Followers

Saturday, November 07, 2009

Perjuangan PAS perlu terus melangkah maju merentasi batasan bangsa dan anutan demi menegakkan Islam.

Pelik juga kajian Prof tu. Imej PAS negatif selepas PRU 12 ? Bukan hendak kata tak betul, mungkin betul. Pemimpin PAS kena ambil nota akan kajian Prof itu.

Tapi kenapa UMNO/BN tidak berani bubar DUN Perak dan Kota Seputih ? Di kawasan pembangkang semua UMNO/BN lingkup. Di Kuala Trengganu kerusi UMNO dirampas. UMNO/BN hanya mampu tersenyum sedikit apabila kalah tipis di Manik Urai kubu kuat penentang Kerajaan Perpaduan dalam PAS. UMNO/BN hanya bersorak sakan dilubuk sendiri Bagan Pinang yang memang penuh dengan pengundi Pos yang sudah diketahui ke mana arah politik mereka.

Rasanya kalau terbubar DUN Kota Seputih, putih tapak kaki UMNO di DUN tersebut. Ini bukan cakap besar tapi realiti. Kalau tidak masakan SPR bantu UMNO/BN dengan menolak keputusan Speaker DUN Kedah.

Walau apapun semua ini pengajaran buat para pemimpin PAS, agar sentiasa akur dengan keputusan muktamar. Tak payah berbaik lagi dengan UMNO kerana UMNO bapak penipu, nanti PAS tertipu. Kelantan sudah kena, minta royalti diberi ihsan. Jangan tertipu para pemimpin Kelantan. Sokong, atur strategi dapatkan juga royalti.

Semoga seminar hari ini dapat membuat rumusan yang mencapai objektif seminar "MEMPERKASAKAN PAS UNTUK MEMPERKASAKAN PR"


Friday, November 06, 2009

20 pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu

Wan Nordin Wan Yaacob

Analisis dari sumber Harakahdaily

Sejak 52 tahun lalu, negara ini hanya diperintah oleh Umno/BN/Perikatan, selain itu tiada parti lain yang berjaya menjadi pemerintah di negara yang majoriti penduduknya Melayu.

Adapun parti yang memerintah negeri-negeri seperti Kelantan (PAS- kini), Terengganu (PAS 1999-2004); Perak (Pakatan Rakyat,DAP-PAS-KeADILan sejak Mac 2008-Februari 2009); Selangor Mac 2008-kini), Kedah (Mac 2008-kini) dan Pulau Pinang (Mac 2008-kini), semuanya dianak-tirikan dari menerima bantuan pembangunan oleh kerajaan pusat.

Sejak itu juga, Umno/BN menggunakan 'kesempatan' dengan agensi kerajaan, media dan kuasa untuk mencengkam jiwa-jiwa orang melayu dan kaum-kaum lain bagi mengekalkan kuasa mereka.

Malah dengan akta-akta seperti Ordinan Darurat, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Umno/BN berjaya 'menutup' mulut-mulut rakyat, dan setiap kali getir melanda periuk nasi Umno/BN, pastinya akta-akta ini digunakan bagi emnakut-nakutkan rakyat.

Dalam masa yang sama, bak kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu pertemuan dengan kakitangan Harakah pada 28 Oktober lalu di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, Umno/BN memperbodohkan rakyat dengan akhbar-akhbar mereka hingga rakyat menjadi 'pak turut'.

Berita-berita yang dimuatkan dalam media milik Umno/BN hanya memaparkan pandangan sebelah pihak, selebihnya menghentam dan memfitnah pembangkang.

Sejarah pastinya tidak akan melupai akan Umno/BN lah yang mengurangkan kuasa Raja-raha Melayu, yang menderhaka kepada Sultan apabila di Terengganu, selepas pilihan raya umum 2008, Umno/BN tidak bersetuju dengan perkenan Sultan Terengganu melantik Dato' Seri Ahmad Said selaku Menteri Besar menggantikan Dato' Seri Idris Jusoh.

Mereka (Umno/BN) turun ke jalan-jalan raya bagi membantah tindakan Sultan hinggakan slogan 'natang' ditujukan kepada Sultan dan Istana.Penderhakaan ini tidakpun diambil tindakan oleh mana-mana pihak berkuasa hingga kini.

Sementara AJK PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaffar pada satu majlis di Gombak satu ketika lalu pernah mengingatkan bahawa rakyat tidak akan lupa, Umno telah melakukan pelbagai pengkhianatan terhadap orang-orang Melayu semenjak pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohammad sehingga sekarang di bawah Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak.

Ujarnya pada zaman Dr Mahathir, beliau telah menghapuskan imuniti raja-raja Melayu. sedangkan Institusi Raja Melayu adalah simbol ketuanan orang Melayu. Seterusnya, pengkhianatan Umno yang kedua, dengan merosakkan sistem kehakiman negara yang juga dilakukan bermula pada zaman pemerintahan Dr Mahathir hinggalah hari ini apabila sistem kehakiman semakin dibobrokkan.

Bekas Perdana Menteri (Dr Mahathir) itu juga, telah campur tangan di dalam sistem kehakiman negara, yang menjadi simbol kedaulatan undang-undang negara dan krisis ini membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas.

Kemudian, selepas pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan Terengganu jatuh ke tangan PAS, kerajaan Umno menarik balik royalti minyak di sana.

Walhal, majoriti besar rakyat negeri Terengganu adalah daripada orang-orang Melayu dan Umno sanggup berbuat demikian demi membalas dendam akibat kalah teruk dalam pilihan raya berkenaan.

Pada zaman Dr Mahathir juga, Umno/BN memperkenalkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang secara terang melanggar Perlembagaan Malaysia.Hak tunggal bahasa Melayu ini dicabuli dan pemimpin Umno/BN mempertahankannya.

Akibatnya, dasar yang digubal dan dilaksanakan itu akhirnya melemahkan pencapaian anak-anak Melayu dalam subjek Sains dan Matematik, selain keciciran Melayu di kawasan pedalaman.

Rakyat pastinya tidak akan lupa dengan tindakan Umno/BN menarik semula geran peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menjadi tempat belajar anak-anak orang Melayu.Umno/BN melaungkan bahawa SAR tempat melahirkan pengganas, dan ia adalah menurut kajian orang kanan Najib, Abdul Razak Baginda yang pernah dikaitkan dengan dakwaan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu.

Berikut adalah antara senarai pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu:

1. Melemahkan institusi raja-raja Melayu yang menjadi simbol ketuanan Melayu.

2. Melemahkan sistem kehakiman negara.

3. Menarik balik royalti rakyat petroleum rakyat Terengganu yang majoriti orang Melayu.

4. Memperkenalkan PPSMI; menghapuskan bahasa Melayu.

5. Menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat, tempat belajar agama anak-anak Melayu.

6. Memperkenalkan meritrokrasi; mengurangkan peluang belajar anak-anak Melayu.

7. Memperkenalkan PTPTN dan mengurangkan biasiswa kepada anak-anak Melayu.

8. Persempadanan semula pilihan raya pada 2002; mengurangkan kawasan majoriti orang Melayu.

9. Menafikan hak royalti rakyat Kelantan yang majoriti Melayu.

10. Memperkenalkan Islam Hadhari yang mengelirukan orang Melayu.

11. Menyenaraiawamkan syarikat TH Plantation yang dahulunya dimiliki 100% oleh Tabung Haji dan dimiliki oleh orang Melayu. Tetapi sekarang orang bukan Melayu boleh memiliki saham TH Plantation.

12. Menggabungkan syarikat-syarikat konglomerat orang Melayu iaitu; Sime Darby, Guthrie dan Golden Hope, dan sekaligus mengurangkan peluang orang Melayu daripada tiga syarikat kepada satu syarikat sahaja.

13. Memetik kenyataan Mufti Perak, Dato' Harussani Zakarian 250 ribu orang Melayu murtad. Semua ini adalah di bawah pemerintahan kerajaan Umno.

14. Mewujudkan Wilayah Iskandar yang menjadi zon bebas, maka orang-orang Singapura boleh masuk secara bebas ke sana.

15. Krisis Menteri Besar di Perlis dan Terengganu apabila Umno sendiri yang menentang keputusan Sultan di negeri berkenaan.

16. Membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi sumber bantuan usahawan-usahawan Melayu.

17. Memperkenalkan liberalisasi ekonomi, maka sekaligus menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang tujuannya membantu ekonomi orang-orang Melayu Bumiputra.

18. Mendedahkan pelaburan wang Tabung Haji satu ketika lalu dalam dengan syarikat Judi Pan Sweep, seperti yang didedahkan dalam buku Exco Kerajaan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa.

19. Enggan membayar royalti minyak kepada kerajaan Kelantan sejak tahun 2004.

20. Mengkhianati amanah rakyat dengan merampas kerajaan negeri Perak dari tangan Pakatan Rakyat dengan cara yang tidak bermoral pada Februari 2009.

Selain itu, Kerajaan Umno/BN juga mengadakan hubungan erat dengan Israel sebuah negara Yahudi yang ganas walaupun dasar negara tidak mengiktiaf negara yahudi itu.Talam dua muka yang mengkhianati sokongan bangsa sendiri yang menentang keganasan Zionis terhadap rakyat Palestin.

Umno/BN juga hanya memberi kontrak yang diperuntukkan untuk bumiputera kepada kroni iaitu Umnoputra yang rapat dengan pemimpin pemerintah yang kemudianya menjual projek kepada tauke tauke kaya dengan keuntungan berjuta ringgit tanpa membuat sebarang kerja.

Sementara tauke ini akan membuat projek berkenaan dengan baki yang kurang dari yang diperuntukan. Maka jadilah lebuhraya retak, bangunan bocor, projek-projek tidak siap seperti PKFZ dan landasan berkembar Ipoh Rawang yang rugi sekitar RM1.14 billion, masjid runtuh, jambatan runtuh dan stadium di Terengganu yang runtuh._.

Thursday, November 05, 2009

Seminar memperkasakan peranan PAS dalam memperkasakan PR

Seminar Khas PAS bertujuan memperkasakan peranan PAS dalam memperkasakan Pakatan Rakyat akan berlangsung Sabtu ini. Sudah pasti Seminar yang bakal dihadiri oleh kira-kira 1000 peserta akan menjadi medan pembentangan pendapat dan pandangan yang berbagai terhadap PAS.

Apakah pandangan dan pendapat itu mungkin tidak sukar untuk dijangka. Sudah pasti perbincangan akan berkisar kepada sikap dan peranan seluruh pemimpin tertinggi PAS, bukan ahli akar umbi, terhadap Pakatan Rakyat yang mampu menyakinkan semua yang sentiasa memerhati dan memantau serta mengharap akan peranan PAS sebagai satu-satu parti politik berasaskan Islam di negara ini.

Soalnya apakah seminar itu nanti akan benar-benar menghapus segala kekeliruan dan kekusutan yang berbangkit? Memang antara pemimpin ada yang berbeza pendapat dan pendekatan, sehingga ada yang 'menuduh' yang berbeza pendapat sebagai pengkhianat dan sebagainya. Apakah seminar ini akan menyelesaikan segala kekusutan atau keputusan seminar akan terikut-ikut dengan pengendali blog yang antaranya ada yang kasar dengan maki-hamun atau keputusan Seminar akan menjarakkan lagi perbezaan pendapat antara pemimpin PAS?

Kita akan saksikan Sabtu ini.

Tuesday, November 03, 2009

Jangan terperangkap agenda musuh

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Seluruh petugas parti diingatkan agar jangan terperangkap dengan agenda musuh dengan menghabiskan masa dan tenaga kepada perkara yang remeh temeh dengan menimbulkan polimik sesama sendiri, sehingga mengabaikan tangungjawab kepada usaha memenangi pilihanraya ke 13.

Kita mesti ingat bahawa selepas PRU ke 12 dan beberapa PRK yang kita lalui menyebabkan UMNO/BN berada pada tahap yang sangat kritikal. Sokongan rakyat kepada PR menyebabkan mereka beralih kepada strategi baru iaitu menimbulkan pergolakan dalaman parti-parti dalam gabungan PR dan mencetuskan agenda perbezaan pandangan dalaman parti PR. Strategi ini ternyata berkesan sehingga tiba-tiba sahaja muncul pelbagai pandangan dalaman yang berbeza sehinga mencetuskan kegawatan dalaman berlaku pada semua parti dalam PR. Sedangkan isu sebenar ialah pergolakan dalaman BN.

Kaedah mengalih perhatian diguna sepenuhnya oleh media perdana dan media baru sehingga kini dilihat berjaya. Pengalihan pandangan dan pemerhatian ini menyebabkan seluruh pemerhatian tertumpu kepada soal krisis yang diciptakan menyebabkan terlalu banyak masa, tenaga dan fikiran tertumpu kepada perkara yang tidak sepatutnya dihabiskan.

Kita mesti kembali kepada landsasan kerja persiapan menghadapi pilihanraya:

* Berapa ramai pengundi baru yang kita sasarkan dapat dicapai,

* Bagaimana persiapan bilik gerakan,

* Semakan daftar pemilih terkini

* Semakan rang yang dibentangkan,

* Bantahan yang perlu dibuat

* Cadangan persempadanan pilihanraya, jawatankuasa persempadanan pilihanraya,

* Permasalahan kewangan setiap dun, parlimen, dan UPU.

Apa tidakan kita untuk memastikan segalanya berjalan dengan cukup lancar? Ini yang perlu diberi tumpuan. Jangan kita terperangkap dengan agenda musuh agar kita menghabiskan masa kepada perkara yang bukan menjadi tugas kita. Dengan kata lain jangan anda habis masa, tenaga dan wang ringgit memikirkan masalah yang sebenarnya bukan masalah.

Dulu ada satu kisah enam orang pelabur berbincang untuk menjalankan ternakan kambing, cadangan sangat baik. Tetapi bila sampai kepada bagaimana pembahagiaan keuntungan, suasana mula tegang. Masing-masing rasa dia sepatutnya mendapat lebih banyak berbanding yang lain. Keadaan makin tak terkawal sehinggalah seorang yang lebih banyak berdiam diri dalam mesyuarat sejak awal berkata:

“Kita nak bahagi keuntungan, tapi di mana kambingnya. Kambing pun tak ada lagi, dah bincang untung rugi”.

Barulah mereka sedar rupanya mereka bincang perkara yang tak ada. Menghabiskan masa, tenaga dan memeningkan kepala saja.

Sekarang kita perlu sedar sebelum terlewat. Jangan masuk perangkap musuh yang sengaja menimbulkan perpecahan di kalangan kita. Di mana ukhuwah jamaah, sehingga kita menyerang sahabat dalam satu jamaah lebih hebat dari kita meyerang ‘musuh’ kita sebenar. Apakah sudah hilang ukhuwah jamaah, sudah hilang rasa sayang pada saudara sesama jamaah, sehingga kita sanggup memberikan peluru kepada musuh untuk menyerang sahabat kita. Saya yakin tanpa kita sedar sebenarnya kita sedikit demi sedikit telah termasuk dalam perangkap musuh.

Sunday, November 01, 2009

Kenapa sekolah satu aliran jadi perhatian ?

Abdul Aziz Ismail (dari Harakahdaily)

PENDAPAT

ISU
sistem sekolah satu aliran tiba-tiba menjadi perhatian. Sebelum ini ia pernah dibangkitkan oleh ahli politik Umno termasuk Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir. Tetapi, isu itu dikecam dan dipertikai hebat oleh banyak pihak terutama pemimpin bukan Melayu.

Mereka menuduh beliau rasis dan Umno cuba mengalih perhatian kepada tajuk lain setelah BN kalah teruk dalam PRU ke-12 lalu. Menurut beberapa pemimpin MCA, sistem itu sudah berjalan lama, sudah menjadi tradisi dan telah diterima sebagai sistem persekolahan yang harus dikekalkan.


Namun apabila gagasan itu disaran semula oleh seorang tokoh akedemik dan pakar sejarah bukan Melayu yang berpengaruh, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, isu itu tiba-tiba mendapat sambutan di luar jangkaan dari ahli Parlimen BN termasuk pemimpin bukan Melayu daripada Pakatan Rakyat. Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berpendapat sistem satu aliran boleh merapatkan perhubungan antara kaum dari peringkat bawah lagi dan boleh menjadi landasan untuk mengwujudkan perpaduan pada jangka waktu panjang.


Beliau mencadangkan sistem itu harus bermula di peringkat sekolah menengah dan bukan sekolah rendah, ketika itu semua murid sudah bersedia dan faham latar belakang bahasa dan budaya masing-masing semasa di peringkat sekolah rendah. Katanya lagi, kalau boleh pelajar Melayu pintar di Maktab Sains Mara diserapkan ke semua sekolah menengah untuk membolehkan mereka bergaul dengan semua murid dari pelbagai kaum bagi melahirkan segera konsep perpaduan.


Isu itu menjadi lebih menarik semua pihak setelah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyahut seruan itu untuk kebaikan bersama bagi melahirakan bangsa Malaysia yang bersatu-padu dan selaras dengan gagasan 1Malaysia yang dipromosi Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak. Malah, beliau mahu isu itu diperdebatkan kepada umum bagi mendapat maklum balas adakah gagasan itu wajar dan seharusnya dilaksanakan segera atau sebaliknya.


Mengapakah isu itu begitu signifikan dan mendapat sokongan kuat setelah ia dicetuskan semula oleh orang bukan Melayu? Kenapakah ada pemimpin mendokong gagasan idea itu padahal sebelumnya parti mereka menentang keras idea itu?


Dalam perkembangan terbaru, Najib tidak menolak idea itu diperdebatkan dalam kalangan rakyat walaupun sukar dilaksanakan kerana terpaksa melihat pendapat majorit terutama kaum bukan Melayu yang sudah sebati dengan sistem pelbagai aliran seperti yang diamalkan sekarang. Menurut beliau, dasar itu boleh direalisasikan jika itulah kehendak rakyat terbanyak.

Rakyat yang harus membuat keputusan sama ada menyokong atau menolak idea itu yang pada pertimbangan rasional situasi bangsa dan kehendak jangka panjang negara, cadangan ini amat praktikal dilaksanakan demi membentuk satu bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Pertukaran pendirian dan pandangan oleh pemimpin bukan Melayu terhadap isu itu menimbulkan tanda tanya. Mungkinkah perubahan itu sudah dikaitkan dengan konsep gagasan 1Malaysia oleh perdana menteri yang dikatakan mula mendapat sambutan orang bukan Melayu daripada BN dan PR?

Adakah gagasan Najib itu sudah melunakkan pendirian tegar sebilangan pemimpin bukan Melayu yang selama ini skeptikal terhadap dasar Umno dan BN? Adakah mereka fikir gagasan Najib itu sudah menyahut kehendak mereka selama ini yang mahukan Umno berlaku adil kepada semua kaum tidak kira keturunan sesuai dengan moto "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan?"

Persoalan itu bakal ditentukan oleh tindakan selanjutnya kalangan mereka, dasar konsisten kerajaan ke arah itu dan mungkin sikap orang Melayu sendiri dalam merelisasikan gagasan itu menjadi realiti atau sebaliknya._