Followers

Friday, August 27, 2010

Seriuskah PAS mahu melaksanakan hudud??

Memang undang-undang hudud menjadi antara perjuangan utama PAS. Ia menjadi utama kerana tuntutan agama. Namun dalam konteks negara Malaysia hari, PAS belum boleh menyebut mengenai 'perlaksanaan undang-undang hudud' apatah lagi secara terbuka begitu sahaja, walaupun sangat berhasrat mahu melaksanakannya.

Dalam konteks perjuangan PAS, melalui politik pilihanraya seperti yang diterima pakai oleh PAS sendiri, seperti diamalkan di Malaysia ini, menyebut mahu melaksanakan undang-undang hudud jika menang, adalah strategi yang salah dan dengan sebab itu, logiknya, PAS akan terus dan sentiasa kalah. Adakah demi syiar Islam, PAS tidak kisah kalah dalam keadaan PAS boleh turut sama menang?

Strategi bercakap mahu melaksanakan undang-undang hudud, jika Pakatan Rakyat menang adalah strategi yang salah yang tentunya kebarangkalian mengundang kekalahan adalah lebih besar. PAS pasti akan berdepan dengan orang-orang yang tidak faham hudud, orang-orang yang tidak mahu hudud, orang-orang yang mempermainkan hudud dan orang-orang bukan Islam yang takut dengan hudud kerana apa yang mereka faham setakat hari ini.

Realiti yang ada, untuk melaksanakan hukum hudud buat masa ini PAS pasti bersendirian. DAP sah menolak. Jika berpegang kepada kenyataan Ketua Komunikasi PKR, PAS juga tidak akan mendapat sokongan padu PKR. Maknanya untuk setakat hari ini PAS pasti bersendirian!

Dengan bersendiriannya PAS, mampukah PAS melalui halangan menguasai 2/3 kerusi parlimen Malaysia. Jika mampu, maka PAS mudah merealisasikan hasratnya. Maka Perlembagaan Malaysia boleh dipinda untuk membuka laluan perlaksanaan hudud. Soalnya, secara logiknya mampukah PAS?

Namun sebelum PAS menguasai 2/3 parlimen, maknanya sebelum PAS menang, PAS terpaksa berdepan dengan pengundi-pengundi UMNO yang biasanya pak turut yang tegar termasuk pengikut Mahathir, pengundi-pengundi BN, pengundi DAP dan pengundi-pengundi bukan Islam yang lain. Apakah kumpulan-kumpulan ini mampu membawa PAS menguasai 2/3 parlimen dengan isu pelaksanaan undang-undang hudud yang membelit PAS dalam kempen pilihanraya yang singkat itu? Atau gamaknya PAS akan mampu menguasai 2/3 dengan hanya sokongan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS ? Macam tidak munasabah !

Ertinya bercakap atau melaung perlaksanaan undang-undang hudud secara terbuka begitu sahaja dalam konteks yang ada hari ini bukan satu strategi politik yang baik. Habis, apakah PAS mesti melupakan hasrat suci yang merupakan tuntutan Islam itu? Tidak !

Apa yang PAS perlu lakukan mulai sekarang bukan bercakap soal 'perlaksanaan undang-undang hudud' tetapi bercakaplah 'tawarkan kepada masyarakat apa itu undang-undang hudud sebenarnya ?'.

Dewan-dewan terutama Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat harus memperbanyakkan penganjuran seminar, forum, diskusi dengan menjemput para pemimpin politik, para pemimpin komuniti, para pemimpin NGO dan rakyat pelbagai kaum untuk mendengar, berforum, berdiskusi, bersoal jawab dan berdebat secara bebas dan terbuka mengenai apa itu hudud sebenarnya dan bagaimana kalau ianya terlaksana. Oleh kerana hudud ini tuntutan Islam maka PAS perlu menjadikan program pentarbiyahan pelbagai kaum dan pelbagai sasaran seumpama ini sebagai satu program yang penting parti.

Kekerapan penganjuran seminar, diskusi dan forum undang-undang hudud di seluruh kawasan, di semua tempat dalam negara ini adalah lebih baik dari menghamburkan isu perlaksanaan undang-undang hudud secara terbuka dalam situasi mereka tidak memahami apa itu hudud, dan dalam situasi isu itu mudah dipolitikkan untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

Hasrat Ketua Pemuda PAS yang bersedia jika dijemput untuk memberi penerangan tentang hudud kepada para pemimpin DAP adalah baik namun ia bukan cara yang terbaik. Apakah tanggungjawab pemimpin DAP kepada hudud sehingga sanggup menjemput Ketua Pemuda PAS untuk berbincang soal undang-undang hudud? Apa kena mengena hudud dengan DAP kerana DAP memang tidak mahu hudud atas alasan mereka sendiri ? DAP atau Karpal Singh tidak mahu tahu apa itu hudud, kerana mereka rasa hudud tidak ada kena mengena dengan mereka melainkan orang yang mahu hudud itu dilaksanakan perlu pergi berjumpa dengan mereka, menjemput mereka, mengambil sedikit masa mereka untuk menerangkan apa itu hudud dan dan kaedah pelaksanaannya jika dilaksanakan.

PAS yang mahu undang-undang hudud dilaksanakan, maka Ketua Pemuda PAS, perlu menjemput bukan dijemput untuk tidak henti-henti menerangkan apa itu hudud secara ilmiah dan bijaksana serta penuh hikmah. Rasanya seminar seperti yang pernah dibuat di Trengganu sewaktu PAS memerintah Trengganu dahulu amat perlu dianjurkan secara kerap, sesekerap yang boleh.

Apakah kita terkejut jika bukan Islam termasuk DAP yang benar-benar memahami undang-undang hudud kerana penerangan dan perbincangan yang kerap dan berkesan, dalam suasana keadaan yang sosial yang hiruk pikuk dan putus asa ini, mereka yang meminta undang-undang hudud itu dilaksanakan sebagai penyelesaian masalah yang ada ? Yang dikasihi Tok Guru Nik Abdul Aziz pernah berkata jika orang-orang Cina faham apa itu undang-undang hudud, mereka tentu lebih mahu undang-undang ini dilaksanakan kerana mereka adalah orang-orang yang kaya yang perlu menjaga harta yang banyak dan nyawa mereka secara adil.

Islam adalah agama untuk semua manusia, maka Islam begitu cantik sekali jika orang-orang bukan Islam mampu memahaminya dengan baik. Isunya, sudah cukupkah PAS memahamkan kepada orang-orang bukan Islam sefaham-fahamnya apakah itu undang-undang hudud dari bersibuk melaungkan PAS mahu melaksanakan undang-undang hudud jika menang?

No comments: