Followers

Saturday, January 30, 2010

Bakar gereja: PAS selar campur tangan Hishamuddin

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Jan: PAS menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang melarang polis mengambil keterangan daripada Naib Presiden PKR, Azmin Ali, yang sebelum ini mendakwa mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat dalam kes membakar dan mendalangi serangan ke atas gereja Metro Tabernacle, baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sebagai Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin tidak boleh memberikan arahan sedemikian demi untuk melindungi ahli partinya.

“Setiap kali ada kes jenayah dilaporkan, polis sering meminta bantuan orang ramai untuk mengumpul maklumat. Tetapi bila sudah ada orang yang mahu tampil memberikan maklumat dan bukti, kenapa perlu dihalang?” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, walaupun Hishammuddin adalah menteri yang bertanggungjawab, namun bila wujud kes yang melibatkan kepentingan parti dan ahli Umno, maka beliau wajar mengumumkan untuk tidak masuk campur dan menyerahkan urusan siasatan kes berkenaan di bawah tanggungjawab Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sepenuhnya.

Dalam keadaan sebegitu, ujarnya lagi, rakyat jelas melihat bahawa beliau cuba untuk menafikan maklumat Azmin, dan cuba untuk menghalang bukti-bukti disalurkan kepada pihak polis untuk mendakwa suspek.

Idris mengambil contoh dalam Kes Teoh Beng Hock sebelum ini di mana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan pantasnya dipanggil memberikan keterangan berikutan dakwaan beliau bahawa Beng Hock dibunuh.

“Tetapi kenapa bila Azmin berkata beliau mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat membakar gereja, beliau tidak dipanggil memberikan keterangan,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, PAS mendesak supaya polis bersikap profesional dan tidak tunduk kepada arahan menteri dan bersubahat menafikan maklumat dan keterangan rakyat.

Menurutnya, jika perkara itu dibiarkan, tidak mustahil selepas ini, ahli-ahli Umno boleh melakukan apa sahaja jenayah dan tidak perlu disiasat walaupun ada rakyat yang mempunyai maklumat dan bukti.

Tambahnya, PAS bertegas agar polis mengambil keterangan Azmin bagi mengesahkan sama ada dakwaan beliau benar atau tidak.

Jika benar, katanya ahli Umno terlibat merancang perbuatan itu, maka PAS dan rakyat Malaysia melahirkan rasa sedih di atas perbuatan yang memalukan negara.


Friday, January 29, 2010

Hebatnya Melayu Kelantan !


Melihat kepada ribuan manusia dalam perhimpunan Penerangan Royalti Minyak untuk Kelantan malam tadi, dapat ditelah bahawa Melayu Kelantan adalah bangsa Melayu yang bijak bermaruah lagi berprinsip. Justify Full
Bijaknya mereka kerana mereka bijak berpolitik secara real dan bukan berpolitik sentimental yang penuh dengan nostalgia yang mengarut dan melemahkan bangsa Melayu Kelantan.

Bangsa Melayu Kelantan padu dan bersesak-sesak berkumpul, berhimpun, berdebat, berbahas, berjemaah dan bermunajat bagi menzahirkan hasrat dan tuntutan yang hak bagi mereka.

Pendek kata bangsa Melayu Kelantan bukan Pak Turut yang boleh ditarik hidung dan diperbodohkan oleh parti yang mendakwa juara rakyat itu.

Bangsa Melayu Kelantan tidak seperti bangsa Melayu Pahang contohnya, yang layu, kuyu dan menongkat nafas mereka kepada jasa-jasa Tun Razak. Maka segala nostalgia berkaitan dengan Tun Razak, diterima dan pangkah sahaja walaupun saban hari 'diperlembukan' oleh parti Juara Rakyat !

Untuk melihat bangsa Melayu Pahang berkumpul berjemaah, berdoa, bermunajat, berceramah menuntut hak bangsa Melayu Pahang sepertimana yang dilakukan oleh secara padu oleh bangsa Melayu Kelantan malam tadi, rasanya jauh panggang dari api. Stadium Darul Makmur akan pasti kempunan untuk melihat seluruh rakyat Pahang berjemaah, berdoa dan bermunajat kepada Allah di dalamnya. Yang pasti Stadium tua itu akan terus merintih untuk menampung golongan remaja dan pencinta pesta hiburan dan konsert yang terkinja-kinja di dalamnya.

Entahlah....nampaknya selagi Pakatan Rakyat tidak memerintah, contohnya Pahang , maka selagi itulah bangsa Melayu Pahang akan berfahaman kuat dengan prinsip jumud tolol mereka; " kalau takdirnya tunggul kayu itu calon UMNO lawan calon PAS, aku pangkah tunggul kayu lagi!".

Tahniah bangsa Melayu Kelantan ! Nasiblah engkau Melayu Pahang, teruskan bernostalgia dengan parti konon 'Juara Rakyat' itu !

Thursday, January 28, 2010

Jangan buat kecau, bahaya Malaysia !

Terasa agak anih apabila mendengar dalam berita Astro Awani, apabila Ketua Polis Negara memberi amaran agar jangan ada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan ketegangan perkauman kerana katanya ia akan membahayakan negara. Anihnya bukan kerana peristiwa-peristiwa yang berlaku seperti pembakaran gereja dan kepala babi dalam masjis tetapi kerana amaran yang ditujukan itu kepada siapa sebenarnya ?

Dalam tempoh empat lima bulan ini saya melihat tiada apa-apa ketegangan antara saya dengan kawan-kawan Cina dan India yang lain. Begitu juga keadaan harian dalam masyarakat baik di pasar, di perhentian bas dan teksi malah di mana-mana nampak macam tiada apa yang berlaku walaupun ada gereja yang di bakar dan ada masjid yang lempar kepala babi.

Kelihatannya rakyat dalam masyarakat tak ambil kisah sangat untuk berbincang kejadian-kejadian yang berlaku walaupun ianya membabitkan gereja dan masjid. Rakyat macam faham seperti ada sesuatu disebalik kejadian-kejadian tadi.

Seorang pakcik di kampung menjawab, " Ah semua tu politik belaka....!".

Begitulah, jika kuat menipu dan berdaleh, maka apa sahaja yang dicakapkan, orang tetap tak percaya walau sikit pun sehingga ada yang mengatakan bakar gereja dan kepala babi di masjid, semua kejadian terancang politik murahan !

Jadi, siapakah yang diamarankan oleh Ketua Polis Negara sedangkan rakyat pelbagai kaum tetap menjalani kehidupan seperti biasa? Kalau rakyat yang melakukan onar itu semua, rasanya tidak sukar polis secekap PDRM untuk menangkapnya. Apa yang nampak sekarang telalu sukar atau macam bersahaja sahaja PDRM memburu penjenayah-penjenayah itu !

Macam-ada udang dalam mee aje !!

Tuesday, January 26, 2010

Aduka Taruna: Blogger bodoh sombong !

Tanpa mempertikai apa juga ideologi dan pendirian politik atau pendirian apapun Aduka Taruna, saya tetap menganggap cara Aduka Taruna menulis di blognya seperti orang bodoh sombong. Saya kata begitu bukan berniat untuk menambah tekanan jiwa (jika ada) pada Aduka Taruna ketika ini tetapi atas asas, Aduka Taruna cuba menunjuk cerdik tetapi dengan cara yang galak dan bodoh serta bersikap sombong sewaktu memaki-maki orang lain.

Saya tidak kisah orang mengkritik di zaman orang meraikan kepelbagaian pendapat ini. Tetapi saya sangat kecewa dengan cara menulis Aduka Taruna yang memaki-hamun ulama seolah-olah fikirannya dan akhlaknya lebih baik dari ulama. Saya berpendapat ulama tidak layak dimaki walaupun ulama itu boleh dikritik sebebas-bebasnya.

Aduka Taruna sibuk mempertikai akhlak politik dan menegur orang lain ke arah penghayatan politik baru tetapi Aduka Taruna sendiri gagal menunjukkan akhlak yang terpuji selaras dengan 'perjuangannya', apabila dia memaki perkataan mampos kepada orang yang telah meninggal dunia tak kira orang itu raja atau siapa. Kalau saya menjadi anak kepada orang yang dimaki seperti itu, saya pasti akan terasa hati dan sangat kecewa. Bayangkan kalau digunakan kepada ayah Aduka Taruna perkataan yang sekasar itu.....apa perasaan Aduka ?

Saya berharap selepas ini Aduka Taruna perlu mengambil pengajaran serius dari apa yang berlaku ke atasnya kini. Berjuanglah dengan kata-kata teguran yang kritis lagi beradab sopan bukan dengan kata-kata yang biadap, kurang ajar dan bodoh sombong terhadap orang-orang yang mulia seperti ulama atau sesiapa sahaja yang menjadi sasarannya.

Saya yakin jika apa yang berlaku ke atas dirinya ini dijadikan ikhtibar, sudah pasti selepas ini Aduka Taruna akan tampil lebih mantap dan lebih bergaya dalam 'perjuangannya'. Jika tidak Aduka Taruna adalah bogger yang 'bodoh sombong' !

Kalimah Allah: Al-Qardhawi persoal insiatif Malaysia

Kalimah Allah: Al-Qaradhawi persoal inisiatif Malaysia?

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Seperti PAS dan Pakatan Rakyat, Sheikh al-Islam, Dr. Yusuf al-Quradhawi Jumaat lepas turut mempersoal inisiatif sesetengah pihak di Malaysia yang dilihat berusaha menghalang masyarakat bukan Islam dari menggunakan kalimah Allah.

“Surah terakhir dalam Al-Quran (yang bermaksud), “Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku berlindung kepada Tuhan untuk sekalian manusia.”

“(Mengapa) bukan (disebut lafaz) Allah bagi masyarakat Muslim atau masyarakat Arab atau; yang Maha Menguasai bagi masyarakat Arab, Tuhan bagi orang Arab (lalu ditanya) ‘mengapa orang Malaysia kebelakangan ini begitu tidak selesa?” dipetik dari laman rasmi al-Quradhawi, http://qaradawi.net.

Berkhutbah Jumaat di Masjid Umar al-Khattab, Doha, beliau berkata, masyarakat Islam dan bukan Islam seharusnya saling menghormati tabiat kepelbagaian beragama dalam masyarakat.

"Perbezaan kepercayaan antara penganut satu-satu agama tidak seharusnya memisahkan (antara) masyarakat bukan Islam dan kami (umat Islam) di dunia ini, tetapi yang memisahkan (antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam adalah) Allah (pada) hari kiamat,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Ikatan Cendekiawan Fiqh Islam Sedunia (Majmak Fiqh al-Islami al-‘Alami) turut mengutuk beberapa siri pengeboman rumah ibadat bagi penganut agama Kristian di Malaysia sebelum ini.

"Serangan-serangan yang terjadi pada gereja-gereja di Malaysia tidak tepat,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS serta Pakatan Rakyat membuat ketetapan bahawa tidak ada halangan untuk masyarakat bukan Islam untuk menggunakan nama Allah.

Pun begitu, penggunaan kalimah Allah atas tujuan mengelirukan umat Islam atau menghina kesucian mana-mana agama sama sekali tidak dibenarkan.

Manakala, kerajaan serta lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam pula sebelum ini dilaporkan membantah masyarakat bukan Islam menggunakan nama Allah.

Menurut mereka yang terbabit, walaupun penganut agama Islam dan Kristian di negara-negara Arab telah lama menggunakan kalimah Allah, namun alasan tersebut tidak sesuai dalam konteks Malaysia.

Sunday, January 24, 2010

DALAM POLITIK, SERBA BERKEMUNGKINAN ?

YB Zulkifli Nordin MP PKR Kulim Bandar Baru nampaknya telah bertindak jauh dalam pertikaian bagaikan "kucing dengan anjing" antaranya dengan YB Khalid Samad MP PAS Shah Alam. Laporan polis telah dibuat oleh beliau terhadap YB Khalid Samad mewujudkan pertembungan pendapat secara peribadi yang tidak perlu antara mereka berdua. Kedua-duanya ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Pertembungan kedua YB ini pernah berlaku atas isu bia'ah perlantikan calon pilihanraya. Kali ini sekali lagi dua YB ini bertembung.

Pandangan yang dilontarkan YB Khalid Samad dalam bagaimana cara dan gayanya, disampaikan agak-agak selari dengan dengan pandangan partinya walaupun itu pandangan peribadinya. Namun pandangan YB Zulkifli dalam cara dan bagaimana gayanya, agak menyongsang dengan pandangan partinya.

Persoalannya bukan pertembungan antara YB Zulkifli dan YB Khalid tetapi isunya ialah pandangan yang menyongsang dari pandangan parti. Apakah ada implikasi terhadap YB Zulkifli Nordin selepas ini.

Katanya, dia telah bersedia menghadapi apa juga reaksi partinya (mungkin juga tindakan partinya?) terhadap tindakannya itu.

Kalau begitu, bagaimana kalau tindakan partinya ialah, YB Zul digantung atau dipecat ? Apakah YB Zul akan memohon rayuan dan menunggu masa untuk terus berada dalam PKR? Atau ke manakah YB Zul akan berkelana? Apakah YB Zul akan masuk PAS yang ada Khalid Samad di dalamnya? Tak mungkin YB Zul menyertai DAP kerana, kerana DAPlah dia banyak bersikap sepertinya hari ini. Hendak menyertai MIC dan MCA memang YB Zul tidak layak langsung.Menyertai Gerakan ? Sukar untuk diramalkan.

Kalau begitu, nampaknya kemungkinan yang sangat besar, jika YB Zul tergantung atau terpelanting dari PKR maka UMNO bila-bila masa sudi mempelawa dan menyambut kehadiran YB Zul !

Jika itulah realiti yang bakal menjadi, semoga tidak, apakah UMNO menjadi realiti kudus bagi YB Zul dalam perjuangan politiknya? Apakah dengan duduk dalam UMNO, YB Zul boleh bersikap sepertinya hari ini atau YB Zul akan lebih selesa untuk tidak berkata-kata sepertinya hari ini?

ATAU YB Zul akan teruskan pandangan dan perjuangannya mengikut gaya dan cara si Raja Katak yang masih belum sudi diterima oleh UMNO itu? Jika ini yang berlaku, bagaimanakah nasib YB Zul dalam pilhanraya ke 13 nanti ? Apakah akan terus hanyut senasib dengan si Raja Katak ?

Dalam politik semuanya serba berkemungkinan. Mari kita terus perhatikan.