Followers

Wednesday, December 01, 2010

Anak bertemu Bapak! Tapi siapakah Kepala Bapak?

Malaysia telah merdeka 53 tahun. Sejak itu banyak yang telah berlaku. Di zaman 1Malaysia tidak ketinggalan malah banyak berlaku perkara yang pelik-pelik. Pendek kata macam-macam perkara pelik!

Antara perkara pelik di zaman 1Malaysia ialah Anak lahir dulu dari Bapak. Pelikkan ? Tapi apa peliknya di zaman 1Malaysia, semua boleh terjadi.....laki jadi bini, bini jadi laki! Tak percaya?

Kalau tak percaya tanya tuan Tukar Tiub!

Hari kelmarin 29 November 2010 di parlimen Malaysia, Gabungan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menyerahkan 20 kes pertama yang ada pada mereka kepada Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak).

Penyerahan tersebut dibuat Kepala Anak, Mazlan Aliman kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda, Datuk Ahmad Maslan untuk diselesaikan segera seperti dijanji timbalan menteri itu sebelum ini kerana kesemua kes tersebut sudah lama berlaku.

"20 aduan ini hanya sebahagian kecil dari aduan yang banyak kita terima yang berkait langsung dengan dasar Felda. Kita harap mampu dikendalikan oleh Bapak," kata Kepala Anak, Mazlan Aliman.

Turut serta pada penyerahan itu, beberapa wakil dari peneroka Felda Lawin Selatan, Perak.

Antara masalah yang dikemukakan termasuklah isu peneroka yang disingkir, isu hutang dengan Felda sehingga mencecah RM80 ribu dalam masa 7 tahun, dan permasalah pembahagian pusaka oleh generasi kedua Felda.

Ahmad Maslan pada sidang media sama memberi jaminan akan meneliti masalah yang dikemukakan oleh Anak itu dan akan memanjangkan perkara itu kepada Bapak.

Persoalan timbul apabila Ahmad Maslan memberitahu akan meneliti masalah dan kemudian memanjangkan kepada Bapak. Memanjangkan kepada Bapak?

Bapak adalah sebuah biro yang ditubuh dibawah NGO, Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yang dipengerusikan Tan Sri Rozali Ismail.

Kenapa perlu memanjangkan kepada Bapak? Mampukah Bapak selesaikan masalah-masalah peneroka? Dah tu Ahmad Maslan sebagai apa? Sekadar meneliti ?

Siapa sebenarnya yang berkuasa dan mampu menyelesaikan masalah-masalah peneroka yang bertimbun itu? Ahmad Maslan atau Rozali Ismail? Kementerian atau sebuah Biro NGO? Kalau Rozali atau hanya Biro, selesaikah masalah-masalah peneroka itu, sedang masalah air di Selangor, Syabas tidak mampu selesai. Atau Rozali akan selesaikan masalah-masalah peneroka itu cara Syabas mahu selesaikan konflik air ?

Ahmad Maslan sebagai Timbalan Menteri yang menjaga urusan Felda tidak berkemampuankah untuk selesaikan masalah yang Kepala Anak, Mazlan Aliman dan peneroka bangkitkan itu? Atau sengaja mahu melepaskan diri?

Nampaknya awal-awal sudah berbelit untuk terus membelit !

Sebenarnya aku nak tanya jugak, Bapak yang lebih muda dari Anak itu, siapakah Kepala Bapak? Ahmad Maslan atau Rozali Ismail? Atau kedua-dua Kepala Bapak? Tak kan....

No comments: