Followers

Sunday, June 12, 2011

Persidangan Meja Bulat Online 1Malaysia medan beretorik!

Bukan untuk bersikap persimistik tetapi begitulah biasa, hasilnya tidak ke mana sekadar retorik yang tidak kesampaian. Perbincangan Meja Bulat Online 1Malaysia yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri esok, Isnin akan menjadi satu lagi medan bercakap banyak dan bergurau senda, bukan medan membuat kerja-kerja praktikal yang dapat dirasai selesa oleh rakyat yang benar-benar hidup tertekan sekarang.

Sebab itu kita persoalkan, apakah kesan Perbincangan Meja Bulat Online 1Malaysia ini kepada segala lapisan rakyat? Kalau mengikut pengalaman-pengalaman lampau semuanya itu hanya ’drama’ atau hanya medan ’penggubalan cerita dongeng’ semata-mata!


"Saya berharap kita semua akan menggunakan peluang ini untuk bersatu dan melahirkan idea dan penyelesaian yang kreatif. Sampaikanlah inisiatif ini kepada keluarga dan rakan-rakan anda supaya kita semua akan mendapat cadangan sebanyak yang mungkin," kata Perdana Menteri dalam entri terbaru laman blognya bertajuk "Sertailah Meja Bulat Online 1Malaysia".

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahawa beliau begitu teruja dan tidak sabar-sabar untuk menyertai perbincangan Meja Bulat 1Malaysia apabila ia dilancarkan Isnin ini untuk mendapatkan idea-idea yang baru dan segar dan jalan penyelesaian daripada rakyat.

Najib berkata perbincangan sebegini akan membolehkan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kedudukan geografi, profesion dan usia, mengemukakan komen, cadangan atau idea yang saksama dan konstruktif untuk meningkatkan kehidupan rakyat Malaysia.

Antara bidang yang akan dibincangkan termasuklah ekonomi, perpaduan nasional, kesihatan, penyertaan belia dan sukan.


Apakah pernyataan Najib itu benar-benar ikhlas untuk memastikan kehidupan rakyat yang tertekan hari ini menjadi benar-benar lega? Rasanya itu semua hanya impian semata-mata. Selesaikan isu-isu ini dahulu sebelum meminta idea-idea lain daripada rakyat.


1. Apakah kerajaan Umno/Bn akan turunkan harga minyak jika ada rakyat meminta berbuat demikian dalam persidangan itu, kerana terdapat janji Pakatan Rakyat jika mereka memerintah mereka akan turunkan harga minyak?

2. Apakah kerajaan Najib akan mengkaji semula perjanjian dengan IPP jika ada rakyat dalam persidangan itu meminta kerajaan sekarang berbuat demikian, kerana Pakatan Rakyat berjanji akan melakukannya jika mereka menang PRU ke 13 nanti?

3. Apakah Najib akan turunkan tarif elektrik jika ada rakyat meminta beliau berbuat demikian dalam persidangan itu, kerana terdapat janji dari Pakatan Rakyat untuk berbuat demikian demi kebajikan rakyat?

4. Apakah Najib akan melaksanakan dasar pemberian tender terbuka yang benar-benar telus, tanpa rasuah kepada sesiapa sahaja tanpa mengira amalan politik ?

5. Apakah dalih Najib untuk tidak memberi royalti minyak kepada Kelantan jika ada rakyat bertanya hal itu dalam persidangan itu nanti.

6. Macam-macam pertanyaan lagi yang kalau ditanyai oleh rakyat nanti, apakah Najib akan memberi jawapan yang praktikal dan realistik atau berputar belit ke hulu ke hilir! Kita lihat nanti!


Jawapan yang mudah diduga daripada Najib dan kerajaan Umno/Bn ialah akan memburuk-buruk dan meremehkan lawan mereka dan beretorik sepanjang masa, tanpa membuat sesuatu apa pun tranformasi yang benar-benar dirasai selesa oleh rakyat. Dan lumrahnya, apa sahaja idea dan penyelesaian kepada isu-isu di atas akan menjadi sampah-sarap belaka.


Pendek kata sekiranya masalah pokok negara seperti di bawah ini tidak diselesaikan oleh Najib dan kerajaannya, jangan harap persidangan seumpama itu bakal membawa berita gembira melainkan ’kempen politik’ belaka!


1. Masalah rasuah dalam kalangan para pemimpin dan ikan jerung belum nampak ada ketelusan ke arah pembasmian.

2. Masalah kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan masih terlalu lemah dan dhaif.

3. Masalah penganugerahan tender yang penuh dengan perlindungan kepada kroni, rasuah dan ketisisan terlalu bermaharaja lela.

4. Masalah kerajaan Umno/Bn yang bersikap penuh atau semacam hipokrit (seperti yang bekas mufti Dr Asri katakan) dan kehilangan integriti (seperti yang Dr Aziz Bari katakan) terlalu menjolok mata.

5. Masalah pengagihan kuasa antara Parlimen, Kehakiman dan Eksekutif dirosak dan diperkakaskan oleh kerajaan semasa.

6. Masalah hilang sikap akauntabiliti dan ketelusan dalam kerajaan Umno/Bn.

7. Masalah ekonomi negara dalam pengurusan Umno/Bn semakin hari semakin merosot dan meruncing.

8. Masalah slogan ’rakyat diutamakan’ tidak langsung dirasai oleh rakyat secara nyata dengan kenaikan harga petrol, tarif eletrik, barang keperluan rakyat dan kadar pengangguran dan pekerjaan yang tidak terjamin.


Jika 8 masalah di atas tidak diselesaikan segera, buatlah 1 juta Perbincangan Meja Bulat Online 1Malaysia atau apa bentuk pun, ianya tidak akan memberi makna apa-apa kepada kononnya penyelesaian yang kreatif, saksama dan konstruktif, melainkan membuang masa kerana asyik berpolitik dan beretorik semata-mata.

No comments: