Followers

Sunday, March 13, 2011

Bagaimana PAS boleh memenangi hati orang Melayu

Di negeri-negeri kubu kuat UMNO seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang, orang-orang Melayu di kawasan luar bandar terutama kaum wanita yang terdiri daripada ibu tunggal dan kaum ibu telah sekian lama ditanam dalam minda mereka agar berhati-hati dengan politik PAS malah jangan cuba mendekati PAS kerana PAS adalah ”parti yang nampak alim tapi, banyak cakap, celupar, kasar, tidak mesra (serius) dan jahat.”


PAS juga sering digambarkan oleh UMNO kepada penyokong totok mereka terutama kaum ibu dan ibu tunggal sebagai parti yang suka mengganggu ketenteraman masyarat setempat dan memecah-belahkan perpaduan orang Melayu. Kejayaan UMNO meracuni pemikiran golongan ini menyebabkan sukar bagi orang-orang PAS mahu bercakap atau mencerita hal-hal politik di tempat awam dan kedai kopi kerana akan dikecam sebagai pemecah-belah masyarakat setempat. ”Tak ada kerja lain, orang PAS ni nak menghasut je kerjanya”.


Itulah antara yang sering ditohmahkan kepada PAS walaupun penggerak PAS bercakap mengenai isu sebenar yang orang-orang Melayu hadapi. Sebenarnya dari segi imej, parti PAS masih lagi buruk dalam pengamatan golongan pengundi Melayu luar bandar yang ramai ini. Pemimpin PAS perlu fikir hal ini jika mahu menang dalam kawasan Melayu luar bandar.


UMNO juga telah berjaya menanam dalam minda orang-orang Melayu terbabit di kawasan luar bandar bahawa pemimpin PAS dengan pemimpin UMNO sama sahaja dari segi sikap tidak berintegriti malah mungkin lebih teruk lagi. Kalau pendakwah PAS menyebut bahawa para pemimpin PAS tidak makan rasuah, hidup sederhana maka golongan Melayu berkenaan yang totok UMNO ini akan berkata, ”boleh cakaplah sebab tidak perintah lagi, kalau perintah esok agaknya lebih teruk dari yang sedia ada”.


Maka sebab itu UMNO telah berjaya dengan hujahnya bahawa lebih baik kekalkan yang sedia ada walau bagaimana keadaan dan kelaku yang sedia ada itu, daripada yang belum tentu keadaan dan kelakunya. Orang Melayu terbabit terutama kaum ibu dan ibu tunggal kalah dengan hujah seumpama ini.


Pemimpin PAS perlu memahami hal ini. Selagi imej PAS ditanamkan begitu dalam minda golongan terbabit, PAS sukar menang dalam kawasan Melayu kecuali semua golongan yang dimaksudkan itu telah tiada !


Orang Melayu asalnya adalah masyarakat yang merendah diri, bersopan dan bersikap sangat menghargai dan membalas budi. Sikap positif orang Melayu terutama yang berada di kawasan luar bandar ini telah dipergunakan oleh UMNO untuk kepentingan politik tidak amanah mereka. UMNO menggunakan segala umpan kebendaan dari segala punca sah tak sah, seperti RM walaupun dalam jumlah yang tidak banyak mana malah kadang-kala dalam jumlah yang cukup memalukan (bayangkanlah ada pemimpin UMNO bagi ibu tunggal sekampit beras 5 kilo sahaja (rm16) setiap seorang selepas majlis pertemuan mereka- maka berduyun-duyunlah ibu tunggal memikul beras selepas selesai majlis), kerana mereka tahu orang-orang Melayu terutama kaum ibu dan ibu tunggal akan tetap menghargai dan berterima kasih dengan banyak manapun pemberian yang hulurkan. Kaum ibu dan ibu tunggal di luar bandar adalah golongan yang sangat memuji dan cukup berterima kasih, jika ada yang diberi kepada mereka. Maka akan berkatalah mereka ” baik UMNO, bagus YB kita!”. Walaupun pemberian ’sedekah’ itu mungkin dalam kadar nilai RM.300 sekali pilihanraya iaitu lebih kurang 80 sen sehari kalau untuk makan setahun!! Inilah yang pemimpin UMNO sering beritahu kepada orang-orang Melayu terbabit, mana parti PAS mampu menolong seperti yang UMNO lakukan ini. Angguklah semua golongan itu.


Pemimpin PAS perlu fikirkan hal ini jika mahu menang dalam kawasan Melayu di kawasan luar bandar! Mampu tak mampu kena fikirkan, kerana kalau mahu memenangi hati golongan Melayu yang begitu, itulah yang UMNO lakukan!


Semua orang Melayu terutama kaum ibu dan ibu tunggal bukan orang politik secara semula jadi. Mereka tidak suka dan sangat benci kepada kritikan politik. Mereka hanya suka kepada politik kebajikan bukan politik yang mereka capkan sebagai ”politik mengata orang”. Mereka tak mahu dengar isu Althantuya, isu tanah rezab Melayu yang semakin susut, isu Anwar Ibrahim, isu Rosmah – FLOM, isu Pulau Batu Putih, isu Berembang, isu kampung Baru KL, isu royalti minyak, isu saman ekor, isu PTPTN, isu naik minyak kerana minyak naik terutama RON 97 dan sebagainya kerana ada di antara isu tersebut mereka tak faham apa kaitan dengan kehidupan mereka dan yang lebih menyedihkan mereka difahamkan oleh UMNO tiada kaitan dengan kehidupan harian mereka pun. Mereka ini juga jauh dari membaca media baru dalam internet untuk memahami segala isu yang melingkari hidup dan nasib anak bangsa mereka.


Para pemimpin PAS perlu menyedari bahawa golongan ini hanya perlukan politik kebajikan. Berikan mereka sesuatu untuk mereka hidup, maka mereka akan suka orang itu dan akan berkata, ” Baguslah PAS ni...mesra!.”


Akhirnya, orang-orang Melayu di kebanyakan kawasan parlimen tercari-cari mana pemimpin PAS? Mereka mahu mengenali pemimpin PAS tidak semudah mereka mencari pemimpin UMNO. Nama pemimpin UMNO tempatan bermain di bibir mulut ahli masyarakat tak kiralah dalam membicarakan isu baik atau isu buruk, sedangkan nama para pemimpin PAS tidak pernah disebut kerana ahli masyarakat tak kenal mereka yang mana satu. Bolehkah PAS memenangi hati orang-orang Melayu ini dalam keadaan golongan Melayu terbabit ini tidak mengenali mereka?


PRU telah semakin hampir...fikirkanlah jika mahu memenangi hati golongan Melayu terbabit di negeri-negeri yang dimaksudkan.

No comments: