Followers

Sunday, April 11, 2010

MEB akan lebih teruk dari DEB !

Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib baru-baru ini, akan lebih sukar dirasai oleh rakyat terbanyak. Rancangan untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi untuk mencapai wawasan 2020 mungkin akan wujud pada angka sahaja, sedangkan realitinya beban kepada kehidupan rakyat terus menekan.

Persoalan integriti, kebebasan kehakiman, pembasmian rasuah, kebebasan media, isu akhlaq dan moral dan berbagai lagi, masih belum nampak tanda-tanda untuk dibaiki dan mengatasinya secara ikhlas dan telus. Tanpa membaik-pulih isu-isu tersebut apakah MEB akan benar-benar menjadi model ekonomi baru !

Rakyat di luar bandar terutama di kampung-kampung tradisional yang begitu kuat menyokong UMNO akan hanya mendapat bantuan bertaraf 'tahi gigi' ketika hanya apabila datang musim pilihanraya. Jika tidak musim itu, rakyat kampung akan sentiasa mengeluh dan mengemis di sana sini untuk lauk nasi keluarga yang serba mahal, perbelanjaan persekolahan anak-anak yang realitinya semakin bertambah dan meningkat, anak-anak yang menganggur atau sekadar bekerja menjadi kuli di pusat-pusat membeli belah sahaja!

Apa yang MEB boleh berikan kepada rakyat jika jalan-jalan di kampung-kampung masih ada yang gelap gulita, tiada lampu jalan atau lampu jalan macam gigi rongak, bekalan elektrik yang tidak cukup dan kerap bergelap, air paip yang tidak berkualiti dan melilih, pengangkutan awam yang menyiksakan dan tambang teksi yang mahal! Hendak pergi ke destinasi yang hanya berjarak lebih kurang 10 kilometer kena tunggu selama 2 jam. Agaknya dalam MEB, PM hanya sibuk dengan perkhidmatan pengangkutan awam di Kuala Lumpur tetapi di kampung-kampung terutama di kampung-kampung tradisional tak payah, sebab penduduk kampung-kampung tradisional, Parti UMNO buat macam manapun, mereka akan tetap pangkah dacing !

Kampung-kampung tradisional indah macam dalam kad Selamat Hari Raya, bangga orang kampung kerana sentiasa penuh dengan pokok kelapa, lalang, kemunting, senduduk dan tahi lembu serta rumput israel ! Wakil Rakyat turun sekali-sekala memuji keindahan kampung-kampung tradisonal...tepuk tanganlah orang kampung ramai-ramai!!! Hati orang kampung tradisional berkata ' bagus wakil rakyat kita'. Hati wakil rakyat berkata ' bodoh orang kampung ni!'

Lebih menyayat hati, dalam tiada pembangunan di kampung-kampung tradisional yang kebanyakkannya kubu kuat UMNO itu, banyak pulak terdirinya rumah-rumah burung walid yang katanya anggaran sebuah lebih kurang RM300,000. Orang kampung punyee tu...penyokong UMNO..bangga ape!!

Di kawasan-kawasan kubur dan tempat-tempat sunyi dan gelap pula, anak-anak muda melepak sambil menyedut asap rokok dan apa-apa yang boleh disedut tanpa mengira halal-haram. Di tempat buang sampah bukan sahaja penuh dengan sampah-sarap tetapi jugak terdapat bayi-bayi yang belum putus tali pusat ! Inilah tunggak 1Malaysia !

Bangganya ada Model Ekonomi Baru kerana rakyat terus terpaksa berjuang untuk hidup. Anak-anak muda di kampung-kampung tradisional, yang baru keluar IPTA dan IPTS kebingungan hendak membayar PTPTN mereka. Kerja tak tahu hujung pangkal, PTPTN kena bayar, biasiswa hanya untuk mereka yang pintar sahaja dan kadang-kadang anak-anak pintar itu anak-anak orang kaya dan anak-anak berwang !

MEB kuat dilaungkan, tapi kontrak-kontrak tetap dipulun oleh kontrakor-kontrator UMNO yang pandai 'membela'. Yang pandai 'membela' akan dapat 3 hingga 4 projek, yang tak pandai mampus engkaulah. Contoh kontrak makanan asrama-asrama pelajar dan penghuni dan kerja-kerja pembersihan kawasan institusi-institusi, seorang kontraktor yang pandai 'membela' akan dapat tiga atau empat asrama dan kawasan sedangkan kualiti perkhidmatan macam tahi ! Yang tak pandai 'membela' akan terus mengemis dan merintih. Inilah gaya cara MEB !

Nampaknya semakin kerap MEB dilaungkan, tiada apa yang dapat dirasai indah oleh rakyat sebaliknya semakin banyak komplikasinya kepada ekonomi dan kehidupan. MEB kian menuju ke arah Medan Eksploitasi Belaka sebagai talian hayat sebuah parti politik! Nampaknya MEB ini akan menjadi lebih buruk rupanya dari DEB ? Kita sudah mula merasainya dan akan lebih tahu nanti !

No comments: