Followers

Sunday, January 24, 2010

DALAM POLITIK, SERBA BERKEMUNGKINAN ?

YB Zulkifli Nordin MP PKR Kulim Bandar Baru nampaknya telah bertindak jauh dalam pertikaian bagaikan "kucing dengan anjing" antaranya dengan YB Khalid Samad MP PAS Shah Alam. Laporan polis telah dibuat oleh beliau terhadap YB Khalid Samad mewujudkan pertembungan pendapat secara peribadi yang tidak perlu antara mereka berdua. Kedua-duanya ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Pertembungan kedua YB ini pernah berlaku atas isu bia'ah perlantikan calon pilihanraya. Kali ini sekali lagi dua YB ini bertembung.

Pandangan yang dilontarkan YB Khalid Samad dalam bagaimana cara dan gayanya, disampaikan agak-agak selari dengan dengan pandangan partinya walaupun itu pandangan peribadinya. Namun pandangan YB Zulkifli dalam cara dan bagaimana gayanya, agak menyongsang dengan pandangan partinya.

Persoalannya bukan pertembungan antara YB Zulkifli dan YB Khalid tetapi isunya ialah pandangan yang menyongsang dari pandangan parti. Apakah ada implikasi terhadap YB Zulkifli Nordin selepas ini.

Katanya, dia telah bersedia menghadapi apa juga reaksi partinya (mungkin juga tindakan partinya?) terhadap tindakannya itu.

Kalau begitu, bagaimana kalau tindakan partinya ialah, YB Zul digantung atau dipecat ? Apakah YB Zul akan memohon rayuan dan menunggu masa untuk terus berada dalam PKR? Atau ke manakah YB Zul akan berkelana? Apakah YB Zul akan masuk PAS yang ada Khalid Samad di dalamnya? Tak mungkin YB Zul menyertai DAP kerana, kerana DAPlah dia banyak bersikap sepertinya hari ini. Hendak menyertai MIC dan MCA memang YB Zul tidak layak langsung.Menyertai Gerakan ? Sukar untuk diramalkan.

Kalau begitu, nampaknya kemungkinan yang sangat besar, jika YB Zul tergantung atau terpelanting dari PKR maka UMNO bila-bila masa sudi mempelawa dan menyambut kehadiran YB Zul !

Jika itulah realiti yang bakal menjadi, semoga tidak, apakah UMNO menjadi realiti kudus bagi YB Zul dalam perjuangan politiknya? Apakah dengan duduk dalam UMNO, YB Zul boleh bersikap sepertinya hari ini atau YB Zul akan lebih selesa untuk tidak berkata-kata sepertinya hari ini?

ATAU YB Zul akan teruskan pandangan dan perjuangannya mengikut gaya dan cara si Raja Katak yang masih belum sudi diterima oleh UMNO itu? Jika ini yang berlaku, bagaimanakah nasib YB Zul dalam pilhanraya ke 13 nanti ? Apakah akan terus hanyut senasib dengan si Raja Katak ?

Dalam politik semuanya serba berkemungkinan. Mari kita terus perhatikan.


No comments: