Followers

Sunday, May 09, 2010

Kereta Ketua Polis pun dicuri, benarkah indeks jenayah turun ?

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 8 Mei: Dakwaan mengenai penurunan indeks jenayah tidak membawa sebarang makna jika kereta Ketua Polis Selangor sendiri dicuri, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Amat menggelikan hati jika ada dakwaan kononnya indeks jenayah di negara ini menunjukkan penurunan tetapi pada masa yang sama kereta rasmi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dicuri dengan begitu mudah.

"Kereta rasmi ketua polis pun dicuri, benarkah indeks jenayah turun?

"Tidak cukup dengan itu, si pencuri mempermainkan Khalid apabila meninggalkan nota yang penuh sinis, "Sorry PDRM tersilap sapu".

"Apa maknanya dakwaan kononnya indeks jenayah di negara ini menunjukkan penurunan tetapi pada masa yang sama ketua polis sendiri dipermain-mainkan dengan penuh sinis," kata beliau yang menyifatkan Khalid begitu berkesan ke atas pembangkang seperti yang dibuktikannya ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor dulu tetapi tidak terbukti berkesan walaupun untuk memastikan kereta rasminya sendiri tidak dicuri.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mempersoalkan, apa maknanya dakwaan kononnya indeks jenayah di negara ini menunjukkan penurunan jika penjenayah boleh bermaharajalela dengan berleluasa.

"Dalam jawapannya di Dewan Negara, Timbalan Menteri Dalam Negeri (Datuk Wira Abu Seman Yusop) begitu bersungguh-sungguh menekankan kes jenayah jalanan yang berkurangan bagi tempoh Januari hingga April 2010 berbanding tempoh yang sama tahun 2009.

"Tetapi, bagaimana pula dengan kes berat seperti pembunuhan adik Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh polis pada 26 April lalu?" Mahfuz mempersoalkan.

Bagi beliau, jenayah tidak boleh dianggap berkurangan jika hanya jenayah ringan yang berkurangan tetapi pada masa yang sama jenayah berat tidak berkurangan atau lebih buruk lagi semakin bertambah dan semakin menakutkan rakyat.

"Timbalan Menteri Dalam Negeri jangan terlalu ghairah mendakwa kononnya inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah berjaya.

"Persoalan utama, adakah rasa takut dan bimbang rakyat terhadap penjenayah dapat dikurangkan?" katanya.

Beliau meminta pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri memberi perhatian kepada perkara itu untuk mengelakkan rakyat memomok-momokkan NKRA.

"Sekarang pun rakyat mengejek-ejek NKRA dengan kata-kata 'Najib kerja, Rosmah arah'," katanya.

[Kes remaja merogol banyak, kes dera kanak-kanak tak selesai-selesai, kes aminurashid di tembak polis, kes azizi ditembak polis juga, kes seorang bekas pelajar UITM yang kurang ajar ugut nak bunuh Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan kes kereta Ketua Polis Selangor kena curi dan Ketua Polis Selangor atau PDRM seperti dipermainkan oleh pencuri sedangkan pencuri itu bebas merata-rata mengintai kereta-kereta lain untuk dicuri.....iya...apakah yang berlaku sehari dua ini, membuktikan benar bahawa indeks jenayah turun di zaman NKRA (Najib Kerja Rosmah Arah) ini ? Semua penjenayah tengah tergelak sekarang ini agaknya !]