Followers

Sunday, June 05, 2011

Mulai hari ini Mat Sabu mulai dinilai.

Tahniah kepada Tuan Haji Mohmad Sabu (Mat Sabu) yang telah memenangi jawatan Timbalan Presiden PAS. Melihat kepada track record dan susur galur perjuangan Mat Sabu dalam PAS maka Mat Sabu sebenarnya memang layak berada di tempatnya hari ini. Tidak ada sesiapapun yang boleh menafikan bahawa Mat Sabu adalah antara pemimpin tulen parti PAS yang benar-benar MEMAHAMI apa itu parti politik yang bernama PAS. Malah Mat Sabu adalah antara pemimpin muda zaman awal PAS yang turut membentuk wajah PAS seperti mana PAS yang ada pada hari ini. Adalah diyakini dua calon berkalibar yang tewas dan semua pihak turut mengakui hal ini.

Dengan kemenangan Mat Sabu selaku Timbalan Presiden, dan 3 Naib Presiden yang baru dipilih, adalah diyakini PAS akan lebih dinamik dan agresif dalam segala tindakan kemasyarakatan dan politik dan aktivitinya. Jika tidak begitu, maka meletakkan Mat Sabu di situ adalah tidak pulang modal dan Mat Sabu sudah pasti akan ditukar pula dengan orang lain pada Muktamar 2 tahun lagi atau sekurang-kurangnya Mat Sabu tidak akan lama di situ.


Mengenai isu kumpulan ulama dan kumpulan professional sebenarnya aku dari awal bersetuju dengan apa yang difahami dan diterangkan oleh Mat Sabu sendiri. Kepimpinan ulama harus ditakrifkan dengan struktur yang meletakkan Majlis Syura dan Dewan Ulama sebagai penentu dan penjaga matlamat, dasar dan perjuangan PAS bukan soal yang membabit jawatan eksekutif dalam parti. Ini adalah kerana realiti yang berada di dalam PAS pada hari ini adalah, ada ulama yang professional dan ada professional yang ulama. Sekadar 2 contoh yang mampu disebut di sini ialah Ustaz Abdul Ghani Samsuddin dan Dr Zulkifli Ahmad. Oleh yang demikian maka sudah-sudahlah kepimpinan dan ahli-ahli PAS termasuk dalam perangkap musuh PAS sendiri iaitu Utusan Meloya, Berita Hairan yang bertuankan Umno yang sekular itu yang tidak akan henti-henti untuk memecah-belahkan harakah Islamiah ini. Yang penting walaupun apapun latar belakang kemimpinan PAS, mereka mestilah bertaqwa, berakhlaq dan dinamik dalam memimpin parti.


Bagi Mat Sabu, yang menjadi tugas berat bagi Mat Sabu dan 3 Naib Presiden yang dicap ramai orang konon sebagai golongan professional itu ialah:


  1. Masih terlalu ramai orang Melayu tidak merasai PAS adalah parti Melayu Islam.

  1. Masih terlalu ramai orang Melayu terutama di luar bandar tidak merasai PAS adalah parti yang mesra dengan mereka, dan menganggap PAS hanya parti yang suka membangkang, PAS hanya parti yang banyak bercakap, PAS kalau memerintah sama juga dengan Umno mungkin lebih teruk dan macam-macam.

  1. Masih terlalu ramai pemimpin PAS yang tidak popular di bibir mulut orang-orang Melayu terutama di luar bandar malah ada yang tidak kenal siapa itu Haji Hadi Awang, siapa Salahuddin Ayub, siapa Husam, siapa Mahfuz Omar, apatah lagi siapa Dr Mahfuz Mohamad!! Kalau ada yang kenal Mat Sabu pun hanya kerana ceramahnya. Kata mereka, Mat Sabu suka maki hamun ”pemimpin kerajaan!!”.

  1. Masih terlalu ramai aktivis PAS di cawangan-cawangan yang tidak dapat bergerak lawas kerana kekakangan atau ancaman tertentu dari pihak pemerintah Umno/Bn terutama di negeri-negeri yang dikuasai oleh Umno/Bn. Ini menyebabkan cawangan-cawangan PAS menjadi lemah dan lesu! Melahirkan aktivis tulen peringkat cawangan adalah tuntutan mendesak PAS pada saat ini.

  1. Masih terlalu ramai orang Melayu di kawasan luar bandar yang takut mendekati atau menjadi ahli PAS...macam-macam takut!

  1. Terlalu ramai para pemimpin hebat PAS terlalu sukar untuk dilihat berada di bawah dan mesra di akar umbi masyarakat kecuali hanya berada dalam kelompok orang-orang PAS sahaja.

Semoga kehadiran Mat Sabu bersama 3 Naib Presiden dan kabinet baru yang dipilih oleh perwakilan akan dapat benar-benar membantu Presiden untuk merealisasikan hasrat dakwah dan politik PAS secara peribadi mahupun hasrat bersama dengan Pakatan Rakyat.


Maka mulai hari ini Mat Sabu mulai dinilai oleh seluruh pencinta parti Islam PAS sebelum tiba ke muktamar pemilihan 2 tahun dari sekarang. Selamat berjuang dan semoga PAS terus cemerlang dengan sebenar-benar cemerlang.


No comments: