Followers

Friday, November 12, 2010

Zaid, kalau tidak sanggup dilanda ombak....

Jika dilihat dari sudut positif apa yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat hari ini ada kebaikannya. Dari satu segi, kita boleh tabik kepada PKR kerana dalam usia setahun jagung dengan ahli-ahli yang pelbagai fikrah dan aliran fahaman politik yang berbondong-bondong menganggotainya dulu, PKR telah berani melakukan sesuatu yang parti lain belum berani melakukannya.

Kita perlu akui, kaedah pemilihan pemimpin seperti yang dilakukan oleh PKR hari ini dalam keadaan PKR hari ini memang satu proses yang rumit untuk dilaksanakan. Tapi PKR berani! Tambah pulak PKR berada dalam keadaan dominan bersama PAS dan DAP untuk merobohkan kubu-kubu UMNO/BN, pihak yang memerintah yang begitu berkuasa!

Sudah pasti dalam keadaan parti itu begitu, ahli-ahli yang berbagai fikrah dan pembawaan, adalah sepak terajang fikrah politik yang berbagai, sepelet, kung fu, dan kuntau yang berlaku. Rasanya itu semua perkara biasa jika tidak melanggar disiplin parti. Bila melanggar disiplin parti maka jawatankuasa disiplin parti pasti ada mekanisma untuk mengawalnya. Biasalah tu!

Persoalannya sekarang, ahli-ahli politik seperti Zaid yang sepatutnya dilihat begitu tegar dengan sepak terajang politik, akhirnya merajuk sebegitu rupa sehingga kelihatannya macam mahu merobohkan terus parti alat pejuangan penting idealisma politiknya.

Apakah jika Zaid menubuhkan partinya sendiri tidak akan berlaku sepak terajang politik seperti yang dia alami sekarang. Alim benar ahli-ahli partinya nanti ! Bagi aku jelas Zaid seorang ahli politik yang realitinya sentiasa mengelak dari dilanda ombak. Kan pepatah Melayu ada berkata kalau tidak sanggup dilanda ombak jangan berumah ditepi pantai!

Aku bukan menggalakkan politik kotor tetapi sebut sahaja nama politik mesti ada sepak terajangnya! Tak kan itupun Zaid tak tahu ! Kalau Zaid mahu tahu sepak terajang politik tubuhlah parti sendiri.

Bagi aku apa yang berlaku hari ini adalah proses penapisan dan pematangan PKR untuk terus muncul mantap dengan ideoligi perjuangannya dan terus relevan dalam persada politik tanah air.

Tuesday, November 09, 2010

Kerana kononnya prinsip perjuangan jom pakat robohkan parti...

Kelakar juga aku dengar apabila Zaid kata, Anwar dan Azmin punca masalah dalam PKR lalu menggesa mereka meletak jawatan. Aku bukan penyokong Anwar dan Azmin tetapi aku paling tak setuju politik merajuk dan mengungkit. Bilalah parti yang dianggotai nak maju dan kuat kalau macam itu dan jika perasan kita sahaja yang betul.

Kenapa Zaid marah sangat kat Anwar? Salahkah apa yang Anwar buat. Aku rasa kalau Anwar membantu kempen Azmin, tak salah. Sebab...kan Zaid yang kata jawatan Ketua Umum tidak ada dalam perlembagaan parti. Zaid kata Anwar hanya seorang ahli biasa PKR. So kalau Zaid anggap Anwar ahli biasa, apa salahnya sebagai ahli biasa Anwar menzahirkan sokongannya kepada Azmin dan membantu kempen Azmin. Malah kalau Anwar jadi Pengurus kempen Azmin pun tak salah. Sekali lagi...kan Anwar ahli biasa PKR pada pandangan dan anggapan Zaid! Lantaklah dia nak berkempen untuk siapapun kerana dia menggunakan haknya sebagai ahli biasa!

Yang salahnya kalau Wan Azizah berkempen untuk Azmin. Itu menjolok mata jugaklah kerana Wan Azizah kan Presiden PKR! Begitu juga salahnya kalau Azmin berkempen guna politik wang...kalau ada politik wang lah. Kalau tak ada....setakat berbalas kenyataan dan telefon sana telefon sini...apa masalahnya, Zaid telefon juga lah.

Aku cukup menyampah sikit-sikit merajuk letak jawatan yang tidak menyumbang kepada PKR langsung. Apa... sudah tertutupkah jalan dalam Jawatankuasa Tertinggi PKR untuk membuat teguran dan pembetulan buat amalan pemilihan akan datang?

Kadang-kadang aku tidak faham cara orang berpolitik ini, nampak macam banyak pengalaman tapi tak sabar langsung! Kalau Anwar antara punca masalah dalam PKR, bubarlah PKR tu.! Dan bagi seorang ahli politik seperti Anwar Ibrahim, kalau bubar PKR pun dia akan berpolitik juga, dia akan tubuh parti atau join parti politik jugak kerana itu hak dia ! Dan akan ada juga orang yang akan join dan masuk parti dia jugak...silap-silap Zaid pun akan itu masuk sama apabila kena gayanya!

Zaid suruh Anwar berundur, macam budak-budak. Sekali lagi kalau Anwar keluar parti PKR atau dipaksa berundur, apakah Zaid mengharap Anwar duduk diam di rumah tanpa bergiat aktif dalam politik. Siapa Zaid nak minta Anwar berundur dan berehat berpoltiik dalam keadaan Anwar masih mampu berpolitik dan masih begitu ramai pengikut dan penyokong. Cadangan ini macam cadangan Pak Pandir yang hanya membuang masa. Aku rasa antara Anwar Ibrahim dengan Zaid lebih ramai orang suka Zaid yang berundur ! Ini bukan kerana taksubkan Anwar tetapi kerana kehebatan politik Anwar untuk menguasai Putrajaya lebih meyakinkan dari politik Zaid jauh.

Padan begitulah...buat parti, lepas tu pakat pecahkan parti. Tubuh parti, bubar parti. UMNO terus gelak sakan, ahli PKR juga yang bodoh diperbodohkan kerana kononnya prinsip perjuangan !