Followers

Monday, January 31, 2011

Dari kisah Tenang: Apakah PAS masih jauh dari kemenangan?

PRK Dun Tenang telah tamat. Orang-orang Tenang telah dapat wakil rakyat baru YB Azhar yang pernah melelong tanah tanpa restu tuan tanah. Tak kiralah lelong tanah atau apapun kerana itulah standard yang orang-orang Tenang mahukan. Kita akur dengan keputusan orang-orang Melayu Tenang dengan standard yang mereka pilih sebagai penentu nasib mereka.

Bagi pejuang PAS dan aktivis Pakatan Rakyat kekalahan tidak pernah mengecewakan. Mereka yang menyertai Pakatan Rakyat terutama PAS telah pun sedar bahawa jika tidak mahu dilanda ombak jangan berumah di tepi pantai. Justru itu masing-masing telah memainkan peranan dan cara mengikut kemampuan masing-masing.


Bagi PAS usaha memecah dan mengocak minda orang-orang Melayu luar bandar seperti di tanah-tanah rancangan Felda dan kampung-kampung tradisi di kubu-kubu UMNO mesti diteruskan. Mengubah minda mereka bukan menghasut seperti didakwa oleh UMNO/BN tetapi ia lebih bermakna menolong mereka untuk melihat masa depan mereka dengan lebih adil dan telus tanpa dimanipulasi, dibuli untuk kepentingan kuasa rakus UMNO/BN.


Bila berdepan dengan kubu kuat UMNO, para pemimpin PAS perlu menyedari bahawa aktivis bawahan PAS di cawangan-cawangan sebenarnya bukan aktivis parti yang sebenar. Kebanyakan aktivis yang menjaga cawangan begitu sukar untuk bersaing dengan cawangan-cawangan UMNO kerana ramai mereka antaranya adalah kakitangan kerajaan.


Aktivis dari kalangan kakitangan kerajaan ini tidak mampu untuk bergiat secara terus terang kerana pelbagai ancaman yang bakal diterima dari pelbagai pihak yang bersekongkol dengan UMNO/BN. Oleh yang demikian mereka hanya mampu berada di belakang tabir untuk bertindak dan membantu sekadarnya. Cukupkah hanya sekadar berkerja di belakang tabir memanjang?


Apabila mereka ter-ke-hadapan secara optimum, ancaman dan ugutan terutama ancaman tukar, tekanan prestasi dan pelbagai masalah sering diterima. Para pemimpin PAS perlu menyedari tidak semua aktivis bawahan PAS mampu menjadi seperti Mat Sabu, Mahfuz, Tian Chua yang sanggup dicampak dan dihumban ke mana dan bagaimana sahaja oleh ugutan dan sebagainya. Mereka tidak mampu menghadapi segala kesusahan dan ancaman itu sebagaimana Mat Sabu menghadapinya.


Tidak ramai yang berani meletak jawatan seperti cikgu Mala kerana perjuangan. Tabik untuk cikgu Mala! Namun mereka tidak pernah meninggalkan perjuangan parti tetapi mereka berhadapan pelbagai halangan untuk bergerak secara maksimum di cawangan masing-masing. Implikasi dari ini banyak cawangan-cawangan PAS yang begerak sekadarnya sahaja bukan ditahap maksima. Begitu ramai ahli-ahli parti di kubu-kubu UMNO yang takut datang ke program parti dan program markaz.


Aktivis kedua PAS di cawangan-cawangan ialah terdiri dari orang-orang kampung biasa dan peneroka. Mereka ini biasanya bukan datang dari golongan terpelajar tetapi mempunyai fikrah parti yang kuat. Dari segi pentadbiran dan kepimpinan dalam parti mereka bukanlah sangat sehebat Mahfuz dan Salehuddin Ayub atau Tuan Ibrahim Tuan Man. Sekali lagi parti tidak mampu digerakkan secara maksimum di cawangan-cawangan untuk bersaing dengan UMNO yang sering dibantu dengan sumber kewangan kerajaan, jabatan-jabatan kerajaan dan peruntukan YB mereka.


Sebab itu tidak pelik jika sekiranya dapatan dari kajian lapangan ILHAM antaranya menyatakan bahawa isu-isu peribadi yang melingkari calon tidak menarik minat pengundi sebaliknya populariti parti. Di Johor, UMNO terlalu popular berbanding PAS malah tidak terkejut jika masih terdapat orang-orang Melayu Johor masih pelik atau takut-takut melihat PAS!


Dengan sebab itu para pemimpin PAS perlu memikirkan hal ini. Sebenarnya dengan aktivis yang lemah menguruskan dan menjayakan cawangan-cawangan PAS di tanah-tanah rancangan dan di kampung-kampung adalah terlalu sukar dan payah, tidak semudah bercakap, mengarah dan memberi pandangan.


Untuk mengatasi masalah yang dinyatakan diatas, para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat perlu mewujudkan gelombang kebangkitan dan perubahan setiap masa. Dengan gelombang perubahan yang kuat masyarakat akan lebih mudah menerima PAS mahupun PKR di kawasan-kawasan luar bandar sebagai alternatif kepada UMNO kerana bentuk penerimaan secara massa akan mengurangkan tekanan dari kerajaan UMNO/BN.


Yang kedua, para pemimpin PAS dan PR perlu terus menubuhkan NGO-NGO mengikut isu untuk bergerak di kawasan-kawasan luar bandar seperti mana yang dilakukan oleh ANAK di tanah-tanah rancangan dan SAMM di kalangan anak-anak muda. Melalui pergerakan NGO-NGO ini, masyarakat Melayu luar bandar yang tidak suka kritikan politik keras kepada UMNO parti totok mereka, akan lebih mudah menerima pandangan yang bertentangan dengan UMNO/BN. Ini mampu membuka ruang perbahan minda rakyat luar bandar. NGO-NGO yang ditubuhkan perlu membuka keahlian kepada lebih ramai aktivis parti atau pendokong Pakatan Rakyat tempatan atau rakyat tempatan.


Yang ketiga Unit Amal PAS perlu diperkasakan oleh parti sehingga bertaraf sebuah agensi bantuan kecemasan dan kebajikan yang popular di kalangan rakyat.


Perkara yang keempat, PAS perlu perhebatkan ceramah-ceramah isu-isu semasa yang disampaikan oleh para pemimpin parti yang terkenal sebagai medium penyebaran maklumat kepada rakyat setempat di kawasan-kawasan kubu UMNO. Walaupun mungkin di peringkat awal tidak ramai orang tempatan yang hadir mendengar ceramah tetapi adalah diyakini lama kelamaan mereka akan berminat dan berjinak-jinak dengan ceramah apabila mereka ada masalah dengan para pemimpin UMNO tempatan.


Para pemimpin PAS harus lebih kerap turun padang ke kewasan-kawasan kubu UMNO seperti ke lokasi orang ramai, pasar minggu, pasar malam, masjid-masjid untuk bersolat fardhu atau Jumaat bukan sekadar untuk bertemu aktivis-aktivis parti di markaz.


Yang kelima, apabila para pemimpin PAS datang ke kawasan-kawasan kubu UMNO perlulah bersikap cakna dan mesra penduduk dengan bertegur sapa jika berjumpa dengan penduduk tempatan. Dengan cara ini para pemimpin PAS akan dapat membantu aktivis-aktivis cawangan yang ’tertekan’ dan lemah di kubu-kubu UMNO.


Contohnya di Tenang apakah para pemimpin PAS Pusat dan negeri akan biarkan Tenang itu dengan cikgu Mala seorang? Cikgu Mala harus terus ’dibimbing dan dipimpin’ oleh kepimpinan untuk membentuk gelombang fahaman PAS yang berkesan di Tenang. Jika tidak kita hanya membazirkan seorang yang berbakat dan berkemapuan di Tenang sendirian.


Sesungguhnya belum mudah untuk PAS merubah minda bangsa Melayu di FELDA dan kawasan-kawasan luar bandar untuk menerima Islam yang PAS perjuangkan selagi cawangan-cawangan PAS didokong oleh hanya aktivis belakang tabir dan berada dalam keadaan lemah dan tidak dibantu!


No comments: