Followers

Sunday, August 07, 2011

Betapa lemahnya pengurusan zakat dalam negara 1Malaysia ini

Mengenai isu 12 orang Islam yang disiasat JAIS kerana satu jamuan makan malam atau apa yang dikatakan majlis berbuka puasa di sebuah gereja di Damansara, ia sepatutnta telah mampu memberi beberapa ikhtibar dan pengajaran penting kepada semua pihak sama ada dari Majlis Raja-raja Melayu (Raja-raja Melayu) yang menjaga hal Ehwal Agama Islam hinggalah ke peringkat pemerintah, pihak berkuasa agama, ulama, cendikiawan Islam dan umat Islam keseluruhannya.


Jika benarlah seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar yang mendapati seorang yang ditahan telah membuat pengakuan bahawa kefakiran, kemiskinan mereka dan keterbebanan hutang yang sekeliling pinggang telah menyebabkan mereka terpaksa demi sebuah kehidupan dan tangungan berat, menerima bantuan kemanusian dan kewangan yang tidak ada birokrasi langsung dari pihak agama lain, maka ini adalah satu tragedi kepada pengurusan agama Islam di negara ini.


Bukan Agama Islam itu lemah. Islam tidak pernah lemah. Islam itu tinggi dan mulia, tiada yang lebih tinggi dan mulia lebih daripada agama Islam. Tapi malang pengurusan Islam yang penuh birokrasi, penuh dengan kejumudan dan hasad, penuh dengan sikap berkira-kira dan kehilangan integriti mungkin telah mencacatkan wajah agama yang mulia ini.


Tulisan ini ingin menyentuh sedikit mengenai wang zakat. Orang yang berhak menerima zakat dari 8 asnaf itu, tidakkah antara mereka dalam kalangan FAKIR, MISKIN, MUALLAF, ORANG BERHUTANG dan MEMBEBASKAN HAMBA (jika hamba abdi telah tidaka tidak adakah hamba dari keadaan lain seperti hamba along, hamba hutang, hamba sindiket pelacuran, hamba keadaan hidup yang tertekan dan sempamanya?) ?


Pelik dan hairan setiap tahun kutipan zakat begitu banyak, tetapi mengapakah bantuan wang zakat tidak sampai kepada golongan-golongan ini secara tetap?


Pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini, boleh bagi apa sahaja alasan dan boleh membuat apa sahaja tafsiran terhadap golongan yang penulis senaraikan di atas itu, namun bagi penulis walau apapun alasan yang diberikan, keadaan ini tetap membuktikan betapa tidak cekapnya kita semua, baik dari peringkat Majlis Raja-raja Melayu, pemerintah, pengurusan Islam dan kita semua sebagai umat Islam zaman ini, dalam menyampaikan bantuan dan pertolongan kepada golongan yang Allah wajibkan kita sampaikan.


Kita terlalu banyak berkira. Kita terlalu banyak berdengki. Kita terlalu banyak berprasangka. Kita terlalu banyak mengkaji hukum dan istilah boleh tak boleh, aula tak aula, seolah-olah masalah pemberian zakat tak pernah selesai-selesai. Kita terlalu banyak birokrasi. Kita terlalu malah gilakan publisiti apabila menyampaikan zakat.


Akhirnya pihak agama lain memberi pertolongan dan bantuan secara mudah, tanpa kecoh-kecoh dan publisiti, tanpa prasangka dalam pemilihan, penuh kemesraan dan penuh istiqamah, tidak hangat-hangat tahik ayam menyampaikan bantuan yang benar-benar diperlukan oleh mereka yang Islam dalam kalangan beberapa golongan antara 8 ansaf layak mendapat bantuan, yang benar-benar memerlukan.


Waktu ini kita mula melentingkan bagaikan cacing kepanasan namun tetap tanpa insaf dan tanpa tindakan segera pun, terus bercakaran sesama sendiri dihadapan mereka yang bukan Islam. Jelas kita bukan pemegang amanah Islam yang baik malah layak menjadi pemegang amanah yang tidak ada maruah!


Apa yang patut berlaku wang zakat yang banyak pada tahun semasa dihabiskan pada tahun itu juga, tetapi lebih malang jika wang zakat ghairah dibiarkan bertimbun untuk dibawa ke tahun-tahun berikutnya pula. Untuk apa dibawa ke tahun berikutnya? Bukankah setiap pembayar zakat mahu ibadah zakat mereka itu sampai kepada yang ditetapkan oleh Allah dengan seberapa segera? Atau apakah untuk 'dikemut 'oleh pihak-pihak tertentu bagi projek dan perbelanjaan tertentu yang tidak ada mengena dan bukan keutamaan pemberian zakat? Kalau begitu tidak peliklah jika ada umat Islam yang murtad kerana bantuan kehidupan dan kewangan tidak sampai kepada mereka dari penguasa Islam. Na’uzubillah!


Apakah peristiwa dan cerita salah seorang yang disiasat JAIS itu yang disiarkan oleh beberapa akhbar akan terus menjadi bagai angin lalu kepada pemerintah yang mengatakan mereka pemerintah Islam yang konon rakyat didahulukan prestasi diutamakan?


Wang zakat sepatutnya wajib diutamakan bagi menjaga dan menyelamatkan aqidah umat. Bukan untuk disimpan buat harta pusaka!


2 comments:

Anonymous said...

wang zakat d gunakan utk bina bgnan Baitulmal yng cantik2 supaya nampak koprat dan bayar bonus kakitanganya.Bantuan kepada yg terpilih sahaja....

Pak Oncu said...

salam ,, izin kan gua kopi pes n3 ni,,,