Followers

Saturday, March 06, 2010

Ke mana dan bagaimanakah perjuangan Zul selepas ini ?

Zulkiflli Nordin Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru dipecat dari PKR...huhuhu...!!

Itulah agaknya perhitungan yang dimahukan oleh YB Zul, maka hari ini dia dapat. Suka atau tidak dia akan keputusan PKR itu hanya YB Zul yang tahu. Logiknya kalau perhitungan itu yang dia mahu maka sukalah dia gamaknya.

Persoalannya apakah YB Zul akan buat rayuan dalam masa 14 hari ? Tilik kepada gaya dan cara dia, jangan harap rayuan akan dibuatnya.

Persoalan kedua ke manakah agaknya YB Zul selepas ini ? Berkelana atau menjadi UMNO punya atau Perkasa-lah dia ? Semuanya berkemungkinan namun tidak mungkin ke DAP yang cukup dibencinya atau payah menjadi PAS kerana dia susah nak PAS !

Gamaknya...yakinlah dia, kalau dia ke UMNO maka mantaplah perjuangan Islam-nya...!! Maka akan pakai tudunglah Rosmah Mansur? Maka akan tidak 'sembahlah' para PM UMNO akan patung di Tugu Negara ? Maka akan bertambah mantaplah 1Malaysia Najib dan Rosmah setanding Islam Hadhari? Maka akan selesailah isu Kalimah Allah kerana MCA, GERAKAN dan MIC bukan macam DAP yang 'jahat' itu! Huu...bagusnya UMNO kerana ada YB Zul ? UMNO perlu cepat ambik Zul atau sekurang-kurangnya jadikan dia Bebas yang condong UMNO. Sama ada ada syarat atau tidak itu terpulang kepada YB Zul. Tapi pejuang mana ada syaratkan ?

Katakan pula YB Zul ke Perkasa, pasti tidak boleh menjadi Presiden kerana itu hak IA. Susah payah IA buat Perkasa sampaikan dengan mudah boleh terbit akhbar, mana boleh YB Zul jadi Presiden ? Tak boleh...!!

Tapi sekurang-kurangnya agaknya dengan ada gandingan YB Zul dan YB IA maka akan mantaplah perjuangan bangsa Melayu-Islam (seperti yang disebutnya..). Maka:

1. Akan tertebuslah nanti Tanah Rezab Melayu yang banyak hilang kerana 'digadai' UMNO/BN?

2. Maka akan tertebuslah nanti pulau batu orang Melayu iaitu Pulau Batu Putih yang tergadai kerana bijaknya Peguam Negara Malaysia dan Menteri Luar Malaysia pada waktu itu? (Huhuhu..Rais Yatim kata keputusan menang-menang !!! Begitu rupanya keputusan menang-menang - Singapura dapat Pulau, Malaysia dapat batu...)

3. Maka akan merasalah kembali biasiswa untuk anak-anak Melayu ?

4. Maka tidak makan makanan segera lagi lah anak-anak Melayu di IPTA dan IPT ?

5. Maka akan kembalilah semula penguasaan 30% peratus ekonomi Melayu?

6. Maka akan martabatlah kembali Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara ?

7. Maka akan tertebuslah kembali banyak kampung-kampung Melayu di Pulau Pinang yang hilang selama UMNO/BN memerintah Pulai Pinang dulu?

Semuanya itu agakanya...antara kejayaan yang akan dikembalikan oleh Perkasa IB dengan perjuangan mantap YB Zul kalau Yb Zul pilih Perkasa-lah ! So orang Melayu jangan bimbang, kita tunggu masa sahaja untuk bersorak .....

Wednesday, March 03, 2010

Benar, biarkan mereka itu melompat sekarang....

Suasana politik Malaysia khususnya dalam Pakatan Rakyat agak hangat dengan isu lompat parti AP PKR. Tidak kisahlah mereka yang telah melompat tetapi yang menserabutkan keadaan adalah gossip-gossip yang kedengaran kononnya akan lebih ramai AP PKR akan melompat.

Sehingga saat ini tidak dapat dipastikan sama ada betul atau tidak apa yang kedengaran itu. Kalau betul ianya akan terjadi juga tidak berapa lama lagi. Kalau tak betul ianya hanya akan menjadi polimik kedai kopi yang menghangatkan.

Kalau betul berlaku ia bukan sahaja memberi kesan yang besar kepada PR tetapi juga memberi kesan yang tidak sedikit kepada PKR itu sendiri. AP PKR akan pasti dilihat masyarakat sebagai ahli politik yang tidak ada teras perjuangan, opportunis, materialistik, cakap berdegar-degar tahi lekat di gelegar dan tidak boleh diberi kepercayaan.

Jika persepsi sebegitu wujud dalam minda rakyat dan itulah yang dikehendaki oleh UMNO terhadap PKR maka PKR akan melalui jalan politik yang tidak meyakinkan di masa akan datang. Rakyat akan berkata "Ehm...kalau calon parti ini baik tak payah !!".

Namun dari satu aspek lain pula peristiwa lompat parti AP PKR ini sudah pasti akan mempunyai rahmat yang tersendiri terhadap PR dan PKR itu sendiri. Sebagai sebuah parti baru yang menerima tumpahan ahli yang kecewa dengan parti asal dan penyokong Anwar Ibrahim, sudah pasti peristiwa ini merupakan satu tapisan keladak atau satu proses mencuci daki yang mengotori anggota tubuh. Diharapkan apabila keladak telah berjaya ditapis dan daki telah berjaya disental maka akan lahirkan PKR yang jernih, cantik dan menarik lagi utuh dan kukuh. Semoga peristiwa ini benar-benar merupakan proses pembersihan dan pengharmonian PKR.

Seterusnya peristiwa lompat parti ini sudah pasti membuka mata dan cukup memberi pengajaran yang mahal kepada kepimpinan tertinggi PKR agar mereka merancang suatu mekanisma mengikat ahli mereka kepada prisip perjuangan yang diperjuangkan bukan perjuangan yang hangat-hangat tahi ayam atau perjuangan kerana batang tubuh pemimpin tertentu atau isu-isu yang membakar semangat semata-mata. Adalah pasti, kesudahan kepada api yang marak menyala-nyala ialah padam dan sejuk - berarang dan rentung !

Sewajarnya ideologi perjuangan parti menjadi teras ikatan ahli-ahli kepada perjuangan parti itu. Bagi sesebuah parti pembangkang jika ideologi parti tiada atau kalau ada pun tetapi longgar maka, perjuangan parti itu bagaikan telur dihujung tanduk. Parti itu akan hanya menggendung ahli-ahli politik yang tidak tahan ghairah terhadap habuan dunia demi mengenyangkan perut dan nasfu mereka semata-mata.

Lompat parti yang berlaku sekarang ini sudah pasti tidak sama dengan apa yang dirancang tetapi tidak menjadi oleh Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim tidak mengumpan wang ringgit sewaktu menawar AP BN melompat ke PR tetapi hanya menawarkan prinsip perjuangan berasaskan keadilan dan integriti untuk semua rakyat. Sebab itulah ianya tidak menjadi.

Tetapi lompat parti yang berlaku kini cukup memual dan menggerunkan. Habuan wang ringgit katanya berlegar sebagai umpan kepada mereka yang lapar dan kebulur. Jika benar begitu maka PR tidak perlu menangisi dan merapati kehilangan AP PKR atau mana-mana AP PR yang lain malah sebaliknya wajar mengucapkan kesyukuran kerana AP yang seperti itu sebenarnya tidak berguna dalam sebuah perjuangan yang suci dan berintegriti.

Biarkanlah jika kerana lompatan itu AP-AP akan mengembalikan majoriti 2/3 buat BN. Biarkan...kerana di mana-mana pun berada, spesis AP katak seperti itu bukan penawar tetapi tetap bagaikan ampai-ampai beracun yang berbisa buat mana-mana parti baru yang dianggotainya.

Apa jenis lompatan yang berlaku pun tetap menjadi pengajaran. Maka pengajaran di awal ini adalah lebih baik dari datang di saat-saat kemudian. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna. Namun setiap lompatan tetap ada pengajaran, ambilah pengajaran itu secara serius bukan secara main-main. Pilihlah calon PKR yang berintegriti dalam pilihanraya ke 13 nanti. Jangan pisang berbuah dua kali kerana lebih menyakitkan jika lompatan ini berlaku di saat PR menjadi kerajaan di Putrajaya nanti.