Followers

Saturday, February 13, 2010

Kapal selam: Lagi episod aib negara

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 12 Feb: Kerosakan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman sehingga tidak boleh menyelam antara satu lagi episod yang mengaibkan sistem pertahanan negara apatah lagi ianya baru lima bulan tiba di perairan Malaysia.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, selain meyedihkan, ianya juga satu lagi rekod buruk sistem penting negara yang memerlukan siasatan rapi dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar berlakunya keadaan tersebut.

"Ini sudah tentu ada kaitan dengan hasil pembelian yang tidak ikut spesifikasi, kita pertikai pihak yang buat perundingan dan pihak yang membeli," katanya ketika dihubungi Harakahdaily pagi ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku unsur penyelewengan dan rasuah dalam urusan pembelian kapal selam tersebut.

"Kita minta satu kertas putih dibentangkan di parlimen, kenapa sering berlaku perkara begini pada sistem pertahanan negara kita, terlalu banyak penyelewengan dan ketidakcekapan dalam pembelian ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Semalam, Panglima Tentera Laut, Jeneral Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengesahkan kapal selam KD Tunku Abdul Rahman mengalami kecacatan pada komponen (defect high pressure air blowing) yang boleh menjejaskan keselamatan kapal berkenaan jika ia menyelam.

Kerosakan mekanikal pada kapal Scorpene binaan Perancis bernilai RM1 bilion itu dikesan pada 17 Januari lalu ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Sabah.

Katanya, ia adalah kerosakan kedua selepas kerosakan komponen Forward Seawater Cooling System (bahagian sistem penyejuk air laut) pada tahun lalu selepas aset TLDM itu menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 di Langkawi.

Ekoran itu kapal selam terbabit dinasihatkan untuk tidak menyelam kerana dikhuatiri membahayakan.

Kelmarin, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan kapal selam pertama negara itu gagal menyelam berikutan masalah teknikal yang dialami sejak tiga bulan lepas.

KD Tunku Abdul Rahman atau Scorpene merupakan kapal selam jenis tempur konvensional yang berkemampuan membawa 10 torpedo dan 30 pemusnah periuk api.

Ia mampu beroperasi mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter.

Antara kelengkapan Scorpene ialah enam tiub peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak iaitu peluru berpandu anti kapal permukaan dan torpedo anti kapal selam.

Sumber:
harakahdaily


Tuesday, February 09, 2010

Walaupun telah 'ditunjal' 5-0, nak berunding lagi ? Silakanlah...!!!!

Jika Datuk Seri Nizar menang, memang sungguh memeranjatkan tetapi jika Zambry menang, memang saya tidak terperanjat langsung walaupun 5-0. Semua orang yang celik akal dan cerdik politik serta yang faham dan reti apa itu UMNO, mampu untuk memahami mengapa keputusan begitu.

Kepada para pemimpin PAS termasuk Tuan Guru Mursyidul Am teruskanlah berbincang dan berunding, teruskan.....dengan UMNO atas apa-apa isu sekalipun, walaupun situasi di Perak telah menyerlahkan wajah buruk dan hodoh UMNO sebenarnya !!

Teruskan....jangan sampai hajat tuan-tuan tak kesampaian....!!!!

Berundinglah terus dengan parti yang tidak bermaruah itu, untuk PAS tumpang hilang maruah dan harga diri !

Silakan lah...tuan-tuan semua 'pandai berpolitik' walaupun baru tadi di Perak, tuan-tuan telah 'ditunjal' 5-0 di 'dahi' masing-masing oleh sistem perundangan zaman Najib!!!

Yakinlah.... tuan-tuan 'nadi dan nyawa' PAS ialah UMNO !!! Tanpa UMNO apalah PAS.....

Monday, February 08, 2010

Sudah-sudahlah wahai pemimpin PAS !

Walau apapun alasan yang Tok Guru Nik Aziz berikan....demi Islam, UMNO tetap memutarkan segalanya, seligatnya. Media UMNO terus-terusan mempermainkan, bukan sahaja cadangan Tok Guru Nik Aziz, malah memperlekehkan PAS dan kepimpinannya...."Pendirian PAS tidak konsisten", " UMNO dari dulu memang mahu berbincang", dan macam-macam lagi.

Isunya, melihat kepada gaya kepimpinan UMNO dan kuncu-kuncu mereka yang ada, dulu dan kini, apakah puak-puak UMNO ini boleh diajak berbincang atau mereka jika ada kesempatan, lebih kepada mahu 'memulas' lawan , tidak kira dalam apa isu pun ?

Tidak tahukah para pemimpin PAS bahawa dalam berbincang, berunding, berbalah dan berpolitik, UMNO mana reti bertolak ansur atau UMNO mana mahu kerugian walaupun kerugian bagi UMNO itu mungkin mampu menguntungkan orang Melayu dan agama Islam ?

UMNO mana yang mahu rugi, UMNO mana yang mahu kalah dan mengalah ?

Sejarah UMNO dan sejarah berpolitik dengan UMNO seharusnya menceritakan segala-galanya kepada para pemimpin PAS. UMNO, kalau tidak 'pulas' dan 'buli' lawan politiknya, itu bukan parti UMNO sejati !

Tengoklah apa yang berlaku sebaik Tok Guru Nik Aziz memberi cadangannya. Apa sikap UMNO, kalau tidak bersikap mempersenda, mempermain dan memperbodohkan PAS. Tak payahlah kita menjerit mengatakan Tok Guru Nik Aziz hanya ajak berbincang hal agama sahaja. Pengalaman sebelum ini membuktikan, UMNO tidak 'sebodoh' PAS untuk menerima begitu sahaja alasan perbincangan PAS itu !

Sungguh malang kerana para pemimpin PAS masih ajak UMNO berbincang hal agama sedangkan mereka tahu bahawa kefahaman agama para pemimpin UMNO terlalu rendah! Mana boleh orang yang alim agama berbincang dengan orang yang cetek agama? Ini kerja yang membuang masa dan politing semata-mata.

Apa yang patut para pemimpin PAS buat ialah pastikan PAS menang bersama Pakatan Rakyat dan setelah menang bukan berbincang dengan UMNO hal agama, tetapi ajar para pemimpin UMNO kefahaman agama yang betul dan syumul. Ini baru betul, kerana selagi PAS tidak menang, UMNO mana yang hendak berbincang dengan PAS ? UMNO mana ?

Kenapa para pemimpin PAS tidak pernah serik menjadi bahan mainan dan bahan perlecehan UMNO? Apakah para pemimpin PAS memang suka diperlakukan demikian atas prinsip dakwah? Bagi saya cadangan Tok Guru Nik Aziz itu silap sasaran atau Tok Guru hanya membuat acahan yang tidak perlu !