Followers

Wednesday, December 14, 2011

Mahathir mendedahkan 3 'kejayaan' Umno: Guna bomoh, Melayu penakut dan karut marut

Sedar atau tidak Dr Mahathir yang canggih, penuh lagak dan gaya luaran yang moden dan kota, yang tewas berpolitik melawan seorang Tok Guru yang simple dan gaya luaran yang hanya kampungan, telah mendedahkan kepada umum akan tiga ‘kejayaan’ Umno membentuk bangsa Melayu selama 54 tahun memerintah negara ini.

‘Kejayaan’ Umno yang pertama melahirkan ahli-ahli politik parti bangsa Melayu, Umno SUKA BOMOH POLITIK. Tidak semena-mena dalam keadaan orang ramai tidak memberi perhatian pun mengenai hal itu, Dr Mahathir dengan rajinnya telah memberi nasihat agar ahli-ahli poltik tidak menggunakan bomoh untuk mencapai kemenangan. Kini ramai orang melihat, nasihat Dr Mahathir itu adalah dituju kepada para ahli politik dalam parti Dr Mahathir sendiri ia itu Umno, kerana dalam parti itulah ramai ahli politik berbangsa Melayu yang berpengangan, jangan campur aduk politik dengan agama atau politik suku agama suku! Kalau benar begitu maka Dr Mahahtir telah mengumumkan kejayaan umno melahirkan ramai ahli politik bangsa Melayu dari Umno, yang percaya kepada khurafat, tahyul dan boleh menjurus kepada syirik yang nyata. Dan rupanya sangkaan umum selama ini yang ahli-ahli politik Umno menggunakan bomoh adalah kemungkinan besar benar! Tidak benarkah sangkaan umum yang telah terpahat dalam ingatan, antaranya kes yang membabitkan bomoh Mona Fandey dan laporan media mengenai keterjumpaan satu bungkusan kecil yang terselit di bawah meja di bilik mesyuarat MKT Umno di saat akhir pemerintahan Abdullah Badawi?

Lagi pun siapa yang lebih tahu dari Dr Mahathir dalam hal-hal penggunaan bomoh oleh ahli-ahli politik ini kerana setakat hari ini Mahathir adalah orang yang pernah menjadi Presiden dan PM terlama dalam sejarah negara ini dan dalam kedudukannya hari ini Mahathir boleh bercakap apa sahaja tanpa terjejas apa-apa berbanding ahli-ahli politik Umno yang lain!

‘Kejayaan’ kedua Umno melahirkan BANGSA MELAYU PENAKUT. Dr Mahathir juga berkata bahawa orang Melayu tidak wajar menjadi bangsa penakut kerana ia juga menjadi penghalang kepada kejayaan mereka.

Benar sekali kenyataan Mahathir itu tetapi hakikat sebenarnya melahirkan bangsa Melayu penakut adalah usaha-usaha serius yang sering dilakukan oleh Umno dulu, kini dan mungkin selamanya jika Umno masih memerintah negara ini. Contoh, sejak 54 tahun merdeka, banyak akta-akta yang digubal oleh kerajaan Umno dengan 1001 alasan, yang berusaha menakut-nakutkan rakyat khususnya bangsa Melayu. Akta ISAnya, Aukunya, Akta rahsia rasminya, Akta cetak dan penerbitan dan sebagainya. Sekarang ini pula sibuk mahu menggubal akta-akta baru konon untuk mengganti ISA dan RUU Perhimpunan Aman yang tidak langsung menjadikan rakyat khususnya bangsa Melayu menjadi lebih berani memberi pendapat dan pandangan terutama yang bertentangan dengan pendapat Umno/Bn! Serangan terhadap parti-parti sah undang-undang PAS, PKR dan DAP dengan memainkan isu perkauman Melayu dalam perhimpunan Umno baru-baru ini satu lagi usaha Umno mahu melahirkan bangsa Melayu penakut malangnya takut kepada bayang-bayang sendiri, tanpa asas!

Hakikat sebenarnya bermula zaman Dr Mahathir hingga kini, banyak usaha menjadikan bangsa Melayu bangsa penakut. Jadi sebenarnya Dr Mahathir hanyalah sekadar seronok bercakap kerana sudah tidak ada kerja lain yang hendak dibuat. Daripada duduk diam lebih baik merapu, itulah Dr Mahathir hari demi hari!

‘Kejayaan’ ketiga Umno ialah melahirkan BANGSA MELAYU YANG PERCAYA KEPADA KARUT-MARUT. Dr Mahathir berkata Melayu mempunyai banyak sebab yang menghalang kejayaan mereka dan katanya lagi ‘tidaklah perlu kita tambah halangan terhadap kejayaan mereka dengan kepercayaan kepada yang karut-karut’.

Benar sekali nasihat Mahathir itu tetapi malangnya Mahathir dan para pemimpin Umnonya bagaikan ketam mengajar anaknya berjalan betul. Apakah dakyah para pemimpin Umno agar tertanam dalam minda rakyat khususnya orang Melayu, usaha ikhlas PAS mahu menerangkan hudud yang sebenar dan berazam melaksanakan hudud dikatakan ‘Hudud Pas’, bukan kepercayaan yang karut-marut? Menabur fitnah yang tidak logik, konon jika Pakatan Rakyat menang DAP akan memerintah sedangkan DAP hanya bertanding 60 kerusi parlimen, bukan kepercayaan yang karut marut? Tidakkah dakwaan konon Umno masih berkedudukan dan sentiasa berkedudukan menjamin kuasa bangsa Melayu dan Islam dalam Barian Nasional hari ini, bukan satu kerpecayaan yang karut-marut? Bukankah dakwaan konon ‘Umno selamat, Islam selamat’ bukan sahaja karut marut malah sesat? Tidakkah dakyah PAS lawan Umno, DAP yang menang, satu kepercayaan yang karut marut?

Apakah tujuan Umno mencipta perkara yang karut marut itu? Tidak lain tidak bukan untuk menakut-nakutkan bangsa Melayu! Hakikat yang sebenarnya parti Umno sejak dari zaman Mahathir hingga kini sentiasa menanamkan dalam minda bangsa Melayu perkara-perkara karut-marut untuk menjadikan bangsa Melayu terserkup dalam minda yang penuh dengan ketakutan yang tidak berpijak dibumi nyata malah semakin melemahkan bangsa Melayu itu sendiri.

Kesimpulan yang nyata, bukan hanya penggunaan bomoh oleh ahli-ahli politik Umno yang karut-marut, malah perjuangan politik pecah dan perintah, pecah amanah, talam dua muka, fitnah, politik porno dan perkauman Umno itu sendiri adalah karut-marut, yang terlalu merugikan bangsa Melayu yang menjadikan bangsa Melayu penakut dan terus terserkup!

Tiga perkara itulah ‘kejayaan’ Umno selama ini sebenarnya, tiada lain!



No comments: