Followers

Tuesday, September 06, 2011

Maka jadilah dia Khoo Kang Kong?

Tulisan di bawah ini mungkin sangat baik untuk mengenalpasti rupa-rupanya Prof ini pun kangkung jugak. Pelik, mengapa mesti dia korbankan rasa hurmat masyarakat terhadap pandangan sejarahnya selama ini. Kini di mana mahu diletakkan rasa hurmat itu jika dia juga mahu masuk kelab kangkung dengan pandangan yang banyak mengundang persoalan? Aiya...kay kim jugak mahu jadi kang kong arr?


Reaksi Khoo Kay Kim undang banyak persoalan


Mohamed Hadi al-Majwi

Saya tertarik untuk mengulas wawancara Berita Minggu bersama dengan tokoh sejarawan ara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (KKK) yang disiarkan menerusi akhbar tersebutneg pada 4 September 2011. Sudah tentulah tujuan utama wawancara tersebut ialah untuk membidas Timbalan Presiden Pas, Haji Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengenai isu Mat Indera dan Bukit Kepong tetapi itu tidaklah menghairankan bagi akhbar yang menyokong parti pemerintah. Saya lebih berminat untuk mengulas jawapan-jawapan KKK yang saya sifatkan secara peribadi sebagai lebih banyak mengundang persoalan daripada merungkaikan jawapan.


Misalnya, KKK mempertahankan Tunku Abdul Rahman dan Dato' Onn Jaafar dengan mengatakan bahawa mereka bukanlah pegawai British seperti mana yang didakwa oleh Mat Sabu. Menurut KKK, Tanah Melayu tidak pernah menjadi jajahan British dan beliau berikan alasan-alasan beliau seperti yang dimuatkan di dalam wawancara tersebut. Pandangan ini bukanlah baru, malah disokong oleh hujah-hujah yang berasas. Namun begitu, pelbagai persoalan timbul di dalam benak fikiran saya berkenaan isu Tanah Melayu yang tidak pernah dijajah:


1. Kalau Tanah Melayu tidak pernah dijajah British, kenapa kita diajar sejak di bangku sekolah lagi bahawa British adalah penjajah?

2. Kalau negeri-negeri Melayu (kecuali Negeri-Negeri Selat) ialah Negeri-Negeri Melayu Naungan, mengapa British tidak digelar sebagai penaung?

3. Kalau British ialah penaung sahaja bukan penjajah, kenapa hasil bumi Tanah Melayu habis dikaut oleh British? Kenapa kuasa eksekutif terletak di tangan pegawai British bukannya di tangan istana? Adakah Negeri-Negeri Melayu Naungan benar-benar berdaulat kalau pemerintahannya dikendalikan oleh pegawai British?

4. Kalau 'nasihat' pegawai British di dalam pentadbiran mesti diikuti oleh raja-raja Melayu berdasarkan perjanjian yang telah mereka tandatangani (kecuali di dalam soal agama Islam dan adat istiadat Melayu), adakah ini bukan penjajahan namanya? Kalau ini bukan satu bentuk penjajahan, maka istilah apakah yang selayaknya untuk kita panggil?

5. Kalau British bukan penjajah, kenapa Tanah Melayu perlu dimerdekakan? Lazimnya sesebuah negara yang merdeka akan bebas daripada cengkaman penjajah, tetapi Tanah Melayu ini merdeka daripada cengkaman siapa? Rombongan Kemerdekaan ke London pada tahun 1956 itu tujuannya apa pula?

6. Kalau British bukan penjajah, maka Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan sebagainya menentang siapa dan derhaka kepada siapa?

7. Kalau Tanah Melayu tidak pernah dijajah British, adakah segala usaha para pejuang kemerdekaan, baik golongan yang kanan, yang tengah mahu pun yang kiri untuk memerdekakan negara kita tidak boleh dianggap sebagai usaha mengusir penjajah?

8. Yang paling penting sekali, kalau kita betul-betul mahu membezakan status antara negeri naungan dan negeri jajahan, jawablah dengan hati yang jujur, adakah terdapat perbezaan ketara di antara kedua-duanya?


Saya tidak mengajukan soalan-soalan di atas kepada KKK kerana saya yakin beliau pun tahu jawapannya. Tetapi saya mohon supaya kita semua berfikir sejenak, adakah kita semua sedar mengenai fakta yang KKK kemukakan? Adakah fakta ini didedahkan kepada para pelajar kita menerusi mata pelajaran Sejarah mereka?


Disebabkan reaksi KKK inilah saya merasakan bahawa ada sesuatu yang sangat, sangat, sangat tidak kena mengenai sukatan pembelajaran mata pelajaran Sejarah di sekolah-sekolah. Sejarah apakah (atau sejarah siapakah) yang sebenarnya diajar di sekolah-sekolah selama ini?

Sumber: Harakahdaily

No comments: