Followers

Thursday, December 09, 2010

Ketuanan UMNO yang sebenarnya...

Nampaknya isu "Ketuanan Melayu' kian menyesakkan. Di sana sini ramai yang menyebut, mengulas malah ada yang menjerit-jerit, menghantar memorandum dan berbagai-bagai. Hebat dan bersemangat!

Ada yang mencadang pertahankan "Ketuanan Melayu". Entah diambil dari mana istilah ini, tak tahu.

Ada yang kata Ketuanan Melayu tidak tepat, yang lebih tepat Kedaulatan Melayu. Pulak dah!

Manakala Prof Khoo pakar sejarah mengatakan tidak ada istilah Ketuanan Melayu dalam perlembagaan yang ada Ketuanan Raja Melayu. Oleh kerana Prof Khoo pakar sejarah aku lebih percaya pandangan Prof Khoo. Soal betul salah tak kisah dulu.

Ada juga yang sebut Ketuanan Islam. Maknanya Ketuanan Allah lah tu. Yang ini aku suka mendengarnya. Inilah hakikat kehiduan kita sebenarnya. Baru terasa tidak gedebe dan sentiasa rasa diri ini kerdil hidup di alam fana ini. Kalau menggenggam ketuanan yang lain-lain tu rasanya macam gedebe benar.

Soalnya dari segi akidah bolehkah kita gedebe dengan ketuanan Melayu?

Aku lebih suka kalau hendak bercakap soal Ketuanan Melayu masalah orang-orang Melayu banyak sudah di selesaikan. Jika orang melayu sendiri masih lemah dalam serba-serbi semenjak 53 tahun merdeka, apalah yang boleh diharap kepada Ketuanan Melayu itu? Tak ada faedahnya!

1. Dalam menjujung Ketuanan Melayu harga barangan gas dan petrol semakin naik. Kehidupan rakyat khususnya bangsa Melayu sendiri semakin terhimpit tambah-tambah lagi di saat-saat nak buka sekolah tahun depan. Banyaknya wang diperlukan untuk masa depan anak-anak tapi wang tak cukup dan ada yang tak ada wang. Yang bagi RM500 hari itu dah pun menjadi taik kata seorang kawan kakitangan rendah kerajaan. Dan ada yang makan hari-hari pun sekadar alas perut. Barang keperluan anak-anak sekolah dan keperluan tinggal di asrama tidak ada yang murah. Mahal!! Ketuanan Melayu boleh tolong ? Kalau tak boleh, sakit sebenar menjunjung Ketuanan Melayu yang dilaungkan ini.

2. Dalam menjunjung Ketuanan Melayu masalah buang bayi dan anak luar nikah kalangan anak-anak bangsa Melayu semakin merisaukan. Setakat hari ini tidak ada lagi tindakan dari kerajaan UMNO untuk atasi masalah ini. Yang ada hanya sekolah hamil Ali Rustam dan Pendidikan Seks. Tentang pendidikan seks ini aku konfius sama ada pendidikan seks untuk memberi kefahaman yang betul cara-cara mengadakan hubungan seks tanpa hamil atau untuk memberhentikan hubungan seks haram. Yang aku faham, logiknya dalam zaman ini semakin tahu cara nak buat hubungan seks semakin ramai yang teragak nak cuba dan adakan perhubungan seks apatah lagi seks haram . Apa risau ...dah tahu cara, tidak hamil punyee!!! Ketuanan Melayu boleh selesaikah masalah ini atau beginilah caranya Ketuanan Melayu menyelesaikan masalah buang bayi?

3. Dalam menjunjung Ketuanan Melayu ramai anak-anak Melayu yang mengharapkan kerajaan Ketuanan Melayu ini menyediakan pekerjaan untuk mereka selepas keluar universiti, menganggur dan kecewa, lantas hanya mampu menjadi juru-jurujual dan jaga di pasar raya yang bertuankan bangsa bukan Melayu. Oh.... Ketuanan Melayu anak Melayu ramai menganggur! Dalam hal ini kalau mendengar ulasan pak-pak menteri kerajaan Ketuanan Melayu ulasannya pasti agaknya berbunyi, "anak-anak Melayu menganggur bukan kerana kegagalan kerajaan menyediakan peluang-peluang pekerjaan tetapi kerana anak-anak Melayu tidak ada kemahiran dan malas". Ulasan basi yang membosankan!

4. Dalam menjunjung Ketuanan Melayu, di bandar-bandar terus terbina bangunan-bangunan yang berharga RM300,000 ke atas yang tidak mampu dibeli oleh ramai orang berbangsa Melayu. Yang mampu orang-orang Melayu berpakat dua atau tiga orang untuk menyewa satu tingkat rumah-rumah kedai tersebut yang harga sewaan makin lama makin meningkat mengikut kadar semasa. Katanya pemerintahan Ketuanan Melayu, orang Melayu terus tak mampu! Hanya mampu tengok bangunan-bangunan yang tersergam tapi bukan hak Melayu!

5. Dalam menjunjung Ketuanan Melayu, aku terus mencari dimana hak sekurang-kurang 30 % ekuiti Melayu dalam pelbagai sektor ekonomi yang masih jauh dari kesampaian. 53 tahun sudah merdeka kerajaan Ketuanan Melayu ini akan menggesa orang-orang Melayu agar tunggu lagi 53 tahun agaknya.

6. Dalam menjunjung Ketuanan Melayu, aku tidak nampak usaha pemerintahan UMNO untuk meningkat dan mengkualiti pemikiran bangsa dan anak-anak Melayu dalam pemikiran ilmiah dan ilmu pengetahuan. Yang aku nampak bangsa Melayu dan anak-anak Melayu terus dibuai dn dilalai dengan mimpi indah kehidupan artis, pembangunan-pembangunan mega seperti Menara Warisan, hub hiburan ala Las Vegas(?) , feista-fiesta dan hiburan berlebihan terutama di media-media hari ini.

Begitulah antaranya, dalam kita dibuai dan ditempikkan isu Ketuanan Melayu, tidak ada program yang benar-benar mampu memartabatkan kualiti pemikiran, ilmu dan hak-hak bangsa Melayu itu sendiri. Yang ada sebenarnya, 'lagu' Ketuanan Melayu adalah untuk menyambung hayat "Ketuanan UMNO". Itulah sebenar-benarnya!

No comments: