Followers

Sunday, December 25, 2011

FGVH ke Bursa Saham: Felda bakal hanyut, peneroka bakal karam?

Selamatkan Felda, PM perlu bertanggungjawab

Eikhwan Ali

Memikirkan nasib 112,635 orang peneroka seluruh negara di 317 Skim Penempatan Felda dengan keluasan 905,448 hektar, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mendesak supaya YAB Perdana Menteri membatalkan penyenaraian Felda Global Ventures Holding Snd. Bhd. (FGVH) di Bursa Malaysia.

GAMIS berpendirian tindakan tersebut adalah suatu tindakan yang sangat merugikan. Hal ini bakal berlaku melalui perjanjian pajakan 99 tahun antara Felda Holding Berhad (FHB) dan FGVHB kerana FHB telah bersedia untuk memajak tanahnya seluas 360,000 hektar kepada FGVHB sedangkan syarikat itu tiada hak ke atas tanah tersebut dan 500,000 hektar tanah yang dimiliki oleh peneroka.

Dalam rekod, FGVH hanya memiliki 42 ribu hektar tanah dan penyenaraian ini akan menyaksikan penyusutan saham Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) dalam anak-anak syarikat FHB susut kepada 30% sahaja dan baki 70% lagi akan didagangkan kepada pelabur luar. Di samping itu, ahli-ahli KPF bakal kehilangan majoriti 55% dalam saham FHB selain pendapatan RM 2 billion FELDA bakal menjunam kepada RM508 juta.

GAMIS membantah penyenaraian tersebut kerana :

FGVH yang mempunyai rekod prestasi buruk (mengalami kerugian dan menanggung hutang) sudah pasti tidak mampu memberikan pulangan yang lebih baik kepada peneroka.

Penyenaraian tersebut yang akan membuka ruang kepada orang luar (bukan bumiputera) menjadi pemegang saham akan menjejaskan kepentingan hak Melayu ke atas Felda.

GAMIS juga berpandangan, penyenaraian di Bursa Malaysia yang kononya bertujuan untuk menarik pelabur bagi menambah modal adalah tidak tepat pada keadaan ekonomi sekarang yang berkemungkinan besar akan mengorbankan kepentingan peneroka. ‘Durian runtuh’ yang ditawarkan kepada peneroka adalah keuntungan yang bersifat jangka pendek. Isu jangka panjang yang lebih besar ialah kemampuan FGVH untuk bersaing dengan syarikat gergasi yang lebih senior di peringkat global.

Berkenaan dengan isu yang melanda KPF pula, GAMIS menuntut daripada Perdana Menteri atau Menteri Di Jabatan Perdana Menteri beberapa penjelasan berikut :

KENAPA Tan Sri Isa Samad yang bukan peneroka FELDA atau keluarga peneroka atau kakitangan FELDA dan juga belum genap dua (2) tahun menjadi ahli KPF dilantik sebagi Pengerusi KPF sedangkan ia bertentangan dengan Undang-Undang Kecil KPF dan Seksyen 43 Akta Koperasi 1993.

KENAPA Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah FELDA untuk membincangkan perlantikan Tan Sri Isa Samad diadakan pada (25 Ogos 2011) ketika ketiadaan Dato’ Zulkifli Abd. Wahab yang sedang menunaikan umrah.

KENAPA Dato’ Zulkifli Abd. Wahab disingkirkan sebagai Pengerusi KPF sedangkan beliau dilantik secara sah melalui Mesyuarat Agung KPF 2011.

KENAPA Dato’ Zulkifli Abd. Wahab diarah bercuti dalam tempoh 6 hingga 9 bulan bermula 25 November 2011 yang lalu.

KENAPA Perdana Menteri campur tangan dalam hal ehwal dalam KPF yang mempunyai undang-undangnya sendiri dan tertakluk kepada Akta Koperasi dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Persoalan-persoalan di atas memperlihatkan seolah-olah terdapat konspirasi tertentu yang dirancang oleh pihak-pihak tertentu. Keadaan ini sekiranya tiada penjelasan dan tidak diselesaikan segera akan menyebabkan keadaan bertambah buruk jika penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia diteruskan.

GAMIS menuntut supaya :

Mahkamah menghalang Mesyuarat Agong Khas KPF yang dijadualkan akan berlangsung pada 5 Januari 2012 daripada diadakan bagi menyekat pelupusan pegangan saham ahli KPF kepada FGVH dilakukan.

YAB Perdana Menteri membatalkan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menentukan status sebenar Tan Sri Isa Samad dalam KPF.

Sekiranya tiada penjelasan diberikan dan tuntutan tidak dilayan, GAMIS akan menggerakan mahasiswa, khususnya dikalangan anak-anak FELDA, untuk bertindak sebagai third force dengan menterjemahkan bantahan dan kekecewaan mereka terhadap kerajaan melalui kertas undi dalam Piliharaya Umum yang akan datang.

Eikhwan Ali
Naib Presiden GAMIS
Bahagian Koporat dan Antarabangsa

No comments: