang itu dan akan berkata, ” Baguslah PAS ni...mesra!.”


Akhirnya, orang-orang Melayu di kebanyakan kawasan parlimen tercari-cari mana pemimpin PAS? Mereka mahu mengenali pemimpin PAS tidak semudah mereka mencari pemimpin UMNO. Nama pemimpin UMNO tempatan bermain di bibir mulut ahli masyarakat tak kiralah dalam membicarakan isu baik atau isu buruk, sedangkan nama para pemimpin PAS tidak pernah disebut kerana ahli masyarakat tak kenal mereka yang mana satu. Bolehkah PAS memenangi hati orang-orang Melayu ini dalam keadaan golongan Melayu terbabit ini tidak mengenali mereka?


PRU telah semakin hampir...fikirkanlah jika mahu memenangi hati golongan Melayu terbabit di negeri-negeri yang dimaksudkan.