Followers

Friday, January 01, 2010

Naik harga gula: Kerajaan UMNO/BN semakin lemah

Kenaikan harga gula yang bermula 12 tengah malam semalam memberi makna bahawa kerajaan UMNO/BN kian lemah kerana terpaksa mengorbankan kepentingan rakyat jelata.

Kenaikan harga gula ini tidak akan mengurangkan bilangan pesakit kencing manis di dalam negara malah sebaliknya akan menyusahkan sebahagian besar rakyat yang mencari dan mendapat rezeki dengan bahan-bahan berasaskan gula. Tetapi apa UMNO/BN peduli.

Benarlah sangkaan ramai bahawa slogan " Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan" hanyalah gimik dan retorik Perdana Menteri UMNO/BN yang baru. Bergimik dan beretorik adalah darah daging mereka yang suka menipu.

Saya bertanya komen seorang penduduk kampung mengenai kenaikan harga gula. Dengan rasa geram dia menjawab, " orang yang menaikkan harga gula ni, bodoh ! Menyusahkan orang kampung je! ".

Saya terus menguji beliau," Amacam pilihanraya akan datang kita pangkah PAS pulak ?".

Tanpa berlengah dia menjawab, " PAS lagi bodoh berkawan dengan DAP, haram ! Tahunya nak salahkan Datuk Najib je! Kesian Datuk Najib. Hilang enjin kapal terbangpun nak salahkan Najib, PAS ingat Najib jaga stor enjin tu ?"

Saya terus diam memikirkan kata-kata orang yang bodoh itu. Betullah ,ramai lagi orang Melayu yang bodoh di sekeliling kita.

Naik harga gula: 'Kapitalis didahulukan, keuntungan diutamakan'.

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dicadangkan menukar tema 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kepada tema yang baru - 'Kapitalis didahulukan, keuntungan diutamakan'.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar memberi cadangan sinikal tersebut sebagai respon pada keputusan kerajaan menaikan harga gula RM0.20 bermula 12 tengah malam semalam.

Beliau yang juga Ahli Perlimen Pokok Sena berharap rakyat menilai semula slogan 1Malaysia Najib dan sistem Aras Tanda Pencapaian (KPI) kerajaan yang kononnya demi kepentingan rakyat.

Selain mengkritik Najib, Mahfuz juga mendakwa keputusan yang diambil oleh Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri bukanlah keputusan terbaik demi kepentingan rakyat.

"Ia tidak bantu meningkat pendapatan rakyat, kenaikan harga gula akan tinggalkan kesan berantai pada kenaikan harga susu, tepung, roti, biskut dan barang keperluan rutin yang lain," jelasnya.

Dakwanya, kenaikkan harga gula itu mengambarkan bahawa kerajaan seolah-olah sedang mengurangkan subsidi gula dengan membiarkan pemegang permit kebenaran (AP) tertentu sahaja mengimport gula.

Tambahnya lagi, kerajaan sepatutnya melonggarkan undang-undang kastam dengan membenarkan rakyat tempat mengakses barang-barang asasi, termasuk gula untuk kegunaan rutin dari negara-negara jiran.

Dengan berbuat demikian, beliau berkata, mampu memberikan rakyat suatu tawaran harga paling minima dan murah kerana para pembekal barang-barang asasi terpaksa bersaing memenuhi keperluan rakyat.

Ianya sekaligus, memecahkan blok monopoli oleh kapitalis tertentu dan mengukuhkan blok konsumerisme rakyat di Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, sebelum ini, harga sekilo gula di Malaysia dan kepulauan Borneo masing-masing adalah RM1.45 dan RM1.55.

Sumber: harakahdaily



Wednesday, December 30, 2009

Program juara rakyat !

Dasar menipu 1Malaysia agar 1Malaysia tertipu akan diteruskan. Dasar tersebut telah sebati dengan prinsip perjuangan puak-puak gerombolan. Puak gerombolan akan buat apa sahaja untuk menipu kerana menipu adalah juga antara amalan hidup puak-puak gerombolan.

Tak tipu bukan gerombolan. Menipu memang gerombolan.

Gerombolan akan bergerak 1Malaysia untuk menipu mengenai isu 2 enjin jet yang hilang dan memberi alasan tipu kenapa YB-YB gerombolan tidak hadir sewaktu pengundian bajet baru-baru ini yang hampir-hampir menyebabkan kerajaan gerombolang tumbang !

Program juara rakyat menjadi tapak dasar menipu 1Malaysia diteruskan.Baca sini.

Tuesday, December 29, 2009

10 peristiwa penting 2009

Kami membawa anda kembali mengimbau peristiwa penting yang berlaku sepanjang tahun 2009. Berikut adalah 10 laporan terpenting yang mendapat liputan Malaysiakini sepanjang tempoh tersebut.

Kisah putera dan model remaja

Cerita mengenai pekerja asing didera bukanlah perkara baru di Malaysia. Begitu jugalah dengan tahun ini. Tetapi kes ini telah mencetuskan kemarahan di Jakarta, sebahagiannya kerana individu didakwa terbabit adalah dari kalangan istana.

Perkahwinan antara model remaja Indonesia - Manohara Odelia Pinot - dengan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berakhir dengan perpisahan apabila Manohara mendakwa dia telah menjadi mangsa dera, diculik serta dirogol.

Dengan bantuan ibunya, Manohara telah melarikan diri dari suaminya ketika menziarahi Sultan Kelantan yang sedang dirawat di Singapura.

Ekoran itu, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 31, telah memfailkan saman terhadap isternya dan ibu mertuanya itu - kedua-duanya kini berada di Jakarta - supaya memulangkan 'hutang' berjumlah RM1.1 juta. Beliau menang kes tersebut apabila Manohara dan ibunya gagal hadir di mahkamah.

Apa yang berlaku itu juga dipercayai ada kaitan dengan tindakan memecat Tengku Muhammad Fakhry dari Majlis Perajaan Kelantan September lalu. Bulan ini, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan saman terhadap abangnya - pemangku sultan sekarang - kerana memecatnya dari majlis tersebut.

Penentangan terhadap PPSMI

Pengajian dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) - dasar yang diwarisi daripada perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad enam tahun lalu terus menjadi duri dalam daging berterusan kepada kepimpinan negara.

Pada 7 Mac, dipimpin bekas pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalanraya, mengharungi tembakan bertalu-talu meriam air dan gas pemedih mata untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Buat pertama kalinya, golongan seniman dan budayawan pelbagai bangsa - yang dilihat berdiam diri terhadap dasar kerajaan selama ini - bangkit menuntut pemansuhan PPSMI.

Malah, kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup secara terbuka mengeluarkan kenyataan bersama berhubung perkara itu.

Malah penentangan terhadap PPSMI turut menyaksikan pengemblengan tenaga antara Gabungan Penulis Nasional (Gapena) dengan golongan pendidik Cina.

Akhirnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa tunduk kepada desakan yang berterusan itu.

Dan pada bulan Julai, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pelajaran, akhirnya mengumumkan pemansuhan PPSMI secara berperingkat-peringkat.

Mulai tahun 2012, kedua-dua subjek berkenaan di sekolah rendah akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia bagi sekolah kebangsaan dan dalam bahasa Cina dan Tamil di sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Bagaimanapun, para penentangnya masih berpuas hati kerana menganggapnya bukan pemansuhan, sebaliknya satu penangguhan, dan masih meneruskan perjuangan mereka supaya PPSMI dimansuhkan serta merta.

Kematian dalam tahanan

Ada perkara yang tidak akan berubah. Kekerasan polis menduduk tempat ke-7 dalam siri 10 Berita Utama pada tahun 2003 dan 2004. Dan ia muncul lagi tahun ini.

Tahun 2009 menyaksikan satu lagi kes kematian tahanan polis - A Kugan, di mana laporan bedahsiasatnya mengunjurkan bahawa dia dipukul ketika ditahan di sebuah balai polis Januari lalu.

Selepas kempen bersungguh-sungguh kumpulan hak asasi, seorang anggota polis akhirnya dihadapkan ke mahkamah 10 bulan kemudiannya atas tuduhan "menyebabkan kecederaan teruk" ketika cuba mendapatkan pengakuan mangsa.

Kematian Kugan telah menaikkan semangat kempen terhadap kes kematian dalam tahanan polis - seorang lagi mangsa ialah R Gunasegaran serta kes kematian pendatang tanpa izin di kem tahanan.

Kini tumpuan juga tertumpu kepada kes di mana enam orang ditembak mati oleh polis di Kulim Kedah pada Februari lalu, dan diikuti dengan satu lagi kes yang sama, membabitkan lima remaja di Klang, Selangor.

Ia menarik perhatian ramai kerana kakak salah seorang mangsa yang mati bertindak membunuh diri dengan meminum racun paraquat.

Bagaimanapun empat orang anaknya yang turut diberi minum racun tersebut, dapat diselamatkan.

Protes kepala lembu

Walaupun hanya seramai kira-kira 50 orang sahaja yang menyertai satu protes kecil, tetapi ia menjadi tajuk berita dan mendapat tumpuan amat meluas kerana ia turut menyentuh sensitiviti agama.

Pada 28 Ogos, satu kumpulan pendemontrasi mengarak satu kepala lembu dan meletakkannya di pintu pagar sekretariat kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat berhubung isu pemindahan sebuah kuil Hindu ke kawasan perumahan mereka di Shah Alam.

Lembu merupakan binatang suci bagi agama Hindu, dan ini telah menimbulkan bantahan sehingga mengundang campurtangan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Bagaimanapun, tindakan menteri berkenaan yang dilihat mempertahankan mereka yang mengadakan demonstrasi tersebut telah menimbulkan rasa tidak senang dan Malaysiakini telah disalahkan kerana menyiarkan video mengenainya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diarahkan menyiasat Malaysiakini di mana ramai wartawan portal berita tersebut telah disoalsiasat berhubung perkara tersebut. Sementara itu, 12 peserta demontrasi berkenaan telah didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan dan tuduhan mengadakan perhimpunan haram.

Teoh: Dibunuh atau bunuh diri?

Pada 16 Julai, kematian seorang pemuda telah menghancurkan apa juga kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang belum sampai setahun lagi usianya.

Nama Teoh Beng Hock menjadi sebutan apabila dia ditemui mati di luar bangunan SPRM Selangor di Plaza Masalam. Dia dikatakan jatuh dari tingkat 14 bangunan tersebut yang menempatkan pejabat SPRM. Teoh, yang merupakan setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, disoalsiasat sebagai saksi berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk DUN sebelum dia ditemui mati.

Kematiannya telah mencetuskan bantahan umum sehingga perdana menteri kemudiannya bersetuju supaya diadakan inkues punca kematian Teoh serta menubuhkan sebuah jawatankuasa diraja untuk meneliti prosedur siasatan SPRM.

Dua bulan inkues berjalan, pakar patologi Thai, Dr Porntihip Rojanasunand membuat kejutan apabila mendakwa wujud kemungkinan 80 peratus kematian Teoh adalah homisid dan 20 peratus bunuh diri.

Pendedahan tersebut membawa kepada penggalian semula mayat Teoh dan bedahsiasat kedua dilakukan ketua jabatan forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor, dengan disaksikan oleh Dr Pornthip dan pakar forensik British, Prof Peter Vanezis yang dilantik oleh SPRM.

Bagaimanapun, keputusan bedahsiasat itu masih belum diumumkan dan inkues tersebut telah ditangguhkan sehingga tahun depan.

Tahun pilihanraya kecil

Sebanyak sembilan pilihanraya kecil diadakan selepas pilihanraya umum 2008 di mana keputusannya menunjukkan bahawa BN masih gagal memulihkan sokongan rakyat terhadapnya. BN tewas dalam enam pilihanraya kecil, termasuk DUN Penanti yang tidak ditandinginya.

Seperti yang dijangkakan, BN berjaya mengekalkan dua kerusi DUN - Batang Ai (Sabah) dan Bagan Pinang (Negeri Sembilan), tetapi tewas kubu kuatnya - kerusi parlimen Kuala Terengganu - kepada PAS.

Kecuali prestasi menggalakkan BN dalam pilihanraya DUN Manek Urai, pembangkang berjaya menang dengan tambahan majoriti di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Permatang Pauh.

BN bagaimanapun memberi tentang hebat di Manek Urai apabila PAS mampu mempertahankan kerusi itu dengan majoriti tipis - daripada 1,352 (2008) kepada hanya 65 undi. Tetapi kegembiraan BN itu tidak lama kerana ia tewas lagi di DUN Permarang Pasir.

BN bagaimanapun memutuskan tidak bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Penanti, di mana calon PKR menang dengan majoriti lebih besar, selepas mengetepikan saingan daripada dua calon bebas.

Kerusi Parlimen: Kuala Terengganu (won by PAS), Bukit Gantang (PAS) and Permatang Pauh (PKR).

DUN: Bukit Selambau (PKR), Batang Ai (PRS), Penanti (PKR), Manek Urai (PAS), Permatang Pasir (PAS), and Bagan Pinang (Umno).

Ibu segala skandal

Mereka menggelarnya sebagai ibu segala skandal. Keseluruhan projek boleh menelan RM12.5 bilion wang pembayar cukai dan nasib beberapa ahli politik yang pernah memegang kuasa, kini "berada di hujung tanduk".

PKFZ bermula pada 1999 sebagai projek berharga RM1.96 bilion untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai sebuah hub pengangkutan laut serantau. Pada 2007, ekoran masalah dan penyelewengan yang berlaku, memaksa kerajaan menyuntik RM4.6 bilion untuk menyelamatkan projek tersebut.

Hanya selepas BN dilanda tsunami politik selepas pilihan raya umum 2008 dan diekori pelantikan Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai menteri pengangkutan, maka satu siasatan dalaman dilakukan ke atas PKFZ.

Selepas memenangi pertandingan sengit bagi jawatan presiden MCA, Ong berusaha untuk memulihkan imej dan kredibilitinya dengan menumpukan kepada siasatan PKFZ.

Pelbagai jawatankuasa ditubuhkan dan hasil siasatannya yang turut membabitkan ahli politik dan pegawai kanan kerajaan, telah memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan perlu.

Siasatan kemudiannya dipindahkan dari kementerian pengangkutan kepada sebuah jawatankuasa tertinggi yang dianggotai beberapa kementerian.

Akhirnya, dua tahun selepas skandal tersebut didedahkan, empat orang - tetapi bukan orang politik - telah diseret ke mahkamah.

Bagaimanapun, mereka dilihat sebagai "ikan kecil". Peguam negara berjanji lebih ramai akan diseret ke mahkamah selepas tahun baru.

Krisis MCA tiada penghujungnya

Sejarah 60 tahun MCA terus menerus diwarnai dengan perebutan kuasa. Dan krisis terbarunya tercetus ekoran pertembungan kumpulan penyokong Ong dengan puak pimpinan timbalannya, Datuk Seri Chua Soi Lek.

Walaupun Chua berjaya memenangi jawatan timbalan presiden MCA, tetapi skandal video seks berterusan menghantuinya.

Ong, dalam berdepan dengan lawannya, telah bertindak membuka semula siasatan terhadap scandal seks Chua dan memecatnya daripada parti. Walaupun hukuman tersebut kemudiannya dikurangkan kepada penggantungan keahliannya , tetapi ia gagal untuk menyekat penyokongnya mendesak supaya diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Tetapi para perwakilan parti telah membuat keputusan mengejut kerana bukan sahaja meluluskan undi tidak percaya terhadap Ong tetapi juga turut menolak usul untuk mengembalikan Chua ke jawatan timbalan presiden. Turut muncul ialah cakap-cakap bahawa wujud kuasa ketiga dalam krisis MCA itu.

Pendaftar pertubuhan kemudiannya membuat keputusan bahawa Chua masih merupakan timbalan presiden MCA. Ong dan Chua kemudian bersetuju menerima pelan damai yang mendapat restu perdana menteri.

Bagaimanapun ia masih gagal untuk menamatkan krisis MCA apabila Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan penyokongnya mahu EGM kedua diadakan bagi mendesak supaya pemilihan baru parti diadakan.

Ini memaksa Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan. Selepas beberapa pertemuan, Liow akhirnya bersetuju untuk membatalkan EGM dengan tanggapan bahawa puak-puak yang bertelagah akan mencapai kata sepakat bagi mengadakan pemilihan parti yang baru.

Bagaimanapun, Ong dan Chua tidak komited tentang pemilihan baru parti. Menurut perlembagaan parti itu, dua pertiga atau 21 daripada anggota jawatankuasa pusat (CC) MCA perlu meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan. Ekoran itu, Liow dan 12 anggota CC, menyerahkan surat peletakan jawatan mereka. Tetapi beliau mungkin tidak memperolehi jumlah yang mencukupi untuk tujuan tersebut. Dan dengan itu, kemelut MCA berterusan.

Najib berdepan tugas berat

Apabila Najib mengambil alih kuasa menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, ia telah meniupkan semangat baru, khususnya dalam Umno.

Namun, Najib menaiki hirarki parti itu ekoran penolakan secara terbuka kalangan pemimpin dan ahli Umno terhadap kepimpinan Abdullah.

Dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri, terbukti telah memainkan peranan besar dalam membuka ruang untuk Najib melangkah masuk ke Sri Perdana.

Bagaimanapun, imej Najib telah tercemar dengan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu dan tuduhan bahawa beliau adalah 'dalang' di sebalik rampasan kuasa di Perak.

Bagi berdepan dengan keraguan rakyat itu, pada permulaan pentadbirannya, Najib telah membebaskan 13 tahanan ISA, termasuk pemimpin Hindraf. Beliau juga berjanji untuk mengkaji semula akta tersebut.

Beberapa bulan selepas mengambil alih teraju pemerintahan negara, termasuk memperkenalkan konsep 1Malaysia, Najib terpaksa berdepan pula dengan tugas berat menerajui negara berdepan dengan kemelesetan ekonomi serta menangani kehendak golongan minoriti dan pada masa yang sama memastikan sokongan berterusan orang Melayu.

Dengan tahun 2009 akan melabuhkan tirainya Khamis ini, Najib berdepan dengan satu lagi masalah - kes kehilangan dua enjin jet pejuang bernilai RM100 juta - yang lesap ketika beliau menerajui kementerian pertahanan.

Perak berwajah dua.

Tanpa ragu-ragu lagi bahawa berita terbesar tahun ini ialah rampasan kuasa di Perak. Negeri itu menjadi gelanggang perang politik dekad ini selepas BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri itu daripada Pakatan Rakyat ekoran tindakan tiga ADUN Pakatan keluar parti dan menyokong BN.

Apa yang berlaku di Perak mempunyai implikasi besar di segi perundangan kerana keputusan mahkamah - sebahagian besarnya menguntungkan BN - telah menulis semula amalan selama ini mengenai kuasa sultan, speaker DUN, Suruhanjaya Pilihan Raya dan menteri besar.

Ekoran itu, rakyat Perak kini berdepan dengan dua kerajaan negeri, dua speaker, dua menteri besar dan dua persidangan berasingan dalam dewan undangan negeri (DUN) yang sama.

BN enggan tunduk kepada desakan supaya diadakan pilihanraya negeri yang baru kerana mereka memegang kuasa di negeri itu, manakala saman Pakatan yang mencabar kesahihan kerajaan negeri BN akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Pada masa ini, semua pihak menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan itu mengenai siapakan menteri besar Perak yang sah. Tetapi apa juga keputusannya, ia merupakan sesuatu yang sementara - penentu sebenar ialah para pengundi di Perak dalam pilihanraya akan datang. Berita asal


(malaysiakini.)


Monday, December 28, 2009

Hahaha....


Woit....ahli PAS mana demonstrasi sorok muka....... ?

Hahaha...

Kalau PAS dikatakan jadi kuda tunggangan Anwar,

UMNO ?

UMNO jadi kuda tunggangan Najib....

Najib ?

.......kuda tunggangan Big M..........

HUHUHU.......dahsyat !!!

Sunday, December 27, 2009

Isu calon luar di Kelantan

Telahpun terdengar gesaan dari pemimpin-pemimpin PAS peringkat negeri Kelantan agar PAS Kelantan meletak calon-calon tempatan untuk bertanding di negeri tersebut dalam pilihanraya akan datang. Sebab-musabab mengapa tiba-tiba cadangan ini dikemukakan tidak difahami dengan jelas. Namun demikian Tuan Guru Mursyidul Am katanya memberi perhatian untuk meneliti dan mengkaji cadangan tersebut.

Biasanya, tokoh-tokoh kanan PAS yang diletak untuk bertanding di Kelantan bukan sembarangan tokoh. Mereka merupakan tokoh-tokoh yang banyak memberi sumbangan kepada PAS di peringkat pusat dan mempunyai buah fikiran yang berkesan dalam percaturan politik peringkat kebangsaan.

Persoalan yang berbangkit, jika bertanding di negeri lain apakah tokoh-tokoh berkaliber PAS masih mampu untuk muncul di Parlimen? Jika dilihat dalam situasi yang ada, di bawah pemerintahan UMNO/BN yang menguasai segala agensi, pengundi-pengundi di negeri-negeri lain rasanya masih belum boleh diharap untuk menghantar tokoh-tokoh kanan PAS ke Parlimen. Pemikiran politik mereka masih tertinggal jauh kebelakang dan kejumudan kuat mengongkong mereka berbanding dengan pengundi-pengundi Kelantan yang boleh dikatakan rata-rata mempunyai sikap mengundi yang drastik dan realitik.

Oleh yang demikian meletak calon-calon tokoh kanan PAS di luar Kelantan terutama di negeri-negeri Selatan (Johor, Negeri Sembilan dan Melaka) dan Pahang, di kawasan-kawasan yang tiada potensi kuat untuk menang memberi risiko yang tinggi terhadap kesepaduan Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya.

Persoalannya tokoh-tokoh kanan PAS diperlukan atau tidak dalam Parlimen adalah ditentukan oleh strategi PAS sendiri. Jika dirasakan tidak semesti tokoh-tokoh kanan perlu berada di Parlimen, maka bolehlah letakkan mereka bertanding mengikut negeri asal tokoh tersebut. Ustaz Nashruddin Tantawi di Parlimen Rompin, Tuan Ibrahim Tuan Man di Maran, Salehuddin Ayub kembali ke Johor, Dr Hatta kembali ke Selangor (?). Nasaruddin Mat Isa ke Negeri Sembilan. Semoga mereka boleh menang !

Pengundi hanya menunggu dan membuat pilihan apabila sampai masanya tetapi pengundi yang macam mana dan dari negeri mana yang boleh diharap untuk menjayakan strategi politik itu.

Akhirnya, apa juga permintaan, kehendak dan percubaan boleh dilakukan oleh PAS termasuk PAS Kelantan. Namun apa sahaja percaturan PAS yang mantap ke arah menguasai Putrajaya adalah langkah yang paling bijak dalam Piliharaya ke 13 nanti. Sesungguhnya segala usaha yang mampu mengurangkan halangan ke Putrajaya harus di kurangkan.